webnovel

Hodoh

{Aku tak suka tarik perhatian orang sebab takut mereka nampak cacat cela aku}

{Namun pada masa sama aku juga terdesak untuk dipandang orang lain.}

{Sebab tu lah...}

Di malam yang masih muda itu, dua pelajar Hokubu berjalan bersama di lorong kecil taman perumahan yang sekali sekala diterangi lampu jalan. Tawa dan gurau senda mereka mengisi kesunyian jalan sempit itu.

"Terima kasih teman saya pulang malam ni, Taguchi san. Tapi sampai sini dah okey kot, saya balik sendiri"

Secara sopan dia cuba berpisah jalan dengan 'Taguchi san'. Nama identiti sementara yang diguna Daisuke untuk misi ini.

"Owh jangan risau pasal saya, saya masih lapang malam ni. Saya boleh teman awak samp-"

"Eh takpe! A-Awak sudi teman saya pun dah cukup baik dah. Cuma saya... selama ni-"

Dia teragak-agak, tak mahu timbulkan salah faham.

"Sebenarnya saya dah lama perasan awak. Sejak hari tu..."

Daisuke tiba-tiba meluahkan pada perempuan itu.

Terkedu Kirei mendengar pengakuan jejaka tampan yang memang kena dengan citarasa dia itu. Baru sahaja hari ini dia berkenalan dengan jejaka tersebut, tiba-tiba dia mengaku sudah lama menaruh perasaan terhadap dirinya.

"Penampilan awak mungkin dah berubah, dan awak mungkin dah tak ingat pertembungan singkat tu. Tapi sejak hari tersebut pada tahun lepas, awak dah curi hati saya"

'tahun lepas? Itu sebelum aku dapat benda ni , sebelum aku berubah'

Fikir anak gadis itu.

"Saya dah lama tunggu peluang untuk bercakap dengan awak macam ni. Jadi bila saya nampak awak dalam tren tadi saya cepat-cepat kejar tanpa fikir panjang hahaha"

'jadi dia jatuhkan barang tadi sebab dia bergegas nak naik tren sama dengan aku'

Tanpa dia sedar, kenyataan itu mengukir sengih di pipinya akibat gembira.

"Sebenarnya saya tak jangka pun dapat jumpa awak hari ni, namun kita bertembung juga. Bagaikan, dah jodoh.."

Daisuke berkunci anak mata dengan Kirei, hampir memukau. Berat untuk anak dara itu memisah dari tenungannya, tambahan lagi apabila pemuda itu mengulangi impian romantisnya sendiri

dan membuatkan dia meragui perasaannya terhadap Hizashi.

"Maaf.. dah lama saya pendam perasaan ni, sejak tahun lepas saya hanya-"

Tak mampu menahan kemurnian luahan Daisuke itu, Kirei mula menyangkal

"Tak mungkinlah sebab- masa tu saya belum..."

"Tapi perasaan saya ni benar. Saya tak tipu!"

Daisuke mempertahankan perasaannya.

"Bukan itu maksud saya! Cuma... "

Kirei gelisah, risau dia mengguris perasaan pemuda itu.

"Orang hanya pandang saya selepas saya ubah wajah saya ni... jadi tak mungkin-..."

"Mengarut! Siapa pun yang kenal awak dengan lebih mendalam akan sedar betapa cantiknya awak. Betapa banyak yang awak korbankan untuk orang lain, berkongsi susah senang. Bukan hanya baru-baru ini, tapi dari dulu lagi!"

Ujar Daisuke agak lantang, seperti dia sedang marah. Bukannya marahkan Kirei tapi kepada mereka yang pernah berlaku tidak adil padanya, marah kepada dunia.

Kirei tersentak. Bibirnya bergetar, matanya basah. Dia mahu menjawab perasaan jejaka itu namun perasaan terharu menguasai tubuhnya sehingga tiada satu pun perkataan yang keluar. Dia menangis gembira.

Tidak pernah menjangka ada orang yang sudi pandang dia yang dulu. Orang yang mengerti kesusahan yang dilaluinya sebelum ini. Seseorang yang ambil kisah tentang dirinya. Perasaan takut bercampur terharu dengan kelantangan Daisuke mempertahankan kebaikan dirinya.

Namun selepas dia kembali tenang, belum sempat dia mengumpul tenaga untuk memberikan jawapan, dia perasan papan tanda di luar sebuah kedai serbaneka. Seorang wanita jelita memodelkan sebuah jenama minuman. Tak semena-mena senyumannya mula padam.

Daisuke turut sedar bahawa gadis itu mula kembali sedih, dia mencapai botol kaca kecil di saku belakangnya dan mencungkil keluar gabus penutupnya.

"Maafkan saya Taguchi san.. saya belum.. bersedia... saya harap... kita dapat berborak lagi pada masa lain, masa tu nanti saya akan bagi awak-"

"Mizuki-kun, sekarang!"

Jeritan mengejut Daisuke membuatkan Kirei tergamam.

Di belakangnya adalah Mizuki yang bergenang airmata, menggenggam talian ZB (Zarah Batin) di belakang Kirei. Beberapa ekor anjing sedang menerpa dan membahamnya namun mereka tidak mampu menyebabkan apa-apa kerosakan pada pakaiannya meskipun mukanya masih menggambarkan kesakitan.

Kirei tak mengerti apa yang sedang berlaku namun masih sedar apa yang cuba dilakukan Mizuki, sebelum gadis itu sempat menarik keluar talian-talian mistik itu

"Tunggu dulu! JANGAN-"

Halangan terakhir operasi ini yang cuba menarik semula saka itu, tak lain dan tak bukan adalah Kirei sendiri. Mizuki pun tak menjangka tindakan perempuan itu dan tidak sempat bertindak balas untuk menyelamatkan Kirei.

Namun Daisuke yang sudahpun menyedut ZB saka itu ke dalam botolnya berhenti separuh jalan dan melontar satu lagi bilah kyokan yang disediakannya ke arah mereka berdua. Ianya menusuk kedua-dua gadis berkenaan serta menikam talian ZB tadi ke dinding.

"Semuanya terserah pada kau, Mizuki-kun!"

Ayat terakhir yang didengari Mizuki sebelum semua di sekelilingnya pudar dan ditenggelami kegelapan. Dia masih memaut pada talian itu namun selepas seketika, dia sudah tidak sedar.

'Tak! Aku tak boleh... Lepaskan! Kalau tak nanti Kirei cha-"

Dan keadaan bertukar sunyi.

Apabila Mizuki terjaga, dia nampak pemandangan yang dikenalinya, mirip waktu dia bersama Daisuke dalam ruangan putih kosong sebelum ini, Liang Ruh, atau Reikan seperti yang dipanggilnya. Tak terlalu jauh di ufuk dunia kosong itu adalah Kirei yang sedang terduduk. So hadapannya sebuah bebola ajaib. Dia hanya tenung objek itu tanpa suara.

"Saya tahu apa benda ni, selalu sangat nampak dalam mimpi sejak saya terima 'dia' ke dalam diri saya"

Dia mengangkat bebola itu lebih tinggi, raut wajah ngeri saka itu terpantul dari dalam. Di dasar objek itu adalah ekor talian ZB yang hujungnya dijejak kembali ke Kirei sendiri. Dasar sambungan yang datang dari Kirei dan objek itu masing-masing berbeza warna, di tengah-tengah sambungan talian itu di mana kedua-dua warna itu sepatutnya bertemu disembunyikan oleh genggaman erat Kirei. Genggamannya menghubungkan kedua pertalian dia dan saka itu. Pun begitu di sekitarnya adalah serpihan-serpihan tali sama yang sudah tercantas, hasil tindakan Mizuki tadi. Gadis itu berpaut pada hubungan terakhir antara dia dan saka tersebut.

"Kirei chan... kenapa..?"

Soal Mizuki lemah, bingung.

"Mesti awak keliru kan? Saya tak tahu macam mana awak terlibat dalam semua ni, tapi saya yakin awak mesti sangka awak sedang cuba selamatkan saya"

"Tapi Kirei chan, benda tu bukanlah-"

"Saya tahu apa yang dia lakukan pada tubuh saya, Mizuki san. Tubuh sebenar saya."

Mulanya dia agak terkejut namun kemudian dia teringat kenyataan Daisuke kelmarin tentang penglibatan Kirei sendiri dalam rasukan ini. Semuanya dah mula jelas baginya.

"Memang itu dah sebahagian dari perjanjian kami..."

Sambung Kirei,

"Tapi kan Mizuki san, itulah harga yang saya sanggup bayar. Itulah harga untuk kecantikan bagi kami yang tak dilahirkan dengannya. Memang agak malang saya perlu bayar dengan kemanusiaan saya sendiri semata-mata untuk kejar sesuatu yang orang lain dapat secara percuma. Tapi saya dah penat merungut. Saya cuma nak benda yang sama, untuk menjadi cantik. Untuk merasa diri saya berharga"

"Tapi kenapa... Kenapa awak sanggup kejar sampai musnah diri awak...?"

Mizuki belum berpuas hati dengan penerangan Kirei tadi.

Rakan sekelasnya itu hanya mampu tersenyum, bagaikan dia baru ditangkap melakukan kesalahan, senyuman bersalah namun pada yang sama, lega.

"Salah ke seorang gadis nak rasa jelita? Pertemuan dengan Hizashi kun mungkin ada sedikit pengaruh tapi, saya sebenarnya dah lama, teringin nak jadi cantik. Biarpun... hanya untuk seketika... saya tak jangka awak faham, sebab untuk muka awak ni, kalau awak usahakan sedikit lagi dah boleh sama comel dengan Hanna chan. Saya perasan tu tentang awak"

Mizuki menyentuh wajahnya sendiri, pujian itu bukanlah sesuatu yang dia jangka pada masa sekarang. Namun dia masih menunggu jawapan Kirei.

"Tapi lain ceritanya untuk saya, tiada apa yang saya boleh buat untuk baiki muka hodoh saya. Saya dah cuba... Budak lelaki semuanya akan pandang rupa dulu. Tak kisahlah saya berjaya langsingkan badan ke, ubah gaya ke, ubah solekan, gred saya pun, malah bila saya yang dekati mereka dulu pun, bila dah cuba semua helah dalam majalah-majalah tu, walaupun mereka semua seronok berbual dengan saya. Tiada siapa yang boleh tolak tepi cacat cela wajah saya!"

Mizuki teringat komen rakan kelasnya yang lain berkenaan Kirei yang lama.

[Kalau bab-bab mekap ni tanya Kirei]

[Kau nak lebih bergaya? Kau patut dapatkan nasihat Kirei]

[Mana lagi sesuai untuk kau? Hmm ni kot.. tapi baik kau tanya Kirei, dia pakar sikit]

"Saya takde masalah buat kawan. Tak kisahlah kawan perempuan atau lelaki. Sama ada yang betul-betul ikhlas berkawan ataupun hanya memandang kawan perempuan saya yang lain. tapi bila masuk soal cinta tiba-tiba banyak alasan yang saya terima"

dia agak mencemuh.

"Si hodoh perlu buktikan diri untuk disukai dan si rupawan mesti buat silap dulu untuk dibenci"

Ujar Kirei, bagaikan marah kepada dunia.

"Terima kasih teman saya sekarang, Mizuki san. Saya tahu awak takde niat jahat. Mungkin saya yang jahat, sebab tak berlaku adil, berlaku tamak walaupun semua orang dah layan saya baik. Ibu bapa saya sentiasa sokong, kawan-kawan sentiasa ceriakan saya. Malah bila keluarga saya cuba pasangkan saya dengan budak lelaki yang sama hodoh dengan saya, ianya tak menjadi. Tapi sekurang-kurangnya dia faham perasaan saya. Kami berdua faham situasi masing-masing, dia tak boleh paksa diri untuk sukakan saya dan saya pun sama juga. Kami berdua pun tak terima bahawa mereka yang kurang cantik hanya boleh berpasangan sesama mereka, semacam kasta yang ditetapkan oleh alam semesta. Realitinya kami masih manusia yang melihat kecantikan sama seperti orang lain. Mungkin salah saya yang mempertikaikan ketentuan tu"

Dia mengelap airmatanya, dia bertambah tenang selepas sudah banyak meluahkan hatinya.

"Tahu tak? Apa yang paling teruk bagi saya selepas dapat rupa ni, adalah bila saya sedar banyak mana yang saya terlepas sebelum ni. Semua ungkapan masa muda ini masa muda itu yang saya banyak jumpa dalam majalah, baru sekarang saya faham selepas dapat rupa ni. Berpacaran, dikirim surat cinta, diluahkan perasaan oleh budak lelaki, bertemu janji, semua yang takkan pernah dirasai Kirei yang lama, itulah masa muda yang disebut-sebut orang... Saya tak minta awak faham pun cuma-"

"Kirei chan! sebenarnya-..."

Mizuki mula bersuara

"saya pun faham apa yang awak lalui! Bila kita terpaksa berusaha keras untuk diterima berbanding dengan budak-budak lain yang sudah diterima seadanya! Bila kita selalu berhati-hati tak tersilap kerana takut dibenci! Bila terpaksa korbankan... hati awak sendiri untuk kekalkan kebahagiaan sedia ada... Jadi awak boleh luahkan saja pada saya, jangan... jangan simpan lagi!"

Kirei terdiam bagai tak percaya. Gadis yang disangkanya itu tiada masalah diterima masyarakat rupanya melalui ujian yang sama. Menitis air matanya, bukan kerana sedih tapi terharu. Kesulitan yang dihadapi seorang diri sebelum ini rupanya bukan milik dia seorang.

"Terima kasih... Mizuki san... sebab bersama saya sampai sini... dan berkongsi perasaan yang... itupun dah cukup sedapkan hati saya"

Kerut di dahi Kirei mula pudar, wajahnya tampak lebih terbuka sekarang.

"mungkin, saya dah tak perlukan benda ni lagi... mungkin saya yang salah faham selama ni... Adakah aku, yang tersilap...?"

Ungkapan terakhir itu agak perlahan seperti ditujukan hanya untuk dirinya. Di samping itu, akhirnya terbuka juga telapak tangannya, terlepaslah sambungan antara dia dan saka itu.

Ruangan putih, Liang Ruh berkenaan juga mula tak stabil. Mula terurai.

"Kirei chan!"

Suara terakhir yang didengarnya dari Mizuki sebelum kesedarannya pudar. Masih sempat juga dia merasakan pelukan gadis menghantarnya pergi buat selamanya. Dakapan terakhir.

Di luar, di kala Daisuke sedang berusaha mengekalkan tubuh gadis itu, dia nampak saka itu sedikit sebanyak mula terpisah dari tubuh tersebut. Ilusinya pun dah mula bercerai. Kirei yang sebenar mula terbongkar, sekurang-kurangnya, apa yang masih berbaki.

Mizuki kembali ke dunia nyata, masih dalam keadaan memeluk erat tubuh rakan sekelasnya itu sebelum sedar bahawa dia sudah kembali. Namun perkara pertama dalam kepalanya.

"Kirei chan! Mana dia? Daisuke kun!"

Tanpa berkata apa-apa, pemuda itu hanya menuding ke arah jasad yang sedang mereput. Mayat yang baru menghembuskan nafas terakhirnya.

"Huh? Tapi mengapa!? Daisuke kun! Apa jadi pada dia!? Adakah kita yang bunuh dia? SAYA INGAT KITA CUMA BUANG SAKA DIA?!!"

Mizuki mula tak keruan, dia agak tertekan dengan apa yang baru sahaja dialaminya serta apa yang sedang disaksikannya sekarang.

"Bertenang Mizuki kun"

Katanya tenang.

"Ini bukan angkara kita, kita hanya pecahkan ilusi dia"

"HABIS TU-?!"

"Ingat tak apa aku cakap, badan dia sudahpun dalam proses mereput sejak dua hari lepas. Masa korang tak sedarkan diri tadi pun aku dah periksa badan dia. Jiwa dia dah terdesak berpaut pada tubuh yang cuba dihidupkan oleh saka tu namun itupun hanya tunggu masa saja"

Terang Daisuke sambil menyelak sedikit baju uniform Kirei, mendedahkan kesan lebam yang parah di atas pinggang kirinya serta peha.

"Beberapa hari lepas dia dilanggar lori pada lewat malam. Tapi pemandu tu pun terkejut bila turun untuk periksa, dia jumpa sesuatu yang ngeri. Gadis yang separa dirasuk dengan keadaan pinggulnya sudah patah dan tubuh dia pun dah terkalih ke belakang kerana tulang belakangnya sudah terkehel. Sebab tulah awak nampak rupa sebenar dia dah bongkok."

Bayangan memori rupa sebenar Kirei yang menyedihkan semalam bermain di fikiran Mizuki.

"Tak hairanlah bila pemandu tu pun trauma ternampak dia dekat stesen tadi"

Tambah Daisuke.

"Boleh kata sejak dua tiga hari ni, saka tu hanya mengawal mayat hidup je. Boleh kata itu sajalah kelebihan yang kau boleh dapat hasil dari rasukan ni"

Dia mendengus sekali. Sedikit berjenaka namun tak mengharapkan balas tawa.

Mizuki tak ketawa. Dia masih bergelut dengan apa yang baru sahaja dialaminya, perasaan yang diluahkan, dan betapa rumit kes kerasukan ini.

"Kenapa.. dia harus tempuhi semua ni...? Macam mana seseorang boleh... jadi sungguh malang..? Tak cukup lagi ke dengan-"

Sebaknya sendiri menghentikan luahan hati yang ingin diungkapkan Mizuki. Pipinya mula basah, tangisan yang ditahan ketika mendengar luahan Kirei tadi kini melimpah keluar.

"Kemalangan tu memang tunggu masa saja nak jadi sebab saka tu banyak keluar masuk tubuh dia semasa lengkapkan rasukan tu, itu bukannya sebab nasib. Tapi lain cerita bila dia sendiri ada sebab untuk terima saka tu..."

Daisuke berpaling sambil menghabiskan ayatnya.

"Jawapan yang mudah adalah untuk melihat di sebalik rupa paras untuk mencari kecantikan dalam seseorang. Memang senang cakap, semua orang pun cakap macam tu. Tapi hakikatnya, berapa ramai yang boleh buat tambah-tambah lagi di kalangan usia remaja. Pandangan awal mereka masih terikat dengan rupa paras seseorang. Tak mudah untuk tangani kenyataan tu, lebih-lebih lagi..."

Dia merenung ke papan iklan yang dipandang Kirei tadi

"Apabila kecantikan rupa paras tu sentiasa diiklankan mana-mana kau pergi. Realitinya rupa paras boleh bawa kau lebih jauh di samping bakat kau yang dah sedia ada. Selagi dunia ni masih hargai kecantikan, mereka yang kurang cantik akan sentiasa rasa terpinggir. Dah memang macam tulah masyarakat kita sekarang"