"Jadi, sepanjang harini dia ja yang kau boleh nampak? Menarik kau ni, Mizuki kun..."
Ujar Daisuke.
"Macam mana pun, buat masa sekarang aku nak kau jauhkan diri dari benda tu. Ada lalang yang aku nak cantas"
Arahnya, mengancam hantu perempuan di sebelah Mizuki. Sekaligus memberitahu Mizuki bahawa sasarannya ketika itu bukan Mizuki. Mizuki gementar memerhati gerak-geri Daisuke, dia dan perempuan tersebut masih terduduk di atas lantai. Perempuan berhantu itu masih menangis menahan sakit akibat kehilangan tangannya.
"Ah lagi satu... Walaupun aku tak berapa berkenan kita kena berjumpa lagi macam ni, aku masih perlukan pertolongan kau kali ni, Mizuki kun"
Mizuki terdiam terkedu, masih teragak-agak untuk bertindak dalam situasi yang tak menentu itu. Tambahan lagi dengan ayat dia yang seterusnya
"boleh awak hulurkan tangan saya ke sini?"
Pintanya merujuk kepada tangannya yang masih memegang pisau, tertanam di dinding sebelah Mizuki.
"Tolong?"
Degupan jantung Mizuki kembali reda buat kali kedua hari ini, fikirannya pun kembali berfungsi secara rasional menilai situasinya.
'keadaan ni, bukan macam sebelum ni ke...? Cuma...'
Dia ingat semula.
'kali ni, sasaran dia bukan aku... sekurang-kurangnya-'
dia memandang Daisuke
'itu yang dia cuba sampaikan'
Tika dia mula meragui niat sebenar Daisuke, satu idea timbul dalam kepalanya, idea yang agak berisiko.
"Nanti dulu Kishimoto san! Dia ni tak berbahaya pun!"
Mizuki bergegas menghalang serangan Daisuke, meletakkan dirinya di antara mata pisau Daisuke dan tubuh tak berjisim perempuan itu.
"Ini semua salah faham!"
"Dia ni dulunya pelajar sekolah yang mati di sini, kerana terlalu tertekan akibat dibuli, dia terjun dari bangunan sekolah. Tapi lepas dah meninggal pun ruhnya masih terperangkap di sini. Mungkin masih ada sesalan yang berbaki di sini, menyebabkan dia tak boleh tinggalkan dunia ni lagi"
Jelas Mizuki, cerita di sebalik hantu perempuan itu yang didapati daripada perbualan sebelumnya. Mizuki bertaruh nasib pada kemungkinan untuk menyekutukan Daisuke bagi menyelamatkan dia dan kawan barunya itu. Pun begitu, usahanya membuahkan hasil, Daisuke memberi perhatian kepadanya dan menangguhkan niatnya untuk menyerang perempuan itu.
Melihat reaksi Daisuke, Mizuki meneruskan usahanya untuk meyakinkan Daisuke untuk batalkan serangannya
"Sebab tu, daripada kita hapuskan dia, bukanlah lebih baik kita bantu dia selesaikan masalah dia supaya dia boleh betul-betul tenang dan tinggalkan dunia ni dengan sendiri!"
Mizuki memujuk, semangatnya itu turut menyentuh perasaan perempuan hantu tersebut. Seseorang yang sanggup berusaha sebegini rupa deminya, merisikokan nyawa mereka sendiri deminya, dia terharu, mengalir air mata ke pipi rohaninya itu.
"Bukankah itu lebih bermanfaat untuk awak juga? Tiada kemungkinan untuk dia kembali sebagai semangat jahat yang berdendam dengan sekolah ini, awak takkan nampak dia lagi lepas ni! Ada cara yang lebih baik tangani situasi ni!"
Mizuki meyakinkan pemuda itu.
Namun Daisuke hanya berdiri tanpa kata-kata, seperti sedang mempertimbangkan cadangan Mizuki. Merebut peluang itu, Mizuki mengira dia hanya perlu pujuk lagi sedikit untuk mengubah fikiran pemuda berkenaan. Namun belum sempat dia bersyarah, gelak tawa lelaki itu mengejutkan dia sehingga terlupa apa yang nak diperkatakan. Kali ini langsung tak boleh baca perasaan jejaka misteri itu, apa tindak balas yang sesuai pun dia tak tahu. Lelaki yang tidak boleh difahami.
"AHAHAHAHAHAHAHA!!!"
Ketawanya terbahak-bahak, bagaikan itu jenaka yang paling kelakar pernah dia dengar.
"ITU KE APA YANG DIA BERITAHU KAU? HAHAHAHA!! ITU LAWAK!!!"
Berkali-kali tindakan pemuda itu terus membingungkan Mizuki, namun kali ini yang paling mengelirukan. Semacam jejaka itu mempersendakan dirinya.
"Haih, bagus betul cerita tu, mengharukan betul. Tapi, tak mungkin itu kejadian sebenarnya."
Belum sempat Mizuki menjawab penafian dia, dia menambah,
"Sekarang ni yang kau boleh nampak dia pun bukannya kebetulan tahu tak? Itu memang kerja dia untuk dapatkan perhatian kau, menakutkan kau. Lagipun-"
"KENAPA SAYA PATUT PERCAYA AWAK DARIPADA DIA"
Bentak Mizuki.
"Hari pertama saya jumpa awak saya dah kena serang dalam keadaan terdesak! Lepas tu kononnya awak cuba tolong saya dalam tempat yang pelik tu! Kemudian bila saya tanya awak, awak pura-pura macam tak kenal saya pulak! Memang semua yang datang dari awak ni dusta belaka!!!"
Mizuki berang, mengetap giginya, melindungi rakan barunya dan menentang ancaman Daisuke bersama dengan alasannya yang tak wajar. Namun, ia tidak lain hanyalah Mizuki melepas geram
"awak tahu siapa yang tak patut saya percaya di sini? AWAKLAH ORANGNYA, KISHIMOTO SAN!!!"
Suasana sepi seketika selepas ketegangan itu. Daisuke terdiam lagi, namun kali ini tampak dia lebih sedar akan kesalahannya. Sekali-sekala dia mengadap Mizuki namun tiada penjelasan yang keluar. Sementara itu, api kemarahan Mizuki masih marak, menunggu jawapan dari pemuda itu walaupun kelihatannya seperti dia boleh meletup bila-bila sahaja.
Keluhan panjang membuka dialognya, disertai satu pengakuan
"okay... aku ada perdayakan kau..."
Memecah kesunyian
"tiga kali, semuanya"
Kejujuran yang datang secara tiba-tiba itu mengejutkan Mizuki, sebahagian dirinya tak menyangka dia akan sejujur ini, sebahagian lagi terkejut kerana jumlah itu lebih dari yang disedarinya.
"Tapi ada keadaan yang memaksa aku buat macam tu. Aku jujur bila aku cakap aku perlukan pertolongan kau. Kalau aku apa-apakan kau pun aku yang rugi"
"Aku ada perasan banyak makhluk halus di sekitar sekolah harini yang cuba ganggu dan tarik perhatian kau, jadi aku pura-pura tak kenal kau untuk elak diorang berjaga-jaga dengan aku. Kemudian aku ekori salah seorang dari mereka yang berjaya tarik perhatian kau, itulah hantu betina belakang kau tu"
Melihat wajah Mizuki masih kurang berpuas hati dengan jawapannya, dia cuba berunding
"mungkin ni semua terlalu rumit untuk kau faham sekarang, aku akan jelaskan semuanya pada masa lain yang lebih sesuai, janji!"
Ternyata buat seketika dia berjaya meyakinkan Mizuki.
Namun mungkin hanya untuk seketika
"Ini salah satu helah kau lagi ke? Hah!"
Dia mentertawakan penjelasan Daisuke tadi. Seringai yang menggerunkan terukir di bibir Mizuki. Keadaan kembali tegang, hingga Daisuke pun mula khuatir, Mizuki dihadapannya kini bukan lagi gadis manis yang dikenalinya sepanjang minggu ini
"kau masih nak pandang rendah aku ye..."
Nada suaranya berubah, di belakangnya, hantu perempuan yang tak kononnya tak berdaya itu mula menunjukkan belang. Susuk tubuh wanita tinggi lampai menjelma dalam uniform Hokubu itu. Raut wajahnya berubah menjadi wanita yang menghampiri wajah manusia namun masih gagal menyembunyikan puakanya. Mizuki nampak seperti tidak menyedari akan perubahan yang berlaku di belakangnya itu, ataupun dia sudahpun dipengaruhi lembaga itu. Mungkinkah itu yang menyebabkan perubahan ketaranya? Dia tidak sanggup lagi mendengar kata-kata Daisuke, atau mungkin dia tak boleh dengar langsung
"saya dah muak dengan sandiwara ni. Sama ada dari awak..."
Mizuki menolak alasannya.
"dan semestinya-"
Mizuki memegang erat tangan Daisuke yang tercabut itu, dengan pisau yang tergenggam dalam tangan itu menjadi senjata. Tumitnya beralih ke belakang, berpusing. Daisuke sedar apa yang cuba dilakukan gadis itu, namun dia juga sedar risikonya dan bersedia untuk bertindak
"-dari penyamar ni pun!!"
Mizuki menghadap hantu wanita di belakangnya.
Sepintas itu dia menghayun senjata anehnya, cuba untuk menyerang lembaga itu sebelum sempat dia mengelak. Namun dalam masa yang sama ia juga senyap-senyap cuba merasuki Mizuki buat kali kedua di belakangnya. Mizuki cukup dekat untuk melancarkan serangan mengejut, malah terlalu dekat. Makhluk itu yang mempunyai tindak balas lebih pantas menepis serangan Mizuki dengan tangan kirinya yang masih berfungsi. Mizuki mungkin mempunyai kelebihan dalam kejutan, namun naluri makhluk itu masih mengatasinya dalam kepantasan.
Tindakan Mizuki yang mengancam hantu itu menyebabkan ia mula bertindak ganas. Ia cuba mencakar Mizuki dengan tangan yang sama.
Namun Daisuke yang sudahpun menjangka situasi tersebut, dalam detik yang sama memintas serangan tersebut.
Belum sempat cakaran itu mencapai tubuh Mizuki, tangan yang mencakar itu sudahpun tertanggal dari badannya. Daisuke menyelinap di antara lembaga tersebut dan Mizuki, menolak Mizuki ke belakang dengan tangan kanan kudungnya dan mencantas lengan hantu itu dengan tangan kirinya. Aneh sekali, walaupun betapa pantas dan kuat langkahnya menghentak tingkap di tepi mereka berdua dari lompatan tersebut, cerminnya masih tidak pecah. Sebaliknya ia bergema, bagaikan permukaan tasik yang hanya diusik sehelai daun. Sebuah keajaiban yang tidak disaksikan sesiapa dek kerana kepantasan kejadian itu dalam keadaan cemas tersebut. Tidak Mizuki mahupun hantu itu sedar akan campur tangan Daisuke dalam sedetik itu hinggalah pemuda itu sudah mendarat di lantai sesaat kemudian.
Terduduk Mizuki di atas lantai, terjatuh dalam keadaan keliru kerana baru sebentar tadi dia sedang berpusing menyerang wanita berhantu itu. Makhluk halus itu pula tidak merasai apa-apa di hujung cakarnya, bukan setakat tubuh Mizuki, malah tangannya sendiri pun. Lebih-lebih lagi, bila dipantau sebelah kirinya dia mendapati Daisuke sudahpun mengacukan pisau kearahnya. Sedia untuk meragut kepalanya sebaik sahaja dia tersilap langkah.
"Baik baik, ini dah kali kedua aku nampak kau, kalau kau kacau dia lagi lepas ni..."
Senyuman yang terukir di muka Daisuke tika dia mengugut lembaga tersebut mengangkat lagi ancamannya. Riak mukanya tampil lebih gelap di balik bayang malam koridor itu namun matanya yang mengancam hantu itu seakan bersinar dengan kemarahan.
"Bukan setakat tangan, memang MAUTLAH KAU AKU KERJAKAN. Dari hujung rambut ke hujung kaki aku siat kau, dengar tak?! Pegang kata-kata aku ni!"
Menggigil hantu itu, tadi pun dia tak mampu elak serangan Daisuke, sekarang dia diancam keras pula. Memang tak terbayang apa yang akan dilakukan terhadapnya jika dia menimbulkan amarah makhluk ganas ini. Memang tiada apa dalam kepala berhantunya sekarang selain
Sebaik digertak Daisuke lembaga itu terus cabut, hilang di balik kegelapan malam.
Apabila sudah kali kedua melepaskan hantu yang sama pergi, Daisuke mula menawarkan nasihat kepada mangsa berulangnya.
"Nampak macam dah lama dia menyasarkan kau. Tapi, kau ni pun, gopoh sangat... kau kena fikir juga tindak balas benda tu macam mana, Mizuki kun..."
Dia mula berleter, namun mungkin sia-sia sahaja. Gadis yang dileterinya itu kini lebih asyik dengan perancangan lain.
"JANGAN FIKIR PUN NAK CUBA APA-APA!"
Mizuki menghalakan tangan berpisau Daisuke itu kearah tuan badannya.
"Minggu lepas, apa yang terjadi?! Kenapa awak tikam saya? Memang awak ke yang saya nampak dalam mimpi tu?"
"B-bertenang dulu, Mizuki ku-"
"JAWAB CEPAT!!!"
"Baik baik, jadi uhh dari mana aku patut mula ye..."
Walaupun agak gementar dengan pisau diacu kearahnya, dia masih tampak tenang menjawab arahan Mizuki.
" ...masa tu kau tengah kena rasuk, hampir bersatu dengan makhluk halus tu, sebab tu aku tikam kau untuk putuskan hubungan tu sebelum terlambat. Tapi kemudian, hasil daripada rasukan tu, banyak ZB kau yang terbocor keluar dan perlu dibaiki secepat mungkin. Sebab tulah aku perlu kejutkan kau dari dalam dan ajar kau cara untuk baiki masalah tu. Takde pun niat nak apa-apakan kau, aku janji!"
Daisuke mempertahankan tindakannya untuk memenangi kepercayaan Mizuki.
'dengan kebolehan dan kelincahan dia tadi, senang sangat kalau dia nak ubah keadaan dan menentang aku pula, lebih-lebih lagi bila aku mengancam dia macam ni'
Sambil pisau itu masih diacukan ke Daisuke, Mizuki cuba menilai situasi sekarang dan niat sebenar pemuda itu,
'tapi dia tak melawan... dan menurut sahaja kehendak aku... tak tahulah memang dia cuba nak perdayakan aku ataupun memang dia pandang rendah aku, tapi yang pasti-"
Angin Mizuki mula reda dan dia kini lebih terbuka untuk berdamai.
"-sekarang dia nak aku hidup-hidup, setakat tu aku takde masalah"
Gadis itu merendahkan senjatanya, terus berubah wajahnya kembali menjadi gadis manis seperti yang biasa ditampilkannya. Lengkap dengan senyuman ikhlas, Mizuki menghulurkan kembali tangan Daisuke yang tercabut awal tadi
"Baiklah saya percayakan awak, tapi nanti jangan buat saya macam tu lagi ye?"
"Ahaha..."
Sedikit khuatir kedengaran dalam tawanya, Daisuke cermat menerima tangannya kembali
"Tak sangka kau akan bersetuju secepat tu... Tapi baik, aku janji takkan buat lagi macam tu"
Ketika mereka berdua berjabat tangan, jejaka itu berbisik dalam hati
'Perempuan ni... memang tak boleh jangka apa dia nak buat.."
"oh ye, tadi awak ada cakap.. cerita dia tu tak mungkin terjadi, macam mana awak tahu? apa maksud awak?"
Bila keadaan dah agak reda, Mizuki mengambil peluang bertanyakan soalan yang berlegar di fikirannya daripada kata-kata Daisuke tadi. Namun kali ini, riak muka pemuda itu berubah serta merta, gaya santainya kini menjadi lebih serius. Sambil-sambil menyambung kembali tangan yang baru dipulangkan kepadanya, dia menjawab tanpa ragu-ragu
"Tak mungkin perkara tu benar sebab... hantu adalah hantu, manusia adalah manusia, tak ada yang berubah menjadi satu sama lain, sesiapa yang mengakui sebaliknya hanyalah berpegang kepada harapan palsu"
Wajahnya disembunyikan di balik bayang, membelakangi Mizuki
"Itu kenyataannya... itu yang sepatutnya..."
Hujung ayat itu diungkapkan lebih perlahan, semacam bisikan yang ditujukan hanya untuk dirinya, peringatan untuk dirinya sendiri. Berita yang mengejutkan, mengundang kontroversi. Namun tiada tentangan dari Mizuki. Kenyataan itu hanya diterimanya tanpa reaksi. Fakta yang bertentangan dengan apa yang diketahuinya selama ini, diterima dengan terbuka. Mungkin ini datang daripada pemikirannya yang agak terbuka ataupun, kerana dia belum sedar apa maksud sebenar di sebalik kenyataan itu. Mungkin bila tiba masanya, keterbukaan itu juga takkan kekal lama.