webnovel

Awanama Kosmos

Bahan ujikaji yang dibawa oleh angkasawan kedua negara ke stesen ISS tiba-tiba bertindak balas dan menghidup pada graviti sifar. Makhluk berkenaan telah diberi nama 'Awanama Kosmos' oleh NASA kemudiannya telah jatuh ke permukaan bumi lalu menjadi pandemik.

HdinHafizuddin · 科幻言情
分數不夠
34 Chs

Bab 34

*70 TAHUN SELEPAS ITU DI PERMUKAAN BUMI *

Kini, sudah lebih 70 tahun selepas peristiwa meletusnya ledakan beberapa siri bom nuklear yang maha dahsyat oleh kuasa-kuasa besar dunia. Bom nuklear ini bertujuan untuk menghapuskan satu spesis makhluk tanpa nama yang datangnya dari luar angkasa (Awanama Kosmos) yang telah meragut jutaan nyawa manusia ketika itu secara misteri. Ada yang berjaya menyelamatkan diri ke Cakerawala, dan ada yang berlindung di dalam bunker sejauh 100 meter daripada perut bumi.

Di permukaan bumi, bermula daripada peristiwa ledakan nuklear itu, manusia huru-hara. Ramai yang mati akibat terkena sinaran radiasi pada kadar yang sangat tinggi dan ada yang berjaya menyelamatkan diri di bunker-bunker milik persendirian mahupun kerajaan. Dunia seakan sudah sampai ke pengakhirannya. Tiada lagi aktiviti perdagangan domestik mahupun antarabangsa. Internet mengalami kejatuhan mendadak. Tiada lagi penerbangan, pelayaran, perbankan, pembelian atas talian dan juga media sosial. Segalanya sudah berakhir. Kebanyakkan negara mula huru-hara dengan keadaan yang tidak terjangka itu. Peperangan moden mula berkurangan akibat kekurangan bekalan senjata dan makanan. Dunia semakin terasing kembali.

Perpindahan masyarakat ke hutan bagi mencari perlindungan daripada cemaran sinaran radiasi telah menyebabkan kejatuhan beberapa buah negara akibat krisis institusi pemerintahan, kemelesetan ekonomi yang teruk dan kejatuhan institusi perbankan dunia, lalu terputusnya hubungan komunikasi domestik dan antarabangsa selamanya. Manusia kembali  ke zaman kuno dan hidup berkelana di dalam bunker untuk menyelamatkan diri daripada sinaran radiasi yang amat merbahaya itu.

65 tahun telah berlalu, keadaan permukaan bumi sudah cukup stabil dan selamat untuk diduduki, awal 5 tahun seperti yang dijangkakan oleh saintis dahulu. Namun hakikatnya, bumi pada hari ini tidak sama lagi dengan bumi yang dikenali pada 65 tahun yang lalu. Cemaran radiasi telah menyebabkan hampir keseluruhan hidupan termasuklah manusia, tumbuhan dan juga haiwan telah termutasi genetik mereka. Setiap manusia yang lahir dibumi selepas peristiwa ledakan nuklear mempunyai 'knightblood' secara semulajadi yang terhasil akibat dedahan dos radiasi permukaan bumi yang tinggi. Ada juga yang mengatakan ini merupakan kesan tindak balas vaksin 'Sputnik-Sinovac' yang disuntik kepada keturunan datuk dan nenek mereka dahulu sebelum memasuki bunker-bunker bawah tanah . Saiz buah strawberi sebesar buah tembikai, hidupan rusa dan kancil berkepala dua, hidupan laut dalam yang semakin mengerikan dan juga burung-burung menjadi bersaiz sebesar rama-rama, kesemuanya ini telah menjadi satu realiti baharu bagi persekitaran bumi selepas tersebarnya cemaran sinaran radiasi. Manusia yang dilahirkan dengan 'knightblood' mempunyai kerentanan terhadap dedahan radiasi dan juga imun terhadap pelbagai jenis penyakit. Bumi menjadi sesuatu yang baharu untuk generasi seterusnya membina kehidupan kembali.

Akibat kekurangan bekalan makanan, krisis kesihatan akibat terkena sinaran radiasi dan kekurangan udara yang bersih di dalam bunker, manusia yang masih hidup keluar dan memulakan kehidupan yang baru. Mereka berjaya keluar daripada bunker untuk mula membina peradaban masing-masing. Antara peradaban dan kerajaan baru yang berjaya teguh berdiri selepas 5 tahun dibina adalah sebuah kerajaan yang diberi nama NuriSelasih.

NuriSelasih merupakan sebuah negara persisir yang dahulunya terletak dikawasan nusantara, yang kaya dengan kepelbagaian hasil buminya. Nama kerajaan ini diambil daripada penampakan seekor burung Nuri yang dilihat berterbangan sambil membawa daun selasih untuk membina sarang mereka dikawasan berkenaan. Ini merupakan simbolik kepada pembinaan sebuah penempatan baru mereka dalam usaha untuk meneruskan kehidupan. NuriSelasih terbahagi kepada 8 mukim berbeza, yang dibangunkan mengikut hasil-hasil bumi masing-masing, antaranya mukim Ara, Bentayu, Cengalis, Dedalu, Endapi, Fituris, Gading dan Huma.

Mukim Ara merupakan pusat utama kerajaan NuriSelasih dan segala aktiviti penjualan hasil-hasil bumi dari mukim-mukim lain akan dipersembahkan di mukim utama ini. Mukim Bentayu merupakan sumber air bersih utama kepada kerajaan NuriSelasih memandangkan ianya terletak ditebing Sungai Bentayu, manakala Mukim Cengalis menyediakan sumber kayu-kayan utama NuriSelasih. Bagi mukim Dedalu pula, mereka menyediakan pelbagai bekalan hidupan laut kepada rakyat NuriSelasih memandangkan mukim ini terletak dikawasan persisiran pantai.

Mukim Endapi menyediakan sumber minyak tanah utama kerajaan NuriSelasih yang menjadi sumber kepada bahan api utama, manakala Mukim Fituris menyediakan sumber-sumber bahan bumi semulajadi dan juga bahan nadir seperti hasil emas, perak, timah dan sebagainya. Matawang emas & perak digunakan seabagai matawang utama kerajaan NuriSelasih manakala campuran antara timah dengan keluli ditempa untuk memenuhi keperluan penduduk setempat seperti tombak, keris dan sebagai.

Mukim Gading adalah pusat ternakan utama kerajaan NuriSelasih. Mukim ini menyediakan ternakan-ternakan utama seperti ayam-ayam kampung, kambing, lembu, kerbau, pokoknya, segala hidupan yang boleh dijadikan sebagai sumber bahan makanan boleh ditemui dikawasan ini. Mukim Huma pula menyediakan sumber bahan pertanian utama seperti padi, ubi dan pelbagai tumbuhan utama yang diperlukan oleh koloni utopia NuriSelasih.

***

Untuk kesekian kalinya, Kerajaan NuriSelasih akan mengadakan pesta Cakoi Pasak iaitu sebuah permainan bagi mencari adiwira daripada kalangan wakil ke lapan-lapan mukim yang bernaung dibawah kerajaan NuriSelasih. Permainan ini bertujuan memperingati mereka-mereka yang terkorban semasa pembinaan kerajaan baru nusantara ini selain menjadi benteng pertahanan utama kerajaan NuriSelasih. Mereka yang berjaya bertahan dan tidak dibunuh oleh peserta dari mukim lain akan diangkat menjadi General Pertahanan NuriSelasih.

Serentak dengan itu juga, rakyat NuriSelasih yang berumur 16 tahun pada tahun berkenaan akan menyertai ritual yang dipanggil 'Pesta Berakar'. Pesta Berakar bukanlah ritual pemujaan syaitan atau semangat roh-roh purbakala, tetapi lebih kepada acara pemilihan mukim. Bagi remaja yang berusia 16 tahun dan ke atas, mereka diwajibkan memilih sebuah mukim pilihan, samada mukim yang mereka duduki sekarang, ataupun mukim-mukim lain. Tetapi, sekali mereka sudah memiih mukim berkenaan, mereka tidak boleh berpatah balik.

Hati Beja Tuah tidak keruan. Dia bimbang terhadap adiknya, Bidara Kasih yang pada tahun itu berumur 16 tahun. Dia bimbang adiknya itu akan tersalah pilih mukim yang tidak sepatutnya dipilihnya nanti. Sedari awal lagi, dia sudah mengingatkan adiknya agar membuat perhitungan yang tepat demi masa depannya sendiri. Masa depannya bergantung kepada mukim yang dipilihnya.

Tinggi panji berarak sembilu,

Tinggi lagi pawana bersimpul dibatu,

Tinggi rendah mukim pilihanmu,

Tinggi lagi harapanku untukmu.

Bidara Kasih, seorang gadis sunti yang sungguh berpewatakan ayu, alis matanya, lenggok tutur katanya, mampu menikam dek kalbu yang memerhatinya. Walaupun begitu, Bidara Kasih mempunyai impian yang cukup besar. Dia mahukan sesuatu kehidupan yang mencabar fizikal dan mentalnya demi mencari kepuasan dalam dirinya.

Sambil memberikan makanan kepada lembu dan kambing peliharaan mereka, Bidara Kasih secara sembunyi  mempelajari seni mempertahankan diri di pondok kecil yang dibina untuk merehat-rehatkan diri tatkala penat menjaga dan memberi makanan kepada ternakan-ternakan. Si gadis ayu ini belajar sendiri berbekalan kayu pendek dan beberapa batang buluh yang ditebang dari pinggir hutan ditebing Sungai Op.

Gayanya cukup bersemangat waja, alis matanya menunjukkan kegarangan meskipun didalam dirinya tersemat ciri-ciri kesempurnaan seorang gadis melayu yang tinggi penghormatannya. Begitulah rutin sehari-hariannya jika mahukan semangat seorang gadis melayu yang tampak tangkas dan berani, getus hatinya. Semua yang dilakukan ini adalah diluar daripada pengetahuan abangnya, Beja Tuah.

Bidara Kasih amat berazam mahu menyertai pesta Cakoi Pasak suatu hari nanti. Cukup bersungguh-sungguh. Jiwa mudanya menggelegak, semangatnya bergelodak. Dia mahu memperbetulkan sistem yang dianggap terlalu kejam ini. Dia mahu menyedarkan Pasak bahawa apa yang Pasak lakukan selama ini adalah satu kesilapan besar. Walaupun usianya baru menjangkau 16 tahun, namun dendam kesumatnya terhadap Pasak yang telah menyebabkan ibu bapanya terkorban pasti tidak akan pernah dilupakan, walau sesaat pun.

***