Ad dipanggil ke bilik guru dan Puan Nohara juga dipanggil datang ke sekolah. Mereka dipertemukan di bilik disiplin di mana di situ ada pengetua sekolah, cikgu disiplin dan Cikgu Zack. Cikgu Zack memberitahu bahawa itu memang dompetnya dan berkata ia sangat kecewa dengan Ad. Tetapi Ad hanya mampu menidakkan sahaja kecurian itu dan dia tidak pernah mencuri. Tetapi apa juga penafian, buktinya sudah ada di situ. Puan Nohara beberapa kali meminta maaf kepada guru-guru semua. Wang di dalam dompet Cikgu Zack yang telah dicuri berjumlah 500 dan Puan Nohara membayar ganti rugi tersebut kerana berasa malu dengan Ad.
"Saya minta maaf kepada guru-guru semua, saya tidak jaga anak saya dengan baik."
Puan Nohara dibenarkan pulang dan Ad diminta ikut pulang.
Setelah sampai di rumah, Puan Nohara langsung memarahi Ad.
"Ad, ibu kecewa. Ibu benar-benar kecewa pada kamu! Kenapa kau sampai mencuri? Kenapa kamu malukan ibu?"
"Tapi Ad tak buat semua tu. Ad dikhianat. Ibu, percayalah Ad. Ad tak mencuri, ibu!"
"Memang ayah sudah tiada, tapi ibu masih boleh tanggung perbelanjaan kamu sampai kamu habis sekolah. Ibu tak mahu dengar semua itu. Ibu dengar sendiri apa yang pengetua beritahu, yang kes kecurian di sekolah selama ini kamu pelakunya. Kita memang tidak kaya, Ad, tapi kita bukan pencuri. Sekarang di mana ibu mahu letak muka ibu?"
"Ad minta maaf, ibu. Ad tak mencuri!"
Ad terus-terus meminta maaf pada ibunya. Puan Nohara menangis sepanjang malam. Keesokkan harinya, Ad ke sekolah. Saat dia memasuki kelas, suasana bertukar senyap. Semua orang memerhatikan sambil berbisik-bisik. Ad terdengar bisikan dari jauh yang berkata, "Jangan dekat dengan pencuri."
Joey berjalan di hadapan kelas Ad dan ternampak raut wajah Ad yang seperti bersedih. Lalu Joey masuk sebentar di kelas Ad sambil berteriak.
"Kamu orang semua, kalau ada barang berharga, jangan simpan dalam beg nanti hilang. Di kelas kamu ini ada pencuri."
Ad hanya mampu terdiam dengan penyataan Joey. Matanya memandang tepat ke Joey seperti ingin menerkamnya, namun dia sabar. Dia tahu siapa yang berbuat khianat kepadanya, sedangkan mereka sebelum ini sahabat baik.
Ad dipanggil semula untuk ke bilik guru. Cikgu Adam memberikannya sepucuk surat kepada Ad.
"Surat apa ni, cikgu?"
"Ada baiknya kamu buka dan baca, Ad."
Setelah membacanya, Ad terdiam.
"Jadi, cikgu harap kamu faham kenapa pengetua ambil keputusan untuk gantung persekolahan kamu. Ia lebih baik daripada kami bawa kamu kepada pihak polis dan kamu mungkin akan bertambah susah nanti. Ini merupakan pengajaran untuk Ad."
Ad berasa sedih dengan situasi yang menimpanya. Dia seperti tiada ruang untuk membela diri.
"Aku yakin ini semua kerja Joey. Dia yang buat khianat pada aku." (kata Ad di dalam hati)
"Ad, kamu boleh pulang ke rumah sekarang. Berubahlah sementara masih ada masa. Kamu masih muda."
"Baik, terima kasih, cikgu."
Ad keluar dari sekolah dan pulang menuju ke rumah. Waktu di rumah pula, dia dimarahi ibunya setelah memberitahu dia digantung persekolahan.
"Lepas ini, ibu tak mahu dengar lagi masalah dengan kamu lagi. Kamu dah malukan ibu. Sekarang kamu tolong ibu cari duit, bantu ibu kerja di kedai."
"Baik, ibu."
Pada malam hari, Ad berjalan kaki menuju ke rumah Sumire. Dia memanggil Sumire untuk bertemu dengannya. Waktu Sumire menjenguk Ad di hadapan dia, dia seperti mahu tidak mahu untuk bertemu dengan Ad, tetapi datang juga kepada Ad.
"Saya dah dengar semuanya."
"Ad nak beritahu apa yang Sumire dengar itu semua tidak benar. Ad dikhianat dan Ad yakin Joey yang buat semua tu untuk perangkap Ad kerana tak mahu bantu dia mencuri."
"Ad, Ad tidak perlu hendak membabitkan orang lain sedangkan bukti sudah jelas Ad yang lakukan semua itu. Selepas ini, antara Ad dan Sumire, kita sudah tidak ada apa-apa lagi."
"Ad datang kepada Sumire sebab Ad dah tiada siapa-siapa lagi yang mahu percaya Ad. Tolonglah, Sumire, percaya pada Ad."
"Sudah, Ad. Ada baiknya Ad balik saja. Hari sudah lewat malam. Nanti ibu Nohara semakin marah pula. Sumire minta diri nak masuk ke dalam. Ad, pulanglah."
Sumire terus masuk ke dalam rumahnya, meninggalkan Ad sendirian dalam kegelapan.
"Siapa lagi mahu percaya Ad, Sumire?"
Ad pulang ke rumah dengan kehampaan apabila satu-satunya orang yang dia harap akan percaya dengannya tidak lagi mempedulikannya. Hari berganti pagi, Ad tidak lagi pergi ke sekolah hari itu. Dia menolong ibunya mengangkat barang-barang di kedai runcit tempat ibunya bekerja. Ibunya memberitahu kepada tuan kedai yang mulai hari ini, anaknya akan ikutnya bekerja.
Ad hanya mengikuti apa sahaja yang diarahkan tuan kedai. Selesai sahaja bekerja, mereka pun pulang ke rumah. Ad agak kelelahan kerana tugas-tugas yang diberikan diminta untuk mengangkat kotak-kotak yang berat dan dia masih belum terbiasa dengan semua itu. Sampai sahaja di rumah, dia terus naik ke atas, mandi dan tidur.