Bahagian IV
Selepas berakhirnya musim peperiksaan, saat dinanti-nantikan pelajar telah tiba. Festival Tahunan Sekolah Tinggi Harima telah menjelma kembali, membuatkan semua murid sekolah tersebut berkobar-kobar untuk menjayakannya setelah dua minggu berpenat lelah menghadapi peperiksaan. Festival selama tiga hari itu melibatkan seluruh pelajar, yang terlibat secara langsung atau tidak melalui kelab, persatuan dan kelas tingkatan masing-masing. Insan yang paling sibuk sekali ialah Kanade, ketua pelajar, yang diberikan mandat untuk menjayakan program tersebut. Dalam beberapa hari ini, masanya di sekolah dihabiskan pada meja khas ketua pelajar, menilai dan mempertimbangkan borang permohonan yang dihantar oleh para pelajar terlibat. Premis-premis perniagaan juga telah diatur mengikut kelas dan persatuan, berdasarkan jenis jualan atau perkhidmatan yang disediakan. Perebutan kawasan, terutamanya dataran sekolah antara kelab dan persatuan menjadikan suasana festival ini bertambah hangat. Namun, bagi penglibatan mengikut tingkatan masing-masing, mereka tidak perlu bimbang kerana mereka boleh menggunakan kelas sendiri.
Musuh nombor satu Kanade, Aya, mewakili kelab gimnastik telah memohon untuk mengadakan kafe haiwan. Mahu sahaja ditolaknya, tetapi kerana permintaan Aya itu dilihat sebagai munasabah, maka terpaksalah diluluskan oleh Kanade. Saaya, penghuni rumah Yami, juga musuh Kanade, menjadi wakil kelab memasak, telah memohon untuk mengadakan pertandingan memasak. – lulus. Yami, buah hati Kanade, yang mewakili persatuan bola sepak telah memohon untuk mengadakan gerai menyauk ikan emas, - comelnya... uhum... lulus. Sanosuke, kawan baik Yami, juga mewakili kelab sepak ingin mengadakan kafe hos, pelayan lelaki – bakul sampah. Sanosuke lagi mewakili kelab AAA ingin menganjurkan gerai jualan gambar dan perkakasan bertemakan idola mereka, Aya – koyak dan buang. Entah beberapa lama Kanade menghabiskan masa di mejanya itu meneliti dan memantau (sambil mengoyak beberapa permintaan Sanosuke), bunyi jam sekolah menunjukkan bangunan tersebut akan ditutup telah kedengaran. Kanade pun mengemaskan borang-borang permohonan tersebut lalu disusunnya cantik-cantik di ruang khas sebelum mengangkat kaki pulang ke rumah. Masih banyak lagi tugasan perlu disiapkan, justeru dia memasukkan beberapa kertas kerja ke dalam failnya untuk dibawa pulang. Tugasnya memang berat, tetapi dia sendiri telah memilih untuk memikul tanggungjawab itu.
"Terima kasih atas kerja kalian!" Kanade melambaikan tangan ke arah ahli-ahli persatuan pelajar sebelum meninggalkan bilik itu. Semua ahli di situ membalas ujaran Kanade dengan hormat, sebelum mereka juga beransur daripada bilik tersebut. Semasa lalu di koridor tingkat tiga bangunan sekolah, Kanade terlihat kelibat Yami, yang juga baru sahaja melangkah ke arah pagar sekolah untuk pulang, setelah tamat menjalani latihan bola sepak. Niat di hatinya, ingin mengejar Yami, tetapi apabila melihat Aya, Eri dan Saaya di samping Yami, Kanade sekadar berputus asa. Dia pernah cuba untuk mempertikaikan situasi Yami yang tinggal bersama Aya, tetapi ayah Yami, Profesor Rei telah memberikan kebenaran dan penjelasan kepada pihak sekolah. Dia berasa cemburu... Kesalahan teknikal, dia berasa bimbang jika sebarang 'kemalangan' boleh berlaku antara mereka – remaja lelaki dan perempuan yang sihat serta berdarah muda!
Kanade menyembunyikan dirinya di sebalik tiang bagi mengelakkan dirinya daripada dikesan oleh Yami, apabila Yami yang sedang berjalan pulang bersama Aya dan Eri, berpaling ke arahnya. Mungkin Yami dapat mengesani jelingan Kanade ke arahnya, yang penuh dengan perasaan cemburu. Setelah memastikan kelibat Yami hilang daripada pandangannya, barulah Kanade meneruskan perjalanannya untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan pulang, Kanade disapa oleh beberapa orang pelajar, menunjukkan rasa hormat mereka kepadanya sebagai ketua pelajar sekolah ini. Kanade sebenarnya tidak berminat untuk menyertai persatuan pelajar, tetapi dia ingin dihormati dan dikagumi Yami. Sebab itulah dia mula sibuk untuk menyertai persatuan pelajar semasa sekolah menengah. Malang sekali, dia bukan sahaja kehilangan masa untuk bersama Yami ketika dia bersedih, malah, hubungan mereka juga semakin menjauh. Niat di hatinya ingin mendengar pujian Yami semasa mereka bersua waktu pendaftaran pelajar, tetapi Yami ketika itu, menyapanya seperti orang asing yang baru bersua.
Entah betapa remuknya hati Kanade apabali mengenang perkara itu, tetapi Kanade faham, lelaki itu punya masalah yang memerlukan masa untuk merawat kelukaan dalam hatinya. Sebab itulah, Kanade sering memerhatikan Yami dari jauh dan berharap akan ada suatu ketika, mereka bermesra kembali. Dia tahu segala-galanya mengenai Yami. Kanade menjadi 'stalker' terbesar Yami saat Yami masih dalam tahun satu. Kanade tahu kesukaran Yami ketika menyertai kelab bola sepak sekolah itu. Dia juga mengetahui pencapaian cemerlang Yami, membuka banyak mata kepadanya. Kanade bertekad melindungi Yami daripada belakang lalu menawarkan diri dalam pilihan raya sekolah sebagai presiden perwakilan pelajar yang baharu. Setelah berjaya mengambil tempat seniornya pada tahun 3 pengajiannya di sini, ancaman terhadap Yami telah berjaya dihapuskan oleh Kanade dengan kuasa presidennya. Beberapa insiden melibatkan cemburu terhadap Yami dikekang oleh Kanade menggunakan sumber perisikannya dan bantuan sebuah kelab rahsia, T.A.T.E. Walaupun jasanya itu tidak diketahui oleh Yami, Kanade percaya bahawa apa yang dilakukannya ini sebagai penebus kesalahannya kerana mengabaikan lelaki itu. Baru dirasakan Kanade bahawa Yami sudah tidak lagi didekati sebarang masalah, tiba-tiba datang Amamiya Aya.
Kemasukan Aya ke sekolah ini sebagai pelajar pertukaran sangat mencurigakan Kanade. Selain tiada bukti bahawa pelajar sekolah ini ditukarkan dalam program tersebut melainkan hanya gadis itu daripada luar, nama sekolah yang terbabit juga tidak dinyatakan oleh pihak sekolah. Kanade cuba mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah, namun sebaliknya, Kanade telah dihalang oleh pengetua dan diberikan amaran supaya tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran atas. Lebih memburukkan situasi, kelab rahsia AAA telah diwujudkan untuk menyanjungi Amamiya Aya sebagai idola sekolah sangat memeningkan kepala Kanade. Di samping menjadikan Yami sebagai musuh, kelab ini juga membudayakan imej otaku yang dikatakan suatu tradisi yang memalukan oleh khalayak ramai. Walaupun Kanade tidak menolak budaya ini seratus peratus, tetapi pihak pengurusan sekolah telah menyekat pengaruh remaja ini lantaran untuk menjaga imej dan reputasi pusat pendidikan tersebut. Terutamanya, Sekolah Tinggi Harima merupakan antara sekolah elit dan berprestij di Jepun, serta banyak melahirkan nama-nama besar sebagai modal insan dalam dunia pekerjaan. Malah, terdapat mantan Perdana Menteri Jepun yang merupakan salah satu graduan kelahiran sekolah ini.
Kanade sering menganggap bahawa gadis-gadis yang merapati Yami biasanya mengejar reputasi lelaki itu sebagai kapten bola sepak dan pelajar terbaik tahunnya. Hanya seorang gadis sahaja yang diiktiraf Kanade, menghargai Yami dengan ikhlas iaitu Saaya. Kanade dan Saaya pernah bekerjasama menjaga Yami semasa lelaki itu dalam kesedihan. Kanade kagum akan Saaya yang tidak pernah mengeluh seperti dirinya, kerana Yami tidak mengendahkan kehadirannya angkara terlalu sedih. Setelah Kanade sibuk dengan tugasan dalam persatuan pelajar, Saaya memikul tanggungjawab sebagai pengisi hati Yami. Saaya memang mempunyai kuasa 'gadis' yang tinggi, baik dari segi pengurusan di rumah, tutur kata yang sopan serta penampilan lemah-lembutnya. Saaya merupakan gadis ideal yang dikagumnya, seperti wanita legenda 'Nadeshiko'. Kanade mengetahui bahawa Saaya tidak pernah mencemburui sesiapa yang mendekati Yami, malah sanggup mengajar Matsushima Eri, adik tiri Yami yang juga musuh cinta Kanade. Kanade pada mulanya terkejut apabila Saaya juga turut mendiami rumah Yami, tetapi Kanade boleh menarik nafas lega kerana Saaya seorang gadis dan teman yang dapat dipercayai.
Malam itu, Kanade yang baru sahaja mandi, menghabiskan masa berehat di katil empuknya. Kanade tidak terus tidur, sebaliknya termenung keseorangan walaupun penat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai presiden pelajar. Kadangkala dia rasa marah akan ibunya kerana melahirkannya setahun awal. Kalau mereka sebaya, pasti sekarang Yami akan banyak menghabiskan masa bersama Kanade, mengulang kaji dan membuat kumpulan belajar, sambil bersaing untuk kedudukan nombor satu. Amamiya Aya telah mengisi tempat itu, membuatkan Kanade rasa sedih. Dia masih teringat kata-kata ayah Yami, ketika dia mengadukan hal Aya tinggal bersama anak lelakinya itu. Jawapan lelaki itu masih terngiang-igang dalam benaknya;
"Kalau kamu mahu, aku benarkan kamu tinggal bersama anakku itu. Kalau kau mahu..." Suara garau ayah Yami, lelaki yang sudah hampir separuh usia itu, bergema daripada telefonnya. Kata-katanya tidak masuk dek akal.
"Tapi...." Kanade tidak mampu memberikan jawapan. Apakah ini ujian yang sedang diberikan oleh lelaki itu. Dia tidak memahami peribadi ayah Yami kerana dia jarang bertemunya, jika bersua pun adalah sekali dua ketika dia melawati rumahnya tatkala Yami dirundum kesedihan lalu.
"Pindah sahaja kalau kamu mahu, aku tidak kisah..." Suara ayah Yami itu bagaikan bisikan syaitan yang mahukannya ke lembah kegelapan.
"..." Tsukakushi Kanade sedang menimbangkan hal itu, dan dia dalam dilema! Kalau ada bunga, sudah pasti habis kelopak bunganya dicabut oleh Kanade, untuk mencari jawapan kepada persoalan mindanya sekarang.
"Ambillah sebanyak masa yang kamu mahu, tetapi sekarang, aku sedang sibuk. Telefon aku jika kamu sudah membuat keputusan. Jangan hubungi aku tentang Yami lagi!" Sebaik sahaja dialog itu ditamatkan, talian telefon itu diputuskan.
"..." Kanade tergamam, lantaran terpaksa menerima hakikat bahawa gadis-gadis yang tinggal di rumah Yami itu telah mendapat kepercayaan orang tua rakan sejak kecilnya itu dan dia tidak boleh mempertikaikannya lagi.
Kanade mengalihkan keresahan dalam minda dengan menyibukkan diri memerhatikan fail yang dibawanya pulang. Dia punya tanggungjawab lebih berat dan perlu dilangsaikan sebagai Presiden persatuan pelajar yang dipilih oleh murid-murid Sekolah Tinggi Harima. Setelah jam menunjukkan malam semakin lewat, Kanade menghentikan kerjanya lalu tidur bagi menyegarkan diri untuk hari esok.
Keesokan harinya, tugasannya disambung dengan penuh dedikasi, dan hampir 25 peratus tugasnya mengoyakkan cadangan dan permohonan Sanosuke yang baharu, dihantar kepadanya senyap-senyap kepada persatuan pelajar.