webnovel

Gaya Sihir

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Berdasarkan kalendar akademik Institut Ernst, setiap bulan, kelas hanya diadakan pada setiap hari untuk 28 hari pertama sahaja. Dua hari terakhir mereka tidak mempunyai kelas.

Kelas unsur tanah diajar daripada pukul 8.00 pagi sehingga pukul 10.00 pagi. Kelas unsur api bermula daripada pukul 10.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari. Kelas unsur air pula bermula pada pukul 2.00 petang sehingga pukul 4.00 petang. Kelas unsur angin pula bermula pukul 4.30 petang sehingga 6.30 petang. Kelas unsur kilat bermula pada pukul 7.00 petang sehingga pukul 9.00 malam dan kelas unsur cahaya pula bermula pada pukul 9.30 malam sehingga 11.30 malam.

Tetapi memandangkan majoriti pelajar memiliki satu unsur, mereka hanya mempunyai dua jam kelas dalam sehari. Linley merupakan ahli sihir dua unsur, bermakna setiap hari, dia mempunyai empat jam kelas. Tetapi disebabkan kehadiran ke kelas ialah secara sukarela, tiada siapa yang akan memaksa jika pelajar tidak mahu ke kelas.

Pusat pengajian sihir tanah dibahagi kepada enam kelas. Setiap kelas mempunyai bangunan tersendiri. Pelajar baru dan ahli sihir tahap pertama perlu menghadiri kelas gred satu, ahli sihir tahap kedua menghadiri kelas gred dua, ahli sihir tahap ketiga menghadiri kelas gred tiga… dan seterusnya, sehingga pelajar tahap keenam yang menghadiri kelas gred enam.

Ahli sihir tahap keenam boleh memilih untuk menamatkan pengajian pada bila-bila masa. Tetapi sudah tentu, jika mereka memilih untuk meneruskan pengajian, mereka boleh terus berada di institusi.

10 Februari. Di dalam kelas gred satu.

Kelas gred satu sihir tanah sangat besar hingga boleh memuatkan ratusan pelajar. 20 orang pelajar sudah tiba dan Linley memilih untuk duduk di bahagian hadapan. Pada pukul 8.00 pagi, terdapat lebih kurang 50 orang pelajar yang hadir.

'Aku menjangka hanya sebahagian pelajar yang hadir ialah pelajar baru. Agaknya sudah berapa lama mereka yang lain belajar di sini.' Linley tertanya-tanya sendiri.

Lagipun, untuk pelajar baru mencapai tahap kedua, mereka memerlukan latihan selama beberapa tahun.

"Salam sejahtera, semua." Seorang lelaki pertengahan umur berambut perang yang ramah dan baik hati berdiri di hadapan kelas. "Nama saya Wendi (Wen'di) dan saya ialah guru sihir tanah kamu. Hari ini, kita mempunyai kira-kira 20 orang pelajar baru. Jadi seperti biasa, kita akan meminta pelajar baru memperkenalkan diri mereka supaya kita semua saling berkenalan."

Dengan segera, seorang demi seorang pelajar baru memperkenalkan diri mereka.

"Nama saya Gerhans (Ge'er'han). Saya datang dari dataran rumput besar jauh ke timur."

Apabila mendengar Gerhan memperkenalkan diri, Linley berasa terkejut. Para pelajar di sini sememangnya datang dari seluruh benua Yulan. Pelajar dari dataran rumput besar di bahagian paling timur benua Yulan.'

Berdasarkan peta besar benua Yulan…

Kesatuan Suci dan Kesatuan Gelap terletak di bahagian barat Banjaran Gunung Makhluk Ajaib benua Yulan. Di bahagian timur banjaran pula terletak empat empayar besar. Lebih jauh ke timur semua empayar, terdapat sebuah daratan rumput luas yang menempatkan tiga buah kerajaan. Jarak antara daratan rumput itu dan Institut Ernst amat jauh. Sekali perjalanan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun!

"Nama saya Linley. Saya dari Kesatuan Suci." Linley berjalan ke hadapan kelas dan memperkenalkan dirinya serba sedikit.

Setelah sesi perkenalan selesai, Wendi, ahli sihir unsur tanah mula bercakap gah tentang kuasa gaya sihir unsur tanah. Apabila masuk jam kedua kelas barulah dia mula mengajar gaya sihir unsur tanah.

Linley dan pelajar sekelas lain mendengar dengan senyap. Di sebelah Linley, Doehring Cowart juga memunculkan diri.

"Guru kamu ini mempunyai asas yang sangat kukuh. Walaupun dia tidak cukup kuat, tetapi untuk mengajar ahli sihir tahap pertama, ahli sihir tahap kelapan atau kesembilan tidak semestinya boleh menjadi guru yang baik." Doehring Cowart mengangguk sambil mengeluh memuji.

Linley sudah tahu banyak perkara tentang gaya sihir unsur tanah, amat mudah untuk dia memahami kuliah tersebut.

'Tetapi Atuk Doehring, walaupun asasnya kukuh, dia masih tak mampu menyampaikannya secara ringkas seperti Atuk. Dia seakan-akan menjadikannya lebih rumit.' Linley berkata.

Doehring Cowart ketawa dengan kuat sekali. Sambil mengusap janggut putihnya, beliau berkata, 'Itu sudah tentu. Pemahaman Ahli sihir Agung tahap Dewa tentang sihir lebih tinggi berbanding ahli sihir tahap kelapan atau kesembilan. Tahap Dewa ialah sebuah alam yang jauh berbeza. Sudah tentu, Atuk boleh mengajar sihir dengan lebih mendalam dan menegaskan tepat kepada sifat dasar sihir.'

Selepas mendengar ajaran di dalam kelas, Linley membuat keputusan.

'Bermula pada hari ini dan seterusnya, saya hanya akan menghadiri kelas sihir tanah sebulan sekali sahaja.' Linley tidak mahu membuang masanya.

Linley telah merancang kesemuanya. Setiap hari, dia akan memperuntukkan masa di luar untuk berlatih sihir. Dan tempat latihannya... Linley sudah pun memilih tempat. Sebuah gunung yang terletak di betul-betul belakang Institut Ernst. Disebabkan lokasi yang berhampiran dengan banjaran gunung, sudah tentu terdapat banyak gunung di sekitar institut.

Pukul 4.00 petang.

Linley sedang khusyuk mendengar kuliah di dalam kelas gaya sihir angin.

"Salam sejahtera, semua," seorang pemuda tampan, berambut kuning menyapa sambil tersenyum. "Saya pelajar gred enam, Trey. Mulai hari ini dan seterusnya, saya bertanggungjawab mengajar kamu gaya sihir unsur angin. Saya tinggal di bilik 0298, jika kamu mempunyai sebarang pertanyaan selepas waktu kelas, bolehlah cari saya di sana."

Pelajar gred enam ialah ahli sihir tahap keenam yang boleh memohon menamatkan pengajian pada bila-bila masa. Oleh sebab itu, mereka berkelayakan untuk mengajar pelajar gred satu dan dua.

"Sebelum itu, perkenalkan diri masing-masing dahulu." Trey tersenyum.

Ini merupakan perkara asas setiap kelas pertama. Semua pelajar perlu memperkenalkan diri masing-masing.

'Hei, Linley, kamu perasan, tidak? Ada ramai gadis comel dalam kalangan pelajar gaya sihir angin. Gadis genit berambut perang muda itu tersenyum ke arah kamu.' Doehring Cowart, di sebelah Linley menunjuk ke arah gadis itu sambil bercakap. 'Berdasarkan apa yang dikatakan oleh gadis genit berambut perang muda itu tadi, namanya Delia (Di'li'ya). Comel sungguh namanya. Berdasarkan pengalaman saya selama 1300 tahun, apabila dia dewasa, dia pasti menjadi seorang wanita yang cantik. Linley, senyum ke arahnya dan mulakan asas perhubungan yang baik supaya kamu boleh melanjutkan hubungan dengannya di kemudian hari.'

Linley tidak mengendahkan Doehring Cowart.

Linley menumpukan perhatian kepada guru gaya sihir angin, Trey dan mendengar kuliah yang disampaikan Trey dengan teliti.

"Ahli sihir unsur angin ialah ahli sihir terpantas dan paling lincah di dunia. Selain daripada itu, kita satu-satunya ahli sihir yang boleh terbang sebelum mencapai tahap Dewa!" Kata-kata Trey dan sikapnya menunjukkan kasihnya terhadap sihir angin. "Pernahkah kamu bermimpi menggunakan kuasa sendiri kamu untuk terbang di langit? Terapung di udara dan melihat gunung-ganang di bawah kamu? Betapa indahnya perasaan itu dan berapa ramai orang yang ingin mengimpikannya!"

Mata para pelajar yang sedang duduk mendengar syarahannya mula bersinar.

Terbang?

Siapa yang tidak mahu?

"Benar, seorang ahli sihir tahap Dewa boleh terbang. Akan tetapi, Insitut Ernst mungkin hanya mampu menghasilkan seorang, dalam satu abad! Walaupun begitu, bagi ahli sihir unsur angin, sebaik sahaja kita mencapai tahap kelima, kita boleh melaksanakan 'Teknik Terapung'." Trey berkata dengan penuh yakin. "Selain itu, ahli sihir unsur angin sangat pantas. Apabila mereka menggunakan teknik 'supersonik', mereka dapat meningkatkan kepantasan mereka secara dramatik."

Ramai anak muda di dalam dewan itu memandang dengan mata terbeliak.

"Tetapi sudah tentu, itu cuma teknik biasa. Teknik terlarang yang terkenal, 'Pembinasaan Ribut Kencang' ialah teknik pemusnahan yang paling berkuasa berbanding semua yang lain. Terdapat juga teknik terlarang yang terkenal, 'Pinggir Dimensi' yang merupakan teknik serangan satu lawan satu yang kuat." Suara Trey dipenuhi dengan penghormatan.

Mata anak-anak belia di dalam kelas itu terbeliak.

'Hurmm, mana mungkin teknik Pembinasaan Ribut Kencang dianggap sebagai teknik pemusnahan paling berkuasa? Bagaimana dengan teknik saya, 'Langit Runtuh, Bumi Hancur' dan 'Hempasan Meteor Langit?' Doehring Cowart tidak senang mendengar kata-kata Trey.

'Atuk Doehring, apakah teknik 'Pinggir Dimensi'?' Linley bertanya.

Atuk Doehring Cowart tidak pernah menyebut tentang mantera 'Pinggir Dimensi' jadi Linley percaya ia sememangnya teknik serangan yang paling berkuasa bagi pertempuran satu lawan satu.

'Mantera Pinggir Dimensi? Ia boleh membelah dinding dimensi dan memecahkan setiap jisim. Sudah tentu ia berkuasa. Tetapi walaupun ia sangat kuat dalam pertempuran satu lawan satu, mantera itu hanya menghasilkan satu serangan. Bagaimana ia boleh dibanding dengan gaya sihir unsur tanah 'Pelindung Dunia', yang boleh bertempur tanpa henti dengan musuh?' Doehring Cowart mula membantah dan berdolak-dalik.

Tetapi Linley boleh mengagak.

Mantera Pinggir Dimensi ini jelas mempunyai kekuatan yang menakutkan. Dan kemungkinan besar, ia tidak semudah yang Atuk Doehring katakan. Teknik satu serangan? Teknik satu serangan pasti sudah cukup jika pihak musuh tidak dapat mengelak.

'Jika saya boleh menjadi Pahlawan Berdarah Naga dan menggunakan gaya sihir unsur angin, pasti…' hati Linley mula berbolak-balik.

Kemudian, dia hanya meneruskan tumpuan kepada kelasnya. Linley menjadi semakin berminat dengan gaya sihir unsur angin. Keempat-empat unsur tanah, api, air dan angin mengandungi misteri mendalam tersendiri seperti dalamnya lautan. Lautan ilmu sihir tiada bersempadan. Dan kini, Linley sudah mula untuk menyelam ke dalamnya.

Chương tiếp theo