webnovel

Tempoh Pembelajaran (Bahagian 1)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Musim bunga berlalu dan musim luruh menyusul. Dalam sekelip mata, sudah setengah tahun Linley berada di Institut Ernst.

Sewaktu mendengar kuliah di kelas, Linley seperti seorang pemuda kehausan di padang pasir. Dengan penuh keghairahan, dia meneguk asas-asas penting sihir. Pengetahuan dan penguasaan Linley tentang ilmu gaya sihir angin semakin meningkat. Doehring Cowart juga turut memberi beberapa petua kepadanya.

Cahaya matahari hari ini sangat cerah dan cantik.

Keempat-empat rakan sebilik asrama 1987 baru sahaja selesai makan tengah hari. Mereka mengenakan set jubah biru langit, uniform rasmi Institut Ernst. Disebabkan latihan fizikal yang berterusan, penampilan Linley juga semakin memukau. Ditambah pula dengan jubah yang tersarung di tubuhnya yang tegap. Oleh sebab itu, beberapa orang gadis dari kelas gaya sihir angin suka berbual dengan Linley.

Pada masa ini, empat sekawan itu sedang berjalan sambil berbual kosong.

"Oh ya, Linley. Hari ini kita semua akan menghadiri perkumpulan pelajar baru. Kamu mahu pergi?" George ketawa kecil.

George sangat suka mengambil bahagian dalam kesatuan dan perkumpulan pelajar. Dia juga sangat hebat dalam mencungkil berita terkini dan membuat kawan-kawan baru. Walaupun baru setengah tahun dia berada di institut, dalam kalangan pelajar gred pertama di Institut Ernst, George mempunyai pengaruh yang besar.

"Tidak." Jawapan Linley ringkas dan terus terang.

"Haha, saya tahu Linley pasti tak akan pergi." Reynolds ketawa kuat.

Yale memaut bahu Linley lalu mengeluh, "Linley, sahabatku, kamu tak perlu belajar dengan tekun. Berdasarkan bakat kamu, kamu hanya perlu menggunakan sedikit usaha, dan dalam masa 30 tahun, dengan mudah kamu akan menjadi ahli sihir tahap keenam. Kenapa kamu berusaha bersungguh-sungguh? Kamu perlu belajar untuk santai dan menikmati kehidupan. Ramai gadis-gadis cantik yang akan datang ke perkumpulan itu, tahu?"

"Benar. Gadis yang sangat cantik." Reynolds menjegilkan matanya dan mengangguk.

Linley hanya mampu mengeluh.

Di bawah bimbingan Yale, Reynolds, anak muda yang tidak tahu apa-apa itu telah mula memilih jalan yang salah.

"Yale, lelaki miang. Berhenti menarik saya. Baiklah, masa untuk saya berlatih. Esok ialah hari terakhir dalam bulan ini, saya akan keluar bersama kamu esok." Linley ketawa. Dua hari terakhir dalam setiap bulan, Linley akan berehat.

Sudah masak dengan sikap Linley, Yale, Reynolds dan George mengangguk.

Linley terus berlalu pergi, senyap-senyap tetapi pantas menuju ke pergunungan di belakang institut. Terdapat beribu-ribu orang pelajar yang belajar di Institut Ernst. Selain itu, terdapat ramai ahli sihir membuat kajian tentang mantera baru di sini. Ditambah pula dengan pelayan-pelayan yang ramai. Kesimpulannya, Institut Ernst kawasan yang padat penduduk.

Dalam perjalanan menuju ke gunung, kelihatan ramai pelajar berpakaian uniform biru.

"Aummm..." Kedengaran ngauman yang perlahan.

Linley berpaling untuk melihat dan matanya bersinar. "Makhluk ajaib!"

Surainya mengurai, bulunya yang licin berwarna biru kehijauan, tangan serta kakinya berotot tebal dan tegap. Sepasang matanya kelihatan liar, ganas dan garang. Kukunya yang tajam dan bersinar itu membuatkan menggetarkan hati sesiapa yang memandang.

Makhluk ajaib, 'Serigala Angin'.

Makhluk ajaib menggerunkan itu bergerak sepantas deruan angin.

Perkara paling menakutkan yang boleh berlaku di Banjaran Gunung Makhluk Ajaib ialah bertembung dengan sekawan Serigala Angin. Jika kamu bertembung dengan kawanan itu, mustahil untuk kamu melarikan diri daripada kepantasan pergerakan mereka.

Seorang lelaki tampan berambut hitam duduk di atas Serigala Angin itu. Pemuda itu memandang kawasan sekelilingnya dengan gembira seakan-akan bangga kerana mempunyai makhluk ajaib yang hebat seperti itu.

'Ia pasti makhluk ajaib tahap kelima ataupun keenam,' Linley memutuskan.

Agak ramai yang memiliki makhluk ajaib di Institut Ernst. Selain daripada ahli sihir yang dijemput untuk datang ke institut, beberapa pelajar gred lima dan enam mampu membeli skrol formasi pengikat jiwa dan berjaya menjinakkan beberapa makhluk ajaib untuk berkhidmat sebagai haiwan tunggangan mereka.

'Ia hanyalah makhluk ajaib. Kenapa perlu meninggi diri?' Linley memandang pemuda berbangga diri itu dengan pandangan kebencian.

Selepas keluar dari pekarangan institut, Linley memasuki kawasan pergunungan belakang.

Gunung yang terletak di belakang Institut Ernst sangat luas. Suatu masa dahulu, makhluk ajaib tinggal di gunung itu. Akan tetapi, seiring dengan waktu berjalan, semua makhluk ajaib di situ telah dihapuskan oleh ahli sihir institut tersebut. Kini, yang tinggal hanya haiwan biasa yang menghuni kawasan gunung ini.

Sebaik sahaja memasuki kawasan pergunungan, kepantasan Linley meningkat secara dramatik.

Seperti biasa, Linley menggunakan mantera gaya sihir angin 'Supersonik', menjadikan badannya ringan seperti daun. Seperti roh, dia menyelusup masuk ke pergunungan. Setelah berlari beberapa kilometer, Linley akhirnya tiba ke destinasinya, sebuah kawasan lapang bersebelahan dengan air yang mengalir.

"Decit decit." Bebe mendecit ke arah Linley.

Linley ketawa lalu berkata, "Kamu mahu keluar dan bermain lagi? Baiklah, tapi jangan pergi jauh." Linley sangat mempercayai Bebe. Setahun sudah berlalu sejak dia bertemu dengan si kecil itu. Walaupun Bebe tidak juga membesar dan tubuhnya masih 20 sentimeter panjang, terdapat perubahan dramatik terhadap kepantasannya.

'Ahli sihir? Pahlawan pangkat kelapan mungkin berupaya menangkap bayi Tikus Bebayang tetapi hanya ahli sihir tahap Dewa yang mampu menangkapnya.' Linley tahu kekuatan tubuh seorang ahli sihir.

Bebe, Tikus Bebayang kecil bergegas ke hutan gunung.

"Atuk Doehring, keluar dan ajarlah saya." Linley segera berkata dalam fikirannya.

Kabus berterbangan keluar dan bertukar menjadi Doehring Cowart. Doehring Cowart berkedip dan memandang sekilas ke arah Linley. "Kenapa, Linley? Selalunya sebelum ini kamu tak hiraukan orang tua ini dan terus melakukan tafakur sawai, bukan? Kenapa kamu memanggil Atuk keluar? Atuk tengah sedap tidur, hum. Kamu telah merosakkan mimpi indah Atuk."

Linley mencebikkan bibirnya.

Walaupun Atuk Doehring Cowart merupakan Ahli sihir Agung tahap Dewa, tetapi selepas mengenalinya, Linley sedar walaupun luaran beliau kelihatan baik dan ramah, beliau sebenarnya seorang yang nakal dan suka bergurau.

"Atuk Doehring, saya rasa seperti sudah mencapai tahap kedua ahli sihir. Saya mahu Atuk lihat sendiri." Linley akhirnya berkata.

"Ahli sihir tahap kedua?"

Tertarik, Doehirng Cowart mula membuat pengiraan. "Hurmm benar, setahun sudah berlalu sejak kamu mula belajar dengan Atuk. Baiklah. Pertama sekali, lakukan mantera pengenalan, 'Batu Berkecai'. Buat yang terbaik, faham?"

'Batu Berkecai' boleh dianggap mantera yang berskala.

Terdapat mantera 'Batu Berkecai' tahap pertama, tetapi terdapat juga mantera tahap Dewa untuk 'Batu Berkecai', cuma ia dikenali sebagai 'Hempasan Meteor Langit'. Lazimnya, apabila kekuatan ahli sihir unsur tanah meningkat, kuasanya semasa menggunakan mantera 'Batu Berkecai' juga turut meningkat."

"Baik, Atuk Doehring."

Linley dengan segera memulakan bacaan mantera dengan suara perlahan. Linley sudah lama menghafal mantera itu sehingga dia boleh membacanya tanpa perlu berfikir. Apabila mantera tersebut dibaca secara berterusan, Linley dapat merasakan rohnya masuk ke dalam mod khas.

Daya sihir unsur tanahnya di dadanya mula berkocak dan intipati unsur semula jadi berkumpul.

Tiba-tiba, tanah berhampirannya mula merekah dan berkecai.

Lima biji batu sebesar kepala terbang dan mengelilingi kepala Linley. Lima batu ini diliputi bintik-bintik cahaya berwarna tanah. Apabila mata Linley mula bersinar, dia melepaskan satu tempikan. Lima biji batu itu serta-merta terlontar jauh, membawa deruan angin bersamanya.

"BOOM!"

Lima biji batu yang dilitupi cahaya tanah itu merempuh dahan sebuah pokok besar. Pokok itu bergoyang tetapi dahannya tidak berkecai. Akhirnya, lima biji batu itu jatuh ke atas tanah.

"Ya, boleh tahan." Mata Doehring Cowart bercahaya. "Kemahiran mengawal lima biji batu secara serentak dan melontarnya dengan kelajuan yang pantas seperti yang kamu tunjukkan sebentar tadi ialah kuasa ahli sihir tahap kedua." Doehring Cowart amat berpuas hati dengan pencapaian Linley.

Linley tidak dapat menahan senyuman yang terbit di bibirnya.

Dia kini sudah selangkah lebih hampir untuk mencapai sasarannya.

Linley tidak akan sesekali lupa pesanan bapanya sebelum dia meninggalkan pekan Wushan. "Jika kamu tak dapat mengembalikan barang pusaka keluarga kita, biarpun Ayah sudah mati sekalipun, Ayah tak akan memaafkan kamu!" Bagaikan sembilu, kata-kata itu menusuk jantung Linley. Sejak itu, ia sering terngiang-ngiang di telinganya.

Doehring Cowart ketawa kegembiraan. "Tetapi Linley, kamu mesti sedar ahli sihir tahap kedua bukanlah suatu pencapaian yang besar. Berdasarkan sistem ahli sihir, ahli sihir tahap pertama dan kedua dianggap sebagai 'ahli sihir peringkat permulaan'. Ahli sihir tahap ketiga dan keempat dikira sebagai 'ahli sihir peringkat pertengahan' dan ahli sihir tahap kelima dan keenam dikategorikan sebagai 'ahli sihir peringkat tinggi'. Ahli sihir tahap ketujuh dikira sebagai 'ahli sihir senior' dan ahli sihir tahap kelapan dianggap 'ahli sihir pakar' manakala ahli sihir tahap kesembilan digelar 'penghulu ahli sihir'. Tahap ketujuh hingga kesembilan ialah tahap paling tinggi. Perjalanan kamu masih panjang lagi."

"Saya tahu." Linley mengangguk.

"Bagus. Berlatih bersungguh-sungguh." Doehring Cowart kembali semula ke dalam Cincin Naga Pusar.

Linley menenangkan dirinya, menahan kegembiraan menjadi ahli sihir tahap kedua. Sekali lagi dia duduk tenang dan masuk ke dalam tafakur sawai. Sang perkasa menjadi kuat selangkah demi selangkah setelah meraih pelbagai pencapaian.

Kira-kira tiga kilometer dari Linley.

Guru gaya sihir unsur angin Linley, ahli sihir tahap keenam, Trey berkerut. "Hum, mantera unsur tanah, 'Batu Berkecai'? Berdasarkan kekuatannya, dia berada di tahap kedua. Seorang ahli sihir peringkat permulaan berlatih di kawasan pergunungan? Siapakah dia?"

Trey sedang menggunakan mantera 'Penjejak Angin' apabila dia mengesan sihir unsur tanah yang dihasilkan oleh Linley sebentar tadi.

Berdasarkan getaran sihir tersebut, Trey berupaya mengesan jenis sihir yang dihasilkan.

Trey berjalan ke arah tersebut dengan penuh tanda tanya. Disebabkan kehandalannya sebagai ahli sihir tahap keenam, mantera 'Supersonik' yang dilaksanakan Trey jauh lebih hebat berbanding Linley. Bagaikan kabus atau awan lalu, Trey dengan mudah menyelusup melalui gunung.

Dalam sekelip mata, Trey tiba di kawasan yang berjarak 200 meter dari Linley.

Trey berdiri di sebelah pokok yang besar dan memerhatikan Linley dari jauh.

"Dia?"

Trey cam setiap anak muridnya. "Budak yang dikenali sebagai Linley ini tak pernah bercakap ketika di dalam kelas. Malah sewaktu menjalankan eksperimen mantera, orang lain akan mencuba tetapi dia hanya berdiri dan memerhatikan dari jauh. Dia tak pernah menunjukkan kekuatannya. Kelihatan… budak yang bernama Linley ini seorang ahli sihir tahap kedua. Seingat aku, dia budak baru. Tidak sangka dia begitu berbakat."

Linley sudah tahu bagaimana untuk membaca mantera, jadi sudah tentu apabila guru mereka mengarahkan pelajar lain melakukannya, dia hanya akan berdiri dan memerhatikan sahaja.

Oleh sebab dia tidak pernah menyertai aktiviti berkumpulan, sikap Linley yang suka berahsia itu diketahui oleh semua orang.

"Hehe, nampaknya, ada pelajar yang genius dalam kelas aku. Hum. Nampaknya tahun ini, aku akan menerima ganjaran apabila pertandingan pelajar gred satu bermula." Senyum memekar di wajah Trey. Oleh sebab Linley berada di dalam tafakur sawai, dia tidak dapat mengesan apa-apa dengan jarak lebih 100 meter darinya.

Chương tiếp theo