webnovel

Sangat Dalam

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng yang memakai kot panjang berwarna kelabu sedang berdiri di bawah lampu jalan yang samar-samar. Cahaya lampu itu memantulkan bayang-bayang tubuhnya yang tinggi. Sebaik melihat Su Qianci berjalan bersama Lu Yihan, mata dingin Li Sicheng seolah hampir membeku seperti dua buah kolam pada musim sejuk.

Lu Yihan terus teringatkan pukulan tanpa sebab yang diterimanya sebaik melihat Li Sicheng. Walaupun dia berasa marah, Li Sicheng masih suami Su Qianci jadi dia terpaksa bersabar. Dia juga sebenarnya ingin naik ke atas, mendapatkan sesuatu untuk diminum dan berkenalan dengan ayah Qianqian. Tetapi apabila melihat raut tidak mesra Li Sicheng, dia tahu ia bukan masa yang sesuai lalu berkata, "Qianqian, saya pergi dulu."

"Baiklah. Terima kasih untuk hari ini, Yihan."

"Sama-sama. Selamat tinggal." Kemudian Lu Yihan berjalan ke kereta Renault merahnya sambil memutar-mutar kunci pada jarinya.

Li Sicheng masih tidak bersuara. Perlahan-lahan dia mengeluarkan sebatang rokok dan menyalakannya sebelum menghembus asapnya ke udara. Seolah-olah tidak melihat lelaki itu, Su Qianci mengeluarkan kad kunci yang dimilikinya, mengimbasnya dan terus masuk ke dalam bangunan itu. Li Sicheng mengekorinya tetapi Su Qianci terus berjalan pantas seakan melarikan diri dari sesuatu. Dia terus masuk ke dalam lif dan menekan butang tutup. Tiba-tiba, satu tangan menyekat pintu lif itu dan Li Sicheng muncul. Dia masuk ke dalam lif itu sambil merenung Su Qianci dengan matanya yang dingin dan tajam.

Su Qianci menekan nombor 16 tanpa memandang Li Sicheng, seolah-olah lelaki itu tidak wujud. Apabila Li Sicheng merapatinya, dia segera berundur dalam ketakutan lalu melanggar dinding lif itu. Li Sicheng meletakkan sebelah tangannya pada dinding lif dan merapatkan wajahnya ke arah Su Qianci. Rokok yang masih berada di celah jari-jemarinya mengeluarkan asap dan membuatkan baunya semerbak di dalam lif itu. Li Sicheng mengecilkan matanya dan Su Qianci dapat menghidu bahaya.

"Kamu sedang bersembunyi daripada saya?" Li Sicheng merenungnya dan bertanya dengan suara yang dalam.

Nafas Su Qianci menjadi laju secara tiba-tiba dan dia memalingkan mukanya tanpa bersuara.

Ting!

Lif itu tiba di tingkat 16. Su Qianci mahu berjalan keluar, tetapi lengannya tiba-tiba direntap. Li Sicheng agak berkasar dan membuatkan lengannya terasa sakit.

"Lepaskan!" Su Qianci hampir menangis. Dia sendiri terkejut mendengar suaranya. Dia memandang ke belakang dan melihat mata lelaki itu. Su Qianci merasakan seperti hampir lemas dalam mata itu kerana ia sangat, sangat dalam… Su Qianci bergelut dan berjaya melepaskan diri lalu segera berlari ke pintu rumah Song Yifan. Dia cepat-cepat mencari kunci di dalam beg tangannya, namun tidak menjumpainya. Jantungnya berdegup semakin kencang ketika dia dapat merasakan Li Sicheng berada di belakangnya. Walau bagaimanapun, kunci itu masih gagal ditemui…

Asap rokok dihembus ke telinga Su Qianci bersama bau tembakau yang kuat. Hatinya terasa bergetar dan entah kenapa, dia merasakan dirinya tidak lagi dapat melawan perasaannya. Matanya menjadi kabur. Su Qianci mengetap giginya dan mencurahkan kandungan beg tangannya ke lantai. Telefon bimbit, kad kunci, dompet dan akhirnya, kunci rumah Song Yifan jatuh ke lantai dengan bunyi berlentang-lentung.

"Dah jumpa," kata Su Qianci sambil tersenyum, tetapi air mata yang ditahannya akhirnya jatuh tanpa henti…

Chương tiếp theo