webnovel

Beberapa bulan yang lalu...

"Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Derof prof?"

"Derof merupakan satu sistem rahsia yang menjadi ikutan sekumpulan puak yang tinggal di benua ini pada satu ketika dahulu."

"Adakah mereka daripada kaum Sara-sara?" tanya Maria. Wajahnya menampakkan kesungguhan.

"Tidak. Mereka bukan dari kaum Sara-sara. Mereka merupakan puak Gogota."

"Gogota. Hmm… Saya tak pernah mendengar mengenai kewujudan puak itu."

"Ya. Puak Gogota. Tidak banyak yang diketahui mengenai puak ini. Mereka merupakan kaum minoriti yang pernah tinggal di sini dahulu. Tetapi, entah. Buat masa ini, tiada sesiapa yang dapat mengesan di mana mereka berada sekarang. Ada ura-ura mengatakan yang keturunan puak ini kebanyakkannya berada di Pasadianka dan tinggal di kawasan-kawasan kampung yang terpencil. Apa yang menarik adalah mereka sendiri tidak tahu yang mereka berketurunan Gogota" terang Profesor Alex kepada Maria.

"Agak pelik. Mungkin mereka bukanlah keturunan puak Gogota yang asli. Barangkali, mereka telah berkhawin dengan penduduk tempatan dan keturunan Gogota yang ada di sana adalah keturunan Gogota kacukan." Marina menyatakan pendapatnya sendiri.

"Saya setuju dengan andaian kamu Maria. Ada kemungkinan yang mereka bukan lagi keturunan puak Gogota yang asli." Profesor Alex menyokong pandangan Maria. "Berbalik kepada Derof, pengaruhnya dikatakan mula berkurangan pada kurun ke dua belas. Akan tetapi, sebahagian daripada mereka telah menurunkan ilmu ini secara tidak formal terutamanya di kalangan keluarga dan di kalangan puak Gogota itu sendiri. Antara punca yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah kerana perpecahan di kalangan puak Gogota itu sendiri. Apa yang penting untuk kita ketahui adalah asas ajaran Derof. Ianya penuh dengan kepercayaan-kepercayaan karut dan juga sihir."

"Jadi apa kena mengena mereka dengan Kumpulan Pemburu Emas?"

"Kumpulan Pemburu Emas sebenarnya merupakan sebuah kumpulan pedagang. Mereka datang dari sebuah negara bernama Kasturi."

"Negara Kasturi… Jika tak silap. Ia terletak di benua Indra bukan?"

"Ya Maria. Kasturi terletak di benua Indra.

Kumpulan Pemburu Emas diketuai oleh seorang putera raja Kasturi yang bernama Harek. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Harek terpaksa meninggalkan Kasturi setelah gagal mempertahankan negara itu dari dijajah. Mereka sempat membawa beberapa barang untuk didagangkan sebelum mereka melarikan diri dan sejak itu, mereka mula berdagang dari satu negara ke satu negara yang lain dengan menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Pemburu Emas. Akhirnya, mereka sampai ke satu kawasan yang menurut firasat mereka amat aman dan baik untuk dibina sebuah pusat pemerintah. Kawasan itu amat maju sekali dan Harek bercadang untuk menguasai kawasan itu. Kawasan yang dimaksudkan ialah Zuria."