webnovel

Bab 13 : Serangan bermula 2020 & 1524

Direkodkan seramai 38 ribu kanak-kanak hilang setiap tahun di seluruh dunia. Jumlah itu dikhabarkan hanya 80 peratus tepat memandangkan lebih ramai kanak-kanak gelandangan yang menjadi mangsa culik tanpa membuat laporan kepada pihak berkuasa. Kes-kes kehilangan ini gagal diselesaikan kerana kekurangan petunjuk. Mangsa yang hilang selalunya adalah kanak-kanak yang sering merayau serta melakukan aktiviti sendirian. Sehingga tahun 2019, hanya 20 peratus sahaja kes yang berjaya diselesaikan sama ada kanak-kanak itu ditemui hidup-hidup atau pun mati. Selebihnya, tiada klu yang mampu merungkai misteri tersebut.

Inspektor Syahid yang mengendalikan kes kehilangan kanak-kanak di Malaysia masih tetap tidak berputus asa. Dia membelek segala dokumen dan bukti-bukti yang menjurus ke arah penemuan seorang kanak-kanak yang terkorban setelah hilang selama tiga minggu. Ditelitinya beberapa keping foto mayat seorang kanak-kanak yang lebam dan kehitam-hitaman. Terdapat beberapa serpihan material yang tidak diketahui asalnya seakan membungkus kanak-kanak malang tersebut. Ia bagaikan kokun yang menyelimuti seekor rama-rama tetapi dalam skala yang lebih besar.

Kopi di mejanya sudah lama sejuk. Namun dek ketekunan Inspektor Syahid, dia langsung tidak meneguknya walau sekali. Sesekali dia menarik nafas dalam-dalam. Dia memikirkan modus operandi setiap kes yang dikajinya. Semua kanak-kanak yang hilang berasal dari keluarga yang susah atau miskin. Mempunyai kehidupan yang sibuk dan tiada masa untuk mengawal anak-anak. Setiap kes yang dilaporkan pasti ada suara-suara yang mengaitkannya dengan sejenis makhluk mistik dari timur tengah. Manusia yang bertubuh gelap dan tinggi serta mempunyaj wajah serta bentuk muka seperti seekor serigala. Lantas Inspektor Syahid teringat akan sebuah buku yang pernah dibacanya dahulu. Dengan pantas dia menggeledah rak bukunya mencari naskah yang sudah 10 tahun ditinggalkan.

Perlahan-lahan buku itu dikeluarkan dari rak yang sedikit berhabuk. Samar-samar kelihatan judul yang tertera di kulit buku berbunyi ' Perjuangan Pasti Bermula ' yang ditulis oleh seorang penulis misteri bernama Aduka. Naskah yang kuno itu seakan telah ditulis beratus tahun lamanya namun kondisinya jelas masih utuh. Barangkali ada sejenis kuasa yang melindunginya. Dengan berhati-hati Inspektor Syahid membuka halaman demi halaman. Kelihatan wajahnya berkerut dan bimbang. Sejenak kemudian dia mengangkat wajahnya dengan bola mata yang agak besar. Dia semakin yakin insan yang menulis buku itu seorang pengembara masa kerana setiap perincian peristiwa bermula 20 tahun yang lalu adalah tepat dan benar-benar berlaku. Yang membuatkan dia semakin takut adalah penulisan di bab yang ke enam belas pabila satu perang besar berlaku sedikit masa lagi.

**********************

Bala tentera Kerajaan Modèra sudah mula digerakkan. Beribu-ribu ekor gajah bersaiz gergasi dengan gading yang bercabang tiga berarak garang mengetuai armada. Disusuli berjuta umat manusia yang lengkap berperisai besi juga bersenjatakan bilah-bilah yang tajam dan berkilau. Suasana itu amat mengerikan sehingga gegaran yang dirasa bagaikan gempa.

Di belakang para tentara yang jumlahnya berjuta itu, kelihatan para pahlawan yang bersiapsiaga memperlihatkan jurus kuasa mereka bagi melindungi pembesar serta maharaja mereka. Keadaan ini menggambarkan betapa epiknya peperangan ini sehinggakan seluruh armada tentera kerajaan Modèra bangkit menuju Selatan Malaya. Namun, beratus kilometer di hadapan sudahpun menanti mereka armada pertahanan dari Kerajaan Malaya yang tidak kurang jumlahnya. Kelihatan para ketua armada melaungkan semangat dengan wajah yang bengis. Berdenting bunyian senjata yang berlaga sesama mereka bagi membangkitkan nafsu berdarah.

Apabila dikenang kembali punca kejadian yang mencetuskan peperangan ini, sudah pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah sudah tiada jalan perdamaian? Bagi dua kuasa besar asia tenggara itu sudah pasti masing-masing dengan ego membantah usaha damai yang cuba diyakinkan beberapa wakil penasihat. Serangan ke atas Kota Sulaiman adalah bukti bahawa kedamaian sudah terhapus. Pengkhianatan Tuah bersaudara sehingga jatuhnya kota itu tidak mampu dimaafkan lagi. Walaupun batang hidung keenam-enam mereka masih tidak kelihatan di mana-mana. Jelas ada keraguan yang munasabah jika perkara ini dibahaskan. Namun perancangan sesetengah pembesar yang dahagakan pertumpahan darah untuk mewujudkan peperangan semakin menjadi kenyataan. Segala usaha ke arah pendamaian ditolak sekerasnya. Maka hasilnya, peperangan paling dahsyat dalam sejarah bakal dimulai.

Next chapter