Soar dan Boar yang semakin keletihan masih menolak takal yang menjadi kunci bagi membuka pintu utama Dewan Soris. Seraya itu juga beberapa makhluk seangkatannya membantu menolak takal berat bertatah emas itu. Maka tersergam gagah dewan besar yang mampu menempatkan berjuta makhluk sebelum boleh melepasi Gerbang Kolun untuk ke destinasi perang.
Saat itu jelas kedengaran suara garau yang bertutur bahasa asing mengarahkan semua makhluk Roah untuk bersiap sedia menyerang segala ancaman yang muncul. Mata merah yang menyorot ganas jelas menggambarkan perilaku buas yang bakal merobek setiap mangsa yang malang. Dengan susuk tubuh yang besar serta senjata berkuasa petir itu pastinya mereka tidak terkalahkan. Beberapa ketika kemudian, gerbang besar berwarna hijau dibuka seluasnya untuk dimasuki bala tentera Roah yang diketuai Barbas yang tiga kali ganda besarnya.
Boar dan Soar yang sudah mula sangsi akan misi ini berpandangan sesama mereka. Masih terngiang-ngiang dibenak mereka perbualan Barbas dengan seorang pembesar dari kerajaan Modèra tempoh hari. Biarpun butir bicara mereka itu agak sukar difahami, Boar dan Soar sangat yakin bahawa mereka sudah menjalinkan satu pakatan dalam peperangan kali ini. Malah kedengaran seperti ada percaturan untuk menjadikan golongan asal Roah sebagai korban utama.
Mengikut sejarah asal kaum Roah yang menghuni dimensi Kuldur, mereka adalah golongan pengembara masa yang mampu memasuki mana-mana ruang masa sama ada ke dimensi Manusia atau dimensi Undead (makhluk sejati). Jika 10 ribu tahun dahulu, kaum Roah berperanan dalam menstabilkan jumlah penghuni di setiap dimensi yang diselia mereka. Setiap ketidakseimbangan yang berlaku akan disolusi dengan senyap dan rahsia. Jika perkara ini tidak diatasi, pasti berlaku pertindihan penghuni dalam kedua-dua dimensi. Sebagai contoh, manusia super yang menghuni bumi telah melakukan onar kerana kuasanya tidak mampu disekat oleh manusia biasa. Maka akan berlaku malapetaka yang mengucar-kacirkan bumi. Roah yang ditugaskan bagi permasalahan ini akan dihantar melalui Gerbang Kolun bagi menangkap manusia super untuk dihantar semula ke Dimensi Undead. Namun tindakan ini memberi kesan jangka panjang yang amat dahsyat untuk dihalang.
Bayangkan jika berjuta manusia super yang dibebaskan di Dimensi Undead melakukan penyatuan demi menewaskan Roah yang menjadi penghalang. Maka berlakulah krisis dalam Dimensi Kuldur itu sendiri setelah manusia super ini berjaya menyusup dan menyamar lalu menjadi golongan atasan dalam hirarki Roah. Segala undang-undang dan tujuan Roah diwujudkan diubah sama sekali. Namun setelah 10 ribu tahun barulah segalanya terbongkar. Perang yang diada-adakan ini ternyata satu rancangan jahat menakluk ketiga-tiga dimensi.
***********************
Aduka Alam dari tahun 2025 sudah memindahkan sebahagian besar penduduk melalui Portal Axaria. Badik Petaka yang kepenatan kerana seluruh kuasanya dipusatkan bagi membuka portal yang menyambung dimensi manusia ke satu dimensi kosong yang dibina khas bagi menghadapi situasi genting ini. Bagi Aduka Alam, peristiwa beratus tahun lalu tidak akan dibiarkan berulang kembali. Biarpun dia mampu kembali semula ke masa lalu, namun dia yakin kunci kepada penyelesaian peperangan itu bakal digapainya pada hari ini.
Makhluk Roah yang semakin menghampiri pantai semakin berkurangan kerana dihentam bertubi-tubi oleh para perwira bumi. Bantuan demi bantuan diperolehi mereka lantas merencatkan perancangan jahat Barbas. Walaupun dia sekadar boneka yang digerakkan oleh Permaisuri Alya, kunci untuk menemui wanita durjana itu adalah melalui Barbas yang perkasa. Tingginya sahaja sudah mejangkau 10 meter. Dengan badan berwarna hijau tua bersisik keras, dia ternyata lawan yang sukar ditewaskan.
Sayup-sayup dikejauhan, kelihatan ombak laut yang bergulung-gulung membadai lautan. kelajuan dahsyat yang dihasilkan menjadikan ia sangat pantas menhampiri daratan. Biarpun Aduka Alam gusar akan nasib penduduk bumi yang tersisa, dia sedikit merelakan kedatangan ombak besar itu bagi menghapuskan angkatan Roah yang masih berada berhampiran pantai. Beberapa minit kemudian ia menghentam daratan sehingga kesemua yang berada dilaluannya menjadi hancur lumat. Mujur Aduka Alam dan perwira yang lain sempat melepasi Portal Axaria bagi melarikan diri.