webnovel

Bab 5 : Tuah Bersaudara 1549

Sudah tercatat dalam sejarah bahawasanya Melaka diperkuat oleh lima pahlawan unggul. Bolehlah disifatkan kekebalan kota malaya ini begitu ampuh dan kekal. Manakan tidak, pabila berjuta armada membidik pulangnya tangan kosong. Biar betapa besar rombongan yang datang, kehebatan Tuah lima saudara pastinya menanti penuh wibawa.

Bagai halilintar memanah bumi, begitulah perumpamaan bagi si cilik Lekiu. Biarpun usia baru mencecah belasan tahun, kelincahan serta ilmu persilatan yang tinggi mampu menewaskan beribu musuh dalam satu jurus. Ketangkasan buah pukulnya amat digeruni lawan. dengan tubuh yang sasa persis ahli bina badan, Lekiu ternyata susuk yang digilai gadis-gadis di kota Melaka. Ditambah pula wajah tampan yang dikurnai Ilahi.

Bersifat pendiam dan tegas menjadikan Lekir sebagai salah seorang anggota laksamana yang paling disegani. Biar dalam apa jua keadaan, beliau tidak pernah melayani kerenah remeh terutama gurauan. Setiap urusan pasti ditangani dengan serius oleh beliau. Walaubagaimanapun, Lekir begitu disenangi oleh saudara-saudaranya kerana sifat rajinnya membantu orang yang dalam kesusahan. Malah beliau begitu hormat akan hak-hak kaum wanita.

Berbeza pula ragamnya dengan Si Kasturi. Dengan bermodalkan ilmu tempur yang menakjubkan, beliau sering menunjuk-nunjukkan aksi persilatannya kepada umum. Ada saja pertunjukan percuma yang dibuat olehnya bagi menarik perhatian orang ramai. Pernah juga Kasturi membuat persembahan silat sewaktu pertabalan Tuah selaku ketua Laksamana dahulu. Jurus yang dimilikinya juga bukan calang-calang. Tuah dan yang lain menggelarkan Kasturi sebagai Pak Tunjuk dalam kumpulan mereka.

Saudara paling rapat dengan Tuah dalam kumpulan laksamana ini sudah pastinya Jebat. Dengan wajah antagonis yang dimilikinya pasti membuatkan lawan kecut perut. Berkumis lentik dengan kening tebal ditambah pula parut kasar di pipinya membuatkan wajahnya persis penjahat ganas. Beliau dikatakan memiliki ilmu persilatan tertinggi dikalangan mereka bersaudara namun sifat kasihnya kepada Tuah membuatkan dia berusaha menyembunyikan kredibiliti demi menaikkan nama saudara kandungnya itu. Malah dia sanggup menggadai nyawa demi bang Tuah yang dikasihi.

Pahlawan unggul Tuah pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi. Dengan watak tegas dan berprotokol, beliau menyandang jawatan tertinggi dalam armada pertahanan kota Melaka. Setiap percaturan yang diatur bersama saudara-saudaranya dapat diterjemahkan dengan jayanya. Segala serangan demi serangan dari musuh berjaya ditangkis mereka. Malah musuh yang dahulunya giat menyerang kini sudah mati akal sama sekali. Tuah yang berwajah tampan serta tinggi lampai orangnya memikul tanggungjawab yang besar dalam mempertahankan kedaulatan jajahan takluk kesultanan Melayu Melaka.

**************************

Beribu batu jauhnya di utara, Choprikorn yang keletihan terpaksa berhenti berehat. Dia duduk sebentar di atas dahan pohon yang telah tumbang. Setelah membasahkan tekak dan mengisi perut, dia tekad menyambung kembali langkahannya. Sambil gerak gerinya diperhatikan penuh komited oleh beberapa mata yang mengekori.

Choprikorn pun bangkit dari rehatnya dan melangkah tapi lebih pantas dari sebelumnya. Ada aura merbahaya yang dirasakannya saat itu. Namun dia hanya memerhati denga. ekor mata sahaja. Bimbang dihidu oleh musuh yang semakin rapat.

Next chapter