webnovel

Bab 2

"Assalamualaikum."

Safiyah membuka pintu bilik pesakit bernama Mardhiyah. Terlihat, Mardhiyah sedang duduk di atas katil. Pandangannya tertumpu ke arah bunga mawar merah yang terletak di jendela bilik itu.

"Mar…" Safiyah bergerak duduk di samping Mardhiyah.

Mardhiyah menoleh bersama senyuman kecil.

"Mar dah makan?"

Mardhiyah mengangguk. Pandangan dilemparkan kembali ke arah bunga mawar merah itu.

"Mar… masih ingat surat ni?" Safiyah mengeluarkan sehelai kertas yang terkoyak dua daripada poket bajunya.

Mardhiyah melirik sedikit ke arah surat itu.

Imbas kembali…

"Mar!!!" Safiyah mengejar kedudukan Mardhiyah yang berlari tidak jauh dari kedudukannya di dataran sekolah.

Mardhiyah tidak henti tertawa dalam lariannya itu. Tangan kanan memegang surat cinta yang ditujukan kepada Safiyah. Safiyah menanggalkan kasut sekolahnya lalu melemparkan kasut itu ke arah Mardhiyah.

Pap!

Kasut Safiyah tepat mendarat di bahagian kepala Mardhiyah. Mardhiyah menghentikan larian sambil menyapu lembut bahagian kepalanya.

"Sakitlah Fiy."

Safiyah mencapai lengan Mardhiyah sambil merampas surat cinta miliknya itu.

"Kau buat aku malu tau. Dahlah pelajar-pelajar lain nampak kita dua lari tengah dataran ni." Safiyah mencapai pula kasutnya.

"Bolehnya ada orang jatuh cinta dengan kau, Fiy." Mardhiyah menyambung kembali tawanya itu.

Wajah Safiyah berubah masam. Dia memakai kasutnya semula lalu membuka surat cinta yang ditujukan kepadanya itu. Pada masa yang sama, Mardhiyah melihat sekali isi dalam surat cinta tersebut.

Aku adalah bulan yang bersinar di malam hari. Tenang dan damai sinaran ku membuatkan dirimu terlena…

Kau tenang dan damai bermimpi tentang keinginanmu… dan aku berusaha menyinari malammu separuh mati hanya untuk memastikan kau mencapai mimpimu itu.

Meski kau tidak menyedari apatah lagi menghargai cahaya ku yang indah ini, aku tetap mencintaimu dibalik kebahagiaan mimpi.

Jika kita tidak bersatu di alam nyata ini. Aku harap kita menyatu di alam maya nanti. Jika kau tidak mencintai aku di masa ini, aku harap kau akan mencintai aku di masa hadapan nanti.

-Bulan-

"Pergh!!! Puisi beb." Mardhiyah mengusik.

Safiyah berubah tegang. Secara tiba-tiba dia mengoyak dua surat cinta itu membuatkan Mardhiyah dibuai kejutan.

"Fiy! Kenapa kau koyak?"

Safiyah tersengih.

"Aku tak percaya lelaki."

"Kau dah gila?"

Safiyah tersenyum kecil memandang Mardhiyah.

"Aku takkan menerima mana-mana lelaki selagi kau tak menerima mana-mana lelaki. Itu prinsip aku. Kau lagi banyak peminat dari aku tau, satu pun kau tak terima." Safiyah menaikkan keningnya.

Mardhiyah melemparkan jelingan tajam kepada Safiyah.

"Gila!"

"Kita berdua tak percaya lelaki… kan?" kedua mata Safiyah mula berkaca.

Mardhiyah tersenyum. Dia menolak lengan Safiyah, menjauhkan kepingan surat itu daripadanya. Pandangan dilemparkan kembali ke bahagian jendela.

"Mar…"

Safiyah mula mengalirkan air mata. Kedua tangannya mula bergetar. Kesedihan mula memahat dinding jiwanya.

"Kita berdua tetap adik beradik kan? Walaupun… kau macam ni, aku tetap nampak kau macam mana Mardhiyah yang dulu. Aku harap… kau tak lupa aku."

Secara tiba-tiba, Mardhiyah memeluk tubuh Safiyah. Dia menepuk halus bahagian belakang wanita itu sebagai tanda pujukan. Safiyah tergamam dalam pelukan itu. Dia membalas pelukan Mardhiyah bersama tangisannya yang deras mengalir.

"Aku janji… aku akan pulihkan ingatan kau semula. Aku janji, aku akan dapatkan keadilan untuk kau."

Mardhiyah hanya mendiamkan diri bersama senyuman kecilnya.

Tak! Tak!

Pintu bilik Mardhiyah di ketuk. Safiyah menoleh. Terlihat, seorang staf wanita sedang berdiri di hadapan pintu.

"Jun…" Safiyah melepaskan pelukan. Air mata disapu lembut.

"Kak… sorry ganggu. Director nak jumpa akak."

"Mana?" soal Safiyah.

"Dekat bilik dia."

"Okey. Nanti akak ke sana."

"Okey kak." Jun menutup pintu bilik itu semula

Safiyah memegang kedua bahu Mardhiyah.

"Mar… aku keluar kejap. Nanti aku jumpa kau lagi."

Mardhiyah mengangguk.

Safiyah menuju ke sebuah bilik yang terletak paling hujung di rumah sakit itu. Pintu bilik Pengarah Azwan di buka. Seorang lelaki berumuran 50-an sedang duduk meniliti fail-fail laporan pesakit di atas mejanya.

"Director… nak jumpa saya?" soal Safiyah.

Dr. Azwan menoleh.

"Haah. Duduklah."

Safiyah bergerak duduk berhadapan dengan Dr. Azwan.

"Ada apa… director nak jumpa saya?"

Dr. Azwan menutup fail-fail pesakitnya itu.

"Apa perkembangan Mardhiyah?"

Safiyah menundukkan wajahnya.

"Dia…"

"Mmm… tak ada perubahan." sangkaan Dr. Azwan.

Safiyah mengangguk.

"Bapa dia call aku tadi. Selama setahun Mardhiyah dekat sini, ni lah kali pertama bapa dia call aku."

Safiyah berubah tegang. Bayangan akal teringat kembali kenangan Mardhiyah bersama ayahnya membuatkan emosi jiwanya mendidih bagai dibakar di atas unggun api.

"Aku tahu kau tak suka bapa dia, aku sendiri pun tak suka. Sebab tu, bapa dia ni akan jadi masalah buat kita."

"Masalah?"

Dr. Azwan mengangguk.

"Bapa dia tanya kalau dia boleh jadi penjaga untuk Mardhiyah."

Safiyah berubah cemas.

"Director…"

"Aku tak bagi la, kau jangan risau. Aku kata aje Mardhiyah masih dalam pemantauan. Aku jadi penjaga dia."

Safiyah menghela nafas yang panjang.

"Yang jadi masalah dia… aku baru tahu yang bapa dia ni seorang datuk, Datuk Ameer pula tu. Nama tu banyak orang yang segan tau sebab dia ada pengaruh yang kuat dekat Malaysia ni. Aku dengar dari kabar angin kawan-kawan aku, datuk ni ada kumpulan-kumpulan samseng dia sendiri. Kau tahu pasal ni?" Dr. Azwan menyoal.

Safiyah tergamam dibuai kejutan. Kebenaran tentang ayah Mardhiyah itu baru tercatat dalam memorinya.

"Kau tak tahu la nampaknya. Hmmm… Aku boleh tolong kau buatkan Mardhiyah tinggal sini, jauh dari ayah dia. Cuma aku tak tahu sampai bila aku boleh tolong kau orang berdua. Jika orang ternama macam ayah dia ni terasa terancam dengan kehadiran Mardhiyah yang dah jadi macam ni, dia boleh buat macam-macam cara untuk hapuskan ancaman tu. salah satunya, dia dah call aku untuk ambil alih hak penjagaan Mardhiyah."

"Kita… nak buat macam mana director?"

Dr. Azwan melepaskan keluhan.

"Aku bukan nak lepas tangan, tapi aku pun ada kepentingan yang aku perlu jaga. Sampai satu tahap, aku terpaksa lepas Mardhiyah ke tangan datuk ni. Sekarang ni, kau perlu tanya diri kau sendiri, bagaimana kau nak selamatkan Mardhiyah?"

Wajah Safiyah berubah sayu. Dia bukanlah orang yang terkenal yang boleh menyaingi insan yang bergelar seorang datuk apatah lagi datuk itu terlibat pula dengan gangsterism.

"Datuk Ameer tu… belum tentu boleh lawan dekat mahkamah. Kalau ya pun Mardhiyah dah dapat memori dia semula, tak senang nak buka kes untuk sumbat dia dalam penjara. Kau perlu cari cara yang lebih efektif, bukan hanya cara untuk mendapatkan memori Mardhiyah semula, tetapi juga cara bagaimana Mardhiyah boleh masuk ke dalam mahkamah, buka mulut dia untuk menerangkan tentang penderaan ayah dia sendiri tanpa ancaman."

Safiyah hanya mampu mengangguk dengan pandangan sayunya itu. Meski dia hidup lama dengan Mardhiyah, itulah kali pertama dia tahu bahawa ayah Mardhiyah itu adalah seorang datuk yang berpengaruh. Akalnya semakin buntu. Perjuangan menegakkan keadilan buat Mardhiyah semakin sukar.

"Mana Tasya ni?"

Safiyah berdiri di hadapan Rumah Sakit Jiwa Rembulan Kasih menantikan kehadiran Tasya untuk membawanya pulang. Jam sudahpun menunjukkan pukul 9.00 malam. Sudah sejam penantiannya itu, bayangan Tasya masih belum kelihatan. Sekali sekala, dia melihat skrin telefonnya untuk memastikan panggilan masuk daripada Tasya.

Vrooom!!!

Sebiji motosikal berwarna hitam berhenti di hadapan rumah sakit itu.

Safiyah menoleh ke arah pemandu motosikal itu. Usai pemandu motosikal tersebut membuka helmetnya, Safiyah terpana seketika memandang wajahnya. Seorang lelaki tampan yang berkulit putih melepak, berambut panjang berwarna hitam separas bahu, berbaju t-shirt putih dan berseluar jeans panjang berwarna hitam.

Lelaki itu bergerak turun daripada motosikal sambil mengikat rambutnya yang panjang itu ke bahagian belakang. Tangan kanan mencapai sekotak rokok dan korek api daripada poket seluarnya. Sebatang rokok dikeluarkan daripada kotak, rokok itu diletakkan di mulut dan dinyalakan.

Seketika, lelaki itu menarik asap rokok dan menghembusnya ke udara. Segak dan tampan lelaki itu dengan tubuhnya yang separa sasa, namun menakutkan pula pada pandangan Safiyah.

Lelaki itu menoleh ke arah Safiyah untuk seketika. Safiyah berubah tidak keruan. Pandangan indah kini berubah menakutkan. Seketika, dia cuba berlakon memanggil seseorang namun lirikan matanya cuba untuk membalas pandang daripada lelaki tersebut. Kedua mata lelaki itu yang seakan bercelak membuat jiwanya ketagih untuk menyaksikannya lagi. Namun ketakutan memaksa kedua matanya itu berpaling untuk meneruskan lakonannya itu.

Lelaki itu mengambil tempat tidak jauh daripada kedudukan Safiyah bersama rokoknya yang terus menyala. Safiyah mencuri pandang ke arah lelaki tersebut. Secara tiba-tiba, lelaki itu membalas pandangan Safiyah. Safiyah dengan pantas menundukkan wajahnya.

"Kau… doktor dekat sini?" lelaki itu membuka bicara.

Safiyah menggagahkan diri membalas pandangan lelaki itu. Dia mengganggukkan kepala membenarkan persoalan itu.

"Aku menakutkan kau?" soal lelaki itu lagi.

Safiyah ingin membuka bicara namun bibirnya seakan kaku. Dia hanya menggelengkan kepalanya sebagai jawapan. Lelaki itu mengangguk-angguk sambil menarik asap rokoknya. Kedua insan mula menyepikan diri. Safiyah berdiam diri kerana risau dengan kehadiran lelaki tersebut meski jiwanya terpukau dengan ketampananannya. Lelaki itu pula diam kerana risau dirinya akan menakutkan Safiyah lagi.

"Abang… tengah tunggu seseorang?" Safiyah akhirnya membuka bicara.

Lelaki itu menoleh.

"Tak. Aku nak jumpa seseorang."

"Erm… awek?"

"Eh, bukan." lelaki itu tersenyum kecil.

Safiyah tersenyum sekali terkesan dengan senyuman lelaki itu.

Tet! Tet!!!

Sebijik kereta Proton Bezza berwarna putih berhenti di hadapan rumah sakit itu. Tasya tiba disaat perbualan kedua insan baru bermula. Safiyah mengerutkan dahinya dengan penuh geram memandang ketibaan Tasya.

"Kawan kau?" soal lelaki itu.

"Haah. Saya gerak dulu ya." Safiyah menunduk sedikit.

"Okey. Hati-hati." lelaki itu turut menundukkan wajahnya sedikit.

Kedua kaki Safiyah digerakkan menghampiri kereta Tasya. Dia masuk ke dalam kereta bersama wajahnya yang berubah masam.

"Sorry sangat Fiy sebab lambat. Aku dengan bos aku ada bincang sesuatu tadi." jelas Tasya.

"Tak apa. Aku tak kisah pun kau lambat."

"Eleh, muka masam tu."

"Ish! Itu bukan sebab kau lambat la."

"Oh! Phone. Phone aku habis battery Fiy. Sorry…"

"Bukanlah!"

Tasya mengerutkan dahinya. Dia menjenguk ke luar jendela, terlihat lelaki tampan itu masih berdiri di tempat yang sama sambil menarik asap rokoknya.

"Oh!!!" Tasya tersenyum sinis memandang Safiyah.

Safiyah membalas pandangan Tasya itu dengan renungan tajam.

"Sorry kacau mood." Tasya tergelak kecil sambil menurunkan handbrake lalu keretanya itu dipecut laju.