webnovel

Kerumitan yang Sulit di Harem Diraja (1)

Editor: EndlessFantasy Translation

"Walaupun ada lagi yang masih tidak konsisten, tapi rasanya masih tak lari jauh daripada cerita sebenar." Jun Wu Xie agak yakin dengan kesimpulannya mengenai situasi ini, baik dari segi bagaimana khabar angin itu dimulakan mahupun kata-kata Lei Chen sewaktu disoal siasat semalam.

"Bagi mendapatkan jawapan terakhir untuk persoalan itu, Lei Chen sendiri perlu memberitahu kita. Hanya dengan bersekutu dengannya barulah kita dapat membuatkan dia sanggup untuk berterus-terang dengan kita," kata Jun Xie sambil meletakkan cawan teh yang dipegangnya.

Fan Zhuo mengangguk. "Jadi kamu berundur dulu untuk mengumpan dia dan memaksa dia untuk akhirnya bersekutu dengan kamu."

Selepas kejadian semalam, Jun Wu Xie tidak lagi berfikir mahu memutuskan hubungan dengan Lei Chen. Demi membolehkan mereka mencari peta, satu-satunya pilihan yang tinggal ialah menggunakan Lei Chen. Segala yang dibuatnya adalah untuk membuatkan hati Lei Chen berasa panik, supaya dia sedar bahawa dia tidak boleh kehilangan Akademi Zephyr.

Tidak lama kemudian, Lei Chen kembali dengan tergesa-gesa. Dia melangkah masuk sambil memegang sebuah kotak broked.

"Apa tu?" tanya Rong Ruo.

Senyuman di wajah Lei Chen sudah lenyap. Dia membuka kotak broked itu dan di dalamnya terdapat sepucuk surat yang ditulis dengan darah. Huruf-huruf di surat berdarah itu membuatkan mata Lei Chen turut menjadi kemerah-merahan. Dia meletakkan surat itu di hadapan Jun Wu Xie dan yang lain.

Jun Wu Xie memandang sekilas pada surat tersebut dengan penuh tanda-tanya.

Semua hal yang tidak konsisten dalam perbincangan Jun Wu Xie dan Fan Zhuo tadi akan dijelaskand oleh surat berdarah ini tidak lama lagi.

"Siapa yang berikan surat ini pada kamu?" tanya Jun Wu Xie sambil memandang Lei Chen.

Lei Chen tersenyum pahit. "Dayang Maharani atau mungkin Beta patut kata… ibu kandung Beta."

Setelah mendengar kata-kata Lei Chen, Qiao Chu dan rakan-rakannya yang belum lagi melihat isi kandungan surat itu terus membulatkan mata.

Lei Chen berkata, "Agak melucukan juga kalau mahu diceritakan tetapi Putera Mahkota Negara Yan sebenarnya adalah anak luar nikah yang tidak ada pertalian darah pun dengan Keluarga Diraja. Ibu kandung Beta adalah dayang istana yang berkhidmat dengan Maharani sejak usia muda lagi. Maharani telah melahirkan seorang anak lelaki pada ketika itu. Pada masa yang sama, ibu kandung Beta pula telah menjalankan hubungan sulit dengan seorang pengawal dan melahirkan Beta. Maharani ketika itu mahu menghukum bunuh ibu kandung Beta, tetapi anak lelaki Maharani meninggal dunia beberapa hari selepas dilahirkan. Demi mengukuhkan kedudukannya, Maharani telah merampas Beta daripada ibu kandung Beta dan mengambil Beta sebagai anak angkat. Selama ini Beta menyangkakan Maharani adalah ibu kandung Beta, sehinggalah… kemunculan Adinda Keempat. Ketika itu barulah Beta tahu semuanya hanyalah satu pembohongan.

Maharani tidak melahirkan Lei Chen. Dia dan ibu kandungnya hanya dibenarkan terus hidup untuk mengukuhkan kedudukan Maharani. Memandangkan Lei Chen adalah satu-satunya anak yang dia ada, pada mulanya Maharani mencurahkan sepenuh kasih sayang terhadap Lei Chen. Orang luar sering menganggap Maharaja dan Maharani berkongsi perasaan yang mendalam terhadap satu sama lain. Tidak ada siapa yang tahu bahawa wanita yang paling Maharaja sayangi bukanlah Maharani, sebaliknya seorang dayang istana yang telah berkhidmat dengan Maharaja sejak kecil lagi. Selepas Maharaja menaiki takhta, dayang istana itu telah dipindahkan ke Harem Diraja sebagai gundik dan Maharaja itu memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian terhadapnya. Dayang istana itu telah melahirkan seorang anak lelaki lebih sepuluh tahun yang lalu, tetapi telah meninggal dunia akibat komplikasi sewaktu bersalin.

Bayi lelaki itu telah diambil sebagai anak angkat oleh Maharani dan tindakan ini dilihat sebagai lambang kebaikan hati Maharani. Tetapi niat sebenar Maharani adalah untuk menggunakan anak itu untuk mengugut Maharaja. Tidak lama selepas anak itu diambil oleh Maharani, dia telah dilemaskan di dalam sebuah kolam teratai. Putera Keempat, Lei Fan, itu sebenarnya adalah anak luar nikah Maharani dan Perdana Menteri Negara Yan...

Maharaja Negara Yan tidak tahu apa-apa tentang hal ini dan menganggap Lei Fan sebagai anak yang dilahirkan oleh wanita yang paling disayanginya. Dia telah memanjakan budak itu sejak kecil. Maharani juga nampaknya amat menyukai budak itu dan turut sama memanjakannya. Ini amat menggembirakan hati Maharaja dan membuatkan kedudukan Maharani semakin kukuh. Namun begitu, setelah segala perhatian dan harapan Maharaja serta Maharani tertumpu pada Lei Fan, terdapat dua orang yang menganggap Lei Chen, yang sebelum ini menjadi alat bagi mengukuhkan kedudukan Maharani, sebagai duri yang menyakitkan mata!

Próximo capítulo