webnovel

Kerumitan yang Sulit di Harem Diraja (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Maharaja menyangkakan Lei Fan adalah anak kandung baginda dan berasa tidak puas hati kerana perlu menamakan Lei Chen sebagai Putera Mahkota selama ini. Maharaja bersikap mementingkan diri dan mahukan anak yang dilahirkan oleh wanita yang paling baginda sayangi itu dikurniakan kedudukan Putera Mahkota. Maharani juga mahu melihat situasi ini berlaku. Hanya Maharani yang tahu bahawa Lei Chen adalah anak luar nikah hasil hubungan sulit seorang dayang istana dan seorang pengawal. Anak kesayangan Maharaja pula, iaitu Lei Fan, adalah anak Maharani melalui hubungan sulit dengan kekasihnya. Kebencian Maharani akibat layanan dingin Maharaja terhadapnya membuatkan Maharani mahukan Maharaja menderita kesan perbuatannya sendiri.

Lei Chen menjadi mangsa dalam rancangan rahsia yang dibuat oleh mereka berdua.

Lei Fan kini semakin meningkat usia. Maharani pula memberikan persetujuan dalam diam. Maka Maharaja sudah mula bertindak menentang Lei Chen. Tahun ini, baginda meletakkan seluruh tanggungjawab menganjurkan Kejohanan Pertempuran Roh itu ke tangan Lei Chen. Itu hanyalah langkah pertama yang Maharaja ambil untuk menyingkirkan Lei Chen daripada kedudukannya.

Sebaik Lei Chen melakukan kesilapan pada kejohanan tahun ini, Maharaja akan mempunyai sebab yang baik dan kukuh untuk digunakan menentangnya. Sebelum Lei Fan cukup umur, kedudukan Lei Chen sebagai Putera Mahkota Negara Yan pasti akan ditarik semula!

"Surat ini ditinggalkan oleh bonda kandung Beta sebelum kematiannya. Dia telah berkhidmat di sisi Maharani selama ini tetapi Beta tak pernah sedar. Berkali-kali Beta telah ke Istana Maharani, tetapi sekali pun tidak pernah bertemu dengannya. Beta tak sedar selama ini Beta telah mengiktiraf seorang pembunuh sebagai bonda sendiri." Suara Lei Chen menjadi agak serak sambil dia menggelengkan kepala dan ketawa pahit.

Maharani bimbang rahsia itu akan terbongkar. Beberapa tahun yang lalu, Maharani telah menuduh ibu kandung Lei Chen atas satu jenayah yang tidak wujud dan telah menghukumnya untuk dipukul sehingga mati. Sehingga saat kematian ibunya pun Lei Chen masih tidak tahu bahawa itu adalah ibu kandungnya. Ketika itu Lei Chen masih duduk di Istana Diraja dan sering bermalam di Istana Maharani. Sewaktu salah satu kunjungan singkat ke Istana Maharani, Lei Chen telah menemui surat itu yang disembunyikan di dalam bantal jednya. Barulah dia memahami segalanya. Dia akhirnya tahu mengapa setelah Lei Fan lahir, Maharani tidak lagi bersikap mesra dengannya...

Hua Yao dan yang lain membaca seluruh isi kandungan surat berdarah itu dan ,mereka berasa sedih dengan tragedi yang berlaku di sebalik komplot istana. Mereka tidak terfikir ada begitu banyak perancangan jahat di dalam Harem Diraja. Pada ketika itu, barulah mereka faham bahawa analisa Jun Wu Xie tentang situasi itu bukannya tidak berasas.

Disebabkan dia telah melalui insiden di mana Mo Qian Yuan menjadi mangsa, Jun Wu Xie tidak lagi menganggap kejadian sebegini sebagai aneh.

"Perebutan kuasa mutlak di dalam Harem Diraja sering dipenuhi komplot dan rancangan jahat. Tapi Beta rasa lucu juga yang Beta ni bukan ahli Keluarga Diraja yang sah. Tapi disebabkan sikap mementingkan diri Maharani, Beta pun terlibat sekali dalam kancah masalah ini." Selepas mengetahui hal sebenar, Lei Chen mula menjauhkan diri daripada Maharani. Dia memberikan alasan mahu berpindah keluar dari Istana Diraja untuk duduk di Kediaman Putera Mahkota yang berada di luar kawasan istana.

"Kamu nak rampas takhta?" Jun Wu Xie bertanya dengan tenang, langsung tidak ada riak terkejut pada nada suaranya.

"Tak! Beta tak peduli tentang kekuatan atau kuasa! Kalau diberikan pada Beta pun, Beta tak akan ambil peduli! Tapi Beta mahu Maharaja, Maharani dan Lei Fan menerima balasan! Beta tak sanggup menjadi boneka tidak berdaya yang mereka boleh manipulasi dan pergunakan!" Mata Lei Chen membara dengan kemarahan.

"Beta perlukan pertolongan kamu semua. Maharaja kini semakin terang-terangan cuba menjatuhkan reputasi Beta. Kalau Beta menunggu saja dan tidak bertindak, hanya maut yang akan menanti. Beta tak mahu berputus asa! Beta merayu pada kamu semua untuk meminjamkan kekuatan demi menentang mereka!" Lei Chen merenung tepat pada Jun Wu Xie. Dia telah mendedahkan segala-galanya, tiada apa yang disembunyikannya hari ini demi mendapatkan bantuan anak-anak muda di hadapannya.

"Baiklah." Jun Wu Xie mengangguk.

Lei Chen tiba-tiba mengeluh kuat dan mula tersenyum lega.

Selepas menyaksikan kuasa para pelajar Akademi Zephyr ini, dia berasa yakin. Selagi dia dapat menarik orang-orang ini ke sisinya, Kejohanan Pertempuran Roh tidak akan lagi menjadi masalah padanya. Anak-anak muda ini memiliki kuasa yang dapat mengatasi orang lain di kejohanan tersebut. Kalau Maharaja mahu menggunakan kejohanan ini untuk menjatuhkan Lei Chen, baginda tidak lagi berpeluang untuk berjaya. 

Próximo capítulo