webnovel

The Lost Heir of Avalor

Hazirah Aisyah, seorang gadis yang berusia 17 tahun dan dia tidak mempunyai kawan di sekolah kerana matanya yang berwarna coklat muda berbanding yang lain. Di sekolah, semua rakan sekolahnya mempunyai kuasa. Manakala dia? Hazirah tidak mempunyai kuasa elemen kecuali dua abiliti. Dia tidak pernah tahu akan asal-usulnya serta keluarga kandungnya. Selama ini, dia tinggal bersama sepasang suami isteri. Mereka mempunyai seorang anak gadis yang setahun muda darinya. Pada suatu hari, dia disuruh untuk melangkah masuk ke sebuah bilik simpanan yang seringkali dihalang oleh keluarga susuannya. Terdapat sebuah skrol yang mempunyai namanya. Tidak dia sangka bahawa skrol itu mengenai sejarah keluarganya yang sebenar. Ibu bapa kandungnya sempat memberi skrol tersebut kepada keluarga susuannya melalui seseorang. Mulai hari itu, Hazirah berjanji untuk mencari maklumat tentang asal-usulnya. Huzair Asyraf, seorang remaja berumur 22 tahun. Dia seorang yang pendiam dan ceria walaupun tidak mempunyai ramai kawan. Huzair mempunyai seorang kawan rapat, Muaz Aisy. Mereka mengenali satu sama lain sejak mereka berumur lima tahun. Muaz telah banyak menolongnya dari segi memberinya keluarga, tempat lindung, makan minum dan pakaian. Susah senang, mereka lalui bersama. Kebanyakan rahsia Huzair, Muaz ketahui dan menyimpannya dengan rapi. Walaupun hidupnya sudah lengkap, Huzair merasakan bahawa hidupnya tidak lengkap tanpa seseorang. Dia mencari orang itu. Akan tetapi, dia tidak tahu di mana hendak mencarinya. "Aku akan selalu ada dengan kau susah senang." – Muaz Aisy "Sebelum ini, kau keseorangan tanpa kawan. Namun, keseorangan kau telah berakhir. Kau masih ada aku, Muaz dan Syahmi. Kita tidak akan berpisah melainkan ajal maut pisahkan kita." – Khaulah Rusydi "Aku tidak akan putus asa selagi aku tidak tahu apa yang terjadi dengan keluarga kandung aku." – Hazirah Aisyah "Akak gila ke? Nak selamatkan dunia seorang diri? Selagi Batrisya hidup, Batrisya tidak akan benarkan akak pergi perang seorang diri." – Batrisya Rania "Kita akan melakukan ini bersama." – Syahmi Ilyas Namun, dapatkah Huzair mencari orang itu meskipun sudah sekian lama tidak berjumpa? Siapakah orang yang dicari oleh Huzair selama ini? Dapatkah Hazirah meneruskan kehidupannya yang penuh dengan dugaan itu? Dapatkah Hazirah cari maklumat yang dicarinya selama ini? Yang penting, adakah mereka semua berjaya memenangi peperangan yang bakal berlaku?

_zilazri_ · ファンタジー
レビュー数が足りません
29 Chs

Bab 1

Suasana pagi itu amat dingin dan ramai pelajar melangkah menuju ke salah satu akademi. Akademi itu terletak di Kerajaan Alantia. Ada yang dihantar oleh ibu bapa, menaiki kenderaan dan ada yang menaiki kenderaan sendiri. Ada juga pelajar yang berjalan kaki. Di antara pejalan kaki, ada yang masih mengantuk, ada yang sedang berborak dengan kawan masing-masing dan ada juga melangkah ke sekolah dengan penuh semangat tetapi tidak bagi seseorang. Gadis itu, berumur 17 tahun, melangkah ke akademi tersebut tanpa kawan dan perasaan.

Mesti hairan, kenapa gadis itu pergi ke akademi tanpa kawan? Sebabnya adalah ramai tidak suka akan matanya yang berwarna coklat muda dan rambutnya yang berwarna coklat hitam berbanding mereka yang mempunyai mata yang mengikut kuasa masing-masing. Pelik, bukan?

Setiba di akademi yang bernama Akademi Mystic, ramai membisik antara satu sama lain manakala gadis itu mendiamkan diri kerana sudah terbiasa akan bisikan-bisikan mereka itu. Gadis itu terus melangkah ke kelasnya dan meletakkan begnya di sebelah kerusinya. Dia sudah biasa dengan keadaannya yang tidak mempunyai kawan, sering dijadikan mangsa pembulian ramai dan sering dijadikan perbualan ramai. Kelas bermula tidak lama kemudian dan dia hanya fokus pada pelajarannya.

Kring... Kring...

Loceng sekolah berbunyi tanda waktu rehat bermula. Tiba-tiba, tangan gadis tersebut ditarik perlahan. Apabila gadis itu memandang belakang, guru yang mengajarnya subjek Kimia, mengukir sebuah senyuman untuknya.

"Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Cikgu Nurin?" soal gadis itu dengan sopan walaupun kelihatan dingin.

"Hazirah, bolehkah awak bantu saya bawa buku-buku ini ke bilik saya? Kebetulan, pengetua akademi ingin berjumpa dengan awak," balas Cikgu Nurin disertai senyuman manis.

Soalan Cikgu Nurin dijawab dengan anggukan. Hazirah kelihatan resah apabila mengetahui bahawa pengetua hendak bertemu dengannya. Kenapa pengetua ingin bertemu dengannya? Dia ada buat salah ke? Soalan demi soalan terlintas di mindanya apabila dia berjalan mengikut cikgunya ke bilik guru. Cikgu Nurin ketawa kecil melihat reaksi Hazirah.

"Hazirah, awak jangan khuatir. Awak tidak membuat apa-apa kesalahan. Pengetua sekadar mahu berbual dengan awak," kata Cikgu Nurin.

Hazirah mengangguk dan melangkah ke bilik pengetua. Apabila dia berada di hadapan bilik pengetua, dia menenangkan diri sebelum mengetuk pintu tersebut.

"Masuk," kata seseorang dari dalam.

Hazirah memasuk ke dalam dan memberi salam. Dia kelihatan gelisah apabila melihat pengetua itu memandangnya sambil senyum kepadanya setelah menjawab salamnya. Dia kelihatan sedikit terkejut apabila melihat ibu bapanya dan juga adiknya berada di situ.

"Hazirah. Mari masuk dan sila duduk," ajak Pengetua Rashid. Hazirah menurut dan Pengetua Rasyid memulakan perbualan.

"Hazirah.. Saya memanggil kamu ke sini kerana ibu bapa kamu ingin kamu tukar ke akademi yang lain," kata pengetua. Hazirah terkejut dan memandang ibu bapanya. Mereka mengangguk.

"Tapi kenapa?" soal Hazirah.

"Akademi ini jauh dari rumah kami, bukan? Lagipun, kenapa nak buang masa mengambil bas lepas itu berjalan lagi? Lebih baik tukarkan kamu ke akademi yang lebih dekat," balas ayah Hazirah. Ibunya mengangguk setuju.

"Lagi pula kamu sering menjadi mangsa pembulian di sini, bukan?" soal Pengetua Rasyid.

"Bagaimana... ?"

Belum sempat Hazirah menghabiskan ayatnya, Pengetua Rasyid jawab dengan senyuman sinisnya, "Akademi ini mempunyai banyak kamera. Saya tahu apa para pelajar mahupun para guru lakukan."

"Jadi, saya akan ditukarkan akademi? Akademi mana?"

"Akademi terbaik di kerajaan ini, Akademi Shadowille," balas Pengetua Rasyid.

Hazirah terkejut ketika mendengar nama akademi itu. Dia memandang kedua ibu bapanya. Mereka mengangguk serta mengukirkan sebuah senyuman untuknya. Akademi Shadowille adalah akademi terbaik di Kerajaan Alantia. Akademi ini merupakan akademi yang diidamkan ramai dan sedikit sukar untuk para pelajar menyertai akademi tersebut kecuali dengan mempunyai prestasi yang sangat bagus atau mempunyai keluarga ternama. Rumahnya tidak terletak jauh dari akademi ini.

"Kamu akan pergi bersama adik kamu, Batrisya," kata ibunya, Puan Damia, sambil memandang ke arah Hazirah dan adiknya yang berusia 15 tahun, Batrisya Rania.

Batrisya segera memeluk Hazirah manakala Hazirah dan yang lain tersengih memandang perilaku Batrisya. Hazirah tahu bahawa adiknya itu amat teruja kerana dia akan berpindah sekolah ke sekolahnya. Perasaannya bercampur-baur dan keraguan mula dirasainya.

"Jangan risau.. Saya sudah memberitahu pengetua akademi itu akan pelajar yang pintar, seperti kamu, wajar pergi ke akademi yang lebih baik. Cikgu Nurin turut menyaran bahawa kamu wajar pergi ke akademi itu memandangkan dia lebih rapat dengan kamu," kata Pengetua Rasyid apabila melihat Hazirah yang seakan-akan resah akan keputusan yang bakal dia putuskan.

Hazirah memandang Pengetua Rasyid yang sedang memberi sokongan kepadanya. Bagaimana jikalau di situ, tiada mahu berkawan dengannya? Bagaimana kalau dia dibuli lagi? Soalan demi soalan difikirnya dan dia tidak mampu meluahkan soalan-soalan yang seperti tiada jawapan. Dia merasakan tangannya dipegang seseorang dan memandang ke arah Batrisya. Batrisya hanya senyum seperti memberinya semangat untuk pergi ke akademi itu.

"Jadi bagaimana, Hazirah?" soal Pengetua Rasyid.

Hazirah terdiam sebentar dan membuang segala buruk sangka yang ada di dalam fikirannya itu. Dia mengangguk tanda setuju walaupun masih sedikit ragu-ragu akan keputusannya itu.

"Mulai esok, kamu akan menghadiri kelas di Akademi Shadowille. Pengetua Suzy akan menanti kehadiran kamu di sana tepat pukul 7 pagi," kata Pengetua Rasyid. Hazirah mengangguk dan pulang ke kelasnya agar gurunya tidak memarahinya.

-------------------------------------------------------------------------

Jam 6 petang, makan malam

"Hazirah.. Ibu dan ayah mahu berbual dengan kamu selepas makan malam nanti di ruang tamu," kata ayahnya, Encik Zul.

Hazirah mengangguk dan meneruskan suapannya. Sesudah makan, dia menolong Puan Damia dengan mencuci pinggan mangkuk dan mengelap meja. Dengan segera, dia melangkah ke ruang tamu. Batrisya, sedari tadi, sudah melangkah masuk ke dalam biliknya kerana ingin menyelesaikan kerja rumahnya.

"Ada apa yang ibu dan ayah mahu bicarakan itu?" soal Hazirah dengan penuh curiga.

"Sebelum itu, ayah mahu beritahu kamu agar sentiasa tenang dan jangan terkejut. Kami tidak mahu kamu lari ataupun sedih," kata Encik Zul.

'Dah kenapa dengan mak bapa aku ini. Lain macam sahaja,' bisik hati Hazirah.

"Kamu adalah anak susuan kami." Akhirnya, Encik Zul dapat meluahkan apa yang dia dan isterinya telah merahsiakan sepanjang enam belas tahun mereka membesarkan Hazirah manakala sebaliknya yang berlaku kepada Hazirah.

"Apa yang ayah katakan ini? Hazirah anak angkat ibu dan ayah? Tak mungkinlah. Ni mesti ayah dan ibu nak takutkan Hazirah kan. Ayah jangan main-main lah," kata Hazirah sambil ketawa sedikit.

"Ish budak ni.. Buat apa ayah dan ibu nak takutkan Hazirah? Ingat kita orang tiada kerja lain ke? Lagipun dah lepas maghrib bukan, buat kita nak main-mainkan Hazirah?" balas Encik Zul dengan tenang.

Mata Hazirah sedikit berair dan bersoal, "Tak mungkin.. Ini tak terjadi kan? Ayah dan ibu tipukan?"

"Hazirah.. Ibu dan ayah tak tipu, nak," balas Puan Damia. Hazirah mengambil nafas untuk menenangkan dirinya serba-sedikit.

"Tetapi, kenapa baru sekarang ibu dan ayah beritahu Hazirah?" soal Hazirah apabila dia sudah bertenang.

"Kami tidak mahu kamu fikirkan kami tidak sayang kamu dan apabila kami memberitahu kamu sekarang, kamu sudah matang," balas Puan Damia.

"Ibu dan ayah kenal keluarga kandung Hazirah dan asal-usul Hazirah?"

"Yang itu, satu hari nanti kamu akan tahu juga. Baik kamu tidur sekarang. Kang nanti esok kamu tidak dapat bangun," gurau Encik Zul.

"Ish ayah ni.. Ayah sendiri tau kan Hazirah jenis yang bangun pagi," kata Hazirah.

"Mana tau kamu terlajak tidur, mimpikan jejaka idaman kamu," balas Encik Zul dengan gurauan dan ketawa kecil

"Ibu.. Tengok ayah tu. Kacau Hazirah," adu Hazirah kepada Puan Damia, macam budak kecik.

"Ish abang ni.. Kacau dia pulak..Kamu pula Hazirah, kenapa nak kena adu dengan ibu macam budak kecik? Mengalahkan Batrisya," bebel Puan Damia. Hazirah dan Encik Zul hanya bermasam muka sebelum ketawa bersama.

"Ayah.. Boleh ayah ceritakan bagaimana ayah dan ibu jumpa Hazirah?" soal Hazirah dengan penuh keliru.

"Boleh aje.. Ceritanya bermula dari...."

************************************************

Flashback

06 March, tahun 2003, 8.30 pagi

Peperangan, yang baharu sahaja berlaku semalam, telah memberi kesedihan kepada ramai penduduk di Kerajaan Avalor. Kesedihan itu disebabkan kehilangan ahli keluarga masing-masing, raja serta permaisuri tercinta. Puan Damia sedang duduk di sofa sambil menunggu kepulangan suaminya dari pekan. Dia tidak berputus-putus berdoa atas apa yang berlaku sewaktu peperangan di kerajaan sebelah dan juga untuk keselamatan penduduk-penduduk kerajaan tersebut. Di saat pintu rumahnya dibuka dari luar, Puan Damia segera membuka pintu tersebut dan melihat gerangan itu. Suaminya telah pulang dan dia telah membawa seorang bayi perempuan bersamanya. Puan Damia berasa hairan. Anak siapakah yang telah dibawa pulang oleh suaminya itu?

"Abang ternampak dia semasa jalan balik. Dia terletak di lorong sunyi itu dengan nota ini. Tengah merengek pula tu," bicara suaminya, Encik Zul sambil memberi nota tersebut kepada isterinya sebaik sahaja dia ditanya oleh Puan Damia. Puan Damia melihat nota itu dan membaca.

'Tolong kami jaga bayi ini. Sampai masanya, kami akan munculkan diri dan ingin berterima kasih kerana telah menjaganya untuk kami. Nama dia adalah Hazirah Aisyah.'

End of Flashback

*****************************************************************

"... Macam tulah ceritanya," kata Encik Zul. Hazirah mempamerkan reaksi terkejut dan sedih kerana dia masih belum tahu siapa dirinya sebenar dan asal-usulnya itu. Encik Zul hanya mengusap belakangnya.