webnovel

Ayame

Ayame,

Hari ini, sebaik sahaja tamat sesi persekolahan, aku berjumpa dengan Cikgu Fazlan. Seorang guru kaunselor di sekolah.

Ini adalah kali pertama aku berjumpa dengannya. Aku ingin meminta nasihat dan pandangan daripadanya. Aku katakan kepadanya yang aku ada masalah dengan rakan-rakan di sekolah. Apabila dia tanya kenapa, aku katakan yang mereka tidak mahu berkawan denganku. Mereka suka memperlekehkan aku. Mereka katakan yang aku 'budak pelik'.

Cikgu Fazlan ada juga bertanya sekiranya ada sesiapa yang pernah menyakiti aku secara fizikal. Namun, aku menggelengkan kepala dan menjawab 'tidak'. Tetapi di dalam kepala, terbayang-bayang muka budak berlima itu. Aku tak beritahu tentang mereka berlima (Geng Jembalang). Aku takut sekiranya aku beritahu perkara yang sebenar, sesuatu yang buruk akan berlaku. Mereka mungkin akan melakukan sesuatu ke atas Miki. Cikgu Fazlan tersenyum penuh bermakna apabila dia mendengar jawapan yang aku berikan. Aku tak tahu apa makna di sebalik senyuman yang diberikan. Barangkali dia dapat membaca raut wajahku. Dia mungkin tahu yang aku tidak berkata benar.

Dia juga ada bertanya tentang keadaan keluarga. Aku beritahu tentang ibu, Borhan dan Pak Cik Lan. Satu persatu cerita tentang bapa tiri 'kesayanganku' itu ku ceritakan kepadanya. Dia tidak menunjukkan rasa jemu mendengar ceritaku. Dia mendengar setiap bibit perkataan dengan teliti. Ternyata dia memang seorang guru yang baik dan yang paling penting sekali, dia adalah seorang pendengar yang baik. Dia menunjukkan empati kepadaku. Dia banyak memberi nasihat yang berguna kepadaku. Aku berasa amat lega hari ini. Segala-galanya telah aku luahkan.