webnovel

Ayame

29 April 1974

Ayame,

Hari ini aku lalui seperti biasa. Tiada apa-apa yang berlaku. Cuma rutin-rutin harian yang kadangkala membuatkan aku bosan. Bangun pagi, pergi ke sekolah, pulang ke sekolah, belajar dan sekarang seperti hari-hari yang lain aku catitkan apa yang aku lalui hari ini di dalam diari ini.

Hari ini aku lalui sendirian, tiada kawan, tiada teman dan tiada tempat untuk berbual apatah lagi untuk bermain. Yang ada hanyalah Borhan.

Aku tak sempat bercakap dengan ibu hari ini. Dia balik lewat dari tempat kerja. Pak Cik Lan pula seperti tidak wujud di rumah. Dia langsung tidak memperdulikan aku. Dia hanya sibuk dengan daun terupnya sahaja. Pulang sahaja dari bekerja, dia terus lesap entah ke mana. Tetapi aku lebih suka apabila dia tiada di rumah. Kalau dia ada, pasti rumah ini bising jadinya dengan suaranya yang macam petir. Menyuruh aku membuat itu dan ini. Huh! Sungguh membosankan!

Semua kerja sekolah yang diberikan oleh guru telah aku siapkan. Bagi aku, ianya satu kerja yang sangat mudah. Aku pelik mengapa raka-rakanku yang lain mengatakan ianya susah. Mereka tak katakannya kepada aku tetapi aku dapat mendengar rungutan mereka. Aku dapat menyelesaikannya dengan mudah sekali. Aku menyukai semua subjek yang dipelajari di sekolah. Daripada subjek bahasa ke subjek sains sehinggalah subjek pengurusan. Semuanya aku pelajari dan aku fahami dengan mudah. Aku menunjukkan prestasi yang baik di dalam kelas. Tetapi kenapa mereka semua tidak pernah bertanya kepadaku apabila mereka tidak faham sesuatu soalan. Mereka juga

tidak pernah mengajak aku menyertai perbincangan kumpulan ataupun apa-apa aktiviti kumpulan. Kadang-kala tertanya-tanya juga aku apakah salah dan silap aku? Adakah aku pernah menyakiti mereka sehingga mereka tidak mahu berkawan denganku. Entahlah...…