webnovel

Bab 288

編集者: EndlessFantasy Translation

Semasa dia menghantar Xuan Mo ke Tenggara, dia langsung tidak berniat untuk membunuhnya dan dia juga tidak berniat untuk mengambil alih kuasa ketenteraannya.

Pada masa itu, Empayar Song berada dalam kedudukan yang paling lemah kerana pelbagai puak ketenteraan secara rahsianya telah mula menentang keluarga diraja. Dia berhasrat untuk meminjam kuasa Yan Bei untuk menyelamatkan Keluarga Nalan dan melindungi orang awam daripada api peperangan. Namun, pengawal tua yang degil itu enggan menerima cara penyelesaian sebegitu. Ketika itu, sesiapa sahaja yang menjual negara akan dicop sebagai pengkhianat bangsa dan selamanya diingati sebagai pengkhianat. Dia tidak mahu orang yang setia seperti Xuan Mo menjadi seperti itu. Oleh itu, dia memindahkannya jauh dari pusat dan tumpuan orang ramai. Dia juga risau jika pasukan tentera lelaki itu akan membuat banyak masalah. Sekiranya orang bawahannya bersetuju untuk membuat masalah walaupun Xuan Mo tidak bersetuju, dengan Yan Xun sebagai pemerintah, para pegawai Yan Bei pasti akan cuba menyalahkannya. Oleh itu, dia mengambil alih orang-orang bawahannya lalu meletakkan lelaki itu untuk mengetuai tentera laut, yang tidak relevan sepenuhnya.

Namun, tidak kira sebagus mana perancangannya, dia tidak menjangkakan penyamun akan menyerang bangunan tentera manakala Song tenggelam dalam rusuhan awam. Selain itu, dia juga tidak menjangkakan dengan memegang jawatan yang begitu tinggi, Xuan Mo secara peribadi akan menuju ke medan perang.

Memikirkan mengenai perkara itu, dia merasakan situasi yang dialaminya sekarang ini adalah karma. Tangannya sudah banyak dinodai dengan darah kerana dia telah terlibat dalam bidang politik buat masa yang lama. Hanya dengan satu arahan, beribu kepala akan dipenggal. Dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya jadi dia memahami keadaannya. Dia benar-benar faham dia sepatutnya menerima hukuman itu dengan setimpal.

Oleh itu, apabila dia sedar Yan Xun telah melawatnya setiap bulan, dia tiba-tiba faham lelaki itu tidak benar-benar mahukan dia menjadi isterinya dan melahirkan anak-anaknya. Walaupun dia telah berjanji dengan Dewan Persidangan Song dia akan mengekalkan kedudukannya di Empayar Song, dia tidak menguatkuasakannya. Dia tidak mahu segala-galanya antara dia dan Yan Xun dilabelkan sebagai politik.

Mungkin itu adalah kali pertama dia menjadi degil dan mementingkan dirinya sendiri.

Selepas itu, setiap kali mereka mereka bermalam bersama, dia akan makan herba kontraseptif dan membunuh semua kerisauan yang lelaki itu bimbangkan. Kemudian, dia semakin jarang datang berjumpa dengannya. Setakat ini, lelaki itu tidak bermalam dengannya selama hampir dua tahun.

Sepanjang hidupnya, apa saja yang dia inginkan adalah seperti pasir yang hilang dicelah jurang genggaman jarinya. Semakin kuat dia cuba menggenggamnya, semakin cepat ia hilang. Pada akhirnya, tiada apa yang tinggal.

Dengan api yang sedang membakar, setiap pucuk surat akhirnya terbakar. Api yang menyala itu membakar surat terakhir dan juga bukti mengenai masa lalu mereka. Sedikit demi sedikit, ia terbakar sepenuhnya bersama dengan kehidupannya yang musnah.

Sesetengah jenis percintaan memang terasa manis. Manakala sesetengah jenis percintaan lagi amat membebankan. Dia telah membiarkan Xuan Mo jatuh dan berasa menyesal seumur hidupnya. Sekarang ini dia hampir menemui ajalnya, kenapa dia harus memberitahu lelaki itu segala-galanya dan berasa tidak selesa mengenainya?

Kehidupan lelaki itu sudah cukup sukar. Mengapa dia perlu menabur garam pada luka-lukanya itu lagi?

Bakar, bakar semuanya.

Semua orang dapat melihat kemakmuran dan kekayaan lelaki itu, kekuasaan dan kewibawaannya, namun hanya wanita itu seorang sahaja yang dapat melihat di sebalik lapisan topeng itu di mana hatinya telah terkoyak. Bukan dia tidak mahu mencintai, tetapi kerana dia tidak mampu untuk bercinta.

Dirinya sama seperti lelaki itu, membawa taggungjawab yang banyak. Dia tidak mampu untuk mementingkan diri, terburu-buru, berasa ghairah, dan juga naif.

Bakar, bakar semuanya.

Asap yang semakin banyak itu telah membuatkan dia batuk dengan teruk lagi. Cairan hangat mula mengalir sekali lagi. Pada masa itu, satu kenangan terbayang di matanya. Cuaca musim bunga pada waktu itu dapat dilihat apabila kelopak bunga putih terapung di bawah. Lelaki itu sedang berdiri di dalam taman. Waktu dahulu, matanya kelihatan jernih seperti batu kristal. Sambil tersenyum, dia melihat ke arah wanita itu dan mengusik, "Kamu sesat ke? Kamu datang dari istana mana?"

Dia yang sedang berpakaian seperti lelaki dan wajahnya kelihatan begitu merah. Dia mengumpulkan segala keberanian yang dia ada untuk bercakap namun dia sangat lembut. "Saya adalah anak kepada Raja Anling dari Empayar Song. Nama saya adalah Xuan Mo."

Mungkin, langkah pertama itu pun sudah salah.

Tidak kira betapa indahnya kenangan itu sekalipun, akhirnya ia akan diliputi oleh lapisan habuk yang tebal kerana peredaran masa. Walaupun langit kelihatan sama, ia tidak lagi menjadi awan yang sama dan seseorang itu tidak lagi dapat melihat kenaifan dan kemurniannya. Yang tinggal hanyalah dinding yang roboh dan bayang-bayang yang sepintas lalu. Yang menarikya adalah, hari-hari yang ringkas itu adalah hari-hari yang tidak dapat dilupakannya.

Dalam kehidupan lelaki itu, hanya ada dua orang yang disayanginya. Satu, orang yang telah dihalau olehnya dan satu lagi telah menjadi saudara lelaki yang disayanginya. Mereka tetap akan menjadi insan yang sentiasa berada di dalam hatinya.

Namun, malangnya, Nalan Hongye tidak dapat menjadi salah seorang di antara mereka.

Walaupun seluruh bilik kelihatan cerah, wanita itu dapat merasakan seperti ada tirai merah yang mengaburi penglihatannya lantas menyebabkan segalanya kelihatan sangat teruk dan gelap.

Sepanjang hidupnya, dia telah cuba bertahan tetapi akhirnya semua berubah menjadi kosong, hilang dalam aliran sejarah. Selepas mengawal beribu-ribu nyawa, dia hanya berasa letih dalam kenangan yang sekejap cuma.

Surat di tangannya tiba-tiba terjatuh ke atas tanah seperti salji. Abu hitam di dalam bekas periuk api itu berterbangan, memuntahkan lahar api. Dia tersenyum tawar sehingga ke akhirnya lalu pergelangan tangannya jatuh dengan lemah.

Lima tahun selepas Tuan Yang Agung menubuhkan dinasti tersebut, pada 4 Disember di malam yang bersalji, Maharani Nalan mangkat di Istana Dongnan.

"Tuanku, kami telah menjumpainya."

Yan Xun berpaling. Ketika ini, suasana di Istana Dongnan menjadi sunyi sepi tanpa ada sesiapa di dalam istana agung itu. Tempoh berkabung Maharani sudah lama berlalu dan para pelayan di Istana Dongnan telah ditugaskan ke istana lain. Yang tinggal hanyalah dua orang pelayan tua yang bertanggungjawab untuk membersihkan bangunan tersebut pada waktu siang dan malam.

Yan Xun membuka bekas tersebut dan dia melihat ada sepasang jubah emas yang dipenuhi dengan sulaman serta kata-kata restu di kedua-dua belah kolar. Ia kelihatan ringkas namun menawan. Tetapi lengan bajunya sudah terkoyak dan bertampal. Jika seseorang itu tidak memberikan sepenuh perhatian, mereka tidak akan tahu ia pernah koyak.

Yan Xun berdiri di sana dan memandang jubah tersebut untuk masa yang lama. Akhirnya, dia mengangkat kepala lalu menyerahkan pakaian itu kepada pembantunya sambil berkata, "Pulangkan ke istana."

"Baik, Tuanku."

Para pelayan mengikuti di belakangnya. Pintu pagar istana dibuka, membenarkan angin sejuk dari luar masuk ke dalam lalu menyebabkan habuk debu berterbangan di dalam istana. Cahaya matahari menusuk mata lalu dia mengecilkan matanya. Dia yang sedang berdiri di pintu tiba-tiba berpaling dan melihat ke arah katil di belakang lapisan tirai. Semuanya seolah-olah berlaku sebulan yang lalu apabila wanita itu duduk di sana dan bertanya, "Malam ini saya akan memberitahu kepada para pelayan untuk menyediakan lebih banyak hidangan. Maharaja, awak akan datang menjamah, kan?"

Maharaja, awak akan datang menjamah, kan?

Cahaya matahari menusuk masuk ke dalam hatinya apabila dia tiba-tiba berasa bermulanya kemusnahan. Ia merupakan satu kelewatan yang kecil namun dia tidak menjangkakan ia menjadi satu perpisahan yang abadi. Keningnya sedikit berkerut kemudian kembali santai. Perlahan-lahan, dia menolak perasaan sepi itu ke tepi.

Ketika dia baru sahaja mahu keluar, tiba-tiba dia terbau sesuatu seperti terbakar. Dia berpaling dan melihat seorang pelayan wanita sedang mencangkung dan membakar sesuatu. Dia sedikit terkejut lalu dia membawa beberapa orang bersamanya.

Wanita itu terkejut ketika melihat Yan Xun. Dia segera melompat dan berlutut di atas tanah sambil menyapanya. Yan Xun memandangnya dan bertanya, "Awak Wenyuan, kan? Awak pernah berkhidmat dengan Maharani sebelum ini?"

"Betul, hamba ialah Wenyuan."

"Kenapa awak berada di sini?"

"Ini adalah barang-barang milik Maharani. Sebelum Maharani mangkat, Maharani memberitahu saya untuk membakar semua barang-barang ini. Selepas dihantar kepada Cik Puan Anpin, saya tidak mempunyai masa untuk kembali. Akhirnya, saya berjaya mencari sedikit masa jadi saya datang ke sini untuk menguruskannya."

Melihatkan cara Wenyuan memakai pakaian seorang hamba bawahan dan juga lehernya yang mempunyai tanda warna merah pucat, Yan Xun dapat meneka dengan segera bahawa selepas Maharani mangkat, Wenyuan pastinya telah dibuli. Selepas berfikir sejenak, dia bertanya, "Di mana keluarga awak?"

Wenyuan berasa terkejut kerana dia tidak menjangkakan maharaja akan bertanya mengenai itu. Dia menjawab dengan segera, "Hamba datang ke sini bersama Maharani. Keluarga saya berada di Song."

"Awak ada saudara lain?"

"Tuanku, saya mempunyai ibu bapa yang sudah tua, tiga orang abang, dua orang kakak dan juga seorang adik perempuan."

Yan Xun mengangguk. Dia mengarahkan pelayan di sebelahnya, "Maklumkan kepada jabatan pelayan supaya kurniakan kepadanya pangkat kehormatan Pegawai Pangkat Keempat dan berikan kepadanya elaun tetap yang sama dengan Pegawai Pangkat Kelima. Selain itu, berikan kepadanya seratus paun emas. Dia boleh pulang ke kampung halamannya hari ini."

"Faham,Tuanku. Hamba ingat."

Wenyuan benar-benar terkejut apabila dia hanya berlutut di sana tanpa bercakap apa-apa.

Menariknya, pelayan itu pula yang mengusiknya, "Pegawai Kehormat, awak gembira sangat ke sehingga terlupa untuk bercakap? Awak tak mahu berterima kasih kepada Tuanku?"

Air mata mengalir keluar dengan laju dari matanya apabila dia bersujud di atas tanah lalu berseru, "Terima kasih atas kebaikan Tuanku! Terima kasih atas kebaikan Tuanku!"

Yan Xun tidak lagi bersuara. Pandangan matanya terhenti sebentar di atas tanah yang penuh dengan kertas putih sebelum berpaling dan terus pergi.

Salji sudah pun berhenti. Langit kelihatan sangat biru seperti lopak air. Angin yang bertiup menerbangkan beberapa pucuk surat; sekeping kertas yang berterbangan mengejar lelaki itu.

Beberapa tahun yang lalu, seorang jeneral yang hampir mati menggunakan seluruh kekuatannya untuk menulis sepucuk surat di bawah cahaya sebatang lilin. Surat itu telah melepasi banyak tangan namun tiada sesiapa yang dapat mengesan sebarang keanehan semasa membacanya. Ia adalah sepucuk surat yang dialamatkan kepada Maharaja Yan. Ia menceritakan dengan terperinci maklumat mengenai kekuatan dan rizab tentera Song dan juga maklumat mengenai setiap unit.

Namun, di dalam dunia ini, hanya ada tiga orang sahaja yang dapat memahami makna sebenar yang tersirat di dalam surat itu. Dua daripada mereka sudah meninggal dunia.

Dengan palitan yang kuat, kata-kata di dalam surat itu kelihatan seperti menonjolkan kekuatan kerana ia dicap dengan cap nama Xuan Mo. Namun, kata-kata itu sama sekali tidak sama dengan tulisan tangan yang telah berkomunikasi dengan Yan Xun selama bertahun-tahun.

Angin terus bertiup apabila surat itu masih mengejar Yan Xun, berkibaran ketika api mula menjilat surat itu. Api yang menyala itu membakar kepala surat dan melewati ucapan-ucapan, memakan semua formaliti dan menelan bahagian tengahnya.

Angin tiba-tiba bertiup dengan semakin kuat apabila surat itu terbang lebih tinggi dan hampir menyentuh orang di hadapannya namun pokok pir tiba-tiba muncul di hadapannya. Surat itu tergantung tinggi di atas pokok. Ia terlepas daripada lelaki di hadapannya dengan hanya beberapa meter sahaja.

Yan Xun terkejut ketika dia menatap pokok itu. Tiba-tiba dia teringatkan pada satu hakikat bahawa kali pertama dia bertemu dengan Xuan Mo adalah di tempat ini. Pada masa itu, Xuan Mo sesat dan secara kebetulan telah datang ke sini. Wajahnya kelihatan merah dan dia kelihatan malu seperti seorang gadis kecil.

"Tuanku?" Pelayan itu memanggilnya, "Tuanku?"

Yan Xun kembali sedar apabila dia memberi tindak balas kepada pelayannya sebelum menyambung perjalanan pulang ke istana.

Api tersebut membakar dengan perlahan. Surat yang tersekat di bawah pokok pir itu tidak dihantar lebih dari lima tahun dan ia perlahan-lahan dimakan oleh ular api merah. Akhirnya, yang tinggal hanyalah timbunan abu hitam.Ketika angin bertiup melepasinya, abu-abu tersebut berterbangan berselerakan ke dalam kealpaan.

Dari jauh, para pembantu telah mengutip semua surat-surat yang lain dan melemparkan ke dalam periuk api. Api menyala dengan kuat apabila bahan api dimasukkan dengan tiba-tiba dan memancarkan kepanasan yang baru.

Emosi yang mendalam namun nasib yang cetek.

Ia selalu seperti sejak dari dulu lagi sehingga selama-lamanya.

Menurut arkib sejarah:

Enam tahun selepas penubuhan Empayar, makam Maharani Nalan telah siap. Ia terletak di Pergunungan Luori di Selatan Yan Bei.

23 tahun kemudian, Tuan Yan Agung meninggal dunia dan telah dikebumikan di Makam Taichi. Ia terletak di Utara Gunung Luori dan menghadap makam Maharani Nalan.

Anak sungai Chishui iaitu sungai Qianhua terletak di kawasan ini dan ia mengalir melalui kedua-dua makam tersebut. Disebabkan salji yang selalu jatuh ke dalam sungai menyerupai bunga putih pokok pir, sungai ini juga dikenali sebagai Sungai Bunga Pir.