webnovel

Bah. 12: Bertemakan cinta

Haris sudah menanti di pintu utama bangunan apartmennya. Dia memerhati sekeliling. Dia melihat seorang lelaki turut sedang menanti sepertinya. Lelaki itu berkaca mata hitam serta mengenakan topeng mulut hitam dan sedang bersandar di dinding, menanti dengan kebosanannya.

Suatu kereta mendekati mereka. Seseorang keluar dari pintu bahagian pemandu. Aisyah menyapa Haris yang sudah berdiri berdekatan dengan keretanya, "Doktor dah lama tunggu?"

Belum sempat Haris memberikan respon, Aisyah tiba-tiba menyapa gerangan lelaki yang turut menanti di situ dengan lantang, "Wei, Amir! Berapa lama kau nak berdiri kat situ? Aku tinggal kau, kan?!"

Haris menoleh dan melihat gerangan itu. Dia tidak menyangka gerangan itu menanti orang yang sama dengannya. Gerangan itu berjalan mendekati mereka. Dia membuka topeng mulutnya.

"Kau lagi lambat dari Rose. Kau tahu berapa lama aku dah berdiri kat sini?" sungut Amir sambil mendekati Aisyah.

"Kau berdiri tak sampai lima minitpun. Aku yang berdiri lagi lama dari kau pun, tak komen apa-apa." Haris menggerutu perlahan.

Aisyah berdiri di samping Haris dapat mendengar dengan jelas omelan perlahan Haris itu. Dia tidak dapat menahan dirinya dari tergelak kecil mendengar omelan comel Haris itu.

"Aku drive," ujar Haris, kemudian berdiri di sisi pintu kerusi pemandu. Dia sudah memegang tombol pintu namun dihentikan oleh Aisyah.

"Eh, tak apalah, doktor. Saya drive," ujar Aisyah sambil mendekati Haris. Dia tersenyum ketika berdiri di hadapan Haris dan cuba memujuk Haris agar membiarkan dia yang meneruskan pemanduan seterusnya.

"Tak apa. Aku drive," arah Haris tegas sambil membuka pintu penumpang untuk Aisyah.

Aisyah akur. Dia duduk di kerusi penumpang di belakang bersama-sama Amir sementara Finna tidak beranjak dari duduknya di kerusi sisi pemandu. Haris duduk di kerusi pemandu dan mula membetulkan kerusi itu sesuai dengan keselesaannya. Kemudian, dia memulakan pemanduannya.

Haris menurunkan mereka di pintu masuk taman tema itu, kemudian memandu kereta itu ke parkir kereta. Selesai memarkir kereta, dia menyapa mereka yang menanti di pintu masuk.

Seorang lelaki menyapa mereka, "Okey, semua dah ada?" Hakim memberikan pas masuk ke setiap dari mereka.

"Hey, Dr. Haris?" sapa Hakim sebaik menyedari gerangan di hadapan adalah majikan Aisyah dan bukan kawan mereka.

"Aku ingat Dr. Faridz." Kawan yang dimaksudkan Hakim ialah Faridz kerana seingatnya dia ada mengajak Faridz untuk melepak bersama-sama mereka jika mempunyai kelapangan hujung minggu itu.

"Itulah. Aku rasa aku ajak dia. Tapi pagi ni, dia mesej aku kata dia busy," sampuk Amir yang ada menerima mesej ringkas dari Amir semasa sedang bersiap pagi tadi.

"Aisyah, kau, ke? Yang ajak Dr. Haris?" soal Hakim berbisik di samping Aisyah. Aisyah hanya mengangguk kecil mengiyakan persoalan Hakim itu.

"Dr. Faridz shift pagi hari ni," ujar Haris selamba. Terselit rasa terkilan di hatinya kerana gerangan yang diharapkan oleh mereka tidak hadir sebaliknya dirinya yang berada di situ seperti orang tidak diundang.

"O~~. Tak apalah," ujar Aisyah bersahaja. Dia tidak terlalu memikirkan hal itu kerana dia sangat memahami pekerjaan mereka itu.

"Sebab minggu-minggu lepas dia asyik lepak dengan kita je. Sebab tu dia kena kerja pula minggu ni," sambung Hakim menyokong pernyataan Aisyah itu.

"Apa? Faridz selalu lepak dengan dia!" bentak Haris dalam fikirannya. Tersembunyi iri dalam hatinya akan keakraban Aisyah bersama-sama Hakim, juga Faridz dan juga masa yang mereka luangkan bersama-sama.

"Sampai bila kita nak borak kat sini?" sampuk Finna yang mula kebosanan menanti teman-temannya itu.

"Ala, sorry lah, ma'am!" pujuk Aisyah sambil mendakap sahabat baiknya itu dan berjalan beriringan masuk ke taman tema itu.

Mereka yang lain mengekori mereka masuk ke taman tema itu.

"So, ma'am, nak main apa dulu?" tanya Finna sambil menatapi wajah teman baik di sisinya itu.

"Untuk warm-up, jom try Viking." Aisyah mengajak mereka bermain ayunan kapal Viking.

"Okey." Mereka semua setuju dengan cadangan Aisyah itu lalu berbaris masuk ke kapal Viking itu.

Mereka memasuki permainan tersebut dan ayunan kapal itu perlahan-lahan bermula. Kemudian, ayunan kapal itu semakin laju. Beberapa dari mereka amat teruja dan tidak dapat menahan diri dari bersorak dengan gemuruh saat ayunan itu semakin deras.

Sebaliknya, Amir dan Haris, masing-masing merasakan deruan darah mengalir dingin dan menyusuk perasaan gentar apabila ayunan itu semakin pantas. Mereka terjerit-jerit gentar apabila ayunan itu semakin mengganas.

"Next!" ucap Aisyah bersemangat sebaik turun dari permainan Viking itu.

Haris dan Amir kelihatan pucat selepas turun dari permainan itu. Aisyah mengamati wajah Haris itu dan tersengih-sengih sendiri mengetawakan reaksi Haris selepas bermain permainan itu. Dia teringat akan reaksi Haris sebentar tadi ketika dia curi-curi melihat Haris yang duduk di baris belakangnya. Dia tidak menyangka Haris akan memberikan reaksi seperti itu yang bertentangan dengan keperibadiannya selama ini.

"Jom," ajak Hakim ke permainan yang seterusnya.

Aisyah dan yang lain mengekori Hakim. Amir mendekati Hakim dan mereka berbual sesama mereka. Sementara, Aisyah dan Finna berjalan bersama-sama sambil mendakap tangan. Haris keseorangan di belakang dan hanya mengekori dengan senyap.

Mereka berjalan melalui jambatan gantung. Aisyah teringat akan Haris dan menoleh melihat Haris masih kaku di hujung jambatan. Aisyah meminta Finna pergi terlebih dahulu.

Aisyah berjalan kembali ke hujung jambatan dan menyapa Haris, "Jom!" sambil mendakap tangannya. Aisyah menyedari ada sesuatu yang tidak kena akan Haris sehinggakan dia tidak mampu berjalan melalui jambatan itu.

Haris kaku di hujung jambatan dan terimbau suatu kenangan zaman kecilnya, saat dia cuba menyeberangi titian kayu yang hanya selebar tapak kaki lelaki dewasa. Akibat terlalu gentar saat menyeberanginya, dia hilang keseimbangan dan terjatuh ke dalam parit yang sedalam lima kaki.

Saat Aisyah mendakap tangannya dan mendampingi menyeberangi jambatan itu, Haris dengan tenang dapat berjalan di atas jambatan gantung itu. Dia menatapi wajah Aisyah sepanjang mereka menyeberangi jambatan itu, membuatkan traumanya hilang seketika. Malah dia merasakan sesuatu yang aneh dengan dirinya dan aura Aisyah seperti seseorang yang pernah dikenalinya namun dia hanya mampu mengagak.

Mereka tiba di aktiviti yang seterusnya, bungee jumping. Mereka semua teruja kecuali Haris namun dia cuba berlagak berani kerana Aisyah. Sambil memasangkan tali keselamatan, Hakim menceritakan pengalaman bermain bungee jumping sebelum ini. Dia pernah mencuba beberapa khidmat bungee jumping di luar negara sebelum ini dan ia sangat menguja. Oleh sebab itu, dia ingin Aisyah mencuba cabaran sukan lasak itu.

Mereka sangat tertarik mendengar perkongsian Hakim itu. Mereka selesai mengenakan tali keselamatan dan mendengar taklimat keselamatan, akhirnya tiba masa untuk membuat terjunan. Hakim menawarkan diri untuk membuat terjunan yang terlebih dahulu.

Dia dengan tenang berdiri di hujung platform dan bersedia membuat terjunan. Dia membuat terjunan dengan bersorak teruja. Mereka yang lain juga bersorak kagum. Haris hanya menanti di pinggiran dengan penuh gemuruh dan gentar serta hanya berharap gilirannya takkan tiba.

Seorang demi seorang membuat terjunan dan akhirnya tiba giliran Haris. Haris perlahan-lahan berjalan ke platform. Dia kaku di hujung platform dan mereka menantinya membuat terjunan serta bersorak memberikannya semangat. Aisyah mendekatinya dan berbisik sesuatu ke telinganya, "I love you!" untuk mengusik Haris lalu menolaknya terjun.

Haris terpegun mendengar bisikan Aisyah itu, "Huh?" dan menjerit gentar, "Huh......" saat menyedari dirinya mencunam jatuh dari platform.

Selepas penat menjerit dan lantunan tali bungee itu pegun, dia ditarik naik ke platform semula. Sepanjang itu, dia tidak henti memikirkan bisikan Aisyah sebentar tadi. Dia berharap ia adalah benar tapi dia tidak menyangkal dia mengesyaki ia mungkin gurauan semata-mata. Dia takut untuk mengetahui kenyataan di sebalik maksud sebenar bisikan Aisyah itu.

Dia terdiam sepi saat tiba di platform. Dia menatapi wajah Aisyah dengan suatu renungan sayu. Dia ingin segera menyapa Aisyah dan mempersoalkan bisikan Aisyah namun dia juga tidak mahu menghampakan dirinya saat mengetahui perkara yang sebenar. Maka dia hanya berdiam diri.

次の章へ