webnovel

Jangan Sesekali Sentuh Pistol Ini. Ia amat Berbahaya

編集者: EndlessFantasy Translation

"Kamu boleh datang ke sini selalu lepas ni," kata Su Qianci sambil menutup teko teh itu. Tangannya sedikit menggeletar ketika menuturkan ayat itu. "Budak-budak itu baru saja merungut beberapa hari lepas yang kamu berdua jarang melawat mereka. Kebetulan pula, saya nak belajar menembak." Su Qianci menoleh ke arah Rong Haiyue. "Boleh kamu ajar saya?"

"Dah tentu!" Rong Haiyue segera bersetuju dan kelihatan gembira.

Rong Xuan memandang Su Qianci dengan terkejut. Setelah empat tahun berlalu, anaknya itu sudah semakin matang. Dulu Su Qianci mempunyai pipi yang gebu dan bulat, tetapi kini wajahnya lebih tirus, matang dan tampak berkebolehan. Gaya percakapan dan pergerakannya pula langsung tiada cela. Adakah anak perempuannya itu sudah boleh menerima mereka sekarang? Air mata gembira gugur ke pipi Rong Xuan, tetapi tiada sesiapa berkata apa-apa. 

Selepas mereka menjamu teh dan sedikit kuih, Su Qianci mengambil sepucuk pistol angin dan menghulurkannya kepada Rong Haiyue. Di halaman rumah yang besar itu, Li Jinnan ada meninggalkan satu tempat sasaran menembak yang tidak pernah dibuang. Malah pistol angin itu juga adalah kepunyaan Li Jinnan. Selepas memastikan tiga kanak-kanak itu tidak berada berdekatan, Su Qianci dan Rong Haiyue memulakan latihan.

Pistol angin itu lebih ringan daripada pistol biasa dan pelurunya terisi secara automatik. Rong Haiyue mengajar Su Qianci cara untuk mengenalpasti sasaran. Kemahiran menembak Rong Haiyue terkenal dalam pasukan tenteranya. Hampir semua tembakannya tepat mengenai pusat sasaran dan langsung tiada yang jauh tersasar. Sebaliknya, ketepatan tembakan Su Qianci hampir membuatkan Rong Haiyue ketawa. "Cara kamu menembak itu, nasib baik tiada orang di belakang tempat sasaran. Jika tidak pasti akan berlaku kemalangan." 

"Ini cuma pistol angin, bukan pistol sebenar." Su Qianci tidak peduli kata-kata Rong Haiyue dan terus berlatih.

Li Jianqian dan Li Mosen sudah siap memasang model kereta mainan bersama-sama. Li Jianyue sedang gembira bermain dengan anak patung di tangan kirinya dan model kereta itu di tangan kanannya. Kedua-dua budak lelaki itu sedang duduk melutut di hadapan pintu yang terbuka sambil memandang ke halaman. Mata mereka kelihatan bersinar. Lelaki, tanpa mengira usia sememangnya amat berminat terhadap mesin, kereta dan pistol. Li Jianqian dan Li Mosen sedang memerhatikan pistol yang berada di tangan Su Qianci dengan mata yang bersinar dengan keinginan.

Rong Haiyue menyedari perlakuan kedua-dua kanak-kanak itu. Dia mengambil pistol angin itu dari tangan Su Qianci dan berkata, "Walaupun pistol angin ini bukan pistol sebenar, ia juga boleh menyebabkan kecederaan. Dulu ramai pemburu suka gunakan pistol seperti ini untuk memburu haiwan liar seperti babi hutan dan bison. Kalau seseorang ditembak menggunakan pistol ini pada bahagian penting, dia boleh mati." Kemudian Rong Haiyue menoleh ke arah Li Jianqian dan Li Mosen dengan wajah yang serius dan berbaur amaran. "Kanak-kanak terutamanya tak boleh sesekali sentuh pistol ini. Ia amat berbahaya."

Su Qianci baru tersedar kedua-dua budak lelaki itu sedang memerhatikannya sambil tersengih lalu melemparkan pandangan amaran.

"Faham Atuk!" Li Jianqian bangun kemudian bertanya, "Tapi bahagian penting tu apa?"

"Bahagian penting maksudnya bahagian tubuh kita yang paling lemah, contohnya leher, otak dan hati. Kalau bahagian-bahagian ini terkena tembakan pistol angin, seseorang itu boleh mati." Rong Haiyue menyimpan pistol itu kemudian menyuruh budak-budak itu pergi. "Jangan duduk di sini, kemahiran menembak Mama kamu agak teruk. Pasti teruk kalau dia tersasar dan mencederakan kamu."

Li Jianqian ketawa dengan kuat. Pipi Su Qianci bertukar kemerahan dan dia menghentakkan kakinya. "Tak seteruk itu! Takkanlah saya boleh tersasar sehingga 90 darjah!"

Pada masa yang sama, Li Mosen berasa gembira mendengar kata-kata Rong Haiyue.

Mama kamu… Adakah ia bermaksud Su Qianci ialah ibunya juga?

次の章へ