webnovel

Melatih Anjing di Dalam

編集者: EndlessFantasy Translation

Kerjasama antara syarikat TL dan LS telah tersebar luas disebabkan promosi daripada TL. Fakta Li Jinnan sendiri yang akan menandatangani kontrak itu menjadi isu hangat dalam industri perniagaan. Tang Qing datang bersama pengawal peribadinya ketika menyerahkan kontrak yang telah ditandatanganinya. Li Jinnan mengambil kontrak itu lalu membacanya dengan teliti. Dia masih mengingati pesanan L.

[Terdapat kelompangan dalam kontrak TL. Jangan beritahu mereka ketika menandantangani kontrak. Kamu boleh gunakannya untuk melawan mereka nanti.]

Kelompangan rahsia? Mata Li Jinnan tertancap pada bahagian "Untuk Perhatian" di dalam kontrak itu buat seketika. Tang Qing memerhatikan Li Jinnan untuk melihat sebarang reaksi lelaki itu. Akhir sekali, Li Jinnan hanya membaca sepintas lalu bahagian "Syarat Perlanggaran Kontrak". Beberapa ayat di bahagian itu membuatkan dia segera memahami perkara yang dimaksudkan L. Ia sememangnya menunjukkan gaya Li Sicheng, tersembunyi dan berbahaya. Sekarang dia pasti L ialahLi Sicheng, malah abangnya itu juga yang telah menyediakan kontrak ini. Riak wajah Li Jinnan kekal tenang walaupun pelbagai jenis emosi menyelubungi dirinya. Sepanjang membaca kontrak itu, bahagian "Syarat Perlanggaran Kontrak" ialah bahagian yang paling pantas ditelitinya. Li Jinnan mengeluarkan pennya sendiri dan terus menandatangani serta mengecop kontrak itu dengan cop syarikat LS, kemudian menghulurkannya kepada Tang Qing. 

Dua syarikat itu dengan rasminya mengumumkan kerjasama mereka. Li Jinnan dan Tang Qing bersalaman dan mengangguk ke arah satu sama lain. Ketika mereka baru sahaja hendak berpisah mengikut haluan masing-masing, Li Jinnan menerima satu panggilan telefon. Tang Qing yang memerhatikan Li Jinnan menyedari perubahan pada riak wajah lelaki itu. Wajah Li Jinnan yang tadinya tenang berubah menjadi teruja. Lelaki itu berkata dengan nada tidak percaya, "Kamu jumpa Tang Mengying?"

Jantung Tang Qing terasa seakan luruh mendengar kata-kata itu. Pengawal peribadinya turut gementar dan melangkah ke hadapan Tang Qing untuk berjaga-jaga.

Walau bagaimanapun, Li Jinnan langsung tidak menoleh ke arah Tang Qing, sebaliknya memberi arahan menerusi telefon itu, "Pastikan kamu cari dia sampai dapat, tak kira sama ada di di Yunnan atau Myanmar!"

Yunnan? Myanmar? Tang Qing saling berpandangan dengan pengawal peribadinya dan kedua-dua mereka menarik nafas lega. Nampaknya konco-konco Li Jinnan telah tersilap orang.

Li Jinnan memberi beberapa arahan lagi sebelum menamatkan panggilan itu. Kemudian dia berpaling ke arah Tang Qing lalu berkata, "Maaf, saya ada kerja sedikit dan perlu minta diri dulu."

"Baiklah."

Li Jinnan terus keluar.

Tang Mengying ketawa mendengus di belakangnya dan berjalan keluar dengan perlahan. Sebaik tiba di rumahnya, Tang Mengying terus turun ke ruang bawah tanah.

Jing Sao segera membuka pintu sebaik melihat kelibatnya. Beberapa pagar perlu dilalui untuk masuk ke tempat yang dikawal ketat itu. Di hadapan satu-satunya pintu keluar di hadapan, empat kamera CCTV telah dipasang. Langsung tiada tempat untuk bersembunyi di situ. Malah empat orang pengawal peribadi sentiasa berkawal pada masa yang sama, maka mustahil untuk seseorang melepaskan diri dari tempat itu walaupun jika dia mempunyai tiga kepala dan enam tangan. Selain Tang Mengying, hanya Jing Sao yang boleh mengawal apa-apa di situ. Sebelum ini Jing Sao ialah orang gaji yang telah berkhidmat dengan keluarga Tang selama hampir enam tahun.

Tang mengying amat berpuas hati dengan kecekapan Jing Sao. Dia mengangguk dan berkata dengan simpati, "Jing Sao, dah lama kamu tak bercuti. Kamu ada mana-mana tempat yang kamu mahu pergi?"

Jing Sao kelihatan terharu mendengar kata-kata itu, tetapi kemudian menggeleng dan berkata, "Tak ada Cik Tang. Ke mana saya boleh pergi? Suami dan anak lelaki saya dah mati. Satu-satunya hiburan saya sekarang adalah melatih anjing di dalam kurungan ini. Tak ada perkara lain yang boleh gembirakan saya."

次の章へ