Penuh halaman rumah En.Martin dengan kereta rombongan lelaki yang datang untuk merisik dan seterusnya meminang Kayla. Kalah-kalah majlis kahwin. Sheena yang baru tiba dari ladang terkesima melihat bilangan kereta yang begitu banyak. Mereka tidak pernah menerima tetamu sebanyak itu selama ini, walaupun ketika rumah terbuka Krismas atau Kaamatan. Dia mengemaskan rambutnya yang serabai kemudian menghidu pakaiannya, busuk boleh tahan. Macam mana dia mahu masuk ke dalam rumah dengan keadaannya sebegini? Sepatutnya dia balik selepas semua tetamu itu pulang tapi macam mana juga dia mahu tahu yang para tetamu itu sudah pulangkan. Dia ingatkan mereka tidak akan mengambil masa yang lama untuk merisik, dia manalah tahu apa-apa.
Tumpuan Sheena tertumpu kepada sebuah kereta Dmax putih yang berparkir betul-betul di hadapan beranda rumah mereka. Dia kenal kereta itu. Adam? Apa yang kekasihnya itu lakukan di rumah mereka? Dia tertanya-tanya. Oh, mungkin dia adalah saudara mara kepada lelaki yang mahu merisik Kayla! Wah, kalau begitu dia dan Kayla bakal menjadi ipar? Sheena tersengih sendiri. Dia mencari-cari telefon bimbit di dalam poketnya dan mendail nombor Adam dengan harapan lelaki itu akan keluar untuk menemuinya di luar rumah. Rindu yang dia tahan selama ini semakin membuak-buak, sudah lama dia tidak bertemu dengan Adam kerana setiap kali dia membawa lelaki tersebut untuk bertemu ada sahaja alasan yang dia berikan. Panggilan pertama tidak berjawab, mesti dia tengah sibuk menjadi saksi di dalam atau dia menjadi telangkai? Sheena membuat andaian sendiri. Kemudian dia mencuba lagi untuk kali kedua, kali ini hanya satu deringan dan panggilannya putus. Eh, takkan panggilannya itu dimatikan? Dan kenapa Adam tidak mengatakan apa-apa kepadanya sebelum ini? Sepatutnya dia memberitahu dirinya agar dia tidak terlanjur ke ladang, boleh juga mereka dating seketika. Atau mungkin dia tidak tahu yang rombongan itu adalah untuk merisik Kayla, sepupunya.
Setelah lama menanti di luar rumah, Sheena sudah tidak tahan lagi untuk mahu ke tandas. Mahu tidak mahu dia terpaksa masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang di bahagian dapur. Perlahan-lahan dia membuka pintu, nasib baiklah tidak ada orang di dalam dapur saat itu yang ada hanyalah lauk-pauk yang sudah siap terhidang, harumnya menusuk ke dalam hidung. Berkeroncong perut Sheena, baru dia sedar yang sudah seharian dia tidak makan tapi macamlah dia tidak biasa dengan keadaan tersebut. Ah, abaikan tentang makanan yang penting sekarang dia mahu ke tandas. Sheena berlari-lari anak ke tandas sambil matanya melirik sekilas ke arah ruang tamu yang dihubungkan dengan pintu. Daun pintu yang sedikit terbuka membuatkan matanya tertumpu kepada susuk tubuh yang dia kenal, sedang duduk di sebelah Kayla tapi oleh kerana dia sungguh-sungguh tidak boleh menahan lagi kencingnya terpaksa dia abaikan. Mindanya ligat berfikir, apakah matanya tersilap tadi?atau pelanduk dua serupa? Positif Sheena, positif. Dia berusaha untuk menenangkan dirinya. Selesai dengan urusannya, dia cepat-cepat keluar kembali dan mengintai di balik pintu memastikan apa yang dia lihat sebentar tadi. Hanya untuk memastikan sahaja kerana tidak mungkin apa yang bermain di fikirannya adalah benar. Mustahil sama sekali.
Okay, dia melihat Kayla dengan dress pink-nya sedang duduk di atas sofa, Pn.Biba sedang berdiri disebelahnya (pengapit?), Sheena tersengih sendiri. Kemudian matanya beralih kepada lelaki yang duduk di sebelah Kayla, dengan serta merta dia terkaku. Apa yang dia lihat itu adalah orang lain? Atau imaginasi dirinya semata-mata? Atau kembar?
Jantung Sheena berdegup kencang, dia cuba untuk mempositifkan fikirannya tapi mahu positif bagaimana lagi? Setahu dia Adam, kekasih hatinya itu tidak mempunyai kembar tapi takkan lah itu Adam? Mustahil. Sangat mustahil. Sheena tidak mahu mempercayai matanya sendiri. Rabun kot. Dia mencari alasan lain.
"Baiklah, kalau semua sudah bersetuju dan tidak ada yang membantah. Saksi juga sudah tampil ke hadapan untuk menandatangani surat perjanjian, maka dengan ini Adam bolehlah sarungkan cincin di jari manis Kayla dan Kayla sarungkan cincin di jari manis Adam." Jelas di telinga Sheena nama Adam diulang dua kali oleh Ketua Kampung mereka, En.Matius. Jadi itu memang Adam? Adam Daniel yang dia kenal?
Lututnya terasa lemah, dadanya terasa sesak. Apa yang perlu dia lakukan? Dia cuba untuk bersandar ke dinding dapur tapi tetap juga dia jatuh terduduk diatas lantai. Fikirannya kosong, semangatnya seakan terbang meninggalkan dirinya. Tidak mungkin Adam sanggup melakukan hal yang kejam seperti itu kepadanya, mustahil. Ini mesti kerja Kayla yang sengaja mahu merampas kekasihnya. Perasaan marah tiba-tiba menguasai dirinya, dia tidak kisah apa yang akan terjadi. Yang penting dia mahu Adam kembali kepadanya, dia tidak kisah dengan semua jenis penindasan yang Kayla lakukan keatas dirinya selama ini. Namun, merampas satu-satunya sumber kebahagiaan sejati dan kesempurnaan dirinya, itu memang sudah melampau. Selepas mengenali Adam, dialah tempat untuk dirinya mencurahkan rasa sama ada bahagia atau derita dan lelaki itu mendengar dengan sabar. Rasa yang selama ini dia pendam kini sudah ada tempat untuk dia curahkan tetapi kalau Kayla turut merampas Adam darinya kepada siapa lagi dia mahu kongsikan rasa itu?
Sheena bangkit dari duduknya, dia sudah tidak kisah dengan tubuhnya yang berbau busuk atau rambutnya yang kusut masai atau pakaiannya yang compang-camping, dia meluru masuk ke dalam ruang tamu.
"Apa semua ini??"
Dia membentak marah.
Menyebabkan tetamu yang ada terpinga-pinga kerana terkejut dengan kehadiran Sheena tiba-tiba. Dengan keadaan dirinya dan bentakannya itu. Mereka tertanya-tanya, orang gila terlepas dari hospital bahagia manakah ini?
Adam yang baru mahu menyarungkan cincin ke jari manis Kayla hampir terlompat melihat Sheena yang tiba-tiba ada dihadapannya. Bukankah dia sepatutnya berada di ladang? Kenapa tiba-tiba muncul pula?
"Sheena, awak dah kenapa? Masuk-masuk buat perangai tak senonoh?" Pn.Biba yang turut tersentak dengan kehadiran Sheena cepat-cepat kearah Sheena. Dia cuba untuk menariknya masuk kembali ke dalam dapur tapi gagal. Dia risau gadis tersebut akan merosakkan pertunangan anaknya, nanti punah harapannya mahu bermenantukan Adam Daniel. Jejaka pujaan kampung, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengurusan perniagaan dari universiti luar negara. Bakal bekerja di ibu kota di sebuah syarikat terkenal. Sudahlah kaya, bijak, berpelajaran, tampan lagi. Perfecto.
"Lepaskan saya, auntie! Sampai hati, auntie biarkan Kayla rampas kekasih saya..."
Semua tetamu yang hadir termasuklah En.Martin, Pn.Biba sendiri, Kayla dan Adam melopong mendengar kata-kata Sheena. Semuanya tidak mempunyai idea tentang apa yang diperkatakan oleh Sheena, kecuali Adam. Iya, Adam kerana selama ini mereka bercinta tanpa pengetahuan sesiapa. Hanya mereka berdua sahaja yang tahu tentang perasaan dan hubungan yang mereka jalinkan bersama.
"Adam Daniel ialah kekasih saya auntie. Kami sudah menjalinkan hubungan sejak beberapa bulan yang lalu dan kami saling mencintai, sangat-sangat mencintai satu sama lain." Air mata Sheena mulai bergenang di kelopak matanya. Dia tidak tahu apa yang perlu dia katakan lagi, pandangan matanya tepat kearah Adam. Berharap agar lelaki itu akan memberitahu hal yang sebenar. Dia tahu Adam akan kembali kepadanya kerana semua ini adalah satu paksaan terhadap Adam. Dia tahu lelaki itu juga tidak rela, mana mungkin Adam akan rela untuk meninggalkannya. Lelaki itu mencintainya, hanya dia seorang.
"Adam, apa benar kata-kata gadis ini?" Tuan James, bapa kepada Adam bersuara tiba-tiba. Ada sesuatu yang tidak kena. Gadis yang baru tiba itu tidak menipu, tiada sinar penipuan terpancar di matanya.
"No, papa. I don't know her." Laju kata-kata itu terkeluar dari mulut Adam.
Sheena terkedu, dia tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dia dengar itu. Matanya masih merenung lelaki itu, dia mesti buat lawakkan. Sheena masih tidak mahu menerima kenyataan.
"Tapi Adam..."
"Saya tidak kenal awak siapa dan hari ini adalah hari pertama saya bertemu dengan awak. Seriously." Adam memotong kata-kata Sheena. Tidak ada riak wajah bersalah terpancar di wajahnya, seakan-akan yang dia benar-benar tidak mengenali gadis tersebut.
Air mata yang tadi bergenang kini sudah luruh membasahi pipi gebu Sheena, selama ini tinggi sungguh harapan yang dia letakkan pada lelaki itu dan hari ini hanya dengan sekelip mata sahaja semua harapan tersebut musnah. Kepada siapakah lagi mahu dia sandarkan kepalanya?
"Adam, awak jangan nak menipu pula tau. Baik awak cakap betul-betul." Tuan James masih kurang percaya.
"I swear, papa. Saya tidak kenal dengan dia selama ini. Papa taukan taste saya. Mana mungkin..."
Adam tidak meneruskan kata-katanya, dia melirik memandang Sheena. Sorry, awak memang lebih cantik daripada Kayla tapi awak tidak miliki apa- apa. Dia berbisik di dalam hati. Kemudian dia memandang Kayla sambil tersenyum manis.
Sheena mahu membalas lagi kata-kata lelaki itu, mahu memberitahu tentang bagaimana mereka bertemu dan bercinta tapi adakah yang mahu mempercayainya? Matanya melilau memandang sekelilingnya, semua mata yang memandang kearahnya penuh dengan kecurigaan. Mereka pasti menganggap yang dirinya menipu dan sengaja mahu menimbulkan huru-hara di majlis pertunangangan sepupunya sendiri. Sebab apa? Mestilah kerana cemburu dan menyimpan perasaan terhadap bakal tunang sepupunya sendiri.
"Papa tanya sekali lagi, awak pasti awak tidak mempunyai sebarang hubungan dengan gadis ini, Adam?"
Adam mengangguk penuh semangat. Tuan James menarik nafas lega, percaya dengan kata-kata anaknya itu. Dia tahu taste anaknya, gadis bergaya dan seksi tidak mungkin gadis tersebut. Serabut, comot, busuk dan kampungan. Maknanya gadis itu pandai berlakon dan saja mahu menganggu majlis mereka hari itu.
"Martin, jelas sekali gadis itu cuma mahu mengganggu urusan kita hari ini. Dia ahli keluarga awak ke?"
Pandangan En.Martin yang tadinya hanya memerhatikan tiap gerak geri Adam kini beralih kepada Sheena, anak buahnya.
"Dia anak mendiang adik saya." Pn.Biba menjawab.
Tuan James mengangguk perlahan.
"Bawa dia pergi dari sini buat sementara waktu. Nanti tidak pasal-pasal, majlis kita bertukar darah pula." Sinis kata-katanya.
Kerlingan mata Pn.Biba memberikan isyarat agar En.Martin membawa Sheena keluar dari dalam rumah tersebut.
"Tapi uncle..."
Sheena masih mencuba untuk mencari kekuatan untuk menjelaskan hal sebenar.
"Kita keluar sahaja, Sheena. Mari..." En.Martin menarik tangan anak buahnya itu dengan lembut, mahu tidak mahu Sheena terpaksa akur. En.Martin sendiri tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya tapi dia hanya menurut sahaja, kalau dia ingkar isterinya akan memarahinya. Dia menarik nafas berat.
Sheena melangkah longlai tiada apa yang mampu dia lakukan, Adam juga mengaku yang dia tidak mengenali dirinya. Dengan air mata yang semakin deras mengalir dan tanpa kerelaan yang ikhlas, akhirnya Adam kekasih hatinya menjadi milik Kayla, sepupunya.
Sampai hati awak Adam, awak datang memberikan harapan tapi awak juga yang musnahkan harapan yang awak sudah berikan. Kejam. Sungguh kejam.
Sheena menoleh untuk kali terakhir, memandang Adam tetapi lelaki itu tidak memandangnya, lelaki itu memandang Kayla dan tersenyum kepada Kayla serta menyarungkan cincin itu ke jari manis Kayla. Hancur, hati Sheena hancur lagi. Sudah tidak ada lagi sinar kebahagiaan untuk dirinya jauh sekali impian untuk mempunyai hidup yang sempurna.