webnovel

Kerajaan Pulau Ilusi

Beberapa bulan lalu….

"Bagaimana kota sebegitu dapat dibangunkan jika ianya diasaskan oleh sesuatu yang karut-marut?" tanya Maria.

"Seperti yang saya katakan tadi, Kentofes menjadi ikutan golongan bijak pandai dan berkemahiran. Oleh itu, apabila mereka sudah obsess, mereka akan melakukan apa sahaja untuk Kentofes."

"Kenapa mereka menyokong sesuatu yang mempunyai asas kepada kepercayaan karut marut?"

"Tidak dapat dinafikan, hampir separuh daripada mereka yang menyertai dan memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Kentofes adalah mereka yang bijak dan mempunyai pengetahuan luas dalam pelbagai bidang. Namun, mereka sebenarnya telah tertipu kerana apa yang diberitahu oleh Kentofes nampak menarik dan kedengaran rasional. Satu siasatan sulit yang dibuat telah membuktikan yang Kentofes adalah satu ajaran sesat yang mempergunakan golongan bijak pandai untuk merealisasikan penyebarannya." Jelas Profesor Alex panjang lebar.

"Nampaknya Kentofes amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan kumpulan ajaran sesat yang lain."

"Perbezaan yang amat ketara sekali Maria. Derof yang diperjuangkan oleh Kentofes amat berbeza sekali. Ianya kini menjadi sesuatu yang kukuh, diiktiraf dan diterima ramai. Tidak keterlaluan jika saya katakan yang ianya satu fahaman dan pegangan moden yang telah menguasai negara ini untuk beberapa dekad yang lalu. Apa yang mereka pegang selama ini sebenarnya tidak berasas. Ia tidak rasional dan sesat. Di sebalik keinginan untuk mewujudkan dunia yang lebih positif, bebas, progresif, saintifik dan idealisitik, mereka dengan obsesnya memberi komitmen dan terus memperjuangkannya. Kentofes adalah kuasa paling besar dalam sistem dan struktur sosial moden negara kita. Ianya menjadi asas bagi kerajaan, undang-undang, dunia saintifik, seni dan etika kita pada ketika ini."

"Jumlah yang mengikuti Kentofes sudah semestinya ramai. Jika tidak, masakan mereka boleh menguasai negara dan sistem pemerintahan." Maria cuba membuat tekaan.

"Jumlah mereka sedikit sahaja. Tetapi mereka merupakan si bijak yang menduduki jawatan penting di dalam pelbagai institusi."

"Ini bermakna, kerajaan Pulau Ilusi adalah....?"

"Ya! Anggota yang mentadbir masyarakat, yang menubuhkan polisi pendidikan dan membentuk corak pemikiran masyarakat melalui media secara umumnya adalah merupakan golongan tersebut. Cuba lihat apa yang berlaku di Ilusi dan Zuria sekarang, begitu ramai pemimpin, ahli politik, tokoh masyarakat, saintis dan ramai lagi mereka di dalam masyarakat kita yang dikenali kerana sikap dan kegilaan mereka. Jika kita selongkar kehidupan mereka ini dan daripada siasatan yang dibuat, mereka merupakan orang-orang yang begitu obsess dan setia dengan Kentofes. Kentofes telah menyuburkan kekejaman dan kegilaan mereka dan mempengaruhi golongan ini melalui fahaman sesatnya."