webnovel

Awanama Kosmos

Bahan ujikaji yang dibawa oleh angkasawan kedua negara ke stesen ISS tiba-tiba bertindak balas dan menghidup pada graviti sifar. Makhluk berkenaan telah diberi nama 'Awanama Kosmos' oleh NASA kemudiannya telah jatuh ke permukaan bumi lalu menjadi pandemik.

HdinHafizuddin · Sci-fi
Peringkat tidak cukup
34 Chs

Bab 21

DUA minggu selepas Nora Yuhanis berkelana di stesen ISS, negara sekali lagi melakar satu sejarah baru apabila berjaya melancarkan stesen angkasa 'GEMILANG-01' daripada tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome ke angkasaraya. Modul-modul stesen angkasa ini dilancarkan secara berperingkat-peringkat melalui enam fasa yang berbeza dimana fasa terakhir telah membawa ketujuh-tujuh kru angkasawan negara yang telah dilatih di Pusat Latihan Yuri Gagarin, Rusia.

     Secara umumnya, modul-modul stesen angkasa 'GEMILANG-01' ini mempunyai empat belas ruang kompartmen yang berbentuk segi tiga sama yang akan bercantum dengan satu modul utama berbentuk bulatan di tengah-tengah. Empat belas kompartmen berbentuk segi tiga sama sisi ini adalah simbolik kepada empat belas buah negeri di Malaysia. Modul utama di tengah-tengah adalah ruang kabin utama bagi pengoperasian stesen 'GEMILANG-01' ini manakala empat belas kompartmen yang terhubung dengan ruang utama akan berperanan sebagai makmal, tempat penyimpanan, ruang bilik, tandas, gimnasium dan dapur.

     Radius bagi ruang kabin utama yang berbentuk bulatan itu adalah sebesar 150 meter manakala setiap kompartmen mempunyai saiz anggaran 100 meter. Saiz ruang enjin pula mengikut saiz lilitan di sekeliling bahagian luar kompartmen berkenaan. Ini menjadikan stesen angkasa milik negara antara yang terbesar dan terberat pernah dihasilkan oleh agensi ROSCOSMOS, dibantu oleh beberapa orang saintis NASA

     Kompartmen bahagian tengah dinamakan sempena nama 'Putrajaya', manakala kompartmen-kompartmen yang lainnya dinamakan bersempena nama-nama negeri yang ada di negara ini. Proses pencantuman antara kompartmen ini tidaklah mengambil masa yang terlalu lama. Hanya enam jam jumlah waktu yang diperlukan untuk menyambungkan keseluruhan kompartmen dan juga ruangan enjin sebelum tekanan udara diselaraskan dari dalam stesen angkasa berkenaan. Semua proses ini dilakukan secara automatik dan di kawal sepenuhnya dari Baikonur Cosmodrome.

     Modul stesen angkasa 'GEMILANG-01' ini dikuasakan dengan ruang enjin utama yang berbentuk bulan sabit. Ruang enjin ini akan berputar di sekeliling modul bintang yang berada di tengah-tengah bagi melengkapkan siri modul stesen angkasa milik Malaysia. Dibahagian luar badan ruang enjin pula dipasang panel solar bagi menjana tenaga elektrik daripada pancaran sang suria. Ironinya, reka bentuk stesen angkasa 'GEMILANG-01' ini menggunapakai konsep bulan sabit dan juga bintang yang ada pada Jalur Gemilang.

     Badan stesen 'GEMILANG-01' ini diperbuat daripada bahan titanium, kevlar dan besi keluli yang bermutu tinggi. Bahan-bahan ini amat diperlukan ketika proses pembinaan stesen angkasa milik Malaysia oleh kerana jisimnya yang tidak terlalu berat, tahan lasak dan juga tidak mudah rosak apabila dihentam oleh batu-batu meteor yang terapung, sampah-sampah angkasa mahupun sebarang objek yang tidak dikenali. Dibahagian luar badan stesen ini juga jelas terpampang perkataan 'GEMILANG-01' dengan Jalur Gemilang dicat pada bahagian atas seperti yang disarankan oleh pihak NASA.

     Terdapat dua penghadang magnetik yang bersifat lutsinar pada bahagian hadapan stesen angkasa ini. Penghadang magnetik ini berperanan sebagai pelindung kepada sampah-sampah angkasa ataupun batu-batu meteor kecil yang menghalang laluan stesen angkasa ini. Manakala dibahagian belakang stesen, terdapat komponen enjin pembakar bahan api yang digunakan sekiranya berlaku kecemasan ataupun keadaan luar jangka. Daripada permukaan bumi, stesen angkasa 'GEMILANG-01' ini dapat dilihat secara samar-samar sahaja. Namun, bentuk bulan sabit dan bintang sangat jelas walaupun dilihat sejauh beratus-ratus kilometer waima daripada permukaan bumi sekalipun.

     Bagi kru-kru utama pula, Daeng Mustakim telah dinaikkan pangkat sebagai Kapten Daeng Mustakim. Daeng Mustakim berperanan sebagai ketua merangkap juruterbang kepada stesen 'GEMILANG-01' ini. Kapten Daeng Mustakim juga ditugaskan untuk memberi arahan, melaporkan tentarif aktiviti harian kesemua kru kepada pihak MYSA, menjadi jurupandu utama kepada arah pergerakan stesen 'GEMILANG-01' dan dia juga berfungsi sebagai komander sekiranya berlaku sebarang kecemasan ketika pengoperasian stesen berkenaan. Pokok pangkalnya, Kapten Daeng Mustakim bertanggungjawab dalam keseluruhan operasi dan juga misi berkenaan.

     Kapten Daeng Mustakim dibantu oleh Samoi anak Rasal yang berperanan sebagai juruterbang sandaran pertama, jurupandu dan juga co-pilot kepada Kapten Daeng Mustakim. Antara tugas lain yang perlu dilakukan oleh Samoi anak Rasal termasuklah memasukkan data-data laluan bagi pergerakan stesen angkasa 'GEMILANG-01' di dalam papan kekunci yang bersambung dengan skrin lelayar (monitor), menentukan sebarang ancaman ataupun kebahayaan sepanjang laluan stesen angkasa serta melaporkan kepada kapten tentang sebarang aktiviti angkasa lepas yang luar biasa seperti kejadian ribut magnetik, kejadian sunspot dan juga kadar pancuran radiasi daripada luar galaksi. Data-data akan dilaporkan secara terus ke Pusat Angkasa Malaysia (MYSA) di Banting, Selangor. Samoi anak Rasal juga berperanan sebagai jurutera sandaran sekiranya berlaku masalah pada bahagian enjin dan tangki oksigen.

     Josephine Imulok Yondina pula berperanan sebagai jurucakap dan akan berkomunikasi dengan stesen-stesen angkasa yang berdekatan, tidak kiralah samada stesen angkasa milik negara lain ataupun stesen ISS sendiri. Ini bagi mengelakkan mereka bertembung antara satu sama lain. Kebiasaannya, Josephine akan menuturkan samada menggunakan bahasa Inggeris ketika berdekatan dengan stesen 'PATRIOT' mahupun 'ELIZABETH', dia akan berkomunikasi dalam bahasa Rusia apabila kedudukan 'GEMILANG-01' berada berdekatan dengan stesen 'ZEMLYA', menuturkan bahasa mandarin apabila berada berdekatan dengan 'YOUSHÉNG' dan berkomunikasi dalam bahasa Korea apabila berada berdekatan stesen 'BYEOL'.

     Lim Wei Jin pula berperanan sebagai jurutera elektrik dan elektronik yang bertanggungjawab dalam menyelenggara bahagian papan litar elektrik dan juga litar elektronik yang ada di seluruh stesen angkasa 'GEMILANG-01'. Selain itu, Lim Wei perlu memastikan bahawa kadar tekanan udara dan juga bekalan oksigen yang membekalkan udara di seluruh stesen angkasa terbabit berada pada tahap optimum tanpa sebarang masalah. Jikalau berlaku masalah, dia sudah mengetahui dimanakah letaknya tong oksigen tambahan, paip-paip yang bocor mahupun masalah litar elektrik yang menyebabkan berlakunya blackout. Tugasan Lim Wei akan dibantu oleh Azfar Faiq.

     Selain menjadi jurutera elektrik sandaran, Azfar Faiq juga ditugaskan untuk menjaga dan menyelenggara bahagian kompartmen yang mempunyai kaitan dengan tempat penyimpanan biji benih dan juga makmal-makmal yang ada. Dia juga berperanan sebagai tugas-tugas khas di stesen 'GEMILANG-01' ini seperti memastikan bekalan air cukup di dapur, menjaga inventori bekalan makanan dan juga selengaraan bahagian tandas.

     Thivaran Nagaradjah dan Joseph Mading anak Stanley pula ditugaskan untuk memantau tahap prestasi bahagian enjin, kadar penggunaan kerosene dan alatan penujah (booster). Mereka telah diberi kelayakan dan pengiktirafan oleh ROSCOSMOS sebagai jurutera penyelenggaraan bahan-bahan enjin, bahan penujah serta memastikan kadar aliran pengudaraan di bilik enjin pada tahap normal dan pada suhu yang stabil. Mereka juga akan membaik pulih sebarang kerosakan yang berlaku sekiranya sesuatu perkara yang tidak terjangka terjadi di bahagian bilik enjin. Kedua-duanya juga bertanggungjawab dalam memastikan tiada sampah angkasa mahupun batuan meteor yang melanggar bahagian enjin demi keselamatan kesemua kru.

     Pada setiap bulan, satu pesawat pengangkut jenis Columbia akan menghantar bekalan daripada permukaan bumi berupa satu kargo besar. Pesawat pengangkut Columbia ini akan singgah ke setiap stesen angkasa bagi menghantar bekalan kargo berupa tong minyak kerosene yang besar, bekalan makanan, bekalan ubat-ubatan, tangki oksigen tambahan dan juga sebarang barangan yang dipinta oleh individu yang berada dalam stesen angkasa berkenaan.

***