webnovel

Awanama Kosmos

Bahan ujikaji yang dibawa oleh angkasawan kedua negara ke stesen ISS tiba-tiba bertindak balas dan menghidup pada graviti sifar. Makhluk berkenaan telah diberi nama 'Awanama Kosmos' oleh NASA kemudiannya telah jatuh ke permukaan bumi lalu menjadi pandemik.

HdinHafizuddin · Sci-fi
Peringkat tidak cukup
34 Chs

Bab 16

BULAN-bulan terakhir sebelum berlepas ke orbit menyaksikan jadual ketiga-tiga kru misi Soyuz-TMA-M 119 ini padat dengan pelbagai aktiviti serta kelas simulasi. Mereka akan menjalani proses latihan akhir di makmal hidro Yuri Gagarin. Makmal Hidro Yuri Gagarin adalah sebuah kolam besar bersaiz separuh padang bola sepak iaitu lebih kurang 30 meter persegi dengan sebuah replika stesen angkasa diletakkan di dalamnya. Mereka akan berlatih di dalam makmal terbabit dengan memakai sut angkasawan. Tujuan makmal ini diletakkan di dalam air adalah kerana mahu membiasakan para angkasawan yang akan ke angkasaraya kelak dengan aktiviti extravehicular (EVA) ataupun lebih tepat, aktiviti menerawang di angkasa lepas.

     Untuk membiasakan diri dengan aktiviti EVA ini, mereka akan menyarung satu sut angkasawan yang istimewa dan dipanggil sebagai sut angkasawan Orlan. Sut angkasawan Orlan ini akan membuatkan si pemakainya terapung-apung ketika berada di atas permukaan air. Kesan pengampungan ini akan memberi satu indikator yang jelas tentang situasi yang hampir sama ketika berjalan di angkasa lepas. Di dalam modul itinerari ketika tiga bulan di orbit, Nora Yuhanis akan melakukan beberapa set kajian serta eksperimen di luar stesen angkasa ini. Oleh itu, dia akan diwajibkan menjalani latihan selama sekurang-kurangnya dua minggu bagi membiasakan diri dengan aktiviti EVA ini.

     Ketiga-tiga kru utama akan memeriksa, meneliti serta mencuba sut angkasawan yang telah disesuaikan mengikut bentuk, berat, tinggi serta indeks ideal badan seseorang angkasawan. Sebarang cacat dan cela yang muncul pada sut angkasawan terbabit, mereka perlu memberitahu secara pantas kepada saintis yang bertugas kerana kumpulan saintis itu akan memperbetulkan segala kecacatan yang berlaku. Kru-kru utama juga akan memeriksa kerusi yang bakal mereka gunakan dengan penuh ketelitian selama tempoh perjalanan pergi ke orbit serta ketika pulang ke permukaan bumi.

     Rekabentuk kerusi tempat duduk di dalam pesawat pengangkut Soyuz itu juga telah dibina khas mengikut kesesuaian badan seseorang angkasawan dan menggunapakai sistem perkiraan tertentu. Antara elemen yang akan dikira di dalam formula berkenaan termasuklah berat seseorang angkasawan dan juga daya graviti (G-force) semasa proses tujahan iaitu ketika saat-saat berlepas sehinggalah dapat bertahan selama berpuluh-puluh jam ketika proses mengorbit bumi sebelum berlabuh di stesen ISS. Pesawat pengangkut Soyuz akan berputar mengelilingi bumi mengikut beberapa perkiraan yang telah ditetapkan oleh agensi ROSCOSMOS dan juga NASA sebelum proses berlabuh atau docking  dengan stesen angkasa dimulakan.

     Ujian kerusi berpusing untuk kali kedua turut diadakan, namun kali ini akan dipantau oleh beberapa barisan doktor. Ujian ini penting bagi melatih sistem vestibular seseorang angkasawan bagi mengelakkan simptom-simptom seperti muntah, loya, pening kepala dan sebagainya. Pokoknya, ujian kerusi berpusing dapat membantu para angkasawan khususnya angkasawan yang baru untuk menghadapi kepeningan dan juga simptom mabuk angkasa lepas ataupun disebut sebagai Space Adaptation Sickness (SAS).

     Pada minggu terakhir sebelum berlepas ke orbit, satu penilaian perubatan terakhir telah dibuat oleh ahli jawatankuasa penilaian untuk memberi pelepasan buat setiap angkasawan untuk berlepas ke angkasaraya. Kru-kru utama akan pergi ke tujuh bilik yang berbeza iaitu bilik pakar psikologi, bilik pakar oftalmologi, bilik pakar kardiovaskular, bilik pakar ENT, bilik pakar gigi, bilik pakar neurologi dan juga bilik pakar tulang. Di dalam sesebuah bilik, terdapat tiga hingga empat orang pakar yang akan menilai dan menentukan sama ada kru-kru utama layak, kesihatan mereka berada pada tahap paling optimum dan mendapatksn pengiktirafan untuk berlepas ke orbit.

***

     Sebelum bertolak ke Cosmodrome Baikonur, satu sambutan ringkas telah diadakan di mana kesemua para angkasawan berkumpul termasuklah calon-calon angkasawan negara yang sedang berlatih. Acara ringkas itu diadakan di Pusat Latihan Yuri Gagarin. Acara berkenaan diadakan sebagai ucapan selamat jalan kepada kru-kru misi Soyuz-TMA-M 119 tersebut. Selain calon-calon angkasawan, pihak media yang membuat liputan, duta besar Malaysia di Rusia serta pelajar-pelajar Malaysia yang sedang belajar di universiti sekitar Moscow juga turut hadir.

     Kemudian, kru utama dan kru sandaran diasingkan kepada dua bas yang berbeza menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo, Moscow. Setiap pergerakan kru-kru misi dikawal selia oleh anggota keselamatan Rusia dengan amat ketat. Bas terus dipandu masuk ke arah landasan pelepasan pesawat komersial berlogo ROSCOSMOS. Disana, dua pesawat komersial sudah menunggu di tengah landasan. Difahamkan, satu pesawat akan dinaikki oleh kru utama manakala kru sandaran akan menaiki satu lagi pesawat. Beberapa bagasi berupaya sut angkasawan, bahan-bahan kajian, bekalan makanan angkasa serta beberapa bekalan tambahan turut di bawa bersama didalam kargo. Perjalanan ke Baikonur, Khazakstan mengambil masa selama 2 jam.

     Setibanya kru-kru utama di Baikonur, mereka terus dikurantin selama beberapa hari di sebuah hotel yang dibina khas untuk para angkasawan. Baikonur, Khazakstan merupakan sebuah bandar kecil yang dikelilingi oleh persekitaran padang pasir yang luas. Bandar inilah terletaknya Cosmodrome, sebuah pelabuhan angkasa yang dibina semenjak tahun 1950-an lagi. Cosmodrome Baikonur dibina ketika kemuncak aktiviti penerokaan angkasa dan teknologi satelit menjadi kayu ukur pemberat kepada tahap kemodenan sesebuah empayar ataupun kerajaan. Cosmodrome Baikonur membuka titik peluang kepada penyertaan Rusia dalam siri perlumbaan penerokaan manusia di angkasaraya apabila manusia pertama di hantar ke orbit, iaitu Yuri Gagarin.

     Keesokan harinya, kru-kru utama bagi misi Soyuz-TMA-M 119 ini termasuklah Nora Yuhanis akan bertolak ke makmal di sekitar Cosmodrome Baikonur untuk proses pemeriksaan fizikal. Mereka juga akan ke kawasan gudang untuk membuat sedikit pemeriksaan ke atas kargo barangan yang akan dibawa ke orbit kelak. Ini bagi mengelakkan sebarang keciciran terutamanya bahan-bahan kajian dan eksperimen, barangan peribadi serta stok-stok bekalan makanan ke angkasa sebelum muatan kargo berkenaan di punggah ke dalam pesawat pengangkut Soyuz.

     Kini, tibalah masanya pesawat pengangkut Soyuz dibawa keluar dari kawasan gudang Cosmodrome Baikonur menuju ke tapak pelancaran Yuri Gagarin yang mempunyai jarak lebih kurang 50 kilometer. Kru-kru sandaran akan turut bersama-sama dalam proses pemindahan dengan menggunakan treler gergasi berlogo 'ROSCOSMOS'. Mengikut tradisi yang sudah dipelopori sejak sedari zaman Yuri Gagarin lagi, kru utama tidak boleh melihat prosedur pemindahan barang-barang ke tapak pelancaran.

     Pada waktu ini, kru-kru utama yang sedang mengkuarantinkan diri masing-masing di hotel akan berkomunikasi dengan para angkasawan yang telah berkelana di stesen ISS. Mereka akan mendapatkan maklumat dan pelaporan berkenaan tahap kejadian ribut magnet di angkasa pada waktu tersebut, kadar hamburan radiasi yang dilepaskan oleh sinaran matahari dan juga planet-planet sekitar, keberadaan peristiwa sunspot dan juga keadaan sampah-sampah angkasa. Keadaan ini penting bagi memastikan kelancaran proses docking kelak tanpa ada lengah masa mahupun masalah yang timbul disebabkan persekitaran luar yang tidak mengizinkan. Setiap pengiraan jurutera akan berpaksikan kepada laporan-laporan terbaharu, bergantung kepada kesahihan maklumat yang disampaikan oleh kru angkasawan di stesen angkasa antarabangsa.

***