webnovel

Tidak akan Dapat Apa-Apa Andai Tidak Mencuba

Editor: EndlessFantasy Translation

Hanya Li Sicheng yang layak bersama Su Qianci. Li Jinnan memandangnya dan dapat melihat dengan jelas emosi melalui mata Su Qianci. Dia berkata perlahan, "Kamu susah untuk bertenang jika melibatkan dia." Tetapi mujurlah Su Qianci bijak dan dapat memahami penjelasan Li Jinnan.

Su Qianci kelihatan bercelaru dan merenung Li Jinnan. Sebenarnya Li Jinnan amat mirip dengan Li Sicheng. Terutama matanya, mata mereka sama cantik dan hitam bersinar. Walau bagaimanapun, jika dibandingkan, sikap Li Sicheng lebih angkuh dan tidak ambil peduli. Sejak empat tahun lalu, perangai Li Jinnan ketika baru meninggalkan tentera dahulu beransur-ansur hilang dan dia telah berubah matang. Li Jinnan kini tampak menarik sebagai lelaki dewasa.

Tidak seperti sikap angkuh dan tidak ambil kisah Li Sicheng, Li Jinnan sebaliknya mempunyai sikap yang sukar dijangka. Walaupun Li Jinnan berada di sebelahnya, Su Qianci seakan tidak dapat mendalami lelaki itu. Telah beberapa kali Li Jinnan merenungnya tanpa berkata apa-apa dengan pandangan mendalam yang tidak dapat difahami Su Qianci. Su Qianci merasakan hatinya kacau-bilau dan mata Li Jinnan membuatkannya kerisauannya bertambah. "Adik ipar, apa patut saya lakukan sekarang?" Dia tidak dapat berhenti panik. Ketenangannya terus hilang pada saat ini. Matanya yang memandang Li Jinnan seakan meminta pertolongan.

"Saya tak tahu apa perancangan dia, tapi saya tak fikir ia perkara mudah," Li Jinnan memandang laptopnya dan menunjukkan kontrak kerjasama LS dan TL. "Kontrak ini dibuat oleh abang. Perangkap seperti ini pernah dia gunakan sewaktu menjatuhkan Tang Zhenghao. Tekniknya 100% sama. Apa yang pasti sekarang dia terlibat dengan TL, dan sekarang TL telah diisytiharkan muflis. Saya rasa sekurang-kurangnya separuh perancangan dia dah berjaya."

Jari-jemarinya menari di atas papan kekunci itu, kemudian dia menunjukkan sesuatu yang lain. Alatan Muzik Bo. Bo, muzik, Bo Xiao!"

Mata Su Qianci terbeliak. Dua perkara itu terus bersambung dalam kepalanya.

Li Jinnan melihat riak wajah Su Qianci dan tahu wanita itu mula memahaminya. "Syarikat di belakang TL ialah Syarikat Bo. TL berkembang dengan pantas dalam masa beberapa tahun saja dan ada hubungan yang kuat dengan Bo. Saya juga dah siasat dan walaupun TL berkembang dengan pantas, mereka tak banyak buat projek kerjasama. Kebanyakan kerjasama pula hanya dengan beberapa syarikat kecil, tetapi pesanan yang mereka terima masih mencecah berjuta, berpuluh juta malah berbilion." 

Pelaburan wang haram!

Sekarang Su Qianci telah faham sepenuhnya. Dia memandang Li Jinnan dan berkata, "Maksud kamu, kemungkinan Li Sicheng sedang berlakon sekarang, dia mahu…"

"Ya."

"Macam mana kamu tahu?" Su Qianci berasa seperti tidak percaya. "Semua ini macam terlalu mengarut. Dia beritahu kamu?"

"Ini cuma tekaan saya, tapi saya yakin semuanya hampir tepat."

Dahulu, Li Sicheng gagal menangkap Tang Zhenghao di lapangan terbang. Apabila pulang, abangnya itu memberitahunya "kita tidak akan dapat apa-apa andai tidak mencuba." Ketika keluarga mereka ditimpa kesusahan, Li Jinnan melihat sendiri betapa gelisahnya Li Sicheng. Jadi berkemungkinan inilah sebabnya. Jika tidak, mengapa dia belum kembali? Selain perkara itu, Li Jinnan tidak dapat memikirkan kemungkinan lain lagi.

Jantung Su Qianci berdegup kencang. Tiba-tiba dia teringatkan kehidupannya yang lalu. Jika dia tidak silap, pada kehidupan lalu, perkara ini dilakukan oleh Li Jinnan… Adakah ia bermaksud Li Sicheng telah mengambil-alih tempat Li Jinnan pada kehidupan ini… 

Bab berikutnya