webnovel

Bab 7

Safiyah mengusap wajahnya berulang kali. Dia cuba menyedarkan mindanya ke alam nyata jika apa yang dilihatnya itu adalah mimpi. Sekelip mata, dia berpindah tempat daripada ruangan bilik perbincangan kepada ruangan bilik yang berwarna serba biru. Kedua mata Rai yang sedang duduk dihadapannya itu ditatap semula. Persoalan-persoalan baru pun tercipta.

"Rai! Aku… aku tak faham… bukannya kita ada dekat rumah sakit? Kenapa… kita tiba-tiba ada dalam bilik ni? Tasya, director… Puan Yanti mana?"

"Aku terpaksa buka dimensi ni sebab aku dapat rasa yang otak kau dah mampu untuk melihat Alafun Ain."

"Alafun Ain? Apa ni? Kita ada dimana Rai?" Safiyah bertegas.

"Kita sekarang ada dalam Alafun Ain."

"Alafun Ain? Rai! Jangan main-main la."

Rai melepaskan keluhan dengan tingkah Safiyah yang berubah tidak keruan itu.

"Kau sebagai doktor psikiatri pernah dengar tentang Lucid Dream?"

"Lucid Dream?" Safiyah mengerutkan dahi.

"Haah Lucid Dream, mimpi yang jelas ataupun mimpi yang dikawal. Seseorang yang tahu dirinya sedang bermimpi dan tahu setiap apa yang dia lihat itu tidak nyata. Dia juga mampu mengawal situasi dalam mimpinya itu seakan mengawal suatu kejadian dalam mimpi tersebut."

"Aku… aku pernah belajar tentang mimpi tu tapi apa kaitannya dengan situasi kita sekarang?"

"Kalau ikutkan apa yang Tasya jelaskan pada aku, kau selalu bermimpi terhadap situasi yang sama hampir setiap malam. Kau bermimpi sedang berada di suatu suasana yang dihiasi dengan air terjun, sungai dan bulan purnama. Dalam mimpi tu, kau mengawal setiap pergerakan kau secara bebas seakan kau sedang berada di alam nyata. Lepas kau bangun, tubuh kau terasa penat seperti orang yang baru selesai bersukan. Kan?"

Kejutan membuai Safiyah kembali. Penjelasan yang Rai katakan serupa sepertimana yang dia alami pada setiap malam. Tanpa sedarnya, dia sudahpun mempunyai Lucid Dream miliknya sendiri.

"Aku tak sedar yang mimpi tu… Lucid Dream."

"Disebalik manusia-manusia yang mengalami Lucid Dream ni pula, ada sesetengah daripada mereka yang boleh mencipta satu situasi di alam mimpinya itu dengan sangat lengkap berdasarkan keinginan dirinya sendiri. Situasi yang membuatkan mereka berasa sangat selesa dan lepas daripada masalah di alam nyata. Sampailah satu tahap, mental mereka mampu mencipta mimpi yang mereka inginkan tersebut secara berulang kali."

Safiyah memejamkan kedua matanya.

"Aku tahu yang aku mempunyai Lucid Dream, jadi sekarang… kau nak kata yang kita sedang bermimpi dalam Lucid Dream?"

Rai menggelengkan kepalanya menafikan persoalan Safiyah.

"Jika Lucid Dream adalah suatu mimpi yang boleh dikawal, bagaimana… jika aku kata yang alam mimpi ni adalah suatu mimpi yang dicipta sewaktu aku masih terjaga?"

"Hey! Kau dah gila? Mimpi tu sesuatu yang berlangsung sewaktu kita tidur tau, ianya bukan sesuatu yang boleh dicipta. Kena-kena lagi masa kita masih terjaga. Tak ada orang yang bermimpi masa dia terjaga."

"Kalau aku gila, kau pun gila tau. Kita ada di dimensi yang sama."

Safiyah tergamam.

"Aku… aku masih tak faham la!"

Rai menghela nafasnya.

"Kita sekarang berada dalam Alafun Ain. Jika Lucid Dream adalah mimpi yang dikawal, Alafun Ain pula adalah mimpi yang dicipta atau diwujudkan secara paksa sewaktu kita masih terjaga. Sesetengah manusia yang sangat kerap mengalami Lucid Dream, mencapai satu tahap kekuatan mental melebihi manusia biasa dimana dia boleh memaksa otak dia untuk menciptakan mimpi dengan satu situasi yang dia inginkan sewaktu dia masih terjaga."

"Sangat kerap…" akal Safiyah mula mengimbas kembali memorinya mengalami Lucid Dream hampir setiap malam melebihi batas manusia biasa. Akalnya membenarkan penjelasan Rai tanpa dia sedari.

"Manusia yang kerap mengalami Lucid Dream hampir pada setiap malam ni membuatkan mental dan otak dia tak mampu dipisahkan dengan mimpi. Sampailah satu tahap, mental dia boleh memaksa otak untuk mewujudkan satu mimpi meskipun pada masa tu dia masih terjaga. Mimpi yang dia cuba wujudkan masa dia terjaga ni, itulah yang digelar Alafun Ain."

"Maksudnya… kau menciptakan mimpi ni tadi, sewaktu kita sedang berbincang dalam bilik tu?"

Rai mengangguk membenarkan persoalan Safiyah.

"Manusia-manusia yang boleh menciptakan mimpi ni juga digelar sebagai Pemimpi sebagai tanda yang mereka ni tak boleh dipisahkan dengan mimpi umpama daging dan kulit. Ianya juga tanda yang kekuatan mental mereka ni bukan seperti kekuatan mental manusia biasa."

"Macam mana… seorang Pemimpi boleh mencipta mimpi? benda tu menentang logik."

"Memanglah kau kata macam tu, sebab kau tak tahu lagi proses dia. Aku akan terangkan proses dia satu per satu. Pengetahuan ni juga akan menjawab persoalan kau tadi, bagaimana mimpi boleh diwujudkan masa kita tengah jaga."

Safiyah mengangguk laju semakin tertarik dengan penjelasan Rai.

"Apabila seorang Pemimpi ingin mewujudkan Alafun Ain dalam otak dia, pertama sekali dia akan membayangkan tentang satu situasi yang terdapat dalam alam nyata seperti bandaraya, pasar, perkampungan, peperangan zaman dahulu dan macam-macam lagi selagi imaginasinya itu logik di alam nyata."

"Maksud?"

"Maksudnya, Pemimpi tidak akan mampu wujudkan satu mimpi yang berbentuk situasi di atas langit, zaman kewujudan dinosaur, planet-planet dan mana-mana situasi yang melebihi batas logika manusia biasa. Ianya kerana dia masih terhubung dengan realiti."

"Okey… lepastu?"

"Proses seterusnya adalah mewujudkan imaginasi tadi menjadi alam mimpi sewaktu dia masih terjaga. Pemimpi akan memaksa mental dia untuk mewujudkan alam mimpi tersebut. Lepastu, mental dia akan memaksa otak dia pula untuk menghasilkan satu gelombang otak yang sangat tinggi melebihi batas manusia biasa. Gelombang ini lah yang akan mewujudkan Alafun Ain dalam kepala otak dia dengan detail yang sangat lengkap seperti ruangan bilik yang kita sedang berada sekarang ni."

"Gelombang otak… Hypergamma?"

"Aku tak tahu yang tu. Yang aku tahu, kewujudan gelombang otak tu hanya terdapat dalam otak Pemimpi dan apabila gelombang otak ni terhasil, dia akan memaksa kesedaran kita daripada alam nyata terus berpindah ke alam mimpi ni dengan kepantasan sekelip mata."

"Maksudnya… mimpi kita yang biasa alami tu macam Lucid Dream perlu melalui satu proses awal sebelum ianya berlangsung iaitu proses tidur. Tetapi, Alafun Ain adalah alam mimpi yang wujud bukannya daripada proses tidur tetapi disebabkan gelombang otak yang tinggi tu. Sebab tu juga, Pemimpi mampu mewujudkan alam mimpi ni sewaktu dia masih terjaga. Kan?"

Rai bertepuk tangan. Akhirnya dia berjaya menjelaskan kewujudan Alafun Ain tu pada peringkat umum.

"Jika Lucid Dream adalah mimpi yang perlu melalui proses tidur… maksudnya kita perlu memejamkan mata, pergerakan kita terhenti lalu kesedaran kita dalam alam nyata berpindah secara perlahan-lahan ke alam mimpi. Alafun Ain berlaku yang sebaliknya."

Safiyah mendiamkan diri. Akalnya masih tertanya-tanya apa maksud disebalik perkataan 'sebaliknya' tersebut.

"Maksudnya, semasa kita berada dalam alam mimpi ni tubuh kita kaku dalam bilik perbincangan tu bersama dengan Tasya, Puan Yanti dan Doktor Azwan tapi ada tiga pergerakan yang masih berlaku iaitu kedua mata kita masih terbuka, ada masanya jari kita bergerak-gerak dengan sendirinya dan ada kalanya kedua mata berkerdip seakan kita masih terjaga. Pergerakan kita di alam nyata berjalan dengan sendirinya sedangkan, kesedaran kita sepenuhnya ada dalam alam ni." sambung Rai.

"Sebab apa jadi macam tu?"

"Ianya berlaku akibat kesan gelombang otak yang terlalu tinggi tadi menyebabkan kesedaran kita diragut secara paksa ataupun dipindahkan sekelip mata daripada alam nyata ke alam mimpi. Otak tak sempat nak bereaksi untuk menyahaktifkan tubuh kita terlebih dahulu dekat alam nyata sebelum ke alam mimpi. Orang kita kata, secara tiba-tiba. Faham?"

Safiyah menggelengkan kepala bukannya kerana dia tidak memahami penjelasan itu, tetapi mentalnya dibuai kejutan dengan suatu situasi yang tidak pernah dia dengari sebelum ini.

"Kau tak faham?"

"Faham… cuma…"

"Yang penting kau faham tak apa lah. Sekarang ni aku jelaskan macam mana kau boleh ada dalam mimpi yang aku buat ni."

Safiyah kembali fokus memandang Rai.

"Bukannya… sebab aku Pemimpi?"

"Pertama sekali memang sebab kau Pemimpi. Tapi yang lebih jelas, kau dipaksa masuk sekali dalam alam ni. Apabila seorang Pemimpi mencipta Alafun Ain, gelombang otak yang terhasil itu juga memberi kesan kepada otak Pemimpi yang ada berhampiran dengan dia agar menghasilkan gelombang otak yang sama. Secara tidak langsung, kau pun termasuk sekali dalam Alafun Ain yang ada dalam otak aku ni tanpa kau inginkan."

"Maksudnya… otak aku dan otak kau terhubung? macam mana?"

Rai menggelengkan kepala menunjukkan yang dirinya tidak mampu menjelaskan perkara itu lebih dalam.

"Aku sendiri tak tahu macam mana. Cuma, otak kita berdua terhubung dengan alam mimpi ataupun Alafun Ain yang ada dalam otak aku ni. Aku pun tak tahu lah di terhubung macam mana. Mungkin signal, jalur ghaib… dan benda pelik-pelik yang lain. Yang pasti, otak kita sekarang boleh saling berbagi maklumat."

"Sebab tu juga… Tasya, Puan Yanti dan director tak ada dalam alam mimpi ni. Benda tu sebab… otak dia orang tak mampu menghasilkan gelombang otak yang nilainya sama dengan gelombang otak yang kita berdua hasilkan?"

"Mmm… betul. Benda semakin logik kan?" Rai tersengih kecil.

Safiyah kini faham bagaimana mereka berdua boleh bercerita dan saling faham memahami di alam mimpi tersebut. Mentalnya juga semakin menerima kewujudan Alafun Ain.

"Seterusnya, aku nak jelaskan apa yang terkandung dalam Alafun Ain. Dalam alam mimpi ni, ada tiga jenis mimpi yang saling terhubung menjadi satu alam ni. Pengetahuan ni, akan membuatkan kejadian dalam alam ni berubah menjadi semakin logik."

"Tiga?"

"Mmm… Tiga. Pertama, Lucid Dream. Kita boleh mengawal pergerakan kita dalam alam ni dan tahu yang kita sekarang ada dalam alam mimpi. Kedua, Vivid Dream."

"Vivid Dream… mimpi yang terasa sangat nyata seperti sedang berada dalam realiti. Kelima pancaindera… emosi dan mental, semuanya terasa seakan nyata. Kan?"

Persoalan Safiyah diabaikan. Rai menarik nafasnya lalu dihembus secara perlahan-lahan.

"Seekor harimau putih sedang mengintai tubuhmu di penjuru bilik ini. Tanpa berlengah, dia mula berlari mengarah tubuhmu. Dia akan menerkam, menggigit dan memakan daging tubuhmu itu dengan rakusnya." Rai melafazkan kata.

Ting!

Sekelip mata, seekor harimau putih muncul di penjuru sebelah kanan bilik tersebut. Harimau putih itu mengeram menunjukkan kedua taringnya sambil bergerak ke kiri dan kekanan. Liur dari mulutnya bertitisan ke lantai menunjukkan tubuh Safiyah itu membuai nafsu makannya. Safiyah terpana dalam masa yang sama juga dibuai ketakutan membalas pandangan harimau tersebut.

Dalam beberapa detik, harimau itu mengeram sambil menunjukkan kedua taringnya yang panjang. Dia memulakan langkah lariannya mengarah ke tubuh Safiyah. Sehasta hampir harimau itu dengan Safiyah, harimau tersebut melompat bersama kesemua kuku-kuku panjangnya.

"Raiii!!!" Safiyah melepaskan teriakan. Kedua mata terpejam erat.

Rai mengarahkan tangan kanannya ke arah harimau putih tersebut lalu tangan kanan itu digenggam erat.

Ting!

Harimau tersebut terhenti diudara lalu sekelip mata menghilang dalam pandangan. Suasana berubah sepi diantara mereka berdua.

"Harimau tu dah hilang. Bukalah balik mata kau." arah Rai.

Safiyah membuka kedua matanya yang mulai berkaca, terkesan dengan serangan harimau putih itu yang hampir membaham tubuhnya. Pandangannya kembali terarah kepada Rai yang sedang duduk di hadapanya itu. Wajahnya menggambarkan yang akalnya meminta penjelasan lebih dalam tentang kehadiran harimau putih tersebut.

"Apa… yang berlaku tadi? Macam mana… harimau tu tiba-tiba ada dalam bilik ni?"

"Harimau tu wujud dalam ruangan ni kerana adanya pengaruh Lucid Dream. Dalam alam mimpi ni, Pemimpi bebas mencipta sesuatu berdasarkan imiginasi milik dia. Dengan syarat, imiginasi itu perlulah dilafazkan dengan kata-kata. Ianya berlangsung seperti apa yang sering terjadi dalam Lucid Dream yang kau selalu mimpi tu."

"Mimpi dan… imiginasi." Safiyah tergamam.

"Apa perasaan kau jika harimau tu berjaya membaham tubuh kau?"

Safiyah kaku dikala akalnya cuba membayangkan suatu keperitan jika harimau putih itu berjaya menyerang ke arah tubuhnya. "Aku… aku rasa macam aku akan mati. Ianya… perih."

"Perasaan takut kau sewaktu kau diserang oleh harimau dan perasaan yang kau akan rasa nanti tu adalah pengaruh Vivid Dream. Perasaan kau diserang dalam alam ni sama sepertimana perasaan kau diserang dalam alam nyata. Pedang yang ditusukkan ke dalam tubuh kau, seratus peratus sama rasa sakitnya seperti tusukan pedang di alam nyata."

Safiyah masih membayangkan perasaan yang terasa sangat nyata tersebut. Emosi dan mentalnya masih dihantui dengan serangan harimau putih itu.

"Jenis mimpi yang ketiga adalah pelengkap bagi Alafun Ain. Mimpi tu adalah Reality Dream."

"Reality Dream? Aku tak pernah dengar tentang benda tu." Safiyah mengerutkan dahi.

"Memang pun sebab Reality Dream hanya berlangsung dalam Alafun Ain. Bagi sesiapa yang belum pernah masuk ke Alafun Ain, dia tak akan tahu dan percaya dengan kewujudan Reality Dream."

"Mimpi realiti? Kenapa nama dia macam pelik?"

"Seperti yang kita tahu, mimpi ada hubungkaitnya dengan pengaruh masalah kita di alam nyata terutamanya dalam Vivid Dream. Seorang yang dilanda stres yang berat dialam nyata, kemungkinan akan bermimpi tentang kejadian ngeri sewaktu dia tidur. Alafun Ain memutar balikkan situasi tersebut."

"Maksudnya… kejadian ngeri dalam alam mimpi ni, kemungkinan akan membuatkan Pemimpi mengalami stres berat di alam nyata nanti?"

Rai mengangguk membenarkan persoalan itu.

"Situasi itulah yang digelar Reality Dream. Jika seorang Pemimpi membunuh kau dalam Alafun Ain, ianya akan memberi kesan pada otak kau nanti dekat alam nyata. Sama juga jika harimau putih tu berjaya membaham tubuh kau tadi. Perasaan perihnya serangan harimau tu akan menghantui hidup kau atau… otak kau akan mula menyebabkan pendarahan yang tidak jelas. Pendarahan dalam bahagian otak, hidung, mulut dan berbagai lagi. Ianya berlaku kerana dua otak ataupun lebih saling terhubung dalam alam mimpi ni."

"Kejap! Kau tak kata tentang Pemimpi yang boleh serang Pemimpi lain."

"Tu… aku dah jelaskan."

"Ya lah, tapi kau tak jelaskan lebih terperinci."

Rai menghela nafas yang panjang.

"Kita tak ada masa nak jelaskan semua perkara. Buat masa ni, cukup kau tahu yang Alafun Ain ni wujud. Sekarang, aku nak jelaskan kau kenapa Alafun Ain ni ada kepentingan untuk kita. Kerana Alafun Ain ada hubung kaitnya dengan otak kita dengan otak orang lain, ianya bermaksud Alafun Ain juga boleh terhubung dengan memori seseorang. Dalam dunia Pemimpi, ada seorang Pemimpi yang boleh mempermainkan memori seseorang ataupun memulihkan memorinya yang hilang."

"Mungkin kah… Mardhiyah jadi macam tu sebab Alafun Ain?"

Rai mengangguk-angguk.

"Ada kemungkinan… tapi aku tak boleh nak pastikan benda tu seratus peratus betul. Cuma yang aku boleh pastikan… Alafun Ain ada cara untuk memulihkan memori Mardhiyah."

"Macam mana?"

"Setiap Pemimpi mempunyai dua kelebihan dalam Alafun Ain. Pertama, kelebihan umum yang semua Pemimpi miliki kerana adanya pengaruh Lucid Dream iaitu imaginasi yang diwujudkan. Kedua, kelebihan unik yang hanya ada pada seorang Pemimpi. Antara kelebihan Pemimpi yang sangat diburu oleh Pemimpi yang lain adalah Pemimpi yang boleh bermain dengan memori seseorang. Dia mampu memaparkan memori seseorang di masa lalu dan menggantikan memori orang tersebut dengan memori palsu dalam Alafun Ain."

"Dia juga… mampu mengembalikan memori?"

Rai menganggukkan kepala membenarkan persoalan Safiyah. Kedua mata Safiyah menggambarkan sinar buat Mardhiyah.

"Mana Pemimpi yang berkelebihan dengan memori tu?" soal Safiyah.

"Aku tak tahu mana dia sekarang."

"Habis? Macam mana kita nak pulihkan memori Mardhiyah kalau orang tu pun kau tak kenal?" Safiyah bermasam muka.

Rai memandang jam pada tangannya.

"Aku ada cara lah. Tapi aku tak ada masa nak terangkan dengan kau. Tak lama lagi, kita akan pulang ke alam nyata."

"Pulang?"

Rai mengabaikan persoalan Safiyah untuk yang kedua kalinya.

"Sekarang, aku nak bagi tahu kau tentang Puan Yanti sebelum kita kembali ke alam nyata."

Safiyah bermasam muka. Terlalu banyak persoalan yang dia ingin ajukan namun perbualan tersebut disingkatkan oleh Rai. Persoalan tergantung di awang-awangan.

"Kenapa dengan mak Su?" soal Safiyah.

Rai melepaskan keluhan seakan berat untuk menjawab persoalan itu.

"Aku tak percaya dengan Puan Yanti. Pasti, ada beberapa perkara yang Puan Yanti rahsiakan daripada kita. Sembilan tahun adalah masa yang sangat lama untuk Mardhiyah dekat Australia. Mustahil, dia hanya berkenalan dengan Alyne. Lagi satu, kau nampak tak pengawal peribadi yang ramai dekat luar tu?"

Safiyah mengangguk membenarkan pertanyaan itu.

"Pengawal peribadi aku hanya dua, itu pun yang sedang berkawal di luar pintu bilik perbincangan tu. Pengawal peribadi yang ramai tu adalah anggota-anggota kumpulan samseng Selempang Tuah. Mereka yang jaga Puan Yanti sampai ke rumah sakit ni."

Kejutan jiwa kembali membuai Safiyah. Dia tidak menyangka, Puan Yanti yang digelarnya mak Su itu dikawal ketat oleh sebuah kumpulan samseng.

"Aku tak tahu siapa Puan Yanti yang sebenarnya, tapi… jika dia berkerja sama dengan Selempang Tuah… dia juga bukan orang yang biasa. Selempang Tuan adalah musuh ketat Datuk Ameer. Kumpulan-kumpulan yang menjalankan perniagaan gelap."

"Musuh ketat? Aku tak tahu pula pasal tu. Aku sendiri pun… baru kenal dengan mak Su. Itu pun, sejak setahun yang lalu masa dia hantar Mardhiyah kat rumah sakit ni."

"Buat masa sekarang, aku hanya percaya dengan kau. Aku harap kau pun macam tu, percaya hanya dengan aku dan Tasya. Kita tak boleh percaya sesiapa selagi memori Mardhiyah belum pulih. Ayah dia dah terbukti jahat tapi Puan Yanti… masih berada dalam suatu persoalan. Mungkin, dia hanya menggunakan kau untuk menyedarkan Mardhiyah lepastu, dia gunakan Mardhiyah untuk jatuhkan Datuk Ameer. Aku sangat tahu dengan permainan samseng-samseng ni."

"Tapi… aku tak sampai hati nak tuduh mak Su macam tu."

"Bukan masalah hati kau sampai atau tak, masalah dia kita tak boleh percaya sesiapa selagi memori Mardhiyah tak pulih. Boleh?"

Wajah Safiyah berubah sayu. Dengan penuh keterpaksaan, dia mengangguk kepalanya sebagai tanda setuju.

"Sekarang, kau kena tahu cara macam mana nak tamatkan kesedaran kita dalam alam ni dan pulang ke alam nyata. Hanya ada tiga cara untuk pulang ke alam realiti daripada Alafun Ain. Ianya berdasarkan tiga jenis mimpi yang ada dalam alam ni iaitu Lucid Dream, Vivid Dream dan Reality Dream."

"Macam mana?"

"Pertama, cara kerja Reality Dream. Kau kena mati dalam alam ni tapi jika kau mati dalam alam ni, otak kau pasti mengalami kesan sampingan dekat alam nyata kerana pengaruh Reality Dream yang aku katakan tadi. Kesan yang terburuk adalah mati kena seksa."

"Mati?" Safiyah membesarkan kedua matanya.

"Cara kedua adalah Lucid Dream. Kau perlu jadi manusia dari alam realiti yang terakhir hidup dalam alam ni. Mimpi ni akan berubah daripada Alafun Ain menjadi Lucid Dream. Maksudnya, kau boleh meminta otak kau sendiri untuk bangun. Cumanya… kalau ada dua atau lebih Pemimpi dalam alam ni, kau perlu membunuh mereka semua agar menjadi Pemimpi yang terakhir hidup dalam Alafun Ain. Barulah kau boleh gunakan cara ni."

"Kenapa semua cara kejam-kejam ni." Safiyah mengerutkan dahi.

"Alafun Ain memang kejam. Sebab tu alam ni tak boleh diwujudkan sesuka hati. Sekarang, aku nak jelaskan cara yang ketiga."

"Apa?"

"Ketiga adalah Vivid Dream. Cara dia, seseorang perlu mengejutkan kau dari alam nyata tapi pada masa yang sama, ada seseorang juga yang mengejutkan kau dalam alam mimpi ni."

"Tu… cara yang paling senang."

"Senang apanya? Jika seseorang ingin mengejutkan kau dari alam nyata, pergerakannya harus sama dengan pergerakan kau dalam alam mimpi ni. Contohnya, jika dia tepuk bahu kau dekat alam nyata, dekat alam ni pun perlu ada seseorang yang tepuk bahu kau dengan syarat, pergerakan di alam nyata dan alam mimpi ni berlaku serentak. Ianya kerana ada pengaruh Vivid Dream dalam Alafun Ain."

Safiyah ternganga mendengar penjelesan tersebut. Ternyata, cara yang paling senang berubah menjadi tersangat sukar.

"Tak ada satu pun cara yang senang. Kalau macam ni, macam mana aku nak pulang."

"Mari sini tangan kau." Rai menghulur tangan kanannya di atas meja.

"Kau… kau nak buat apa?"

"Pegang tangan aku la." Rai mengerutkan dahi.

Wajah Safiyah berubah merah.

"Kau nak buat apa? Kau gila?"

"Kau nak balik ke tak? Atau kau nak aku bunuh kau dalam alam ni."

Safiyah memejamkan kedua matanya. Secara perlahan-lahan, huluran tangan Rai pun dibalas dalam keterpaksaan. Kini, kedua tangan kanan mereka saling bergenggaman di atas meja bulat tersebut. Wajah Safiyah semakin merah. Itulah kali pertama tangannya saling berpegangan dengan seorang lelaki yang bukan saudaranya. Bahkan kerana adanya pengaruh Vivid Dream dalam Alafun Ain, sentuhan kedua tangan terasa persis seperti sentuhan di alam nyata.

"Sebelum pulang ke alam realiti kau perlu ingat, aku dan Tasya aje yang kau boleh percaya. Itu aje. Tentang Alafun Ain, aku akan terangkan dengan kau lebih dalam nanti."

"Tapi…" Safiyah membuka kedua matanya kembali.

Tak!

Kerdipan mata sebagai tanda perpindahan daripada alam mimpi ke alam nyata pun berlaku.