Berpindahan alam nyata ke alam mimpi untuk yang kedua kalinya. Suraya mencipta satu alam mimpi dengan kawasan padang rumput yang sangat luas seluas mata memandang. Dada langit dihiasi dengan ribuan kerlipan bintang. Bulan purnama di malam hari menjadi waktunya.
Kedua mata Safiyah tidak henti meliar ke arah sekeliling. Di samping kejutan membuai tubuhnya, pukauan berlangsung pada kedua matanya itu. Angin meniup lembut pada tubuhnya bahkan mengalunkan bunga-bunga berwarna biru yang menghias padang rumput tersebut. Damai dan tenang jiwanya untuk seketika.
"Apa yang kau terkejut sangat?" Suraya mengejutkan Safiyah.
Safiyah menoleh ke arah Suraya yang sedang berdiri tidak jauh dari kedudukannya itu.
"Ni… mimpi?" Safiyah masih sukar untuk menerima kewujudan Alafun Ain tersebut.
"Kau dah ada dekat alam ni kau masih nak persoalkan lagi?" Suraya bergerak menghampiri Safiyah.
Safiyah duduk dan merasakan rumput yang berada dibawah kakinya itu. Terasa, kelima pancainderanya berfungsi sama sepertimana di alam nyata. Dirinya seakan berada di alam realiti sehingga akalnya sukar untuk membezakan kedua dimensi tersebut.
"Sekarang ni aku nak ajarkan kau cara nak wujudkan imaginasi kau dalam alam ni." Suraya mengangkat sederhana tangan kanannya.
Safiyah kembali berdiri sambil memerhatikan gerak geri wanita itu.
"Lembing putih, melintang panjang di atas telapak tangan kananku." lafaz kata Suraya.
Ting!
Sekelip mata, sebilah lembing panjang berwarna putih muncul di atas telapak tangan kanan Suraya. Suraya menggenggam erat lembing tersebut sambil menghayun-hayunnya ke kanan dan ke kiri.
"Benda yang paling senang nak buat dalam alam ni adalah benda. Kita tak perlukan lafaz kata yang khusus seperti benda bernyawa macam haiwan dan tumbuhan."
Safiyah mengangguk-angguk dalam ketakjuban.
Tsuk!
Suraya memacakkan lembing tersebut di atas tanah. "Tapi… mimpi dalam Alafun Ain ni mempunyai peraturan dia sendiri dalam mencipta sesuatu perkara."
"Maksud… akak?"
"Maksud dia… dalam mencipta sesuatu benda, Alafun Ain menetapkan empat syarat. Pertama, Pemimpi hanya mampu mencipta tiga benda. Kau boleh paksa mental kau mencipta lebih daripada tiga benda tapi… otak kau akan mengalami kesan sampingan. Ianya kerana, semakin banyak benda yang kau bayangkan semakin kuat otak kau berimaginasi. Semakin mudah kau membunuh otak kau sendiri."
Safiyah menangguk-angguk. "Batas otak manusia dalam alam ni." sokongnya pula.
"Peraturan kedua, imaginasi yang tercipta perlulah melalui proses lafaz kata-kata macam yang aku dah terangkan sebelum ni. Peraturan ketiga, imaginasi haruslah logik macam dalam alam nyata. Aku dah terangkan tadi, Pemimpi tak akan mampu mewujudkan sesuatu yang menentang logik dalam alam nyata macam contoh, seekor katak yang mempunyai sayap dan terbang di atas langit. Selain tu, Pemimpi juga tak akan mampu mencipta manusia dalam alam ni. Itu termasuk robot yang perlukan komponen-komponen spesifik."
"Drone?"
Suraya menggelengkan kepala.
"Benda tu termasuk dalam peraturan yang ketiga. Perkara yang berada diluar kotak pemikiran manusia biasa macam peluru nuklear yang aku kata tadi. Alam ni tak akan merealisasikan benda yang berada diluar kotak pemikiran manusia biasa."
Safiyah mendiamkan diri. Dia berfikir, penciptaan drone tersebut masih berada dalam perkara yang dia boleh bayangkan.
"Tapi… kenapa saya masih boleh membayangkan kewujudan drone tu kak?"
Suraya melepaskan keluhan.
"Benda tu bukan masalah otak kau boleh bayangkan ataupun tak, ianya masalah alam mimpi ni yang tak nak wujudkan benda tu. Senang cerita, alam ni tak nak Pemimpi mewujudkan benda yang ada hubungkaitnya dengan teknologi yang canggih. Motor, kereta kebal… dan benda-benda yang serupa lah. Benda tu logik dalam alam nyata, tapi alam ni yang tak nak realisasikan benda tu."
"Ohhh…" Safiyah akhirnya faham dengan maksud yang Suraya ingin sampaikan. "Pistol?" soalnya kembali.
"Cuba kau bayangkan benda tu, lepastu kau lafazkan kata pistol yang kau inginkan." arah Suraya.
Safiyah memejamkan kedua matanya. Dia mulai membayangkan sepucuk pistol dalam genggaman tangan kanannya itu.
"Pistol…" lafaz kata Safiyah.
Ting!
Sekelip mata, sepucuk pistol terbit pada genggam tangan kanan Safiyah. Wajahnya menggambarkan keterujaan. Seketika, bentuk pistol itu diperhatikan lebih dalam.
"Kak… pistol."
"Aku nampak lah. Alam ni sudi nak wujudkan keinginan kau tu. Maksud dia, pistol tu tak melanggar tiga syarat yang aku katakan tadi. Sekarang, cuba kau tarik picu dia." arah Suraya lagi.
Safiyah mengerutkan dahi.
"Serius kak?"
"Tarik aje lah." tegas Suraya.
Safiyah menghela nafas sambil memejamkan kedua matanya. Pistol tersebut dibidikkan ke atas langit menggunakan kedua tangan.
Tak!
Safiyah tergamam apabila pistol tersebut tidak melepaskan sebarang tembakan. Kedua matanya terbuka kembali memandang Suraya, meminta penjelasan yang lebih lanjut.
"Kak… kenapa pistol ni tak berfungsi?"
Suraya tergelak kecil.
"Aku dah kata tadi sebelum kita masuk ke alam ni. Kata-kata yang kau lafazkan perlu spesifik dan jelas. Kau minta pistol, tapi kau tak minta yang pistol tu ada peluru dalam dia."
Safiyah mengangguk-angguk. Keluhan kecil dilepaskan apabila alam mimpi itu terlalu banyak peraturan berbeza dengan mimpi-mimpi yang kebiasaannya manusia alami.
"Kau ingat, alam mimpi ni semudah alam mimpi yang kau selalu nampak tu. Kewujudan Alafun Ain ni macam suatu permainan dengan syarat-syarat dia yang tertentu. Senang cerita, Alafun Ain ni wujud dengan keseimbangan alam mimpi dia yang tersendiri."
"Tapi kak… Rai ada kata tentang kelebihan Pemimpi yang boleh mempermainkan memori seseorang tu. Bukankah… benda tu tak logik? Benda tu menentang peraturan alam ni yang kedua kan?"
Suraya mengangguk-angguk.
"Sebelum ni, aku ada bagi tahu tentang dua kelebihan Pemimpi dalam Alafun Ain. Kelebihan pertama adalah imaginasi yang dipengaruhi dengan unsur Lucid Dream yang mana, semua Pemimpi mempunyai kelebihan tersebut. Yang aku terangkan dari awal ni semuanya adalah kelebihan Pemimpi yang pertama."
"Okey… kelebihan yang kedua?" Safiyah semakin tertanya-tanya dengan penjelasan Suraya.
"Kelebihan yang kedua adalah kelebihan yang digambarkan daripada mental kau dekat alam nyata. Pemikiran manusia berbeza-beza dekat alam nyata dan boleh dikatakan unik. Apabila seorang manusia menjadi Pemimpi, keunikan dan kelebihan mental dia dekat alam nyata akan berubah menjadi kelebihan khusus yang baru dekat alam mimpi ni."
Safiyah menggelengkan kepala.
"Maksud dia?"
"Maksud dia, jika seorang pemburu mempunyai kelebihan mental untuk berburu haiwan, menjejak tapak kaki haiwan dan macam-macam lagi, ada kemungkinan, Alafun Ain akan mengubah kelebihan mental dia menjadi suatu kelebihan yang khusus. Contohnya, dia boleh berubah menjadi serigala jadian dalam alam mimpi ni."
"Serigala jadian? Bukannya… benda tu menentang peraturan kedua dalam alam mimpi ni."
Suraya melepaskan keluhan untuk yang kedua kalinya.
"Kelebihan mental atau kelebihan khusus Pemimpi tak terikat dengan peraturan Alafun Ain. Yang terikat tu cuma kelebihan pertama yang iaitu kelebihan yang semua Pemimpi miliki. Sebabnya, kelebihan pertama wujud bersama dengan Alafun Ain itu sendiri. Kelebihan kedua pula, adalah kelebihan mental kita yang kita bawa masuk ke dalam alam mimpi ni. Kalau Alafun Ain musnah pun, kelebihan mental kita tetap ada, hidup dalam kepala otak kita. Ianya tak terikat dengan mana-mana peraturan."
"Faham…" Safiyah mengangguk-angguk.
"Sebab tu juga, ada Pemimpi yang mental dia boleh meneka masa lalu seseorang dekat alam nyata walaupun tak seratus peratus. Apabila dia masuk ke dalam Alafun Ain, alam ni mengubah kelebihan mental dia menjadi kelebihan khusus yang baru, kelebihan yang tak ada pada Pemimpi yang lain. Kelebihan yang boleh mempermainkan memori seseorang."
"Gilanya alam mimpi ni…"
"Hah gilakan. Kau belum jumpa dengan Pemimpi yang lain. Ada yang lagi gila daripada benda tu. Ada kelebihan khusus Pemimpi yang boleh mewujudkan naga, mewujudkan makhluk-makhluk ngeri dan macam-macam lagi lah. Kejap! Rai ada kata dengan aku, kawan kau orang hilang ingatan kan?"
Safiyah berubah sayu. Persoalan yang membangkitkan kisah sedihnya tentang Mardhiyah.
"Haah kak. Dia… kejap! Rai ada bagi tahu saya, Pemimpi yang boleh mempermainkan memori tu ada. Betul?"
"Haah lah. Sebab tu juga aku datang ni. Aku nak bagi tahu kau yang Pemimpi tu ada dekat Semenanjung Malaysia ni. Dia tengah bersembunyi."
"Sembunyi? Sebab apa?"
"Sebabnya… Pemimpi lain nak gunakan kelebihan dia. Dekat alam nyata, kelebihan mempermainkan memori seseorang boleh buat duit tau. Lagi satu, Rai ada bagi tahu kau macam mana nak tahu tanda Pemimpi tu dah mati dekat alam nyata?"
Safiyah menggelengkan kepala menafikan persoalan itu.
"Kalau Pemimpi tu mati dalam alam ni tapi jasad dia tak hilang, itu bererti otak dia dah mati dekat alam nyata. Otak yang dah mati sama aje dengan mati."
"Umpama… engin kereta yang rosak. Badan dia dah tak boleh jalan walaupun badan dia masih okey." Safiyah mulai faham dengan penjelasan Suraya. "Macam mana… nak bunuh Pemimpi yang lain, sampai otak dia orang betul-betul mati dekat alam nyata?"
"Eh, ganas juga soalan kau ya. Kalau kau nak Pemimpi yang kau bunuh tu mati dekat alam nyata, kau perlu seksa dia secara perlahan-lahan sebelum kau bunuh dia. Dengan cara macam tu, otak dia akan menerima maklumat-maklumat palsu secara bertubi-tubi, maklumat-maklumat palsu yang mencedarakan otak dia sendiri sampailah otak dia mati."
Safiyah tergamam untuk yang kesekian kalinya. Penjelasan yang terdengar sangat mengerikan.
"Sekarang ni… dah ramai yang tahu Pemimpi yang boleh mempermainkan memori tu ada dekat Semenanjung Malaysia ni. Rai ada bagi tahu aku tentang kawan kau yang hilang ingatan tu. Pemimpi tu, satu-satunya cara untuk kau pulihkan ingatan kawan kau. Kita perlu cari dia sebelum Pemimpi yang lain jumpa."
"Tapi… macam mana kita nak cari dia?" Safiyah kembali sayu.
"Minggu hadapan, Taman Pemainan Mimpi akan dibuka. Taman Permainan Mimpi ni adalah Alafun Ain rekaan yang mampu menghubungkan Pemimpi-Pemimpi dalam dunia ni melalui gelombang bunyi. Gelombang bunyi tu pula akan terhasil daripada satu panggilan telefon."
"Alafun Ain… rekaan?"
Suraya mengangguk.
"Ilmuan yang buat kajian tentang Alafun Ain ni berjaya mencipta teknologi yang boleh mencipta Alafun Ain mereka sendiri dan menghubungkan Pemimpi yang lain daripada gelombang bunyi."
"Apa yang ada dalam Taman Permainan Mimpi tu? Pemimpi tu ada dalam tu?"
Suraya menggelengkan kepala.
"Dah dia kena buru, tak akan dia nak datang lagi dalam alam tu. Dalam alam tu, ada seorang Pemimpi yang ada kelebihan khusus untuk menjejak keberadaan Pemimpi-Pemimpi lain di seluruh dunia. Cumanya, kalau kita nak jumpa dia kita kena bermain satu permainan dalam Taman Mimpi tu. Sebab tu nama dia Taman Permainan Mimpi."
"Jadi, kita jumpa Pemimpi tu dan tanyakan pada dia mana keberadaan Pemimpi yang boleh mempermainkan memori tu dalam Semenanjung Malaysia ni?"
"Haah la. Kan aku dah kata macam tu tadi. Kalau kau nak cari Pemimpi tu sendiri, persilakan. Entah berapa tahun kau cari dia baru kau jumpa. Tu pun kalau kau jumpa. Ingatan kawan kau tu pun sempat pulih sebelum kau jumpa dengan Pemimpi tu."
Safiyah tersentak dengan kegarangan Suraya itu. Tapi, ada benarnya juga kata Suraya. Usaha boleh dimudahkan, kenapa perlu menempuh jalan yang sukar?
Suraya memerhatikan jam pada tangan kirinya.
"Tentang Taman Permainan Mimpi tu, nanti kau akan tahu masa nak masuk. Sekarang ni, pegang tangan aku." Suraya menghulur tangan kanannya.
"Masa dah habis ke?" Safiyah membalas huluran tangan tersebut.
"Habis." jawab Suraya.
Tak!
Berpindahan alam berlaku sekelip mata.
*****
"Fiy?" Tasya memanggil.
Safiyah yang kembali tersedar di alam realiti itu memandang Tasya yang sedang memegang tangan kanannya.
"Dah lima minit ke Tasya?"
"Haah la. Aku pun baru aje pegang tangan kau ni."
"Dah!" Suraya turut kembali ke alam realiti. Dia menghirup sedikit airnya di atas meja tersebut sambil berdiri.
"Kak?" soal Tasya.
"Aku dah terangkan dengan dia benda basic. Persoalan kau yang lain, kekasih kau akan jawab sendiri."
"Kekasih aku?" soal Tasya.
"Kekasih dia la." Suraya mengarahkan pandangan ke arah Safiyah.
"Saya kak? Siapa?"
"Bos, Fiy." Tasya tersenyum sinis.
"Kak! Dia bukan kekasih saya."
"Ai, kenapa tak? Dia ugut aku tau supaya ajarkan kau tentang Alafun Ain. Ni pun aku tengah ada kerja ni. Sebab dia ugut aku, aku terpaksa jumpa dengan kau orang berdua."
"Ugut?" Safiyah dan Tasya mempersoalkan.
"Entahlah kau orang. Aku nak balik. Tolong bayarkan air aku ni." Suraya bergerak pergi meninggalkan kedua insan.
Safiyah dan Tasya berpandangan muka. Tasya masih dengan senyuman sinisnya manakala Safiyah memuncungkan bibir geram dengan dirinya yang sering diperjodohkan dengan Rai itu.