"A dream that is too beautiful to be true"
"Debab, jom kahwin."
"Kepala otak kau!" Aku menjulingkan mata ke atas. Tangan naik memeluk tubuh bersama dengan riak muka yang penuh menyampah.
"Cis. Kau fikir aku nak sangat kahwin dengan perempuan badan besar macam kau? Hei, gajah pun lagi cantik daripada kau, tahu?" Dia dah mula body shaming aku.
Memang itulah kerjanya setiap kali dia nampak muka aku. Kalau orang lain kena body shaming, memang dah insicure habis-habisan.
Aku? Haruslah aku melawan.
"Hoi, lidi sate! Habis kau, badan kurus keding, kena tiup angin pun dah terguling-guling jatuh atas tanah, tak sedar? Mohon cari cermin, hantuk kepala dekat cermin tu. Dasar tak sedar diri!" Aku membidas. Aku bukanlah orang yang suka body shaming orang lain.
Tapi aku dah terlalu masak dengan perangai gengster sekolah yang satu ini. Dah tak terkira berapa kali kami bertikam lidah.
"Ni kalau kena tunjal dengan jari buncit aku yang sebesar lintah tanah, terus bergolek masuk kubur. Belum lagi aku hempap kau. Penyek terus masuk ke alam barzakh." Sambungku. Nampaknya dia masih tak terkesan dengan ejekan aku memandangkan dia masih tayang muka selamba.
"Hei, assalamualaikum Danisha Erwina Deliany Debab Debaboom!" Kepala didongakkan.
Aku menjelingnya. Dah biasa dengan perangainya yang suka-suki aje menambah Debab Debaboom belakang namaku. Nama punyalah sedap, suka hati mak nenek dia aje menambah-nambah.
"Sekurang-kurangnya, aku ni handsome! Kau tu dahlah gemuk, tak cantik pulak tu." Dia masih tak mahu mengalah. Tak henti-henti body shaming aku. Tak tahu ke benda tu berdosa?
"Hei, waalaikumussalam Harfiq Asfaar Apergi Amampus! Kau fikir, muka macam tu Baleh bawa masuk syurga, ke? Kau masa lahir dulu mesti keluar punggung dulu, kan? Perangai macam orang terencat akal." Bebola mata digulingkan.
"Amboi! Sedap mulut kau aje, kan? Tak reti hormat orang tua?" Dia bercekak pinggang. Pandangan tak puas hati ditayangkan kepadaku.
"Tua tak tua, badan siapa lagi besar sekarang ni? Kau ke aku?" Aku melawan. Tak kisahlah dia lagi tua daripada aku pun. Kalau perangai tu memang minta kaki, tanpa segan silu aku boleh hadiahkan.
Bak kata pepatah, besar tapak tangan, besar lagi tapak kaki aku!
"Berambuslah kau. Menyirap kepala otak aku melayan lidi sate macam kau ni!" Buat sekalian kalinya, aku menjulingkan mataku. Aku mengorak langkah untuk beredar dari kaki lima sekolah. Meluat tengok muka lelaki itu.
"Nak pergi mana tu, Debab Debaboom? Cari makanan ke?" Kali ini, kata-katanya diselang dengan gelak tawa. Dia tergelak sakan.
"Apa masalah kau ni? Kau nak apa daripada aku, sebenarnya?" Aku berpaling untuk memandangnya. Perasaan sebal mula menyerbu segenap tubuh. Kaki aku dah menggelupur nak melayang ke muka seseorang.
"Masalah aku? Badan kau terlalu besar, Menganggu ketenteraman aku." Kini, dia menyilangkan tangan ke dada.
Aku mendengus. Sabar, Danisha, sabar. Manusia yang tak cukup kasih sayang seperti lelaki macam dia, memang macam ini.
Sebenarnya, aku hanya diejek oleh lelaki di hadapanku ini sahaja. Orang lain, tak adanya nak mengejek aku. Entah apalah masalah dia. Tak habis-habis nak ganggu ketenteraman hidup aku.
"Suka hati akulah kalau aku gemuk pun. Mak aku masak sedap. Apa? Mak kau tak reti masak ke sampai kau kurus kering macam ni?" Bidasku, berani. Laju saja kata-kata itu meluncur keluar dari mulutku tanpa berfikir masak-masak.
Riak mukanya sedikit berubah itu tak aku endahkan. Dia berdendam. Mukanya kembali beriak nakal. Seperti selalunya.
"Lain kali, jaga makan, dah besar macam ni, mengganggu pemandangan aku tahu?" Dia masih tak serik menggangguku. Aku dah mula bengang. Serabut dengannya.
"Suka hati akulah kalau aku gemuk pun! Kalau aku gemuk, mak kau meninggal ke?" Aku bercekak pinggang. Entah apa masalah dia kalau badan aku berisi.
Kini, riak mukanya terus berubah. Senyuman sengetnya tadi langsung lesap daripada wajahnya. Riak muka yang kelat tak dapat dibendung lagi. Lama dia menatap mukaku bersama riak wajah seperti itu.
Tak sempat aku menyambung kata, dia memusingkan badannya membelakangiku. Langkahnya diorak menjauhiku, kemudian berlalu pergi.
Dah mengalah ke mamat tu?
Aku tak mengendahkannya. Langkah diatur menjauhi kaki lima. Kemudian bergerak ke kantin untuk makan. Habis lima minit waktu rehatku kerana berdebat dengan ketua gengster sekolah itu.
"Danisha! kenapa kelat semacam muka Harfiq tu?" Sasya, kawanku yang tiba-tiba muncul dari belakang, menegurku. Pasti dia terserempak dengan ketua gengster itu tadi.
"Entah. Macam biasa. Seronok betul dia body shaming aku." Aku mengadu. Kami berjalan beriringan menuju kekantin sekolah.
"Oh, bertikam lidah lagi la tadi? Hairan betul aku. Dia tak adalah pula ejek fizikal orang lain walaupun dia ketua gengster sekolah ni. Dengan kau, bukan main lancang mulut dia." Sasya menggelengkan kepalanya. Memang betul apa yang dia cakapkan.
Harfiq Asfaar Bin Hariq Arfan.
Ketua gengster sekolah. Gengsterlah sangat. Setakat tak datang perhimpunan, ponteng sekolah dan kacau mak cik kantin pun, dah claim diri sendiri sebagai ketua gengster. Podah! Poyo nak mampus.
Dia senior yang tua dua tahun daripadaku. Sejak aku tingkatan satu sampailah tingkatan tiga, tak henti-henti dia membuliku. Betapa aku bersyukur tahun ini dia akan ambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lepas ini, lenyap lesap dia dari duniaku. Bebas!
Macam mana aku boleh seberani itu untuk melawannya? Entah, aku pun tak tahu. Pada mulanya memang aku sangat sopan dan menghormatinya sebagai seniorku. Tapi bila dia dah tunjuk taring singa dia, mestilah aku tunjuk tanduk badak sumbu aku.
Ingat aku takut sangat dengan dia? Orang macam tu tak boleh bagi muka, kena bagi kaki. Biar dia sedar diri sikit.
"Kau cakap apa sampai muka dia kelat macam tu? Kalah ke dia dengan bidasan kau?" Sasya tergelak. Turut bangga denganku yang mampu menewaskan lelaki itu.
"Dia tu tak puas hati sangat dengan aku, aku bidaslah balik." Laporku.
"Kau cakap apa?"
"Aku cakap, suka hati akulah kalau aku gemuk pun! Kalau aku gemuk, mak kau meninggal ke?" Aku ulang kata-kata yang aku lontarkan kepada Harfiq sebentar tadi.
Sasya yang tadinya berjalan di sebelahku menghentikan langkahnya. Kakinya seolah-olah digam di lantai. Dia terkedu.
"Danisha..." Panggilnya perlahan.
"Apa?" Terkebil-kebil aku memandang mukanya yang berubah kelat itu.
"Mak dia memang dah meninggal la,"tutur Sasya perlahan.
Aku tersentak. Kenapa aku tak tahu?
"B..bila?"
" Setahu aku dah lama. Masa dia umur tujuh tahun." Sasya memberitahuku.
"Weh....!" Rasa bersalah mula menyerbu diriku. Tak sepatutnya aku menyentuh perkara sensitif seperti itu. Tak sepatutnya aku kaitkan ibu bapa dalam hal seperti ini. Bergaduh macamana pun, berkelahi tahap mana pun, isu ibu bapa tak wajar dikaitkan sama sekali.
Sedarlah aku yang aku dah berbicara lancang dengan Harfiq tadi. Walaupun dia yang memulakan perbalahan, tapi tak pernah dia sentuh isu ibu bapa. Ini memang salah aku.
Semenjak itu, dia langsung tak bertegur sapa denganku. Harfiq yang selalu menggangguku setiap kali aku muncul di depan matanya, kini tak mengendahkanku sama sekali. Pandang pun tak. Aku dah macam tak wujud. Mestilah aku bahagia dengan layanannya sekarang sebab dia tak lagi mengganggu ketenteraman hidupku. Tapi aku masih rasa gelisah memandangkan aku rasa bersalah padanya.
Sehinggalah dia habis SPM dan meninggalkan sekolah, kami langsung tak bertegur sapa. Kami dah seperti orang asing yang tak pernah kenal antara satu sama lain. Tak apalah. Sekurang-kurangnya, kini hidupku aman tanpanya. Setelah ini, tak ada lagi makhluk yang akan memanggilku si Danisha Debab Debaboom. Sebab, aku dah bertekad
Aku nak kurus.