Sinar cahaya mentari yang menerobos masuk melalui celah-celah kain langsir berwarna putih itu mengusik lembut wajah polos Beryl.
Matanya disapa cahaya mentari yang baru terbit sehingga gadis itu terbangun dari lena yang panjang. Beryl membuka matanya perlahan-lahan.
Seketika dia mengamati sekitarnya. Dia merasa pelik bagaimana dia boleh berada di biliknya. Seingatnya tadi malam dia tertidur di atas sofa di ruang tamu sambil menunggu Jay kerana hendak mengembalikan bajunya.
Ini kerana lelaki itu tidak membenarkan sesiapa pun memasuki biliknya tanpa kebenaran.
Beryl melihat jam di dinding. Jam menunjukkan pukul 8 pagi. Mengingatkan hari ini adalah hujung minggu,gadis itu tidak perlu risau akan terlambat untuk ke kelasnya.
Dia melangkah ke arah bilik mandi untuk membersihkan tubuhnya. Otaknya ligat berfikir tentang mimpi yang dialaminya malam tadi.
Ingatannya tentang mimpinya malam tadi agak samar-samar di mana dia merasakan seseorang yang bertubuh tegap dan sasa sedang menggendong tubuhnya dengan lembut.
Terasa tubuhnya terawang-awang di udara dan haruman tubuh orang itu benar-benar membuatkan dia berasa tenang.
Sekilas wajah Jay melintas di fikirannya. Beryl termangu-mangu di hadapan cermin bilik mandinya.
"Takkan Jay yang angkat saya masuk ke bilik? Tapi kalau betul,saya tak mengatakan sesuatu yang pelik,kan?"
Dia bersoal-jawab pada dirinya sendiri. Dia merasakan seperti mengatakan sesuatu dalam tidur tapi dia langsung tidak mengingatinya.
"Ish,peninglah. Lebih baik mandi sajalah," gerutu gadis itu lalu menutup pintu bilik mandi.
30 minit kemudian,dia telah selesai mandi. Dia mengenakan t-shirt berwarna kelabu berlengan pendek dan seluar denim separas pahanya.
Dia lebih selesa berpakaian santai ketika berada di rumah. Selesai merapikan rambutnya yang panjang separas pinggang, dia turun ke dapur untuk menikmati sarapannya.
Sarapan sudahpun terhidang di atas meja. Ruang makan yang kosong menandakan kedua orang tuanya telahpun bertolak ke pejabat. Beryl melilau mencari kelibat seseorang di sekitar rumah.
"Cik muda cari saya?"
Tiba-tiba suara garau dan gemersik itu menyapa gegendang telinga Beryl membuatkan gadis itu terlompat kerana terkejut. Dengan pantas tubuhnya berpusing melihat sang manusia yang telah membuatnya hampir kehilangan detak jantungnya sesaat.
"Yes..I mean no!" Gadis itu kalut menjawab akibat masih lagi terkejut.
Jay memandang wajah gadis itu seolah kebingungan mendengar jawapannya.
"Cik muda bukannya mencari saya?" soal Jay sekali lagi. Pandangannya sentiasa datar bagaikan tiada emosi.
"Saya tak cari awak pun," jawab gadis itu tiba-tiba geram kerana Jay muncul mengejut membuatkan jantungnya hampir terhenti.
"Oh,baiklah," jawabnya pendek sambil melangkah ke arah peti sejuk.
Sekotak susu dikeluarkan lalu dia menuangkan isinya ke dalam sebiji mug. Kotak susu disimpan kembali ke dalam peti sejuk. Dia menarik sebuah kerusi lalu duduk dan bersedia untuk menikmati sarapannya.
Beryl yang memandangnya sedari tadi, bertemu pandang dengan Jay ketika lelaki itu mengalihkan pandangannya ke arah cik mudanya yang masih berdiri tidak jauh darinya.
"Kenapa cik muda pandang saya? Ada yang salah dengan pakaian saya hari ini?"
Jay melihat dirinya sendiri, meneliti jika ada yang salah pada pakaiannya. Beryl yang baru menyedari perbuatannya sendiri, tiba-tiba merasa malu kerana telah merenung bodyguardnya tanpa sedar.
Entah kenapa setiap kali pandangannya jatuh ke arah Jay,matanya sukar untuk lepas. Wajahnya merona merah tanpa sedar.
"Tak, tak ada apa-apa." Beryl sekadar tersenyum untuk menutupi kegugupannya.
Dia berusaha berlagak seperti biasa lalu duduk di sebuah kerusi yang bertentangan dengan Jay. Lattenya seperti biasa telah disediakan di atas meja.
Sarapan hari itu pula adalah pancake bersalut madu dan butter. Beryl mulai menjamah sarapannya sambil melirik ke arah Jay yang turut menikmati sarapannya penuh selera. Seketika mimpinya malam tadi kembali berlegar di layar fikirannya.
"Jay,malam tadi awak balik pukul berapa?" tanya Beryl,memecah kesunyian di antara mereka. Jay menghentikan suapannya seketika lalu memandang ke arah cik mudanya sekilas.
"Saya tak ingat," jawabnya datar lalu meneguk sedikit susu di dalam mugnya. Gadis itu menggerutu geram melihat cara Jay menjawabnya selalu tanpa perasaan.
"Awak ke yang bawa saya ke bilik malam tadi?"
"Kenapa? Memangnya cik muda tidur di mana?"
Soalan dijawab dengan soalan. Beryl semakin geram melihat tingkah sang bodyguardnya. Bukannya menjawab soalan yang diberi tapi beri soalan pula.
"Malam tadi saya tertidur di ruang tamu. Entah macam mana saya boleh ada di bilik."
"Mungkin cik muda berjalan dalam tidur." Jay menjawabnya tanpa perasaan berdosa pun.
"Bila masa pulak saya berjalan dalam tidur? Tak pernah pun."
Jay sekadar angkat bahu lalu menghabiskan sisa pancakenya. Beryl mendengus geram melihat tingkah manusia di hadapannya kini. Selalu menjawab seadanya dan wajah tanpa emosi sepertinya membuatkan hatinya bertambah geram.
"Hari ini cik muda tak ada kelas kan?"
"Ya,kenapa?" Beryl menjawabnya tanpa memandang wajah lelaki itu.
"Cik muda ada plan nak keluar hari ini atau di rumah saja?"
"Kalau saya nak keluar pun,saya boleh pergi sendiri," jawabnya acuh tak acuh.
"Tak boleh. Saya tak akan benarkan cik muda keluar sendiri," tegas Jay.
Beryl menghabiskan sarapannya dan berlenggang ke kitchen sink seolah-olah Jay tidak bercakap padanya. Dia mencuci piring dan cawannya yang kotor tadi sehingga bersih.
Setelah selesai,dia berpusing hendak keluar dari dapur ketika dia sekali lagi terkejut mendapati Jay sedang berdiri tepat di hadapannya kini.
Kepalanya hampir melanggar dada bidang itu. Beryl melangkah setapak ke belakang seraya menahan tubuhnya pada bucu meja sinki ketika Jay menundukkan sedikit tubuhnya ke hadapan, membuatkan dada gadis itu berdebar-debar kerana jarak wajah mereka sangat dekat.
"You should respond when someone talk to you." Suara lelaki itu kedengaran sinis di telinganya.
Beryl merasa tubuhnya kaku. Bisikan lelaki itu di telinganya membuatkan dia dapat merasakan nafas panas lelaki itu yang menyentuh cuping telinganya.
Jantungnya tidak dapat berhenti berdegup apatah lagi tubuh mereka yang sangat berdekatan saat ini. Beryl memberanikan dirinya untuk menatap mata lelaki itu. Sepasang mata hazel itu ternyata sedang memandang tepat ke dalam anak matanya.
Seketika Beryl mengagumi keindahan mata Jay yang sangat mempesona. Sepasang mata itu seolah-olah sedang menariknya untuk terus menatapnya meskipun tadi sang empunya badan menggertaknya dengan suaranya yang dingin.
"Don't ever stare. It's rude!" dengus lelaki itu lalu melangkah pergi meninggalkan Beryl yang masih termangu-mangu mencuba untuk memproses segala hal yang telah berlaku.
"He says I'm rude? Unbelievable!" Serta-merta Beryl merasa geram kerana dilabel tidak sopan.
"Memangnya siapa yang tidak sopan? Dasar mulut cili! Sesuka hati je cakap orang. Dasar muka jalan tar,datar!"
Beryl membebel sendirian tidak puas hati. Mulutnya tak henti-henti membebel sehingga keluar dari dapur. Ketika tiba di ruang luar dapur, jantungnya bagaikan mahu tercabut untuk kesekian kalinya pagi ini ketika mendapati Jay sedang berdiri di luar sambil merenungnya tajam.
Terasa kecut pula perutnya melihat pandangan tajam Jay ke arahnya. Jay mendekatinya lalu mengatakan sesuatu.
"Your words reflect who you are,so be careful miss."
Setelah itu dia berlalu pergi lagi. Kali ini gadis itu kehilangan kata-kata kerana fikirnya pasti lelaki itu akan memarahinya kerana telah mengata lelaki itu secara terang-terangan tadi. Namun sebaliknya pula yang berlaku.
"Why did he makes me looks like I'm the bad guy here?" Beryl menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Dia merasakan Jay benar-benar orang yang aneh dan sukar ditafsir isi hatinya. Beryl melangkah menuju ke biliknya dan menukar pakaiannya. Dia berhasrat hendak keluar mencari angin.
Dia tidak betah jika harus duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa jadi dia ingin berjalan-jalan ataupun sekadar mencuci mata untuk melepas kebosanan di rumah seorang diri.
Beryl mengenakan mini dress bermotif floral pink separas lututnya dan dipadankan dengan sandal berwarna peach serta lipgloss berwarna senada pada bibirnya yang mungil.
Rambutnya yang panjang ikal dibiar lepas bebas. Dia meneliti penampilannya sekali lagi di cermin besar yang tergantung cantik di dalam biliknya.
Setelah berpuas hati,dia melangkah keluar dari biliknya. Dia berhasrat hendak memandu sendiri hari ini. Kunci kereta kesayangannya iaitu Maserati Quattroporte Trofeo telah siap berada dalam genggamannya. Gadis itu bernyanyi kecil sambil langkahnya diatur ke arah garaj.
"Cik muda nak ke mana?" Lagi-lagi suara itu mengejutkannya. Beryl menarik nafas panjang,mencuba untuk bertenang lalu memalingkan tubuhnya ke arah Jay.
"Boleh tak jangan muncul tiba-tiba macam tu?" Gadis berwajah manis itu kelihatan tidak berpuas hati.
Namun Jay hanya memandang gadis itu dengan pandangan yang masih menuntut jawapan dari dua ulas bibir cantik tersebut, seperti biasa mengabaikan soalan yang dilempar kepadanya.
"Cik muda nak ke mana?" soalnya lagi.
"Saya nak keluar sekejap."
"Saya akan hantar."
"Tak perlu. Saya boleh pergi sendiri. Awak tinggal je kat rumah."
"Tak boleh. Cik muda tak dibenarkan keluar sendiri."
"Tapi saya nak keluar sekejap je."
"Sekejap atau lama,cik muda tetap tak boleh keluar sendiri. Saya sudah ditugaskan untuk tetap di sisi cik muda walau ke manapun. Ini arahan."
"Tapi saya kan majikan awak."
"Saya tahu. Dan tugas saya adalah untuk memastikan majikan saya sentiasa selamat di bawah pengawasan saya. Sekarang cik muda adalah tanggungjawab saya jadi cik muda tak boleh ingkar arahan saya."
Beryl mendengus geram. Jay menghulurkan tangannya berniat hendak meminta kunci kereta yang berada dalam genggaman gadis itu. Kerana geram dan sakit hati,Beryl sekadar melempar kunci itu ke udara tanpa memberinya terus kepada Jay.
Namun Jay dengan cekap dapat menangkap kunci tersebut. Dia yang telah siap berpakaian t-shirt berwarna biru gelap dan ditutupi dengan jaket berwarna kelabu serta seluar denim panjang kelihatan begitu macho sekali.
Tetapi Beryl sudah tidak kuasa lagi hendak menatap wajah tampan tersebut kerana hatinya yang sudah memanas geram. Punah sudah harapannya hendak berjalan-jalan sendirian hari ini.
Dia duduk di kerusi belakang seperti biasa sambil membuang pandang ke luar tingkap. Wajahnya cemberut saja.
Jay telahpun duduk di kerusi pemandu sambil tangannya sudah siap memegang stereng. Sekilas matanya melihat cik mudanya di belakang melalui rear-view mirror.
"Cik muda nak jalan ke mana?"
"Nak ke kelab disko!" jawab Beryl secara sembarangan kerana masih geram.
"Cik muda tak dibenarkan ke sana sama sekali."
"Habis tu mana tempat yang saya boleh pergi?" Beryl menyilangkan tangannya di dada.
"Restoran, tempat beli-belah,pantai,kafe and so on kecuali tempat-tempat maksiat dan tempat berjudi haram," jawab Jay secara terperinci sekali.
Gadis itu hampir tergelak mendengar Jay menyebut segala tempat yang 'halal' untuknya bagaikan sedang menyebut senarai barang yang hendak dibeli.
"Baiklah. Kita ke shopping mall dulu."
"Baik,cik muda." Jay memandu kereta dengan tenang menyusuri jalan raya yang mulai sibuk dengan segala jenis kenderaan yang bertali arus.
Beryl bermain-main dengan telefon di tangannya,membuka media sosialnya membaca sepintas lalu segala news feed yang terpapar di skrin nipis di tangannya.
Tiba-tiba matanya terpaku pada satu tajuk berita yang trending di media sosial hari itu. Berita itu benar-benar mengejutkannya.
"Olaf Rodrigues anak kepada seorang pengusaha kilang perabot terkenal, dilaporkan hilang sejak malam tadi. Turut dilaporkan hilang adalah tiga orang lelaki yang dipercayai bekerja di bawah syarikat Rodrigues Inc. pada hari yang sama."
Beryl membaca tajuk utama berita itu,hampir berbisik namun dapat didengari oleh Jay.
'Ini Olaf sekelas saya tu kan?' getus hati gadis itu.
Jay sekadar mendengar cik mudanya membaca tajuk berita tersebut dan masih lagi memasang wajah tanpa emosinya,seolah tidak terkejut sama sekali mendengarnya.
"Jay,awak rasa aneh tak kenapa Olaf boleh menghilang secara tiba-tiba hari ni padahal baru semalam dia ke kelas?"
Beryl menyuarakan isi hatinya yang nyata pelik mendengar berita kehilangan seorang rakan sekampus mereka. Meski lelaki itu telah berbuat sesuatu yang jahat selama ini,dia tetap memikirkannya.
"Cik muda masih bersimpati pada dia walaupun dia dah berbuat sesuatu yang tak senonoh pada cik muda?" Seperti biasa,Jay sentiasa menjawab dengan soalan juga.
"Saya tahu dia memang melakukan sesuatu yang jahat dan mengaibkan,tapi kesian jugak lah dengar berita dia tiba-tiba menghilang macam ni tanpa sebab. Awak tak kesian ke?"
"Dia layak mendapatkan balasannya."
Jawapan lelaki itu sinis dan dingin sekali. Beryl memandang tajam ke arah Jay melalui cermin pandang belakang yang tergantung di atas dashboard.
"Awak ni memang tak ada perasaan ke?"
"Tugas saya memerlukan saya menggunakan akal fikiran dan logika,bukannya melibatkan perasaan."
"Huh! Awak ni dah macam robot tau tak? Tak ada perasaan langsung. Entah macam mana daddy boleh upah awak jadi bodyguard saya."
Telefonnya dilempar ke sisi. Jay sekadar tersenyum sinis sambil terus memandu dengan tenang. Tiba di sebuah shopping mall yang terkenal,Jay memarkir keretanya. Dia keluar dari kereta lalu membukakan pintu untuk Beryl.
Beryl mencapai telefonnya yang dilempar tadi lalu memasukkannya ke dalam purse yang dibawanya bersama. Gadis itu melangkah terlebih dahulu ke dalam mall sambil diikuti oleh Jay dari belakang.
Rata-rata gadis yang mereka lewati memandang ke arah Jay yang kelihatan begitu menarik perhatian. Beryl sekadar mencemuh pandangan mereka yang kelihatan begitu tertarik hendak mendekati Jay kerana hanya dia yang tahu bagaimana dinginnya seorang Jay.
Sebuah kedai buku menggamit perhatian gadis itu lalu langkahnya diatur dengan perlahan menghampiri rak buku yang terletak kemas dipenuhi segala jenis buku. Minatnya lebih terarah kepada buku bergenre romantis.
Jemarinya yang runcing dilalukan di setiap permukaan buku yang tersusun cantik. Bau buku baru benar-benar membuat gadis itu berasa teruja dan senang. Jay setia mengikuti langkah cik mudanya dari satu rak ke satu rak yang lain.
Beryl membelek-belek setiap muka surat buku yang menarik perhatiannya. Jika ada yang berkenan di hatinya,dia akan memberikannya kepada Jay untuk memegangnya seketika sambil mencari yang lain.
Jay membaca sepintas lalu tajuk buku yang ada di tangannya. Mengikuti gadis ini membuatkan dia mengenali serba sedikit apa yang disukai olehnya.
"Kenapa cik muda suka baca buku yang macam ni?" Jay melihat cik mudanya memilih lagi di antara banyaknya buku yang tersusun cantik di atas rak.
"Memang minat saya. Kenapa?" Beryl berasa pelik kerana Jay menyoal cita rasa pemilihan bukunya.
"Too childish."
Begitu jawapan yang meluncur keluar dari bibir lelaki itu membuatkan Beryl menoleh pantas ke arahnya dengan mata yang dijegil geram.
"It's none of your business!" Beryl geram dengan sikap lelaki itu yang selalu suka mengadili orang tanpa perasaan. Jay sekadar angkat bahu lalu matanya melilau keadaan sekitar.
Dia harus sentiasa berwaspada ketika mereka berada di luar. Cik mudanya mungkin senang terleka dengan keadaan sekeliling dan bahkan lupa yang nyawanya sentiasa menjadi taruhan ke manapun dia pergi namun tidak bagi Jay.
Baginya,nyawa cik mudanya adalah prioriti utamanya dan dia harus melindungi cik mudanya dari ancaman apapun. Jika ada yang menyentuh cik mudanya walau sehelai rambut pun,dia tidak akan teragak-agak untuk menamatkan riwayat orang itu dengan serta-merta.
Setelah memilih beberapa jenis buku,Beryl membayar bukunya di kaunter. Gadis-gadis yang bekerja menjaga kedai buku itu sekali-sekala berbisik-bisik di antara satu sama lain sambil memandang Jay. Nyata mereka juga menjadi korban yang hanya jatuh hati pada raut wajah tampan itu.
Beryl hanya mampu menahan tawa melihat ada yang cuba hendak menghampiri Jay namun tidak diendahkan oleh lelaki itu. Selesai membayar, Beryl melangkah keluar diikuti oleh Jay.
Setelah berada di luar kedai buku itu,tawa yang ditahan tadi terlepas dari mulut gadis itu. Jay memandang cik mudanya dengan wajah seribu kerutan.
"Kenapa cik muda ketawa?Cik muda tak sihat ke?"
"Saya tergelak tengok awak diganggu perempuan tadi. Nampaknya dia begitu meminati awak. Kenapa awak tak bagi nombor telefon awak kat dia?"
"Kenapa saya harus memberi nombor saya kepada orang yang tidak dikenali?"
"Bolehlah awak berkenalan dengan dia, mungkin boleh jadi teman wanita terus." Beryl seronok mengusik lelaki itu.
"Mereka hanya akan mengganggu tugas saya."
Beryl tersenyum mendengar jawapannya. Dia sudah mengagak manusia sedingin Jay mana mungkin mempunyai teman wanita.
"Baguslah, bolehlah awak fokus melindungi saya." Senyuman gadis itu meleret panjang.
"Adakah cik muda begitu senang hati mengetahui saya tidak berminat berkenalan dengan wanita lain?"
Soalan lelaki itu seketika membuat Beryl terkedu tidak tahu hendak menjawabnya. Senyuman di bibir mungil itu langsung pudar.
Bukankah sebentar tadi hatinya senang mengetahui lelaki itu tiada perasaan terhadap wanita lain. Kenapa pula dia senang hati? Tidak mungkin juga dia hendak mengakuinya secara terang-terangan di depan lelaki itu.
"Saya cuma tak mahu awak mencampuradukkan soal kerja dengan soal privasi sehingga prestasi kerja terganggu. Daddy pasti tak akan teragak-agak untuk memecat awak jika itu terjadi."
Beryl berusaha menjawabnya dengan suara yang setenang mungkin.
"Cik muda tak perlu risau. Hal itu tak akan pernah terjadi dan saya akan terus melindungi cik muda selagi khidmat saya diperlukan."
Entah kenapa jawapan lelaki itu membuatkan hati Beryl berbunga indah. Senyuman yang terukir di bibirnya disembunyikan dengan membuang pandang ke arah lain.
"Awak nak minum tak?"
Cik mudanya menunjuk ke arah gerai minuman yang berderet di tepi jalan. Karnival makanan sedang berlangsung dengan meriahnya.
Segala jenis makanan dan minuman disajikan untuk dijual kepada umum. Melihat tiada reaksi dari Jay,Beryl lantas menarik lengan lelaki itu menghampiri gerai yang berdekatan.
Aroma enak pelbagai jenis makanan begitu menusuk hidung membuatkan perut gadis itu tiba-tiba berkeroncong lapar.