webnovel

Terdedah

Mizuki membuka mata, seorang budak perempuan di hadapannya, budak yang semacam dikenalinya. Namun dia tak mampu ingat secara terperinci siapa budak itu, walaupun dia tahu dia pernah kenal budak itu. Mizuki berkejar - kejaran dengan budak tersebut, bergurau senda. Tidak kira sekuat mana dia mengejar, dia tetap tak mampu mencapai budak itu, dia terlalu pantas, dan kaki Mizuki terlalu pendek, dia kembali ke zaman kanak-kanaknya. Dia memanggil budak itu

"Nanti, tunggu dulu, jangan pergi!!"

Namun semakin laju dia mengejar, semakin jauh budak itu dari capaiannya, jauh ke penghujung dunia. Dan hilang dari pandangan.

Mizuki terdengar sebuah perbualan. Suara yang dia kenali, dan kali ini dia ingat pemiliknya

"Ibu.. ayah..?"

Dia menjenguk dari tingkat atas, cuba mengenal pasti sumber suara yang kedengaran agak tertekan itu. Perlahan - lahan dia menuruni satu - satunya tangga di rumah itu. Berjaga - jaga agar tidak mengumumkan kehadirannya, mungkin takut dimarahi kerana belum tidur pada waktu sebegini, atau mungkin dia risau terdengar punca sebenar kegusaran ibu bapanya. Mengapa? takut - takut dialah punca tersebut, punca kekecewaan mereka, punca kesedihan mereka.

"Kita dah cuba macam-macam... saya tak tahu nak cari mana dah..."

Suara ibunya, menggeletar, sesuatu yang jarang didengari. Sekurang - kurangnya, jarang didengari Mizuki.

"Perlahan sikit, kalau dia dengar macam mana?"

Bapanya menegur sebelum memeluk wajah ibunya ke dada, cuba untuk menenangkan wanita itu. Ruang itu kelihatan seperti mereka baru sahaja menerima tetamu, tetamu yang datang membawa berita buruk, berita yang mampu mengganggu keamanan rumahtangga ini. Ibunya tidak dapat menahan perasaan

"Apa lagi yang kita boleh cuba, bang? Kalau terus macam ni-"

"Dia buat hal lagi... memang takde orang lain dah..."

Satu suara mencuri tumpuan Mizuki sebelum dia sempat mendengar penghujung ayat ibunya. Meskipun terpotong ayat tadi, ia masih menjawab pertanyaan yang mencengkam hati Mizuki, perihal sumber tekanan kedua ibu bapanya

"Tu dia, Cik-Tak-Cukup-Perhatian"

Suara lain mengetuk gegendang telinganya dari sebelah lain, didapati dirinya bukan lagi di rumah kesayangannya tetapi di sekolah. Dia berjalan menelusuri kaki lima sekolah rendahnya. Walaupun tiada sesiapa yang menghalang laluannya, perjalanan itu terasa cukup berat untuk diharungi. Berat tenungan mata dari sekeliling yang menghukum tubuh kerdilnya. Perbualan lain mencubitnya lagi, dari arah belakang, namun kali ini dia tak berdaya menoleh ke arah suara itu. Pandangan matanya kuat memaut pada lantai di bawah

"Dengar kata dia buat lagi.. kali ni dalam makmal sains"

Suara seorang gadis memberitahu rakannya,

"Yeke? ni dah kali keberapa minggu ni?"

Perbualan itu memecah masuk ke ruang telinganya. Tanpa memandang ke arah mereka pun dia tahu bahawa dialah yang menjadi buah mulut pelajar di sekolah sekarang.

"Kau ingat lawak ke?! Nak gila pergi gila di tempat lain lah!"

Hukuman berat tenungan awam, dan gelak tawa yang mengejeknya dari belakang. Tekanan perasaan itu memijak bahu Mizuki, kuatnya tekanan itu hingga dia hampir terbenam ke dalam lantai sekolah itu, tak bukan setakat hampir, dia betul-betul tenggelam ke bawah, terkapai - kapai namun tidak mampu melawan arus yang membenamnya jauh ke dalam.

"GAAAHHH!!"

Cungap Mizuki, terjaga dia dari mimpi. Kali ini, dalam biliknya sendiri, kali ini, betul-betul terjaga.

"Ugghh, sakitnya kepalaku"

Dia mengurut dahinya, baru saja terjaga dari tidur dia sudah letih, lagi letih lagi bila terpaksa menghadap sakit kepalanya

"Dah lama, aku tak mimpi macam tu"

mimpi ngeri tadi masih segar di ingatannya, sudah menjadi sebahagian dari memori kekalnya. Anehnya, baru hari ini dia teringat semula meskipun ianya sesuatu yang tidak mudah dia lupa.

"Baik aku pergi basuh muka du-"

Turun sahaja dari katil, kakinya menyentuh sesuatu di sisi katil. Sesuatu yang ganjil. Sakit kepalanya berdenyut lebih kuat berbanding tadi. Dia menjenguk kakinya dari atas katil

"Alah, Fuu Chan saja ke?"

Walaupun agak kabur, dia boleh kenal anak patung kegemarannya itu di kakinya. Tidak terlalu terkejut, dia menuju ke bilik air untuk mencuci muka, alang - alang sakit kepalanya sekali.

'Tapi kenapa... kepalaku sakit sangat harini..?'

Malangnya tidak hilang denyutan itu, malah bertambah kuat setiap kali dia bergerak. Seolah-olah denyutan itu bertambah dahsyat bagi setiap saat dia membuka matanya. Kesakitan itu melarat sehingga dia mula nampak macam-macam

'T-tadi... atas katil aku...'

Cepat - cepat dia menggeleng kepala, berusaha untuk mengeluarkan bayangan itu dari kepalanya.

"Masih mimpi aku ni.. baik aku dapatkan udara segar sikit..."

Mungkinlah dengan kesegaran itu boleh menyuci semula otaknya. Tangannya mencapai cermin tingkap, cuba untuk membenarkan udara pagi masuk ke dalam namun tak menjadi. Pemandangan luar tingkapnya yang biasa dilihat beribu kali itu hari ini ternyata sedikit berbeza. Sangat berbeza sehingga dia terkaku melihatnya, tak mampu memahami maklumat yang tidak dapat diterima akal dari matanya. Kejirananan yang dikenalinya kini dipenuhi dengan kewujudan yang asing.

Di sebuah bukit berdekatan situ, seorang jejaka sedang bersandar di sebatang pokok, Daisuke. Dia di sebuah kawasan terbuka di tengah hutan

"Agaknya... Sudah tiba masa.. hah.."

Dia bertutur seorang diri. Menanti.

Sementara itu di bilik Mizuki, satu alam yang berbeza terbongkar di hadapannya melapisi dunia yang sedia ada. Makhluk yang hanya pernah dilihatnya dalam kisah dongeng dan televisyen kini merangkak, berlari, melingkar, berterbangan, terapung dan berjalan di kawasan taman di luar tingkapnya. Hantu, pelbagai bentuk dan rupa, ada yang dikenalinya, ada yang dia pernah dengar atau baca tentangnya manakala kebanyakannya sangat asing sekali. Rupa yang tidak boleh diterima akal dan menghancurkan logik fikiran. Sakit kepala yang dari tadi menghantui mood adalah tindak balas otak yang cuba melindunginya dari pemandangan yang menakutkan ini. Namun kali ini, tapisan mentalnya sudah pecah, tiada peluang untuk dia kembali. 'Benda - benda' itu sekarang berada betul-betul depan matanya.

Wanita yang terlalu tinggi melebihi kebiasaan manusia, berjalan dalam gaya yang sedikit kemanusiaan namun lebih janggal, seperti ianya cuba meniru perwatakan manusia.

Sebiji mata, sekumpulan mata, bermain-main di udara, diliputi api sebiru nilam.

'Sesuatu' yang panjang, berlegar, menembusi dan melingkari hampir setiap rumah di taman itu. Tubuhnya bersisik seperti ular, namun ada juga ciri-ciri kulit manusia, kepalanya saja yang tidak kelihatan. Sungguhpun begitu, yang pasti badan yang panjang itu masih sedang bergerak.

Lembaga hitam, gergasi melintasi pekan Hokubu. Kebesarannya saja sudah cukup menggerunkan, tapi lembaga itu juga tidak sedikit pun merosakkan rumah-rumah di dasar kakinya, menembusi setiap dinding. Lembaga gergasi itu ternyata gelap dan berbulu, mungkin berambut, lebat di seluruh badan. Tubuhnya yang terlampau besar digandingkan dengan lehernya yang kurus itu membuatkan kepalanya terhuyung-hayang setiap kali badannya maju ke hadapan.

Sedang lembaga itu mengalih perhatiannya ke langit, lebih banyak lagi makhluk-makhluk aneh yang dilihatnya. Ada yang seakan-akan manusia, ada yang seakan haiwan, namun yang lainnya tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Berlegar, berenang, berguling di ruangan langit. Melampaui setiap hukum alam, atau norma tubuh badan.

Dia boleh nampak hantu, merata tempat mereka ada. Kebanyakannya perasan akan kehadirannya, ada yang merenung dan mengancamnya, menggertak, namun lebih banyak yang buat tak endah sahaja. Bukan setakat gelisah, perasaan gerun yang sangat hebat merubah muka manis gadis manja itu menjadi seperti seseorang yang sudah jauh berusia dan perit dengan hidup. Dia mendakap mukanya dan memaling ke bawah, namun di situ juga wujud sumber ketakutan yang dia cuba elak. Benda yang dipijaknya di sisi katil tadi bukanlah Fuu chan, ianya lebih hodoh lagi. Ia membenam taringnya ke dalam kaki Mizuki, semacam menghisap jiwanya langsung dari kaki Mizuki.

Kepala, tanpa jasad, namun masih bernyawa.

Di hadapan ribuan ancaman baru berbagai bentuk dan rupa ini Mizuki berdiri seorang diri, tak terdaya, tak terlindung, terdedah.

Meskipun dalam biliknya sendiri pun dia tak ada tempat untuk melarikan diri dari ancaman mereka. Rasa gerun mencekiknya, menghalangnya dari mengeluarkan sebarang suara buat seketika, namun sejurus otot tengkuknya kembali berfungsi langsung meletus teriakan nyaring dari mulutnya sambil menutup muka. Teriakan yang sama menggerunkan seperti hantu yang menggertaknya sekarang, seluruh taman itu bergema dengan pekikan suaranya. Perubahan yang mengejut itu turut menyebabkan tindak balas dalam badannya, tanpa disedari dia mula demam panas. Sesuatu yang hanya akan disedari oleh ibunya apabila dia tiba sebaik mendengar teriakan Mizuki.

Mulanya agak gentar dia melihat keadaan anaknya, namun kemudian terus melontarkan dirinya ke arah Mizuki untuk memastikan keselamatannya. Itu saja yang mampu dia buat dalam situasi begini. Dia tak pernah berjaya fahami apa yang Mizuki betul-betul takutkan, tak boleh berkongsi ketakutan anaknya itu. Sehabis mungkin usaha yang dia boleh lakukan untuk anaknya itu

"Takpa Mi, Mak di sini! Mereka takkan ambil Mi dari Mak.."

adalah dengan menipu.

Ancaman yang dahsyat itu masih memaksa jeritan Mizuki, sedang maknya giat menenangkan dia, masih bergema laungannya yang menandingi seram hantu-hantu yang mengelilinginya. Hanya penat lelah sahaja yang mampu menghentikan gadis itu sekarang, penat akal dan badannya untuk tidak meronta lagi.

Biarpun minda sedarnya tidak perasan kehadiran maknya, minda separa sedarnya masih merasainya. Itu sedikit sebanyak membuahkan sedikit kelegaan buat Mizuki kini, perasaan seperti dilindungi sesuatu, diselimuti seseorang, terlindung. Di tengah-tengah ketakutan yang teramat itu, wujud sebutir ketenangan. Tak cukup untuk memadam ketakutannya, namun masih cukup untuk memujuknya tidur. Dia pitam.

Perasaan yang dikenalinya itu tiba lagi, perasaan yang menenangkan. Di balik ketakutan yang menimbus dirinya, kehangatan seorang insan lain. Kehangatan yang kian mencairkan ancaman yang menimbus Mizuki umpama ais. Dia memperoleh semula kekuatan untuk bergerak, untuk bebas.

Mizuki terjaga dari tidur, lagi. Badannya agak berat dari biasa, macam ada sesuatu yang menindihnya, memang ada pun, bukan sesuatu tapi seseorang.

"Selamat Pulang!"

Sayup-sayup dia dengar ungkapan itu sejurus terjaga, datang dari ibunya.

"Mak? Apa ni... Mi bukan budak kecil lagi dah"

Agak segan dengan dakapan ibunya.

Mendengar suara Mizuki langsung ibunya berganjak memberi ruang kepada Mizuki, memerhatinya dengan teliti sebelum melontarkan soalan demi soalan

"Ada apa-apa jadi dekat sekolah ke? Ada orang kacau Mi ke? Masa balik sekolah ke? Mi ada sakit mana-mana ke? Mi okey ke?"

"Mak..? Apa ni semua... risau pula Mi..."

Keliru dengan kerenah ibunya, dia sendiri pun tak tahu nak mula dari mana menjawab soalan yang bertubi-tubi dari ibunya itu. Kerisauan terlampau ibunya turut merisaukan dia.

"Mak yang patut cakap macam tu!"

Tegur ibunya agak garang. Sekali hinggap tetakan karate ibunya ke dahinya, pukul manja la katakan, namun masih berbisa.

"Aduh! Apa ni mak...?"

Keluh Mizuki.

"Itu sebab buat Mak risau! silap haribulan kena serangan jantung nanti"

Jawab maknya. Garang tapi masih segar kelegaan pada wajahnya.

"Buat Mak takut je kamu ni, kamu betul tak ingat ke?"

Turut bingung ibunya akan keanehan perangai anaknya itu. Dia menceritakan semula apa yang terjadi.

"Minggu lepas dah la balik lambat, lepas tu tak jawab apa pun mak tanya, terkurung je dalam bilik satu hari. Lepas tu bila dah bangun mak cakap apa pun macam tak dengar ja, makan tidur makan tidur sepanjang hari. Mak ingat.. Mi dah-"

Dia padam ayat itu sebelum selesai, mengubah fikirannya.

"Dah lama kan, Mi tak kena macam ni? Dulu-"

"MINGGU LEPAS?!!" terpotong ayat ibunya dengan reaksi Mizuki, makin risau dibuatnya

"Mi sampai tak sedar Mi lena berapa lama ni. Mungkin harini ponteng dulu lah"

Katanya bila melihat anak daranya itu kalut memakai stokin dan bersiap untuk ke sekolah.

Kedua-dua mereka risau namun lain-lain risaunya, Mizuki hanya tersengih memikirkannya. Bukannya dia tak faham, dia pun ada terfikir nak ponteng saja sesudah bangun tidur dalam keadaan penat tadi, tambahan lagi dua tiga hari ini kacau bilau hidupnya. Namun, satu minggu saja pun dah terlalu lama untuk dia ponteng, dia taknak panjangkan lagi 'cutinya'

"Takpa mak, Mi dah okay dah"

Dia menuju ke pintu

"Kalau Mi tunggu lama lagi, Mi tak tahu boleh keluar balik ke tak"

Ujarnya sambil tersenyum nipis, bimbangkan zaman persekolahannya. Tidak mahu ulangi lagi kesilapan dulunya.

"Haih budak bertuah ni... degil!"

Walaupun masih berbaki risaunya terhadap keadaan Mizuki, dia memahami apa maksud anak perempuannya itu. Mizuki sedang berusaha keras untuk berubah, gigih melangkah ke depan, nak dihalang pun tak sampai hati, nak lepas saja pun tak sanggup. Namun dah itu pilihan Mizuki, dia hormat saja, ada baiknya juga.

Di sekolah, sedang pelajar lain sibuk berbual sesama mereka, Mizuki hanya duduk sendiri, merenung ke luar tingkap. Dia mengeluh

"Depan ibu je aku buat-buat teruja, realitinya persekolahan aku masih..."

Belum sempat dia menghabiskan monolognya, kejadian aneh yang pantas melintasi matanya memotong ayat yang ingin dituturnya. Sangkanya ternampak kelibat sesuatu melintasi laman sekolah di luar. Seorang perempuan, pucat, putih satu badan, rambut, mata dan lain-lain lagi. Namun sekali matanya berkelip, langsung lesap kelibat tersebut.

"Baik kelas, duduk tempat masing-masing, dah nak mula ni"

Umum guru yang baru memasuki kelas, meruntuhkan tumpuan Mizuki daripada mencapai sebarang kesimpulan daripada apa yang dilihatnya.

"Satu lagi, kita ada budak baru hari ini, jadi semua senyum luas-luas, kita alu-alukan kedatangan dia"

Mula riuh semula kelas tersebut menerima berita itu.

"Budak baru? Tengah tahun camni?"

Soal seorang pelajar.

"Entah-entah budak bandar? Budak laki agaknya?"

Teka seorang pelajar perempuan yang diajukan kepada rakan sebelahnya.

"Harap-harap budak perempuan yang comel"

Harapan seorang pelajar lelaki disuarakan.

Sedang pelajar pertukaran itu memasuki kelas, suara yang dikenali menyapa seluruh kelas. Namun suara itu hanya dikenali oleh Mizuki. Terbeliak mata gadis itu, tangannya mengetap ketat meja di tempat duduknya. Kemunculan Daisuke yang mengejutkan di sekolahnya sebagai pelajar baru, dalam kelas yang sama juga, perkembangan yang sudah terlalu biasa dilihat dalam cerita romantis remaja.

"Saya Kishimoto Daisuke, selamat berkenalan semua!"

Tersenyum lebar mamat itu, sopan dia menunduk tanda hormat. Tidak langsung mengerling kearah Mizuki.

Masih terkejut Mizuki

"HEEEEEEEEEEHHHHHHH?!!!"