webnovel

Bab 1

KESIBUKAN yang kian tidak terasa. Semua orang fokus dengan kerja masing-masing. Paper work sehabis mungkin disiapkan hari itu juga atas permintaan orang atasan mereka.

Inspektor Imran muncul di balik kesibukan itu lalu membawa langkah tenangnya ke pejabat Tuan Syed. Itu pun selepas dia menerima panggilan dari lelaki itu. Pintu diketuk terlebih dahulu sebelum dia mendengar arahan masuk dari dalam. Dia melangkah masuk sebelum dia memberi hormat pada Tuan Syed, lelaki separuh usia itu.

"Silakan duduk," pelawa Tuan Syed, kelihatan mesra. Tidak tegang dan tidak serius seperti selalu.

Inspektor Imran menarik kerusi berhadapan dengan Tuan Syed lalu melabuhkan punggungnya di situ. Dia masih diam, menanti orang atasannya itu bersuara. Bukan dia tidak tahu alasan dia dipanggil datang ke dalam pejabat Tuan Syed. Dia tahu mesti ada sesuatu Tuan Syed mahu sampaikan hasratnya pada dia.

"Bagaimana kes yang kamu ambil alih sebelum ni? Dah settle?" Tuan Syed sekadar berbasa-basi. Ditenung Inspektor Imran yang duduk di depannya itu.

"Alhamdulillah...dah settle, tuan!" Jawab Inspektor Imran, bibirnya terselit dengan senyuman kecil. Bangga dengan kecekapannya dalam menjalankan peranannya.

Dia puas dengan kerja penyiasatannya. Segala kes-kes yang dipinta untuk dia selesaikan, dia telah berjaya tamatkan.

Bukan dia nak tunjuk riak, tapi dia cuma katakan yang dia suka dengan kerja penyiasatnya itu. Dia dah banyak kali selesaikan mana-mana kes yang rumit sebelum ini.

"Kamu pernah dengar kes bayang baru-baru ini yang sedikit sebanyak menganggu ketenteraman orang ramai?"

Diajukan soalan itu pada lelaki muda yang berusia dalam 30-an itu. Tuan Syed peluk tubuh. Matanya terus memandang polis muda yang berbakat itu.

"Pernah, tuan! Kes bayang yang susah untuk dirungkaikan disebabkan kekurangan bahan bukti dijumpai. Pembunuhan yang melampaui batas kemanusiaan,"

Tuan Syed tersenyum. Panjang lebar dia mendengar hujahan dari polis muda itu. Laci meja sebelah kanannya ditarik, lalu dikeluarkan fail kertas yang tidak setebal mana itu sebelum dihulurkan pada Inspektor Imran.

"Di dalam fail itu ada beberapa maklumat tentang kes bayang yang belum dapat diselesaikan sehingga kini..." ada keluhan kecil dilepaskan.

Inspektor Imran memandang fail itu. Dia dah lama tertarik dengan kes bayang. Dia ada dengar desas-desus dari polis professional selain dia menarik diri dari menyelesaikan kes itu. Kes bayang yang tidak pernah ada jalan penyelesaiannya.

"Jadi...tujuan saya panggil kamu ke sini adalah...saya nak serahkan kes bayang ini pada kamu. Saya dah nilai mana-mana anggota polis yang lain dan saya percaya pada kamu. Saya tahu kamu boleh selesaikan kes ini secepat mungkin,"

"Terima kasih, tuan! Saya akan cuba selesaikan kes ini. Percaya pada saya," Inspektor Imran tersenyum di dalam hati.

Selesai perbincangan di antara mereka, Inspektor Imran akhirnya meminta diri untuk beredar ke unitnya. Tuan Syed dah beri sepenuh kepercayaan padanya untuk menyelesaikan kes bayang itu. Dia tahu kes bayang ini bukan kes yang mudah untuk diselesaikan tapi dia percaya masih ada bukti untuk dia temukan jawapan sebenar.

Fail ditangan cepat diletakkan atas meja. Dia memanggil beberapa anggota unitnya yang sebanyak dua orang itu. Dia tidak perlukan ramai anggota sebab dia yakin dengan kemampuan anggota unitnya itu.

"Ada apa tuan panggil kami hari ini?" Kayla, bertanggungjawab untuk mencari maklumat, bersuara. Matanya memandang wajah Inspektor Imran yang serius itu.

"Mulai hari ini, kes bayang...di dalam tangan kita. Saya nak kamu berdua kumpulkan maklumat yang kamu dapat dari mana sumber yang ada kaitan dengan kes bayang ini, serahkan pada saya ASAP! Dani, kamu...saya arahkan ambil bahan bukti yang diambil oleh anggota forensik ketika pembunuhan dijumpai. Kayla, kamu saya arahkan untuk temui beberapa anggota polis penyiasat yang pernah menyiasat kes bayang sebelum ini. Pastikan...saya dapat maklumat betul, bukan dicipta, atau...maklumat kosong. Kamu berdua faham?"

"Faham, tuan!" Kayla dan Dani serentak menjawab.

"Kamu berdua boleh pergi,"

Kayla dan Dani pamit keluar dari pejabat tuan mereka itu. Mereka dah biasa bekerja di bawah Inspektor Imran yang begitu serius dan komited dengan kerja.

Inspektor Imran kembali duduk dan matanya tertancap pada fail kertas di atas mejanya itu. Belum sempat dia nak membuka untuk melihat isi dalam fail tersebut. Dicapai fail itu lalu diselak perlahan. Dalam fail itu dipenuhi dengan dokumen dan gambar-gambar pembunuhan yang dibuat oleh pembunuh misteri yang dipanggil bayang.

Fail itu ditutup kembali. Pandangannya dihalakan pada depannya. Fikirannya menerawang jauh ke depan memikirkan penyelesaian bagi masalah kes bayang itu. Kali ini dia harus berusaha keras sehabis mungkin. Keamanan negara dan keselamatan masyarakat umum adalah di bawah tanggungjawabnya juga.

DALAM begnya diseluk sebelum dia memberi beberapa not duit untuk membayar harga tambang teksi yang membawa mereka ke kampung itu. Selesai berurusan dengan pemandu teksi itu, tangan adiknya lantas ditarik dibawa menghampiri rumah kayu yang didirikan masih utuh binaannya walaupun agak lama di pandangan mata.

"Rumah siapa ni?"

Ayris toleh ke belakangnya. Wajah Adyna ditatap lama. Rupa mereka memang hampir sama jadi susah untuk orang mengenali mereka. Itulah adik kembarnya yang lahir beberapa minit selepas dia dilahirkan.

"Adik jangan risau...rumah ni akan jadi rumah kita lepas ni. Jom kita masuk dalam, kita bersihkan apa yang patut," ajak Ayris dengan wajah senang.

Adyna senyum terpaksa. Kalau disebabkan mereka tak ada tempat tinggal lain, dia tak akan jejak kakinya masuk ke dalam rumah kayu yang kuno ini. Dahlah banyak habuk, sarang lebah pun nak tumpang sekaki mengotorkan dalam rumah itu.

"Akak dapat mana rumah ni?" Soal Adyna tidak puas hati dengan keadaan rumah itu.

Dahlah tandas dan bilik mandi ditempatkan di luar rumah. Semuanya kayu. Bilik pula ada dua. Tak ada kipas, tak ada penghawa dingin. Old school betul rumah ini!

Ayris yang leka menyapu, terus melemparkan pandangannya ke arah adiknya yang bising itu. Dia tahu adiknya tak suka tinggal tempat macam itu tapi manalah dia nak mampu beli rumah batu bajet orang kaya dengan dirinya yang belum mempunyai pekerjaan. Dia tak ada pengalaman.

"Adik...bersyukurlah apa yang patut. Rumah ni bukan rumah siapa-siapa pun. Ni lah rumah ayah kita, harta yang dia ada, tinggalkan untuk kita berdua. Akak mana mampu nak beli rumah kita yang dulu tu," Ayris cuba memujuk adiknya itu.

Tangan adiknya dipegang. Dia mahu Adyna belajar erti sebuah kesusahan hidup. Dulu mereka memang hidup dalam kemewahan tapi selepas ayah dan ibunya terkorban dalam tangan ketua ah long itu, mereka hidup tak tentu arah. Mujur ada penguam ayahnya memberitahu tentang wasiat ayah mereka dan memberitahu harta yang masih tertinggal. Rumah inilah harta peninggalan ayah untuk mereka berdua.

Kedengaran Adyna merengus kasar. Dia faham sangat dengan perangai Adyna yang degil itu. Otak batu. Nak ikut sangat perasaan dia sahaja.

"Dah...adik pergi dalam bersih bilik adik sana. Biar akak bersih dekat luar ni,"

Ayris mengeleng kepala sebaik dia melihat perilaku adiknya yang masuk ke dalam bilik dengan hentakan kaki tanda protes. Entah dugaan apa lagi yang dia harus terima selepas ini...Cukuplah dia kehilangan kedua orang tuanya, janganlah dia kehilangan Adyna dalam hidupnya yang sebatang kara itu.

"ESOK akak nak daftarkan adik sekolah dekat sekolah kampung ni..." Ayris memberitahu adiknya yang ketika mereka di meja makan.

Terus hilang selera makan Adyna. Sudu di tangan diletakkan atas pinggannya sebelum dia menghalakan matanya pada kakaknya itu. Ada riak tidak puas hati terpamer di wajahnya.

"Adik tak nak sekolah! Akak mana mampu nak bayar segala yuran sekolah termasuk buku-buku adik nanti. Adik tolong akak cari kerja," Adyna membantah.

Terlepas keluhan kecil di bibir Ayris. Ditatap wajah Adyna yang sedari awal membantah dengan keputusannya itu.

"Boleh tak sekali ni je adik dengar cakap akak ni...? Jangan bantah keputusan akak. Akak buat semua untuk masa depan adik. Akak nak adik berjaya. Akak tak nak adik MENYESAL kelak nanti," sengaja ditekan perkataan menyesal tadi supaya adiknya itu sedar.

Ayris menyudahkan suapannya sebelum dia angkat kaki beredar dari ruang dapur itu. Tinggal Adyna yang terkebil-kebil di situ. Namun bibirnya tersungging senyuman sinis.