webnovel

Awanama Kosmos

Bahan ujikaji yang dibawa oleh angkasawan kedua negara ke stesen ISS tiba-tiba bertindak balas dan menghidup pada graviti sifar. Makhluk berkenaan telah diberi nama 'Awanama Kosmos' oleh NASA kemudiannya telah jatuh ke permukaan bumi lalu menjadi pandemik.

HdinHafizuddin · Romance
Pas assez d’évaluations
34 Chs

Bab 15

PADA bulan kelima, kesemua calon angkasawan menjalani ujian psikologi. Mereka diberikan beberapa soalan psikologi berkenaan peribadi, kelakuan, warna kegemaran dan pelbagai lagi oleh pakar penilai. Mereka memerhatikan cara mereka berfikir, mengolah idea, mencerna pendapat serta psikologi gerak tubuh setiap calon. Selain itu, ujian kepintaran, ujian sela masa dan ujian fizikal turut juga dijalankan. Setiap kelakuan mereka akan dianalisis dan di programkan di dalam satu aplikasi pintar untuk mengetahui tahap psikologi calon-calon yang terlibat.

Pada bulan ini juga, mereka semua telah dihantar ke kawasan modul pendaratan pesawat pengangkut Soyuz. Setiap daripada mereka akan mengalami pengalaman duduk dalam tempat duduk pesawat berkenaan dalam keadaan terbalik dan pintu pesawat ditutup rapat. Ruang di dalam pesawat pengangkut itu teramatlah sempit dan muka mereka seakan-akan terhimpit antara satu sama lain tanpa penjarakan sosial. Di dalam pesawat pengangkut Soyuz itu, mereka diajar untuk menukar pakaian angkasawan dalam situasi gelap gelita dan ruangan yang amat sempit. Kelebihan berpihak kepada Dr. Nora Yuhanis yang memiliki susuk tubuh yang genit dan kecil kerana beliau berjaya menghabiskan misi menukar pakaian angkasawan dengan sela masa paling pantas iaitu 57 minit, berbanding mereka yang lain yang mengambil masa lebih sejam.

Pada bulan keenam pula, setiap calon menjalani ujian perubatan berkala. Pelbagai bacaan yang diambil oleh doktor yang bertugas iaitu bacaan electrocardiogram atau ECG, pemeriksaan gigi dan ujian berbasikal. Selain itu, mereka dibawa untuk ke suatu bandar di pinggir bandaraya Moscow untuk membina kerusi khas bagi pesawat pengangkut Soyuz. Setiap kerusi akan mengikut ukuran ketinggian bagi setiap calon angkasawan kerana mereka akan berada di dalam pesawat pengangkut Soyuz itu selama 48 jam sebelum belabuh di stesen angkasa kelak.

Pada penghujung bulan keenam ini, beberapa kelas akhirnya tamat seperti kelas bahasa Rusia, kelas asas astronomi, kelas eksperimen geofizik, kelas asas biologi angkasa dan juga kelas mengenai bioteknologi. Calon-calon angkasawan sudah boleh berkomunikasi dengan lancar dalam bahasa Rusia. Calon-calon juga sudah pandai untuk menafsir keberadaan bintang-bintang di langit malam selain perkara asas mengenai buruj dan arah.

Masuk bulan ketujuh sahaja, mereka memulakan latihan asas pengetahuan mengenai modul pesawat pengangkut Soyuz melalui simulator kapsul Soyuz. Pada peringkat permulaan, mereka akan diajar mengenai teori-teori asas, reka bentuk dan tata rias susun atur bahagian luar dan dalam kapsul Soyuz, papan panel kawalan dan peralatan-peralatan berkenaan komunikasi radar dan juga peranti antena radio.

     Calon-calon angkasawan juga telah ditunjukkan bagaimana cara yang betul untuk berhubung dengan pusat kawalan angkasa di bumi dan bagaimanakah kaedah untuk berhubung sesama kru ketika di angkasaraya kelak. Mereka juga ditunjukkan sistem rangkaian radio Rossvett dan juga GPS yang terbina, yang terdapat pada setiap elemen badan kapal pengangkut Soyuz sekiranya mereka mendarat di kawasan yang sukar memperolehi rangkaian stesen pemancar.

***

MEMASUKI bulan kesebelas menandakan permulaan hari baru bagi kru utama misi Soyuz-TMA-M 119. Nora Yuhanis menjalani latihan bersama-sama Komander Andes Shkaplerov dan juga flight attendant Marie Claire. Di antara ketiga-tiga kru misi, Komander Andes Shkaplerov mempunyai personaliti yang mempersonakan. Dia juga dikenali sebagai seorang individu yang suka bertanya dan tidak kekok untuk berkongsi ilmu pengetahuan serta suka menceritakan pengalamannya kepada kru-kru yang lain semasa menjadi kru pada misi Soyuz-TMA beberapa tahun yang lepas.

     Secara fizikal, Komander Andes Shkaplerov mempunyai susuk tubuh yang tegap dan sasa selain memiliki sepasang anak mata berwarna biru laut. Rambutnya pula berwarna keperang-perangan dengan disisir rapi untuk tampil lebih kemas setiap masa. Walaupun berasal dari kawasan bandar Saint Petersburg iaitu satu bahagian bandar di barat Rusia, Nora Yuhanis dan Komander Andes Shkaplerov tidak kekok untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, demi untuk mempertajamkan kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Rusia dengan lebih fasih, dia akan cuba untuk bersembang dengan Komander Andes Shkaplerov dalam bahasa Rusia.

     Komander Andes Shkaplerov banyak membantu Nora Yuhanis dari segi memberi kefahaman paling mudah, jelas dan ringkas tentang sesuatu perkara terutamanya berkaitan misi, modul-modul kapsul Soyuz, konfigurasi modul ISS serta pengalaman perjalanan ke orbit kelak. Ini kerana banyak terma saintifik yang diajar menggunakan bahasa Rusia yang kadangkala agak sukar difahami oleh Nora Yuhanis. Namun, kaedah pengajaran yang berkesan ditambah dengan penerangan melalui pengalaman yang mendalam oleh Komander Andes semasa berada di orbit telah berjaya menyelesaikan beberapa kekeliruan yang timbul.

     Flight attendant Marie Claire pula adalah jurutera penerbangan bagi misi SOYUZ-TMA-M 119 ini yang mana tanggungjawabnya merangkap pembantu juruterbang kepada komander yang akan melaporkan segala perkembangan, situasi serta sebarang kejadian kecemasan ke menara kawalan di Houston, USA dan Baikonur, Khazakstan ketika perjalanan menuju ke orbit kelak. Tugasan utama Marie Claire adalah menentukan pengiraan orbit sebelum memasuki dok, membuat pengiraan kelajuan daya tujahan ketika kapal pengangkut Soyuz sedang mengorbit bumi serta mengawalselia proses pemanduan manual sekiranya berlaku keadaan di luar jangka.

     Menurut cerita Marie Claire ketika bersembang secara kasual, keturunannya merupakan suku bangsa asal bagi penduduk asli Red Indians yang menetap selama ribuan tahun sebelum kedatangan penjajah ke tanah besar negara Uncle Sam itu pada peristiwa order baharu dunia selepas episod penemuan benua berkenaan oleh Christopher Columbus ratusan tahun yang lalu. Oleh itu, tidak peliklah jika dia memiliki kulit yang agak sawo matang sedikit, dan rambutnya sedikit kerinting. Namun, pengalaman Marie Claire dalam misi ke orbit cukup luas. Dia sudah beberapa kali menerawang ke orbit dengan menaiki shuttle yang dibina oleh kerajaan Amerika Syarikat melalui NASA dalam misi penjelajahan angkasa mereka. Marie Claire juga cukup fasih berbahasa Rusia dan pernah menyatakan hasrat untuk pergi bercuti ke Pulau Perhentian, Terengganu dan Pulau Mabul, Sabah seandainya dia berjaya menyelesaikan misi Soyuz-TMA ini.

     Pada bulan ini, mereka bertiga akan membuat beberapa siri praktikal bagi simulasi pesawat penerbangan Soyuz ke orbit. Antaranya adalah simulasi program penerbangan penujahan ke orbit iaitu semasa fasa memasuki orbit bumi, di saat kapal Soyuz bercantum dengan ISS, di saat kapal pengangkut Soyuz keluar daripada bahagian dok ISS sehinggalah saat-saat kapal berkenaan mendarat di permukaan bumi. Mereka akan menyarungkan sut angkasawan dengan tertib dan melangkah ke dalam ruang tempat duduk pesawat pengangkut Soyuz berkenaan. Mereka kemudiannya akan memasang alat pemantauan kesihatan, peranti komunikasi radar, tiub getah hubungan oksigen ke topi kaca angkasawan dan alat untuk membantu proses edaran udara di dalam pesawat berkenaan. Simulasi dan proses praktikal ini akan dilakukan secara berulang-ulang kali untuk tempoh sebulan kerana mereka mahu proses docking ke ISS kelak berjalan dengan lancar selain mengurangkan peratusan kadar kesilapan apabila kapsul Soyuz mula mengorbit ke angkasa nanti.

     Selain itu, mereka bertiga akan menghadiri kelas mengenal Modul ISS serta penamaan lokasi di ISS. Mereka akan ditunjukkan di manakah kedudukan tangki penyimpanan air, kedudukan tangki gas nitrogen, lokasi tangki gas oksigen, kawasan untuk memanaskan makanan, jenis-jeni panel solar untuk sistem penjanaan tenaga, kedudukan makmal-makmal utama, kedudukan tempat angkasawan tidur serta kedudukan tandas di dalam modul. Walaupun angkasawan-angkasawan yang sudah berpengalaman berada di ISS sebelum ini, mereka masih wajib hadir bersama-sama kru lain di samping keadaan modul ISS yang berubah-ubah setiap tahun.

     Pada bulan terakhir sebelum latihan, Pemeriksaan Kesihatan yang menyeluruh dan lebih terperinci telah dijalankan kepada kesemua kru Soyuz-TMA-M 119. Ujian kesihatan ini meliputi setiap aspek anggota badan dan juga keadaan organ seseorang angkasawan yang bakal berlepas ke orbit. Beberapa ujian kesihatan telah dilakukan, antaranya adalah ujian electrocardiogram (ECG), imbasan X-ray di bahagian dada, ujian imbasan CT dibahagian organ perut ke bawah, ujian ortostatik, ujian electroencephalogram (EEG), ujian kesihatan gigi, ujian sampel najis dan air kencing, ujian ultrabunyi untuk bahagian abdomen dan saraf tunjang dan juga ujian echokardiovaskular.

     Kru misi Soyuz-TMA-M 119 juga akan dibawa ke bilik ultrabunyi droppler (Ultrasound Droppler). Disana, mereka akan mengimbas setiap perincian tubuh badan ketiga-tiga individu terbabit terutamanya di bahagian tulang rusuk, tulang belakang, abdomen karotid, tulang femur, bahagian popliteal, abdomen tibiale posterior dan juga saluran darah supraorbit artileri. Difahamkan, tulang seseorang individu akan mudah menjadi rapuh apabila berada di persekitaran dengan graviti yang hampir sifar. Ini kerana seseorang individu itu hanya akan menggunakan kaedah terapung-apung di udara untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain berbanding ketika berada di permukaan bumi yang memerlukan kita bergerak dengan kaedah berjalan kaki. Selain itu, proses pengedaran aliran darah akan diagihkan ke bahagian atas tubuh manusia semasa berada di angkasa oleh kerana persekitaran di angkasaraya yang kurang oksigen. Oleh itu, laluan setiap pembuluh darah bagi individu yang akan ke angkasaraya kelak seharusnya berada dalam keadaan yang terbaik.

     Menjelang hari-hari terakhir di bumi, kru misi Soyuz-TMA-M 119 turut menjalani latihan simulasi kecemasan ketika berada di ISS. Mereka juga ditunjukkan lokasi kit-kit keselamatan, punat-punat yang perlu ditekan sekiranya berlaku kecemasan seperti kes letupan, kebakaran, kebocoran dan sebagainya serta aktiviti simulasi kecemasan yang akan berlangsung selama seminggu. Mereka juga akan menduduki ujian kerusi berpusing. Ujian kerusi berpusing memerlukan seseorang individu itu untuk membiasakan diri dengan tindak balas terhadap sesebuah daya tarikan mikro graviti atau disebut sebagai proses penyesuaian angkasa. Selain itu, ujian kerusi berpusing melatih diri mereka untuk menggunakan daya keberatan jasad badan seseorang dan memanfaatkan daya tujahan yang wujud pada situasi mikro graviti untuk bergerak.

***