webnovel

BAB 53 : BANGKIT SEMULA

Seminggu lalu, selepas pertarungan HOPE dan kumpulan Zaki…

Asap hitam berterbangan ke udara, anggota-anggota Pasukan Khas sudah memenuhi seluruh kawasan tempat pertempuran antara Mutants tadi. Kerosakan yang teruk berlaku di setiap arah dan bangunan tempat Zaki terkena pancaran Star Beam telah runtuh dan hangus hitam.

"Nampaknya perlawanan ni memang antara kumpulan Superhuman yang sama haritu…Budak perempuan dengan kuasa cahaya tu." kata seorang anggota Pasukan Khas pada Tuan Syafiq, mereka berdua memakai topeng sebelum memasuki kawasan bangunan yang runtuh dan ditutupi asap hitam itu.

"Aku tak perasan yang lain tapi aku nampak kilat unggu juga tadi." balas Tuan Syafiq, dia dan anggota yang bersamanya memeriksa kawasan itu. Dia mengangkat serpihan bumbung dan bangunan.

"Ker…Urgh….Ker…" Kedengaran suara seseorang, Tuan Syafiq dan anak buahnya terus bergerak kearah suara tadi.

Zaki yang terbakar hangus dengan badannya yang seumpama mengecut hasil terkena pancaran Star Beam yang kuat tadi. Tuan Syafiq dan anggota Pasukan Khas itu terkaku di langkah mereka, walaupun di dalam keadaan sebegitu, Zaki masih bergerak dan berbunyi.

"Apa bendanya…" Mereka hilang kata-kata.

"K-Kha-Khairr…..rull….." Biji mata kanan Zaki pulih sedikit namun ianya masih putih saja. Mulutnya bergerak dan mengeluarkan suara yang lemah dan serak.

Mereka meletakkan mesin berbentuk helmet besi di kepala Zaki, selepas beberapa saat, mesin itu menunjukkan Zaki mempunyai status 'Superhuman'.

"Walaupun dia Superhuman…Rasa susah nak percaya dia ni masih hidup." keluh anggota Pasukan Khas itu dengan wajah terganggu.

"Panggil yang lain…Kita akan bawa dia bersama kita." balas Tuan Syafiq.

Kembali ke masa asal…

Bella sedang menggunakan mikroskop, dia melihat sampel darah seseorang. Di dalam darah itu, terdapat sel-sel yang berbentuk pelik, seumpama bebola yang banyak dan berduri dan pelbagai warna, bergabung dan menghasilkan lagi banyak bebola yang sama.

"Sel-sel ni hampir sama bentuk dan sifat seperti sel-sel mutasi yang ada pada Khairul dan Nasuha, tetapi ianya lebih banyak dan ganas. Susah untuk terangkannya…" monolog Bella sendirian, mata bergerak pula kearah Zaki yang berada di dalam kapsul, walaupun badan sudah pulih, separuh dari badan Zaki berada di dalam bentuk rasaksanya.

"Masih tidur lagi? Cepatlah bangun…Kami kena tahu apa benda dan siapa kau sebenarnya." kata Bella sambil memandang saja Zaki.

Pada masa yang sama…

"Saya Kapten Syafiq dari Pasukan Khas, Superhuman. Kami ada beberapa soalan tentang anak encik yang dipercayai Superhuman atau kami gelar mereka sekarang…Mutant." Syafiq bersama dua anggota Pasukan Khas lain muncul di hadapan Ehsan sedang dia duduk di katil wadnya, Rose juga berada di situ dalam seragam polis.

"Inspektor Rose, betul tak? Saya percaya puan pun sedang siasat kes yang sama berkaitan anak Encik Ehsan. Saya baca laporan puan." kata Syafiq sambil memandang Rose pula.

"Siapa yang bagi kau kebenaran?" soal Rose sambil menjelingnya.

"Pasukan Khas dapat kebenaran khas berkaitan mana-mana kes Mutants, kami boleh masukkan tangan kami dan tahu segala apa yang kami perlukan. Pihak polis hanya perlu fokus menjaga keselamatan orang ramai sedang kami yang selesaikan kes-kes Mutants atau rasaksa mutasi." terang Syafiq, Rose terus berdiri, dia kelihatan kurang selesa dengan kehadiran Pasukan Khas, terutamanya Syafiq.

"Apa-apa soalan yang kapten ada untuk saya, saya akan jawab tapi silalah beri kebenaran untuk Puan Rose bersama dalam soal siasat ini. Dia kawan yang saya percayai, saya nak tahu…di mana anak saya sekarang, itu saja yang penting." kata Ehsan, menarik fokus semua yang berada disitu.

"Kalau itu akan bantu encik beri kerjasama, saya tiada masalah untuk puan Rose sertai kita sekarang." balas Syafiq, Ehsan mengangguk faham.

"Alang-alang, saya pun ada soalan untuk Puan Rose." Syafiq duduk di tepi katil Ehsan sedang Rose kembali duduk juga.

"Soalan untuk aku?" Rose pelik.

"Ya, tapi untuk bermula…Dilaporkan Iman Nasuha dan rakan dia, Khairul Azman melarikan diri dari rumah bersama, mereka juga terlibat dalam serangan rasaksa mutasi di Ipoh di mana mereka ditemui pula oleh Inspektor Rose yang melakukan siasatan tentang serangan di lebuh raya itu. Mereka berdua diserang lagi oleh rasaksa mutasi semasa di hospital dan dilaporkan oleh Inspektor Rose, mereka berdua hilang…Macam mana tiba-tiba anak encik boleh berada di rumah encik semula?" soal Syafiq sambil menoleh kearah Ehsan, nada suara dan riak wajahnya berubah dingin sambil dia menerangkan laporan yang diterimanya.

"Nasuha…tiba-tiba saja pulang, bersama kawan dia Khairul dan seorang lagi kawan perempuan. Saya lega sangat dapat jumpa anak saya balik lepas sekian lama menghilang jadi saya tak persoalkan pun rakan-rakan yang dia bawa pulang. Pada masa tu fokus saya ialah untuk pastikan anak saya selamat saja…" cerita Ehsan pula.

"Encik Ehsan ada bagitau aku tentang kepulangan Nasuha dan Khairul.…Aku nak jumpa mereka untuk soal apa yang terjadi sedang mereka hilang selama 3 bulan tapi tiba-tiba mereka diserang, sekarang Nasuha dan Khairul hilang lagi." tambah Rose pula.

"Pihak kami percaya yang anak encik ialah Mutant yang kami telah temukan dua kali sebelum ini, dia bersama dengan kumpulan Mutants lain yang nampaknya sedang membasmi rasaksa mutasi dan melawan organisasi penjenayah Mutants." cerita Syafiq.

"Takde apa yang pelik pasal Nasuha dan rakan-rakan dia sedang mereka berada di rumah saya. Mereka semua agak diam dan tak aktif sangat, dalam fikiran saya, mereka hanya penat jadi mungkin sebab tu mereka sebegitu. Selain daripada tu, tiada apa pun yang tak kena." balas Ehsan, Syafiq perhati saja dia dan Rose dengan fokusnya.

"Baiklah…untuk soalan seterusnya…"

Pasukan Khas dah tahu identiti Khairul dan Nasuha.

Semestinya, aku dan Ehsan bersedia untuk pihak berkuasa buat siasatan lepas apa yang terjadi tapi tak sangka Pasukan Khas yang terus ambil kes ini…

Aku tak bersedia sepenuhnya untuk mereka.

Syafiq dan anggota Pasukan Khas yang bersamanya keluar dari bilik wad, Rose menghembuskan nafas panjang sedang Ehsan pula kelihatan lega sedikit.

"Aku…tipu…pihak berkuasa…" keluh Ehsan, riak wajahnya berubah serba salah.

"Bagus kau ikut apa yang aku cakapkan. Kita tak beri mereka apa-apa sangat yang membantu, cumanya Nasuha dan Khairul masih dalam bahaya. Pasukan Khas memang mahukan mereka." balas Rose.

"Apa yang kita boleh buat?" soal Ehsan, memikirkan cara untuk membantu anak perempuannya.

"Fokus untuk kembali sihat saja buat masa ni. Aku akan fikirkan apa langkah seterusnya." balas Rose, dia menyilang tangan.

Semasa soal siasat tadi, nampak sangat Pasukan Khas tak percayakan kami berdua sangat. Mereka akan kembali. Soalan yang mereka akan berikan bakal lebih menyusahkan untuk dilepasi…

Syafiq…Apa objektif kau? Apa yang Pasukan Khas mahukan sebenarnya? Kenapa mereka kumpul Mutant? Untuk kaji? Untuk dijadikan senjata?

Ada banyak kemungkinan.

"Jadi kita memang perlukan kostum? Aku tak rasa…aku boleh pakai apa korang pakai…" keluh Nur, dia memandang pelik Khairul dan Nasuha yang sedang memakai kostum baru mereka. Perubahan pada kostum Khairul ialah topengnya lebih nipis dan jaket coklat diubah dengan jaket kelabu. Sedang Nasuha pula mendapat pakaian putih dengan simbol bintang di dadanya, kain di belakang pakaiannya dan topeng yang menutup bahagian atas wajah.

"Kostum penting. Kita dapat sorok identiti kita dan pada masa yang sama, tunjukkan yang kita ni seumpama superhero. Kostum ini ialah simbol siapakah kita…" kata Khalid.

"Apa-apa jelah…Just buat kostum aku kurang merepek je." balas Nur dengan riak wajah malas.

"Macam mana dengan kostum baru korang? Korang suka?" soal Kyoko.

"Selesa sikit topeng baru ni…" kata Khairul.

"Cantik sangat. Saya suka." Nasuha mengangkat ibu jarinya.

"Baguslah kalau korang suka…" balas Kyoko, dia kelihatan bangga.

Beberapa hari berlalu, semasa di rumah Mei, kami gunakan masa sepenuhnya untuk berlatih di Dimensi Minda. Pada masa yang sama, Nur juga berlatih menggunakan kuasa Mutantnya…

Di dalam Dimensi Minda, Khairul melompat dari satu tembok tanah ke tembok yang lain untuk mencapai Nur, dia ditolak pula oleh tangan tanah yang besar namun Khairul memusingkan badannya menyebabkan dia bergerudi keluar dari tapak tangan tanah itu.

Semasa dia di udara, wajahnya dengan Nur bertembung, mereka tersenyum sebelum Nur melepaskan lagi beberapa tangan tanah kearah Khairul.

Earth Control, kuasa Nur benarkan dia kawal tanah dan batu di sekelilingnya. Dia Mutant yang berkuasa tapi kuasanya antara kuasa yang paling sukar untuk di kawal. Walaupun Nur dah mahir sedikit, ada masa dia boleh hilang kawalan menyebabkan gempa bumi yang kecil.

"Kau…orang yang paling lama…ambil masa dalam…Dimensi Minda…untuk berlatih…Huh…" Mei sudah tercungap-cungap, asap seumpama keluar dari kepala dan kedua-dua telinganya. Nur memandang Mei dengan riak wajah serba salah.

Aku sedar sebagai Mutant, aku antara yang paling lemah. Aku tak boleh cipta perisai untuk pertahankan diri atau orang lain, tak boleh ada perisai yang mempunyai pelbagai kemampuan, takde serangan yang boleh meletupkan musuh…

Tetapi tak kisahlah betapa kecilnya aku dalam dunia ini. Aku kena cuba tinggalkan kesan aku.

Khairul duduk sendirian di bumbung rumah Mei, angin bertiup dengan perlahan, kelihatan langit malam di tutupi oleh awan hitam, sedikit saja cahaya bulan dapat menembusi awan-awan itu.

Tangan digenggam, bilah pedang keluar dari lengan kanan Khairul. Dia memerhatinya saja, refleksi wajah Khairul kelihatan melalui pedang itu. Cahaya yang terang muncul dari belakangnya, Nasuha yang sedang terbang pula kelihatan dari refleksi pedang itu.

"Buat apa sini sorang-sorang?" tanya Nasuha, dia mendarat perlahan di tepi Khairul.

"Terfikir saja…Rumah ni tinggi…Pemandangan dari sini mungkin best…" balas Khairul.

"Best ke pemandangannya?"

"Bolehlah."

Nasuha duduk di tepi Khairul, dia memeluk kedua-dua lutut. Khairul diam saja, pemandangan di hadapan mereka hanyalah rumah-rumah tinggi yang lain serta jalan raya.

"Khalid kata kita akan beroperasi semula tak lama lagi. Tak sabar nak kembali lakukan kerja kita, dengarnya sejak kita berhenti, kes Strays meningkat. Dengan kita kembali, kita akan kurangkannya semula." Nasuha mengenggam tangannya dengan senyuman.

"Mari buat yang terbaik, huh…"

"Kenapa ni, Khai? Ada apa-apa tak kena?" soal Nasuha.

"Tak-Huh…Aku tak nak lakukan kesilapan sama…" balas Khairul.

"Maksud kau?"

"Kali ni aku pastikan…aku takkan kalah dengan mudah lagi." kata Khairul, Nasuha kembali tersenyum, dia meletakkan tangan di kepala Khairul.

"Aku percayakan kau." Nasuha membelai kepala Khairul, menyebabkan rambutnya serabai sedikit.

"Kita dah berlatih lama, kau tahu? Aku nampak apa kau boleh buat. Apa-apa yang bakal kita hadapi lagi di masa depan, kita boleh tentangnya bersama. Aku yakin." kata Nasuha, Khairul memandangnya.

Aku tak nak kau sakit lagi, Nasuha…

Bukan disebabkan aku lagi.

"Rose laporkan pada kita, Pasukan Khas sedang lakukan siasatan mereka pada Nasuha. Kita juga dah bertembung dengan mereka dua kali sebelum ni, masih belum pasti sama ada mereka berpihak pada kita atau tak…Kita kena berhati-hati, macam biasa, basmi Strays dan terus gerak pergi dari situ." terang Khalid, dia sudah berada di dalam perisai Beast Tigernya sambil meletakkan helmet di bawah ketiak.

"Kumpulan dibahagikan kepada tiga sekarang…Kumpulan pertama, aku, Khalid dan Chyou. Kumpulan kedua, Khairul, Nasuha dan Nur. Kumpulan ketiga, Kyoko dan Mikael." kata Mei pula, dihadapannya, setiap ahli kumpulan HOPE berdiri dan bersedia, memakai kostum mereka.

Nur memakai pakaian coklat gelap, seluar jeans dan juga topeng yang menutup seluruh wajahnya tetapi rambutnya terkeluar dari belakang topeng itu. Mikael dan Kyoko memandang sesama sendiri, Kyoko tersenyum pahit.

"Aku dah tetapkan lokasi mana yang setiap kumpulan perlu pergi. Selamat meronda dan hati-hati semasa pertarungan korang dengan Strays. Semoga berjaya semua. Jumpa semula nanti. Apa-apa kecemasan, segera pecahkan biji mata yang korang bawa." pesan Mei sebelum semua ahli HOPE akhirnya melakukan rondaan mereka selepas sekian lama.

Nasuha membawa Khairul dan Nur terbang di dalam bebola cahaya. Mikael pula mengayunkan diri sedang Kyoko berpaut pada bahunya. Furioswheels bergerak pantas pula di jalan raya, Khalid memandu sedang Mei dan Chyou duduk saja di belakang keretanya.

"Mei tak beri kita kawasan yang berbahaya sangat dan jauh dari tempat Pasukan Khas beroperasi. Mereka memang tak nak kita bertembung dengan Pasukan Khas." Khairul melihat telefon Nasuha, kelihatan Mei meninggalkan kawasan yang ditanda untuk kumpulan dua lalui dan amaran tempat di mana Pasukan Khas berkemungkinan berada.

"Jadi…apa yang kita kena buat masa rondaan ni?" soal Nur.

"Khairul dapat kesan Strays melalui pendengaran dan bau, kalau kita kesan ada Strays berdekatan. Kita basmi mereka dengan segera. Itu sajalah. Kita hanya tunggu dan terbang sampai ada sesuatu terjadi…" balas Nasuha, dia menoleh kebawah seketika.

"Aku tak pernah nampak Strays depan mata selain masa dalam Dimensi Minda. Dalam dimensi tu aku boleh buat silap, tapi kalau kat dunia betul, kesilapan bermaksud kita boleh mati." keluh Nur.

"Jangan risau. Asal kita ikut latihan dan bekerjasama…Takkan ada sesiapa matilah. Kalau cedera sekalipun, badan Mutant kita pulih." Nasuha tersenyum kecil, dia melajukan diri di udara.

***

"Jadi…macam mana kita nak mula buru dua Mutants tu?" soal Kyoko, dia dan Mikael sedang berada di bumbung sebuah bangunan pencakar langit. Mikael berjalan ke arahnya kemudian mengeluarkan dua gambar dan sehelai fail dari kotnya.

"Syakir, bekas pekerja syarikat IT yang hilang selepas menjadi suspek membunuh bos tempat kerjanya. Lilly Blackwood, tiada rekod jenayah, pelajar dari Australia…" Gambar yang dibawa Khalid ialah gambar Syakir dan Lilly, Kyoko mengambil dua gambar itu dari tangan Mikael.

"Ada yang buat laporan, kali terakhir bos Syakir ditemui ialah bersama dengan dia. Beberapa minit lepas itu, bos dia jatuh dari tingkat bangunan tempat dia bekerja dan Syakir hilang…Dia suspek utama." terang Mikael.

"Macam mana kau dapat semua informasi dan fail ni?" soal Kyoko sambil membuka pula fail yang dibawa Mikael, di dalam fail itu, terdapat laporan tentang kes jenayah Syakir dan informasi tentang Lilly.

"Aku minta Rose dan Shaurya carikan dan beri salinan pada aku, apa-apa yang mungkin berkenaan dengan dua Mutants tu…" balas Mikael.

"Daripada semua ni. Langsung tak nampak kaitan antara Syakir dan Lilly. Apa sebab mereka bekerjasama?" Kyoko keliru.

"Kita nampak apa yang Syakir boleh lakukan, dia boleh kawal orang guna wayar dari tangan dia…Lilly berkemungkinan berada di bawah kawalan dia selama ni, ikut dia secara paksa." kata Mikael sambil menyilang tangannya.

"Keluarga Lilly buat laporan dia hilang selepas sebulan tak dapat berkomunikasi dengan dia. Mereka hilang komunikasi pun tepat-tepat masa Mutant Cell baru tiba di Bumi." terang Mikael sedang Kyoko masih membaca fail itu.

"Kita kena jumpa mereka dulu sebelum mereka jumpa kita. Secara berhadapan, Syakir tak dapat lakukan apa-apa. Kita tak tahu kemampuan sepenuhnya kuasa Lilly tapi aku pasti kau lagi pantas dari dia…" cadang Mikael, Kyoko menutup semula fail yang dibaca tadi.

"Lilly…Perlu ke kita bunuh dia sekali? Kalau betullah dia berada di bawah kawalan Syakir, takkanlah dia kena hukum atas kesalahan orang lain?" soal Kyoko.

"Aku pertimbangkan…Ikut apa pilihan dan tindakan yang dia lakukan. Kita tak tahu niat sebenar dia. Jangan cuba cari kebaikan musuh yang kau nak hadap." pesan Mikael, Kyoko menghembus nafas panjang.

"Kita akan buru mereka dan bawa keadilan kita sendiri."