webnovel

Kereta kuda meluncur melewati jalan-jalan yang berliku sebelum ia berhenti di hadapan Pintu Gerbang Jingxiang. Pemandangan di hadapan mereka hanyalah kawasan hutan yang sungguh tebal sehingga ia mampu menutupi separuh langit di hadapan. Hanya terdapat satu dinding tinggi yang tampak suluh setelah bertahun-tahun berlaku. Mungkin dengan satu sentuhan jari, dinding tersebut bakal runtuh satu persatu.

Sepasang tangan yang pucat merentap jubah sebelum menarik pintu kereta kuda itu sehingga terbuka. Cahaya mentari menyala wajahnya sementara angin menghembuskan rambutnya. Wanita itu meraih keningnya perlahan sebelum mengaburi mukanya dengan menggunakan payung yang diperbuat daripada buluh, membuatkan dagunya sahaja yang dapat dilihat orang ramai. Bei'er mengekori belakangnya sambil membawa sekotak ubat-ubatan yang tersemat di dalam genggaman. Setelah melihat sida-sida itu berborak dengan para pengawal sentri, wanita itu merendahkan suaranya dan berkata dengan penuh ceria, "Cik Puan, inilah istananya!"

Wanita tersebut langsung tidak membalas, hanya terus merenung kaki lima yang diperbuat daripada batu itu.

Matahari langsung tidak menunjukkan dirinya setelah seharian hujan. Air hujan pun menitik-nitik mengikut arus angin. Sinaran cahaya yang memancar terang kelihatan merah, membentuk sebuah bulatan samar-samar pada pakaian wanita itu yang berwarna putih bak salju. Bei'er lantas menjelir lidahnya apabila melihat puannya terdiam saja sebelum berdiri di sisinya dengan patuh. Sida-sida tersebut bergegas mendekati sebelum terketawa dan berkata, "Cik Puan Shuixiang, sila ikut saya."

Shuixiang mengangguk dan membalas, "Terima kasih banyak-banyak sebab dah bersusah-payah." Suaranya kedengaran rendah dan agak serak, memeranjatkan si pemandu kereta kuda. Dia langsung tidak menyangka yang wanita tersebut bakal mempunyai suara yang amat mengerikan. Sida-sida tua tersebut tidak dapat menahan dirinya daripada meneliti setiap inci tubuh wanita itu sekali lagi. Pakaiannya nipis dan rambutnya berwarna hitam legam manakala sebahagian besar wajahnya pula telah dikaburi dek sehelai vel melainkan matanya. Renungan mata wanita itu terasa sangat mendalam. Walaupun dia sedang merenung ke bawah, namun sebuah aura mewah dan berkelas tinggi masih lagi dapat dipancarkan, membuatkan dia tampak lebih cekap dan tegas.

"Sida-sida?" Dia mengangkat keningnya sebelum memanggil.

Sida-sida tua itu lantas tersedar dari pukauannya dan berkata, "Di sini."

Walaupun istana tersebut telah melaksanakan idea sistem penyaliran yang sungguh baik, namun ia masih lagi tidak dapat menampung lopak-lopak air yang terbentuk selepas hujan berhari-hari. Sida-sida itu yang kini tersedar akan identiti sebenar Shuixiang langsung tidak berani untuk bertentangan matanya. Sida-sida itu segera berhenti untuk menawarkan supaya dia membawa payung buat wanita itu. Shuixiang tidak membantah dan hanya menundukkan kepalanya sebelum berjalan di sisinya. Sesampainya mereka di koridor, wanita itu berpaling kiri dan sekaligus memeranjatkan sida-sida tua itu.

"Cik Puan Shuixiang, Cik Puan baru saja melawat istana ini buat kali ketiga. Cik Puan dah ingat jalan Cik Puan di sini, ya? Dulu, semasa saya baru sahaja memasuki kawasan istana ini, saya tak dapat cari jalan keluar untuk dua ke tiga tahun."

Suixiang membalas dalam senyuman, "Memori saya ini lebih baik."

Sida-sida tua itu juga tersenyum. "Cik Puan ini memang seorang pakar perubatan. Cik Puan Yang yang ambil ubat yang disarankan oleh Cik Puan itu terus sembuh pada keesokan harinya."

Shuixiang tergelak, "Awak ini terlalu baik hati." Dia kemudiannya mengambil selangkah ke belakang sebelum mengikuti belakang sida-sida itu dengan kepala yang kembali tertunduk. 

Apabila mereka tiba di pejabat pengawasan dalaman, pemeriksaan rutin telah dijalankan kepada dirinya. Ketua sida-sida telah memberikan beberapa arahan sebelum membawanya kepada ketua sida-sida di Kuil Ganan. Pada saat itu, Bei'er sudah tidak boleh mengiringinya lagi. Dia menyerahkan kotak ubat-ubatan itu kepada Shuixiang sebelum berkata dalam tawaan, "Saya akan tunggu Cik Puan di sini."

Setelah itu, dia dapat melihat Shuixiang berpaling untuk merenungnya dengan mendalam, terdiam. Bei'er telah menjadi pengikutnya selama tiga tahun semenjak wabak yang meragut nyawa para rakyat termasuklah bapanya di ibu negara itu tercetus. Nasib baiklah Shuixiang menerimanya. Walaupun dia kelihatan dingin dan tidak banyak bercakap, namun dia melayani Bei'er dengan baik. Bertentangan dengan mata dingin milik Shuixiang, Bei'er berbisik dalam ketakutan, "Cik Puan?"

Shuixiang melarikan pandangannya dan meraih tangannya untuk mengemas anak-anak rambut yang kusut. Dia berkata lembut, "Kamu lapar tak?"

Bei'er membalas, "Tak."

"Bukan ke kita ada bawa makanan ringan? Kalau kamu lapar, makanlah dulu." Tindakan ini amat jarang benar ditunjukkan oleh Shuixiang. Bei'er berasa terkejut, namun gembira. Dia tidak dapat menahan kegembiraannya apabila dia tersenyum dan berkata, "Saya tak lapar. Saya akan tunggu Cik Puan untuk makan bersama."

Shuixiang tidak berkata apa sebelum beredar dengan sida-sida itu. Apabila dia memasuki halaman perkarangan, dia menoleh untuk melihat Bei'er yang sedang berdiri di pintu gerbang dengan senyuman yang terukir indah di wajah. Wajahnya tampak kemerahan, bagaikan telah memakai alat solek. 

Berapakah umur Bei'er pada tahun ini? 15 tahun? Sesuatu terlintas di fikirannya, membuatkan dia berkerut. Hujan telah pun surut, namun udara lantas bertukar menjadi sejuk pula. Ketua sida-sida itu segera menerangkan tentang adat-istiadat untuk menghadap maharaja dan wanita itu mendengar dengan penuh teliti. Setelah berborak buat sejam, mereka akhirnya tiba di pintu Istana Ganan. Orang gaji lantas memasuki istana tersebut untuk melaporkan kehadiran mereka manakala Shuixiang dan ketua sida-sida itu menunggu di luar istana. Wanita itu berasa sedikit gementar, degupan jantungnya laju. Dia lantas mengambil nafas panjang buat beberapa kali namun masih tidak dapat menghindari perasaan tersebut. Dia mengetap ketat bibirnya yang terselindung di sebalik vel sementara pandangannya berubah tajam. Sebenarnya, semenjak kali pertama dia memasuki istana ini buat kali pertamanya tiga bulan lalu, malah semasa dia memasuki bandar ini kembali lima tahun lalu, segala perasaan ini telah menghurung jiwa raganya. Dia berasa gementar, cemas, ghairah, malah ternanti-nanti juga. Shuixiang tahu dia tidak sepatutnya mempunyai perasaan sebegitu; walau gangguan sekecil zarah pun boleh menggagalkan rancangannya. Namun, dia masih sukar menahan perasaannya, terutama sekali pada hari ini dan pada saat ini!

Seseorang segera muncul di muka pintu sebaik sahaja ia dibuka. Akan tetapi, dia bukanlah ketua sida-sida. Sebaliknya, dia ialah seorang jelitawan menggoda yang sedang memakai pakaian istana berwarna ungu kebiruan, membuatkan dia kelihatan riang dan ceria. Wanita itu meraih pandangannya untuk merenung Shuixiang dan bertanya, "Siapa awak?"

"Ini Cik Puan Shuixiang yang disarankan oleh Cik Puan Yang, di sini untuk merawati penyakit Tuanku." Ketua sida-sida itu terus melangkah keluar. Sebaik sahaja dia menghabiskan ayatnya, dia berpaling ke arah Shuixiang dan berkata, "Cik Puan Shuixiang, sila beri sembah salam pada Cik Puan Cheng."

Shuixiang memandang wajah Cik Puan Cheng sebelum menunduk hormat dan berkata, "Sembah salam, Puan." Suaranya kedengaran tenang dan pergerakannya juga bagaikan telah dikemas kini oleh latihan demi latihan. Dia tidak kelihatan seperti seseorang yang baru sahaja memasuki kawasan istana. Cik Puan Cheng yang tidak boleh mencari kesalahan wanita itu terus tampak lebih geram sebelum berkata dengan suara yang rendah, "Dia nampak macam seorang yang bagus, tapi kenapa dia pakai vel? Siapa yang benarkan dia pakai benda begitu di dalam istana ini?"

Ketua sida-sida membalas, "Puan, Cik Puan Shuixiang ini orang alim. Tak manis untuk dia melawat orang-orang luar. Jadi, dia akan menutup muka dia dengan vel setiap kali dia memasuki istana."

Cik Puan Cheng mencemuh. "Semua orang dari pusat perubatan itu dah mati ke? Cik Puan Yang itu bukannya boleh diharap sangat. Kenapalah dia boleh sarankan orang luar untuk memasuki istana? Kalau apa-apa terjadi, siapa yang patut dipertanggungjawabkan?"

Konflik yang berlaku di antara Cik Puan Cheng dan Cik Puan Yang itu memang sudah diketahui ramai dan bukan lagi satu rahsia. Abang Cik Puan Cheng iaitu Cheng Yuan merupakan tokoh ketenteraan utama yang telah menjadi pengikut setia maharaja dalam pelbagai jenis konflik. Cik Puan Yang pula dari Song di mana keluarganya merupakan keluarga bangsawan yang mempunyai sokongan ramai pegawai lama Song. Malah, setelah kemangkatan Maharani Nalan, Maharaja masih lagi belum menamakan maharani baru. Jadi, kedua mereka mempunyai banyak sebab untuk tidak menyukai sesama sendiri.

Setelah mengesan yang Cik Puan Cheng bakal merosakkan rancangan, ketua sida-sida itu terus mengumpul kekuatan untuk berkata, "Puan, Cik Puan Shuixiang ini daripada Biara Tanji. Dia antara pengikut Mahaguru Jingyue. Dia memang pakar dalam ubat-ubatan. Tuanku sendirinya dah bersetuju untuk konsultasi hari ini."

Cik Puan Cheng berpaling dan merenung ketua sida-sida itu dengan tajam. Dia lantas tertawa dingin dan berkata, "Kalau begitu, bawalah dia masuk." Setelah itu, dia segera beredar dengan orang-orang bawahannya. Ketua sida-sida tersebut mengelap peluh dingin dari wajahnya sebelum berkata kepada Shuixiang, "Cik Puan Shuixiang, sila ikut saya."

Pintu istana berkeriang-keriut terbuka sambil habuk dengan jelasnya berterbangan di udara. Shuixiang berdiri di luar pintu dan merasakan yang dirinya kini sedang berada dalam mimpi. Dia berfikir yang selagi dia berjalan masuk, dia pasti akan diheret kembali untuk melalui saat-saat di dalam memorinya itu kembali. Pada masa itu, bapanya masih lagi hidup dan dia juga masih seorang budak kecil yang naif.

Akan tetapi, itu hanyalah sebuah mimpi. Walaupun hiasan di dalam istana itu tampak sama, namun segalanya terasa asing bagi dirinya. Tiada lagi rempah-rempah mewah, rak-rak megah atau wanita-wanita yang melambung memuji pemuda itu semasa mereka melayannya. Istana itu kosong dengan hanya lampu-lampu istana sahaja yang tergantung tinggi di siling sementara di dalam bilik itu berdirinya beberapa orang gaji yang berpakaian ringkas. Langsir hitam yang dihiasi dengan sulaman corak ikan koi keemasan bersama bunga ros digantung rendah. Satu kelibat sedang terduduk di sebalik langsir hitam itu dengan kepalanya yang tertunduk. Kelibat itu seakan-akan sedang membaca sesuatu kerana kepalanya masih tidak diraih apabila mendengar tapak-tapak kaki yang mendekati. Shuixiang tidak dapat meneka siapa badan empunya kelibat itu. Wanita itu mengekori belakang ketua sida-sida sebelum menunduk hormat ke arah orang itu sementara ketua sida-sida itu berkata, "Tuanku, Cik Puan Shuixiang datang untuk menghadap."

"Sila berdiri." Suara rendah bergema dari bahagian dalam istana. Suara tersebut tidak kedengaran lembut mahupun dingin, hanya ketenangan sahaja yang disaluti dalam percakapannya. Walaupun ia hanyalah dua patah perkataan, namun suara tersebut telah menyebabkan seluruh badan Shuixiang tegang sebelum bulu romanya meremang. Dia menundukkan kepalanya dan berdiri di belakang ketua sida-sida, meletakkan kedua belah tangan di sisi. Namun, kuku ibu jarinya sedang ditekan kuat pada jari telunjuknya, membuatkan jarinya itu terasa perit.

"Tuanku, ini Cik Puan Shuixiang daripada Biara Taiji."

Yan Xun meraih pandangannya perlahan, jelas kelihatan ketenatannya setelah bekerja keras sepanjang hari. Dia meletakkan berusnya sebelum menekan ubun-ubun kepalanya dengan menggunakan ibu jari, menggosok-gosoknya dengan mata yang separa menutup. Pandangannya melirik pada kelibat Shuixiang dan dia mengangguk lalu berkata, "Mari sini."