webnovel

Prolog

Nota: Novel ini telah ditulis penuh di portalilham.my (cari: meddmenov). Sudilah baca di sana untuk bacaan lebih lancar.

***

BUKU 1: HAYABUSA

ARKA 1: TAKASAKI

PROLOG

Musim luruh tahun 1868.

Okuhida Miura sedang duduk di dalam bilik utama sambil melakar kaligrafi. Pintu depannya tiba-tiba diketuk. Calitan berusnya tersasar. Dia bingkas bangun menuju ke pintu hadapan. Dia menarik pintu gelangsar dengan penuh hati-hati sambil mengintai jika seseorang yang berbahaya cuba menyerang hendapnya.

"Okuhida Miura-san desuka?" dua orang pemuda sedang berdiri di hadapan rumah itu.

"Ya."

Mereka tunduk hormat. Kedua-duanya berpakaian seperti samurai dengan dua bilah pedang tersisip di pinggang.

Aku seperti pernah melihat mereka berdua ini. Oh ya. Mereka selalu bersama Saitou, pelajar kepada Takasaki itu. Dahulu mereka masih remaja. Tidak silap aku nama mereka ini Sairenji dan Genji. Aku tidak pernah bercakap dengan mereka berdua ini. Hanya sekali-sekala ternampak mereka ketika aku kembali berkhidmat kepada Hamada di Kawamoto.

"Kami dihantar oleh Daimyo Yoshitsugu Hamada untuk menyampaikan dan melaksanakan arahannya. Dia mengarahkan kamu melakukan seppuku."

Miura tersentak mendengarnya. Seppuku ialah arahan membunuh diri dari seorang ketua kepada anak buahnya, kerana anak buahnya telah melakukan kesilapan yang telah menjatuhkan maruahnya. Dengan kata lain, Hamada, bekas ketuanya, atau daimyo, telah mengarahkan dia membunuh diri.

"Aku bukan lagi samurainya maka aku tidak lagi tertakluk kepada peraturan bushido. Nyah kamu semua dari sini." Miura membalas dengan tegas, dan menarik pintu gelangsar kembali tutup. Tanpa mempedulikan pintu itu telah ditutup, salah seorang pemuda itu meneruskan kata-katanya.

"Benar, tetapi Hamada-sama mengatakan bahawa Tuan telah melakukan kesalahan berat itu ketika masih menjadi samurainya. Demi menutup malu Tuan harus melakukan seppuku."

"Bagaimana jika aku enggan?"

"Kami berdua akan membunuhmu."

Miura segera menuju ke dalam biliknya, mencari pedang samurainya yang sudah lama tidak digunakan. Dua orang utusan Hamada itu dibiarkan menunggu di luar.

Miura membuka lacinya dan mengambil sekeping kertas yang telah ditulis sesuatu, barangkali pesanan atau wasiatnya. Dia menggulung kertas itu, bangun menuju ke sebuah bilik yang dihubungkan kepada bilik tersebut oleh sebuah pintu gelangsar. Di dalam bilik itu terdapat kabinet merpati, yang bertanda nama-nama destinasi seperti Kyoto, Edo dan sebagainya. Miura mengikat gulungan kertas itu pada kaki seekor burung merpati, yang diambil dari kabinet merpati bertanda 'Takasaki'. Burung merpati itu kemudian dilepaskan terbang menghantar surat tersebut ke destinasi yang telah dilatih.

Hamada, aku tahu engkau sememangnya mahu membunuhku. Apa yang engkau katakan melalui pemuda-pemuda itu, hanyalah alasan. Aku terima keputusanmu. Akan tetapi, aku tidak akan mengalah, selagi aku mampu bertarung, aku akan bertarung. Aku perlu hidup demi anak-anakku.

Setelah sekian lama menunggu, Miura masih tidak keluar-keluar. Utusan-utusan Hamada mula berasa gelisah seperti cacing kepanasan.

"Sairenji, engkau fikir patutkah kita menunggu lama di sini? Aku tidak mahu menunggu sehingga malam. Aku tidak arif bertarung di dalam gelap." Luah Genji, seorang pemuda berkimono perang dan bertubuh kurus dan tinggi, bermata kecil dan rambut panjang diikat ke belakang. Genji berumur dua puluhan, berwajah bersih dan bermuka panjang.

"Kita tunggu dahulu. Barangkali dia sedang mandi. Mungkin tidak sabar mati dalam keadaan suci." Sambut Sairenji, diikuti ketawa kecil mereka berdua. Sairenji memakai kimono berwarna merah gelap. Dia berbadan sedang dan rendah sedikit berbanding Genji. Seperti kebiasaan samurai, rambut panjangnya diikat ke belakang. Dia juga menyimpan jambang dan bermuka bulat, serta matanya dua kelopak, besar dan sedikit sepet. Wajahnya nampak seperti seorang bapa yang berumur lima puluhan, namun dia sebenarnya jauh lebih muda dari itu.

"Yakin benar engkau yang kita mampu menewaskannya?" Tanya Genji pula.

"Miura sudah lama meninggalkan Hamada dan menjadi petani di sini. Tambahan pula umurnya sudah tua. Aku yakin aku mampu menewaskannya. Jikapun aku tewas dan mati, Hamada akan memberikan pampasan kepada keluarga kita bukan?"

"Benar katamu. Namun aku tidak mahu mati sekarang, Sairenji. Aku belum berkahwin."

"Genji, lupakah engkau ikrar kita sebagai samurai? Untuk mati melaksanakan arahan ketua kita?"

"Aku tahu...tapi aku punya banyak perkara yang belum kucapai..."

"Genji, biar aku yang masuk dahulu. Jika terjadi apa-apa kepadaku, engkau akan menyusul menyerangnya. Genji, hidup, ataupun mati, keputusannya sama sahaja. Pastikan arahan Hamada dijayakan, dan engkau akan mendapat kemuliaan samurai. Jika engkau mati, engkau mati dalam kemuliaan samurai."

Genji hanya mengangguk dalam serba salah. Setakat ini sahajakah hidupku? Tidak, Sairenji. Keputusannya tidak sama. Aku akan bertarung, tetapi aku bertarung untuk hidup, dan bukannya untuk mati. Terpulang padamu bertarung untuk apa.

Adab diketepikan, lalu mereka masuk ke dalam rumah Miura tanpa kebenaran, dimulai dengan Sairenji sedang Genji menyorot di belakangnya.

Mereka terus menuju ke bilik utama. Sebaik Sairenji masuk ke dalam bilik, sekilas bunyi desingan pedang membunuhnya. Darah merah pekat membasahi lantai bilik.

Genji terkejut dengan tindakan lelaki tua itu. Sairenji yang baru sebentar tadi berbicara dengannya, sudah tidak sedarkan diri dengan lehernya mengalirkan darah pekat.

"Aku akan menuntut bela kematiannya. Bersedia untuk mati, orang tua!" Genji menarik pedang dari sarungnya dan mula menghayun ke arah Miura.

Miura menahan, memusing dan menolak penyerangnya ke dinding. Dia melanggar meja dan terjatuh. Miura menggunakan taktik bertarung di dalam ruang sempit kerana dia bimbang dengan ketangkasan berpedangnya yang semakin merosot pada usianya yang hampir mencecah enam puluhan. Ruang sempit adalah lebih mudah dan menghadkan pergerakan penyerang.

Genji yang sedang rebah itu tangkas bangkit dan menendang Miura. Miura terjatuh.

Aku fikir mungkin tidak mampu menewaskannya di sini. Ruang ini terlalu sempit. Aku akan keluar dari sini dan dia akan mengekoriku, dan akan meneruskan pertarungan di luar. Bagaimana? Aku perlukan jalan keluar terdekat denganku. Tingkap, ya tingkap di sebelahku ini. Aku akan membuka tingkap bilik ini.

Genji sempat membuka tingkap bilik. Melihatkan itu, Miura bangun dan berjalan pantas seraya melibas pedangnya ke betis Genji yang sedang bersedia untuk keluar dari tingkap. Dia jatuh tersungkur, tingkap bilik ditutup kembali oleh Miura namun dia terlupa menguncinya. Miura segera bangun lalu cuba merodok pedangnya ke pinggang Genji. Genji sempat mengelak dan rodokan itu mengenai sisi pinggangnya. Darah mengalir deras.

Budak, engkau tidak akan dapat lari dari sini. Sama ada aku mati, atau engkau yang mati. Jika engkau terlepas sekalipun, Hamada pasti akan menghantar orang-orangnya yang lain bagi membunuhku.

Genji mengerah segala kudrat yang ada dan menendang Miura. Dia lalu memanjat tingkap itu, melarikan diri menuju ke belukar, menyedari keadaannya yang parah.

Sialan! Orang tua itu masih mahir menggunakan pedangnya. Barangkali dia melatih orang muda yang lain, maka kemahirannya tidak luntur dimamah usia selama dia bersawah. Sepatutnya aku dibantu oleh seorang atau dua orang lagi. Aku tidak boleh bergerak lancar dengan pinggang dan kaki yang tercedera ini. Bukan mudah untuk menewaskan dia sekarang! Sialan, seluruh tubuh orang tua itu masih tiada sebarang kecederaan.

Bagaimana, bagaimana sekarang? Sairenji sudah mati, dan jika aku kembali kepada Hamada, mungkin dia akan mengarahkan aku melakukan seppuku. Aku tidak mahu mati sekarang. Aku masih ada banyak perkara yang perlu dicapai. Aku tahu sekiranya aku mati, ibu bapaku akan diberi pampasan. Namun, untuk apa hidupku jika setakat ini sahaja?

Miura melihat dari tingkap yang terbuka, lalang pada belukar di luar bergerak-gerak. Dia tangkas bergerak keluar dengan capalnya bagi menjejaki Genji.