webnovel

Bilik Hujung Bab 2

Bilik Hujung

Bab 2

Jessy berjalan perlahan-lahan mencari sumber air. Namun tiada di situ. Dia pasti dan sangat yakin sumber air yang di lihatnya ada di kawasan berdekatan.

"Mana pula air ni. Tadi aku ada nampak dekat-dekat sini" ujar Jessy bercakap sendirian sambil memerhati ke setiap ruang sudut. Sudahlah di situ agak gelap dan ianya sedikit sukar untuk melihat.

"Kakak cari apa?" Seorang gadis yang berumur lingkungan 14 tahun sedang terkebil-kebil memandang Jessy yang sedang mencari sesuatu.

Teguran secara tiba-tiba itu membuatkan Jessy terkejut. Merah padam wajahnya ketika itu. Nafasnya laju dan dadanya kelihatan turun naik. Jessy mengurut dadanya perlahan sambil menarik nafas dalam-dalam.

"Kau ni buat aku terkejutlah. Nasib baik aku tak ada lemah jantung. Kalau tak, mati dah" bebel Jessy. Botol mineral kosong yang terjatuh diambil semula.

"Maaf kak. Saya tak sengaja" jawab gadis itu. Dia mempamerkan riak waja sedih.

"Aku maafkan. Lain kali jangan buat macam tu tau." Jessy memberi amaran. Bibirnya juga dimuncungkan.

"Kakak cari air ke?" Tanya gadis itu lagi memandangkan dia melihat Jessy memegang sebuah botol kecil yang kosong di tangan.

"Dah tahu tanya pula. Kau tu buat apa dekat sini? Dah lewat dah ni. Kau lari rumah ya? Lari dengan boyfriend kau?" Soalan cepumas keluar dari mulut Jessy. Tiada langsung perasaan bersalah dalam dirinya. Dia peduli apa!

"Taklah kak. Saya dengan makcik saya datang menginap dekat sini. Saya cari makcik saya. Dari tadi keluar tak balik-balik. Risau saya dibuatnya" luah gadis itu. Jessy mengangguk perlahan. Faham apa yang dikatakan oleh gadis itu. Kemudian, Jessy meneruskan langkahnya menuju ke hujung lorong. Di situ dia terlihat ada sebuah botol besar yang berisi air.

"Nama saya Intan. Nama kakak siapa?" Soal gadis muda itu ingin tahu.

"Panggil aku Jessy. Tak payah panggil aku kakaklah. Aku bukan kakak kau" kata Jessy sambil menjeling tajam ke arah gadis muda itu.

Gadis muda yang bernama Intan hanya mampu tersenyum.

"Dah..kau pergi balik bilik kau. Nanti makcik kau balik kau tak ada, risau pula dia." Arah Jessy kemudian dia terus menoleh ke arah tempat di mana Intan berdiri. Namun, gadis muda itu lesap hilang entah ke mana tanpa dia sedari.

"Aik..baru cakap dah hilang? Baguslah.. aku pun tak suka nak berbual dengan orang yang aku tak suka" Bebelnya lagi.

Usai mengisi air, Jessy terus menghayunkan langkahnya pulang ke dalam bilik. Dalam perjalanan dia terserempak dengan seorang wanita yang berambut panjang keperangan dan memakai pakaian warna merah hati.

Jessy dan wanita itu berselisih bahu. Jessy sempat mengerling ke arah wanita itu. Selepas melepasi wanita misteri tersebut, Jessy tiba-tiba sahaja tercium bau busuk yang menyengat. Segera dia menutup hidungnya dengan tangan.

"Apa yang busuk sangat ni? macam bangkai! Ish.." Kutuk Jessy kuat. Dia tidak peduli jika wanita yang berselisih dengannya tadi mendengar apa yang baru sahaja dikatakan Jessy.

Apabila sampai di hadapan bilik, Jessy membuka pintu dengan perlahan. Pintu bilik itu tidak ditutup sepenuhnya dan hanya disendal dengan alas kaki.

"Nasib baik jumpa air. Apalah hotel ni. Sebotol air pun tak ada dalam bilik. Menyusahkan aku kena keluar cari pula.. " Bebelnya sendirian.

Jessy terus berjalan menuju ke arah peti sejuk. Air yang baru sahaja diambil diletak kan dalam satu ruang dan pada waktu itu, telinganya terdengar seseorang sedang bercakap. Jessy memasang telinga.

"Kakak kena tunggu kawan-kawan kakak baru kami semua boleh keluar." Dahi Jessy berkerut dan berlapis-lapis.

"Itu suara Mira. Dengan siapa dia bercakap?" Soal Jessy pada dirinya sendiri. Tetapi Jessy membuat keputusan untuk mendengar lagi butir-butir perbualan Amira dengan seseorang.

"Salah seorang dari kami mati tak lama lagi? Siapa, Intan?"

"Intan? Bukan ke nama itu pemilik seorang budak perempuan ta.." kata-kata Jessy berhenti di situ. Dia pantas berjalan menuju ke ruang tamu di mana Amira berada.

Jessy melihat Amira mencangkung di tepi beranda sedang bercakap-cakap dengan seseorang yang tidak kelihatan batang tubuhnya. Jessy menelan air liur. Situasi itu membuatkan dia merasa sedikit takut namun, dia cuba berlagak biasa.

"Amira?"

Gadis itu menoleh ke arah Jessy. Wajahnya sedikit memucat. Matanya pula merenung tajam tepat ke anak mata Jessy. Amira bangun dan berdiri tegak. Tiada langsung sekelumit senyuman buat Jessy. Perlahan-lahan, gadis itu menapak perlahan satu persatu menghampiri Jessy.

Jessy menoleh ke arah katil, alquran yang sentiasa berada dengan Amira berada di situ. Tidak pernah sekali pun Amira meninggalkan alquran itu jauh dari dirinya. Jessy mula berpeluh. Di dalam hatinya, ada sesuatu yang terjadi kepada sahabatnya itu. Tapi apa?

"Mira? Kau ni kenapa? Jangan pandang aku macam tu" Jessy mula berundur.

"Kenapa? Kau takut? Kau kata, kau lah yang paling berani" kata-kata pedas itu meluncur laju dari mulut Amira. Jessy terdiam.

"4 budak perempuan.. main sama-sama.. Sorang bakal mati, tinggallah 3.. hihihihi" gelak tawa Amira menambahkan lagi ketakutan Jessy. Dalam fikirannya, dia berharap agar dua sahabatnya itu segera pulang.

"Kau kata kau tak takut.. kenapa kau jauhkan diri aku, Jes?" Soal Amira sambil tersengih-sengih.

"Amira! Kau ni dah kenapa? Jangan macam ni, Mira" kata Jessy sedikit membentak.

"4 budak perempuan main sama-sama.. sorang bakal mati.. tinggallah 3.. " berulang-ulang nyanyian itu di mulut Amira membuatkan Jessy menutup telinga kerana tidak tahan.

Semakin Jessy mengundur, dia semakin dekat dengan pintu bilik. Tanpa membuang masa, Jessy terus berlari keluar dan menuju ke arah lif.

Namun sayangnya, lif itu langsung tidak berfungsi. Jessy merengus geram lalu dia mengambil jalan lain iaitu laluan tangga.

Keadaan yang gelap langsung tidak dihiraukan Jessy, yang penting dia mencari tempat yang selamat untuk bersembunyi.

Ketika melalui tangga, dia berhenti sementara untuk berehat sebentar. Baru sahaja nafasnya kembali normal, Jessy menangkap satu bunyi dari tingkat bawah seperti bunyi tangisan seseorang.

"Hello!"

"Helloooo! Siapa tu?"

Namun tiada sesiapa yang menyahut panggilan Jessy.

Kemudian, gadis itu cuba memberanikan diri untuk melihat siapakah empunya suara tersebut.

Langkahnya semakin hampir, akan tetapi suara tangisan yang di dengari sebentar tadi tiba-tiba sahaja lenyap.

"Pap!"

Satu tepukkan terasa di bahunya. hampir tercabut jantungnya ketika itu kerana terkejut.

"Eh Cik Jasmin. Saya ingatkan siapa tadi. Terkejut saya" hatinya merasa lega kerana yang menemuinya ketika saat begini ialah pemilik hotel.

"Awak buat apa dekat sini? Kenapa tak tidur lagi?" Tanya Jasmin sambil tersenyum.

Jessy serba salah untuk beritahu perkara yang sebenarnya. Dia bimbang jika wanita itu tidak akan mempercayai cerita yang akan disampaikan. Sama seperti dirinya yang sering menyangkal kebenaran cerita Amira. Kini baru dia sedar akan hal itu dan Jessy menyesal.

"Saya akan percaya apa sahaja cerita awak, Jes. Percayalah"

Jessy terdiam. Di dalam hatinya berkata-kata. Bagaimana wanita ini tahu apa yang dia fikirkan.

"Dah alang-alang jumpa awak dekat sini, marilah ke bilik saya. Bilik saya satu tingkat dengan awak. Tapi paling hujung. Boleh kita sembang-sembang sambil minum kopi. Itu pun kalau awak sudi" ujar Jasmin tersenyum sambil mempelawa tetamu hotelnya ke bilik.

Jessy terus bersetuju tanpa berfikir terlebih dahulu. Dia juga terlupa tentang teman sebiliknya Amira dan juga suara tangisan yang di dengari sebentar tadi.

Di luar hotel..

Zara memandu agak perlahan dan masih lagi mencari kedai makan.

"Kita balik ke hotel je lah, Zara. Aku tak nampak satu apa pun dekat sini. Semuanya pokok-pokok je." Rungut Fatin. Perutnya yang lapar sentiasa berbunyi minta diisi.

"Sabarlah.. mana tahu depan tu ada. Kita jangan putus asa" nasihat Zara.

"Aku pinjam telefon kau sekejap. Telefon aku tertinggal dalam bilik" Fatin terus mengambil telefon pintar milik Zara lalu dia cuba menghubungi Jessy. Namun ianya gagal kerana tiada langsung isyarat di situ.

"Tak dapatlah. Line tak ada"

"Kau cuba mesej dia, bagitahu kita mungkin lewat sikit. Jangan tunggu kita" beritahu Zara.

Fatin terus menghantar pesanan text kepada Jessy dan juga Amira. Namun,text tersebut gagal di hantar.

"Macam ni lah.. kita teruskan lagi sikit. kalau tak jumpa juga kita baliklah". Cadang Zara pula. Fatin hanya menurut.

Mereka berdua meneruskan lagi perjalanan. Baru beberapa minit, Zara terlihat ada beberapa orang sedang berkerumunan di hadapan sebuah gerai di tepi jalan.

"Itu!" Fatin hampir terkejut apabila dia ternampak sebuah gerai makan. Ianya terletak betul-betul di tepi jalan raya. Dan kawasan di situ agak lapang.

Pantas Zara membelok lalu memarkirkan kereta myvinya bahu jalan.

"Ramainya orang" kata Fatin.

"Jom masuk"

Kedua gadis itu melangkah masuk ke dalam gerai. Mereka duduk di sebuah meja paling hujung.

Kesemua pelanggan sibuk menikmati hidangan masing-masing. Ada di antaranya membawa keluarga dan ada juga yang datang bersama rakan-rakan.

"Assalamualaikum, nak makan apa? Minum?" Datang seorang lelaki tua yang berusia lingkungan 68 tahun mengambil pesanan.

"Waalaikumsalam.. nasi goreng kampung dua, air kopi o panas dua. Mee goreng dua tapi mee goreng tu bungkus ya pakcik" kata Zara dengan sopan.

Lelaki tua itu tersenyum lalu beredar.

Dalam lebih kurang 13 minit, makanan yang di pesan sudah pun tiba. Aroma yang datang dari makanan itu membuatkan mereka berdua bertambah lapar.

"Maaf kalau pakcik ganggu anak berdua. Anak ini dari mana?" Tanya lelaki tua itu.

"Kami dari Muar nak ke Kota Tinggi pakcik. Nak kerumah kawan kami yang bakal melangsungkan perkahwinannya dua hari lagi." Beritahu Zara jujur. Nasi goreng yang terhidang disuap ke dalam mulut.

"Tapi kami sesat, dan kami terpaksa menginap di hotel dekat sana tu" ujar Fatin pula.

"Hotel? Dekat sini mana ada hotel? Bangunan terbiar adalah. Dah lama bangunan tu nak dirobohkan. Tapi tak boleh. Tak tahulah apa sebabnya"

Zara menghentikan suapannya. Begitu juga dengan Fatin. Cerita yang baru sahaja di sampaikan kepada mereka sebentar tadi membuatkan mereka berdua tergamam.

"Mana ada bangunan terbiar pakcik. Kami tak jumpa pun bangunan tu. Yang kami jumpa hotel itulah. Hotel tempat kami menginap tu" kata Fatin pula. Hatinya seperti tidak dapat menerima apa yang lelaki tua itu katakan.

"Mungkin hotel baru agaknya. Apa pun nak, pakcik nak pesan sikit ni. Jangan sesekali kamu percaya dengan mudah apa yang kamu lihat. Tak semuanya nyata pada pandangan mata kita sebagai manusia. Apa pun, pakcik minta maaflah kalau ada kata-kata pakcik yang buat anak berdua tak selesa." Panjang lebar pesanan dari lelaki tua itu. Zara dan Fatin sekali lagi terdiam. Mereka tidak memahami apakah maksud yang lelaki tua itu katakan kepada mereka sebentar tadi.

"Cepat habiskan makanan lepas tu kita balik. Hati aku tak berapa sedap ni. Lagipun Amira tak berapa sihat." Ujar Zara. Air kopi yang masih meruap asapnya dihirup perlahan. Begitu juga dengan Fatin. Perasaannya ketika ini berbaur. Apalagi dia asyik teringat akan wanita misteri yang ditemui dalam lif di hotel.

Selepas membuat bayaran, kedua sahabat ini terus menghilangkan diri dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan dan mereka terus meninggalkan gerai itu dengan segera.

Pemilik gerai iaitu lelaki tua tersebut hanya memerhati dengan satu pandangan yang tajam tanpa sekelumit senyuman.

"Kenapa dengan mereka, ayah?" Soal Taj. Anak lelaki kepada lelaki tua itu.

"Kita tak boleh berdiam diri lagi, Taj. Kita kena tolong mereka." Kata lelaki tua itu. Matanya masih lagi merenung ke arah kereta myvi milik Fatin sehingga kereta itu hilang di telan kegelapan malam.

"Baik ayah. Nanti Taj kumpul jemaah lain"

Bersambung