webnovel

Prolog

SENYUMAN lebar terukir di bibirnya. Jelas wajahnya dipenuhi percikan tompokan darah berona merah itu setelah berjaya membunuh mangsanya yang ke sepuluh itu. Hatinya puas. Sangat puas.

Pisau yang dipenuhi dengan darah itu ditarik keluar dari perut mangsa yang sudah lunyai dikerjakan tadi. Ditatap wajah mangsa yang tidak bernafas lagi itu. Baru sekejap tadi dia berperang mulut dengan mangsa. Kini mangsa itu berjaya mati di tangannya. Ya, dia bunuh mangsanya itu sebab dia nak bunuh orang. Dia suka dengan hobi membunuh.

Dia tak waras ke waras ke, dia tetap nak bunuh orang. Dia ada alasan tersendiri dan dia suka dirinya menjadi buruan polis. Kesnya diperbesarkan sehingga menakutkan masyarakat. Dia suka tengok wajah yang dipenuhi dengan rasa ketakutan itu. Ngeri dengan pembunuhan yang dilakukan itu terpampang di setiap berita yang disiarkan di televisyen. Pembunuhannya itu sama seperti orang yang tidak berperikemanusiaan.

Senyuman sinis terukir lagi di bibir mungilnya itu. Ramai orang cakap identitinya susah nak dijangka. Dia perempuan atau lelaki, dia tetap berkuasa untuk membunuh mangsa seterusnya. Masalahnya pihak polis lembap dan lambat dalam menyiasat kesnya itu.

Selesai pembunuhan, dia akan akhiri dengan nama tulisan ejaan 'bayang' di lutut mangsa dengan menggunakan darah mangsa sendiri. Dia puas dengan hasil kerjanya itu untuk membuat pihak polis bertambah ingin mengetahui siapa identitinya yang sebenar.

Dia membiarkan mayat yang dah dikerjakan itu di situ tanpa belas kasihan pada wajahnya. Hatinya dah lama mati. Mati dengan kejadian kisam hitamnya yang tidak mungkin dia dapat lupakan untuk selamanya. Tak luput selagi dendamnya belum habis.

Beberapa minit sahaja dia tinggalkan, kawasan perumahan  setinggan itu kini dipenuhi dengan pihak polis bersama ahli forensik. Wajah sugul usah ditanya. Penat lelah juga langsung ditolak tepi. Kes bayang itu hampir membuat tidur mereka tak lena pada malam hari. Sejak hari mereka membuat perjanjian sebagai salah satu anggota polis, mereka telah berikrar untuk sanggup mati demi keamanan negara juga keselamatan orang ramai. Kes bayang telah didesas-desuskan oleh pihak wartawan sehingga menakutkan masyarakat.

Pembunuhan demi pembunuhan yang dilakukan bayang dilaporkan. Tiada siapa tahu siapa sebenarnya 'bayang'. Bahkan orang ramai tertanya-tanya mengapa bayang membunuh orang yang tak bersalah. Mereka bahkan sanggup melontarkan ucapan kesat pada pembunuh misteri itu.

Bayang? Siapakah bayang sebenarnya? Siapa dia?

Persoalan yang selalu diajukan pada pihak polis yang bertanggungjawab ke atas kes bayang itu. Tapi pihak polis yang berkuasa tidak mampu berhujah tentang kes itu disebabkan mereka kekurangan bukti untuk mengesan jejak pembunuh itu.

Tapi yang penting mereka mengutamakan keselamatan masyarakat yang merupakan beban di bahu mereka. Sehabis usaha mereka, cuba untuk mencari jalan penyelesaian kes bayang.

Pelekat tali yang bertulis dilarang masuk itu digantung di mana-mana menandakan tempat itu ditutup seketika untuk pihak polis senang mencari bahan bukti.

Kes bayang tetap dijalankan seperti biasa. Walaupun kerisauan terpamer di wajah mereka. Mereka masih tidak tahu siapakah mangsa seterusnya. Semuanya menjadi tanda-tanya yang mereka tidak akan tahu jawapannya. Hanya bayang sahaja yang tahu semua itu.