webnovel

Pembunuhan...

Editor: EndlessFantasy Translation

Hanya… Rong Haiyue? Bagaimana lelaki itu boleh tiba-tiba muncul di sini? Su Qianci berasa dirinya seakan bermimpi. Dia memandang lelaki itu seketika sebelum menjerit, "Encik Rong, lari!" Bahaya, di sini terlalu bahaya! Kali ini mereka berhadapan dengan kumpulan yang lebih dahsyat daripada geng pencuri yang bekerja untuk Puan Tang. Kali ini, mereka adalah sekumpulan pengedar dadah yang mempunyai banyak senjata api!

Rong Haiyue menoleh sebaik mendengar jeritan Su Qianci, tetapi Tang Zhenghao mengambil peluang itu untuk melawan kembali. Walaupun badannya sudah gempal, tetapi dia juga adalah anggota tentera sewaktu zaman mudahnya. Kekuatannya ternyata luar biasa. Dia berjaya menahan Rong Haiyue ke tanah lalu mencekik leher lelaki itu menggunakan tangan gempalnya. Kemudian dia mengambil paip besi di sebelahnya dan bersedia untuk menghayunkannya kepada Rong Haiyue.

"Jangan apa-apakan papa aku!" jerit Rong Anna, tetapi Tang Zhenghao tidak mengendahkannya lalu terus menghayunkan paip besi itu ke kepala Rong Haiyue.

Tetapi Rong Haiyue ialah mejar jeneral dan tidak mudah ditewaskan. Dia cuba menolak Tang Zhenghao menggunakan lututnya, tetapi Tang Zhenghao lebih berat daripada jangkaannya. Dengan leher yang masih dicekik, Rong Haiyue menyiku kepala Tang Zhenghao dengan wajah yang kemerahan. Tang Zhenghao hilang keseimbangan, tetapi segera membetulkan kedudukannya dan cuba memukul kepala Rong Haiyue lagi.

Fuu!

Bunyi tembakan yang sepatutnya kuat itu diperlahankan oleh penyenyap.

Rong Haiyue dapat mendengar dengan jelas peluru itu menembusi sebatang tubuh. Dia terkejut sebelum melihat mata Tang Zhenghao terbeliak dan tubuhnya mengeras. Sejurus selepas itu, Tang Zhenghao jatuh ke atas tubuhnya. Paip besi yang dipegang lelaki itu turut terjatuh ke lantai dan menghasilkan bunyi yang kuat.

Darah yang masih hangat mengalir dari leher Tang Zhenghao ke atas tubuh Rong Haiyue dan membasahi bajunya. Rong Haiyue kelihatan amat terkejut. Selepas menolak tubuh kaku Tang Zhenghao, dia terus menoleh ke arah Rong Anna. Rong Anna tidak bergerak, tetapi lelaki di sebelahnya sedang memegang sepucuk pistol. Mata lelaki itu kelihatan dingin dan tiada perasaan. Dia langsung tidak kelihatan panik setelah baru sahaja membunuh seseorang. Jelas, lelaki itu sudah biasa melakukannya.

"Aahhh!!" Tang Mengying menjerit nyaring. "Ayah!!"

Rong Haiyue meninggalkan tubuh Tang Zhenghao di situ. Tubuh itu terbaring dengan mata yang terbeliak dan tidak bergerak. Tang Mengying berlari ke tubuh ayahnya dengan wajah tidak percaya.

Su Qianci diikat jauh dari mereka. Sebaik melihat situasi itu, seluruh tubuhnya terus menjadi lemah.

Pembunuhan…? Bo Xiao telah menembak lelaki itu. Dia telah membunuh Tang Zhenghao…

Rong Anna turut menjerit dengan riak wajah tidak percaya, "Kau dah gila! Itu Tang Zhenghao! Barang itu masih ada pada dia!"

"Dia terlalu menjengkelkan. Disebabkan kita tiada di sini, dia pukul Li Sicheng hingga hampir mati. Siapa akan tolong kita sekarang? Lelaki tua bodoh!"

Barang masih ada pada Tang Zhenghao?

Rong Haiyue yang mendengar perbualan mereka memanggil dengan marah. "Anna!"

Rong Anna kelihatan terkejut. "Papa…"

"Apa yang kamu buat? Kamu memang betul-betul edar dadah? Kamu lakukan ini bersama Bo Xiao?"

Rong Anna terkedu dan kehilangan kata-katanya. "Saya…"

Tiba-tiba kedengaran bunyi yang sayup-sayup dari arah luar. Itu bunyi pistol sedang dilaraskan! Sebaik mendengar bunyi itu, riak wajah Bo Xiao dan Rong Anna terus berubah. Siapa di luar?

Siguiente capítulo