webnovel

Mati Bersama

Editor: EndlessFantasy Translation

Bo Xiao memberi isyarat kepada Rong Anna dan orang-orang di belakangnya turut faham. Salah seorang daripada mereka pergi menjenguk ke luar, kemudian bergegas kembali sambil menjerit, "Polis! Sangat ramai polis! Lari!" Bo Xiao dan Rong Anna terkejut. Serentak itu juga, orang-orang mereka terus berlari ke arah pintu belakang.

"Jangan cuba nak lari!" Tang Mengying tiba-tiba menjerit. Dia menyalakan pemetik api di tangannya dan terus melemparkannya ke tempat yang telah dicurahkan gasolin.

Boom!

Api terus menyala dengan marak tanpa sebarang amaran! Udara yang panas itu amat menyesakkan ditambah dengan bau runtuhan yang terbakar dan gasolin. Api kemerahan terus marak membakar sekeliling gudang itu. Lelaki yang ditugaskan menjaga Su Qianci melepaskannya secara tiba-tiba dan membuatkan Su Qianci terjatuh ke tanah.

Lelaki itu memandang Tang Mengying dengan marah. "Hoi perempuan, kau memang gila! Sekarang kita semua tak boleh keluar!"

"Hahaha…" Tang Mengying ketawa seperti hilang akal. Dia memegang mayat ayahnya sambil menangis dan berkata dengan nada kejam, "Kenapa perlu keluar? Tak perlu! Bukankah kau semua takut dengan polis? Polis tak akan berani masuk ke sini dengan api yang marak. Mari kita mati bersama-sama!"

"Tak guna! Perempuan gila!" Lelaki itu menghampiri Tang Mengying lalu memukulnya dengan paip besi. Tang Mengying terus menjerit. Lelaki itu tidak berpuas hati lalu menendang belakang Tang Mengying.

"Pergi, berhenti pukul dia! Bawa dia bersama kamu, dia tahu di mana barang itu!" Bo Xiao menjerit sambil menarik Rong Anna ke pintu belakang.

Lelaki itu menyumpah sebaik mendengarnya, tetapi tetap menarik Tang Mengying ke pintu belakang.

"Rong Anna, berhenti!" jerit Rong Haiyue. "Bo Xiao, ke mana kamu nak bawa anak saya?" Langkah Rong Anna terhenti. Dia berpaling untuk melihat riak wajah Rong Haiyue. Bo Xiao terus menariknya dengan kuat dan menjerit, "Kamu ingat dia memang ayah kamu? Anak kandung dia di sana, bukan kamu! Ikut saya!"

Rong Haiyue terkejut sebaik mendengar kata-kata Bo Xiao. Bagaimana mereka berdua tahu? Dia tidak pernah memberitahu perkara itu kepada mereka dan dia juga tidak pernah menunjukkan keputusan ujian yang dilakukannya. Sejak bila Rong Anna tahu perkara sebenar?

Riak wajah Rong Anna berubah sebaik mendengar kata-kata Bo Xiao. Dia memandang Rong Haiyue dan berkata perlahan, "Maafkan saya, Papa."

"Anna!" Suara Rong Haiyue kedengaran penuh kerisauan. "Anna!"

Walau bagaimanapun, Rong Anna terus berlari ke arah pintu belakang.

"Encik Rong, tolong!" jerit Su Qianci. Matanya merayu dan suaranya serak bercampur tangisan, "Saya merayu… Tolong selamatkan kami…"

Api kian bertambah marak. Kedengaran bunyi letupan kecil di sana sini. Mereka berada di gudang kilang bahan eletrik yang terbiar. Mesin yang terbiar dan sisa industri adalah barang paling berbahaya jika terkena api. Kini hanya mereka bertiga yang tinggal di dalam api yang marak itu: Li Sicheng yang sudah tidak berdaya, Su Qianci dan Rong Haiyue.

Rong Haiyue berasa kecewa dengan Rong Anna, tetapi dia segera bertindak dan melepaskan ikatan Su Qianci. Pada masa yang sama, mereka mendengar bunyi tapak kaki sebelum beberapa orang masuk ke tempat itu. Sebaik melihat keadaan itu, seseorang memberi arahan. Salah seorang pegawai polis wanita kekal di situ sementara polis lain terus mengejar kumpulan pengedar dadah itu.

Sebaik sahaja ikatannya terlerai, Su Qianci terus berlari ke arah Li Sicheng.

Siguiente capítulo