webnovel

Bab 1 : Samudera Konra 1523

Angin menderu bagai memaksa-maksa. Habis sekalian nakhoda bertungkus lumus mengemudikan bahtera masing-masing. Sekejap mereka ke timur, sekejap mereka ke barat. Jika jurus di dada cuma sejengkal, pastinya hanyut dirempuh badai. Hancur badan di samudera dalam.

Dalam ramai-ramai para nakhoda, terdapat seorang perantis yang umurnya paling muda. Gelaran para nakhoda yang diberikan kepadanya ialah Si Luncai Perak. Berasaskan lengannya yang ditempa dari sejenis logam iaitu perak. Dikatakan pernah terjadi malapetaka ke atas dirinya semasa sedang menarik tali tombak yang sedang menghunus seekor paus. Tali yang bergerigi bergerak laju menghiris tangannya sehingga putus sehingga ke pangkal. Mujur ada seorang tukang logam yang mampu membina kembali tangan Si Luncai.

Keberangkatan para nakhoda ke Samudera itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memburu Sang Saka Putih. Batu permata hijau yang terhunus di dahi makhluk itu dikatakan amat magis. Barangsiapa berjaya menakluk mamalia ganas itu bakal memiliki jurus kuasa yang infiniti.

Sejumlah 700 buah bahtera berlumba-lumba menuju ke Samudera Konra demi menjejak Sang Saka Putih. Namun kini yang tinggal hanya 30 buah sahaja. Baki yang lain sudah karam di dasar lautan. Tidak mampu menandingi dugaan serta cabaran separuh perjalanan ke lokasi dituju.

***************************

Luncai yang kaget segera membaca mantera agar tenang mengemudi bahtera Apung Hitam yang kukuh bagaikan gunung. Biarpun anak kapal kian berkurangan, dia tetap cekal dan bersungguh-sungguh untuk menakluk lautan samudera. Tidak mungkin dia berpatah balik malah lebih rela terkubur di lautan.

Hampir dua jam menempuh ombak badai setinggi 30 hingga 40 kaki, kini lautan kembali tenang. Setenang cermin yang merefleksikan langit dan awan. Malah jika dilihat dari luar bahtera, sukar untuk mencari garis ufuknya bumi. Begitu indah dan tenang. Bahtera yang tadi laju dibantu kuasa angin, kini kaku tanpa tenaga. walaupun masih meluncur di atas air, tidak dapat dirasakan sebarang pergerakan.

Si Luncai menggesa anak-anak kapal bersiap siaga akan sebarang kemungkinan. Dari pengamatannya, inilah lokasi yang digelar Laut Cermin. Dan ini juga membuktikan bahawa mereka hanya perlu meredah dua lagi halangan sebelum sampai ke Samudera Konra. Belum pun sempat anak-anak kapal mengukuhkan posisi, lautan yang tadi tenang tiba-tiba berkecai seperti cermin yang dihempas ke lantai. Bayang-bayang hitam yang besar jelas kelihatan dari dasar lautan.