webnovel

Gadis Kecil, Ruby

"Tuan..sudah masanya untuk kamu bangun".

Suara kecil itu bermain di cuping telinga Micheal. Dia pernah mendengar suara kecil itu sebelumnya. Ya..suara itu. Micheal teringat suara semasa dia hampir pengsan beberapa bulan lalu.

Dengan penuh kepayahan, Micheal memaksa untuk membuka matanya. Kelopak matanya seperti di gam. Terlalu berat. Beberapa detik kemudian dia berjaya membuka matanya. Cahaya berpusu-pusu menerjah bola matanya menyebabkan dia terasa silau. Pandangannya beransur pulih. Dia dengan payah melihat sekeliling. Di tepi katilnya ada seorang gadis kecil sedang duduk dan tersenyum melihatnya.

"Tuan tertidur agak lama" Kata gadis kecil itu sambil mencibir bibirnya.

Micheal yang baru terjaga kebingungan melihat di tepinya ada seorang gadis kecil. "Aku seperti pernah ternampak gadis kecil ini" fikir Micheal. Fikirannya melayang. Dia tiba-tiba terdiam, dia teringat sesuatu. Dia pernah ternampak gadis itu di dalam mimpinya. Gadis yang pernah berdiri bersebelahan dengan lelaki bernama Hector.

"Apakah ini masih mimpi? Siapakah kamu?" Micheal bertanya sambil menatap wajah comel gadis kecil itu.

"Aku Ruby..." Gadis kecil itu berkata singkat. Menambah kebingungan di fikiran Micheal.

"Tuan tidak perlu berfikir banyak sekarang. Aku akan menjelaskan semuanya nanti. Tuan perlu tahu banyak perkara nanti. Tuan perlu makan crystal energy ini dan mengembalikan tenaga tubuh tuan. Kemudian kita akan meninggalkan tempat ini". Ruby menghulurkan sesuatu ke mulut Micheal, ianya kristal putih kecil. Micheal yang kebingungan membuka mulutnya dan menelan kristal putih itu.

Tiba-tiba tubuhnya seperti di suntik adrenalin, dia menjadi bertenaga. Badannya terasa segar. Micheal mengenggam tangannya dan duduk di atas katil. Badannya yang terasa seperti lumpuh sebelum ini tiba-tiba menjadi bertenaga. Micheal memandang gadis kecil yang bernama Ruby itu.

"Terima kasih" .

Gadis kecil itu tersenyum. "Tuan tidak perlu mengatakan itu. Itu adalah tugasku untuk menjaga tuan".

"Apakah kamu ada kaitan dengan cincin yang aku temui beberapa bulan lalu?" Tanya Micheal. Dia melihat jarinya. Cincin itu tidak ada lagi di jarinya. Dia melihat ke sekeliling. Dia teringat cincin itu tersekat di jarinya dulu. Dan cincin itu hampir membunuhnya.

"Apakah tuan maksudkan cincin ini?" Ruby membuka genggaman tangannya. Sebuah cincin merah dengan warna keemasan di tepi terbentang di telapak tangan Ruby.

"Iya" Jawab Micheal ringkas. Dia menghembus nafas lega. Walaupun cincin itu hampir membunuhnya, dia tidak mahu cincin itu jatuh ke tangan sesiapa pun.

"Aku telah membawa cincin ini dari suatu tempat yang jauh.Jauh dari planet ini. Aku akan menjelaskan kepada tuan nanti. Kita perlu meninggalkan tempat ini terlebih dahulu" Kata Ruby.

Mendengar kata-kata Ruby, Micheal mula mengemas barang-barangnya. Dia dengan tergesa-gesa melangkah keluar dari bilik sakitnya. Dia telah terlantar di bilik itu selama 6 bulan. Dan sekarang dia tidak sabar lagi untuk meninggalkan tempat itu.

Micheal melangkah dengan laju. Seakan berlari. Dia tidak mahu pekerja hospital itu menyedarinya keluar dari bilik sakitnya. Dia melihat belakang. Gadis kecil itu mengekorinya. Micheal tersentak. Mulutnya terbuka . Gadis kecil itu terapung di udara sambil mengekorinya di belakang. Ruby hanya tersenyum melihat reaksi Micheal. Dia tahu di planet ini melihat seseorang terapung di udara adalah sesuatu yang mustahil terjadi.

"Teruskan berjalan tuan"

Lamunan Micheal terhenti, dia meneruskan langkahnya keluar dari hospital. Dia menyedari beberapa detik ini terlalu banyak benda pelik yang terjadi terhadapnya. Kejadian yang berlalu 6 bulan lalu telah menyebabkan dia mengalami hidup yang seperti mimpi dan kini dia diekori oleh gadis kecil yang terbang di udara.

Beberapa jam kemudian, dia memasuki kamarnya. Dia menghempaskan tubuhnya ke katil empuk. Datuknya tidak ada di rumah. Micheal tidak tahu apakah datuknya ada datang melawatnya di hospital. Orang tua itu terlalu sibuk dengan kerjanya sehinggakan mengabaikan satu-satunya cucunya.

"Ruby...aku ingin tahu lebih lanjut mengenai cincin itu. Aku hampir terbunuh kerana cincin itu beberapa bulan yang lalu" kata Micheal sambil memandang Ruby yang duduk di sudut katilnya.

"Tuan..cincin ini tidak akan membunuhmu. 6 bulan yang lalu , kotak berbentuk oktagon itu menyerap darah tuan, itu menjadikan tuan adalah perwaris kepada cincin universal Gwydion. "

"Cincin itu telah menyuntik genetik agung kaum Gwydion ke tubuh tuan. Dan kini tuan secara perlahan mengalami perubahan genetik dan boleh dikatakan tuan akan menjadi salah satu dari kaum Gwydion."

"Kaum Gwydion?" Micheal teringat kata-kata dalam gambaran semasa dia koma. Suara itu seringkali menyebut nama kaum Gwydion dan kini dia mendengar lagi dari gadis kecil itu.

"Kaum Gwydion adalah kaum terkuat di alam semesta . Penguasa agung yang terakhir telah terbunuh dan untuk mengelakkan genetik kaum Gwydion pupus, penguasa agung telah menghantar aku jauh dari planet asal kaum Gwydion" Ruby berkata sambil memandang Micheal. Lelaki didepannya akan bakal mengalami perubahan drastik dalam hidupnya nanti.

"Perubahan dalam diri tuan baru sedikit berubah, bahkan belum sampai 1 peratus. Aku akan cuba membimbing tuan untuk menjadi lebih kuat"

"Menjadi kuat? Maksudmu apa Ruby?" Micheal tersentak. Dia memandang Ruby tajam.

"Aku merasakan tuan telah mendapat beberapa gambaran semasa tuan tertidur beberapa bulan ini. Lelaki yang ada dalam gambaran itu adalah penguasa agung yang terakhir kaum Gwydion, tuan agung Hector."

"Tuan agung Hector merupakan seorang pahlawan galaksi yang di takuti oleh banyak kerajaan di alam semesta. Dan pahlawan Gwydion kuno sebelum zaman tuan agung Hector pernah mendominasi seluruh alam semesta. Kaum Gwydion menurunkan warisan melalui genetik. Segala perkara yang dilalui dari zaman ke zaman ada di dalam darah dan genetik, tuan hanya perlu memikirkannya dan ia akan muncul di fikiran tuan." Jelas Ruby panjang lebar.

"Tuan sebenarnya tidak punya banyak masa. Penduduk bumi dalam masalah. Aku tidak menjangkakan masalah ini sebelumnya, tetapi nampaknya kehadiran ku telah membawa debu angkasa yang telah menyebabkan mutasi drastik kepada beberapa haiwan laut."

"Bumi dalam masalah? Mutasi drastik haiwan laut?Maksud kamu bumi akan diserang oleh mutasi haiwan laut ini?" tanya Micheal.

"Aku dapat merasakan haiwan itu bermutasi dengan cepat. Mungkin akan mencapai ratusan meter tinggi dalam beberapa tahun. Melalui data yang aku dapatkan, terdapat 3 atau lebih haiwan yang telah bermutasi, semuanya berada di dasar laut".

Micheal terkejut. Haiwan apa yang setinggi beberapa ratus meter dan menyerang manusia. Micheal menepuk-nepuk kepalanya. Dia seperti masih berada dalam sebuah mimpi.