"Kamu nak makan ni, kan?"
Ouyang Xiaoyi bertanya sambil tertawa. Dia menggunakan penyepitnya untuk mengangkat seketul daging Tulang Rusuk Masam Manis yang disalut dengan sos berwarna kuning jingga dan mengayun-ayunkannya di hadapan muka Yang Chen.
Pada masa itu, bau Tulang Rusuk Masam Manis yang lazat itu sudah memikat hati Yang Chen. Matanya terpaku pada sajian itu. Warna kuning jingga Tulang Rusuk Masam Manis yang berkilauan itu kelihatan sungguh sedap. Perutnya tiba-tiba terasa lapar dan dia tak sabar untuk mencubanya.
"Pesanlah sepinggan kalau kamu nak makan! Hmph! Ini saya punya!" Apabila Ouyang Xiaoyi melihat Yang Chen sedang meliur, dia terus menjadi gembira. Perasaan bangga terpancar di wajahnya apabila dia memakan daging Tulang Rusuk Masam Manis itu dengan sekali ngap. Matanya dipejam rapat-rapat kerana dia terlalu gembira.
Yang Chen naik berang. Dia sudah agak yang si nakal ini ada muslihat yang tak baik. Walau bagaimanapun, dia mengakui yang aroma sajian itu sungguh lazat. Dia tak pernah menghidu bau yang begitu lazat sebelum ini.
Yang Chen berfikir sama ada dia mahu memesan Tulang Rusuk Masam Manis juga atau tidak, tapi dia teragak-agak kerana dia sudah memesan Daging Masak Merah. Akhirnya, dia membatalkan niatnya. Dia membuat keputusan untuk memakan Daging Masak Merah dahulu sebelum dia memesan Tulang Rusuk Masam Manis. Walau bagaimanapun, untuk menahan godaan Tulang Rusuk Masam Manis itu, Yang Chen memaksa dirinya untuk memandang ke tempat lain ketika Ouyang Xiaoyi sedang menikmati sajiannya.
"Ngap, ngap." Geli hati Ouyang Xiaoyi apabila dia melihat Yang Chen sedang menutup matanya supaya dia tak dapat melihat Tulang Rusuk Masam Manis itu. Ouyang Xiaoyi berasa sungguh gembira dan dia terus mengunyah dengan bunyi yang kuat. Memandangkan Yang Chen tak dapat melihatnya, dia menggunakan bunyi kunyahannya untuk menarik perhatian Yang Chen.
Ini satu penyeksaan yang sungguh kejam bagi Yang Chen. Ia lebih kejam daripada menyuruhnya membuat sepuluh set kata1 di atas salji tebal.
Tak jauh dari mereka, Song Tao sedang memantau mereka berdua dengan teliti. Dia menelan air liurnya apabila dia melihat sajian Tulang Rusuk Masam Manis di hadapan Ouyang Xiaoyi itu. Baunya sungguh aromatik. Walaupun ada khabar angin yang mengatakan harga-harga sajian di restoran yang tak berhati perut itu sangat mahal, ada sebab mengapa harganya diletakkan tinggi sebegitu.
Malangnya, sepinggan Tulang Rusuk Masam Manis berharga lima puluh biji kristal. Apabila Song Tao terbayangkan lima puluh biji kristalnya akan hilang begitu sahaja kalau dia memesan sepinggan Tulang Rusuk Masam Manis, selera makannya terus hilang.
Yang Chen berjaya menahan godaan Tulang Rusuk Masam Manis itu sehingga Bu Fang keluar dari dapur. Dia menjadi teruja apabila dia melihat Bu Fang memegang sepinggan Daging Masak Merah yang panas. Daging Masak Merah itu kelihatan seperti batu permata karnelian.
"Ini Daging Masak Merah kamu. Jemput makan." Bu Fang berkata. Yang Chen menunjukkan perasaan tidak sabar manakala Bu Fang nampak tenang sahaja.
Mata Yang Chen memandang ke arah Daging Masak Merah di hadapannya. Dagingnya bersinar-sinar seperti batu permata karnelian yang berwarna jingga kemerahan apabila diletakkan di bawah cahaya lampu. Rupanya yang sungguh cantik seperti sebuah lukisan menyebabkan dia takut untuk memakannya.
Akhirnya, rasa lapar menguasai dirinya. Dengan penyepitnya, Yang Chen mengangkat seketul Daging Masak Merah dengan berhati-hati. Apabila dia menyepit ketulan Daging Masak Merah itu dengan lembut, jus yang jernih mengalir keluar dan aroma yang lazat tersebar ke udara.
Dia pun memasukkan ketulan daging itu ke dalam mulutnya. Rasa manis dan berlemak terus merebak ke seluruh mulutnya. Yang Chen rasa seolah-olah seluruh tubuhnya dibalut dengan perisa daging itu. Lapisan pertama daging rusa itu tak begitu berminyak. Teksturnya kenyal dan sungguh enak. Yang Chen mengambil bahagian daging yang pejal pula. Dia sangat terkejut apabila dia mendapati daging pejal itu sungguh lembut dan empuk. Ketulan daging itu masuk ke dalam perutnya dengan sekali telan sahaja.
"Daging ni... Daging ni sangat lazat!" Yang Chen menggumam. Dia melihat sajian Daging Masak Merah itu dengan rasa tak percaya. Memang ada Daging Masak Merah yang sedap sebegitu di dunia ini. Perbezaan sajian ini dengan Daging Khinzir Semangat Masak Merah di Restoran Phoenix Abadi bagai langit dengan bumi!
Seketul daging itu sahaja mampu menundukkan Yang Chen. Ouyang Xiaoyi semakin teruja. Dia mengambil seketul lagi daging Tulang Rusuk Masam Manisnya dan memasukkannya ke dalam mulut. Pipinya mengembung ketika dia mengunyah daging itu.
"Hmph! Kan aku dah beritahu kau tadi, sajian Tauke Busuk memang sedap-sedap belaka!"
Yang Chen mengecap-ngecap bibirnya. Dia rasa seolah-olah dia tak makan pun Daging Masak Merah tadi, jadi dia mengambil seketul daging lagi dan memasukkannya ke dalam mulut. Ketulan daging itu masuk ke dalam perutnya dengan sekali telan... Mata Yang Chen terbeliak. Dia mengambil seketul daging lagi dan memasukkannya ke dalam mulut. Ketulan daging itu masuk ke dalam perutnya dengan sekali telan.
Yang Chen pun memakan sajian itu dengan tidak berhenti-henti. Dia tak dapat mengawal dirinya. Apabila Bu Fang membawa Nasi Goreng Telur ke meja mereka, keseluruhan sajian Daging Masak Merah itu sudah habis.
"Ini Nasi Goreng Telur kamu, jemput makan." Bu Fang berkata sambil meletakkan Nasi Goreng Telur yang seolah-olah memancarkan cahaya keemasan di hadapan Song Tao.
Song Tao yang terasa sungguh terseksa itu terus mengambil sudu porselin dan mencedok nasi goreng itu tanpa berkata apa-apa. Apabila sudu itu dicedokkan ke dalam nasi goreng itu, aroma telur dan nasinya terus merebak ke udara. Wap naik ke muka Song Tao dan ia terus membuatkannya sangat gembira.
Walaupun harga Nasi Goreng Telur itu tak begitu mahal dan kaedah memasaknya mudah, memang tidak dapat dinafikan yang aroma sajian biasa ini sangat wangi. Ini kerana telur yang digunakan sangat aromatik apabila ia digoreng.
Semua orang tak dapat menahan diri mereka daripada menghidu bau Nasi Goreng Telur yang lazat itu, termasuk Song Tao dan Yang Chen.
Apabila dia memakan sesuap Nasi Goreng Telur, Song Tao terus jatuh cinta dengan sajian itu. Dia mencedok, mengunyah dan menelan nasi goreng itu tanpa berhenti. Dia betul-betul teruja dengan rasa lazat sajian itu sehingga dia terlupa objektif dia masuk ke restoran itu.
Tak lama kemudian, sajian Nasi Goreng Telur itu pun habis. Pinggan itu dijilat licin sehingga tiada butir-butir nasi yang tertinggal.
"Sedapnya!" Song Tao meletakkan pinggan itu di atas meja dan menjilat bibirnya. Dia tak sangka Nasi Goreng Telur itu sungguh lazat. Sepinggan memang tak cukup untuk mengenyangkannya.
"Tauke Bu, masakkan saya sepinggan lagi Nasi Goreng Telur!" Memang dah terbukti yang sajian itu memang sedap, jadi orang yang kedekut seperti Song Tao pun tak kisah kalau dia memesan sepinggan lagi Nasi Goreng Telur.
"Kamu perlu pilih sajian lain. Memandangkan kamu dah pesan Nasi Goreng Telur tadi, kamu tak boleh pesannya lagi." Bu Fang berkata selepas dia melirik ke arah Song Tao.
Song Tao terkejut seketika dan kemudian teringat pada peraturan yang ditulis di menu restoran itu. Dia tiba-tiba berasa agak sedih... Pada masa itu, dia baru teringat yang dia masuk ke restoran itu bukanlah untuk makan. Dia berada di sana untuk menculik Yang Chen dan Ouyang Xiaoyi.
Oleh itu, Song Tao menahan dirinya daripada memesan sajian lain dan mengeluarkan sebiji kristal daripada sakunya. Dia meletakkannya di atas meja dengan rasa berat hati sebelum dia berpusing dan beredar dari tempat itu.
Wajah Bu Fang penuh dengan keraguan apabila dia melihat Song Tao beredar dari restorannya. Bukankah dia mahu memesan sajian lain?
Song Tao tak pergi jauh selepas dia keluar dari restoran itu. Dia terjumpa satu tempat yang selesa beberapa meter dari pintu masuk lorong dan dia pun bertinggung di situ. Dia tak berani menculik mereka berdua di dalam restoran itu. Tapi kalau mereka berada di luar restoran... dia pasti akan dapat menculik mereka berdua dan terus melarikan diri dari situ. Sekurang-kurangnya… dia tak boleh memberi peluang kepada anjing semangat agung itu untuk bertindak dahulu.
Nasib buruk dua orang bawahannya yang telah dibelasah oleh si anjing itu masih segar dalam fikirannya. Dia tak akan biarkan anjing agung itu mengeluarkan kukunya...
Tanpa disedari, salji turun dengan lebat dari langit. Bandar diraja sekali lagi dilitupi dengan lapisan salji.
Di dalam restoran, Yang Chen yang masih terasa lapar telah memesan beberapa sajian lagi dan dia makan dengan penuh nikmat. Xiaoyi pula telah memesan semangkuk Sup Tauhu Kepala Ikan yang panas dan dia menghirup sup itu dengan gembira sekali.
Mereka berdua memang tak bercadang untuk keluar dari restoran itu.
Di pintu masuk lorong, Song Tao bertinggung dengan diam. Tubuhnya sudah dilitupi dengan salji putih yang tebal. Apabila dia menggerakkan badannya dengan sedikit, salji di atas badannya akan jatuh.
Si Hitam yang sedang baring di pintu masuk restoran hanya menggulingkan mata. Anjing itu tak mampu berkata apa-apa ketika dia melihat gelagat Song Tao. Terdetik dalam hatinya, 'Adakah manusia ni bodoh?'
Song Tao pun tertanya-tanya pada dirinya sendiri... Walau bagaimanapun, dia tak ada pilihan yang lain. Untuk menyelesaikan misi itu, dia terpaksa mengorbankan dirinya.
Qian Bao memakai jubah kain broked dan kot luar bulu rubah. Dia diiringi oleh seorang cef dari Restoran Phoenix Abadi. Apabila dia sampai ke pintu masuk, dia melihat Song Tao yang bersembunyi di lorong itu sedang menggigil kesejukan. Dia segera melambai tangannya dengan rasa jijik dan berkata, "Hai, pengemis busuk! Kau ni datang dari mana? Berambus, jangan tutup jalan ni."
Apabila Song Tao mendengar kata-kata itu, dia terus tergamam. Dia merupakan Maharaja Pertempuran Kelas Keenam... Biar betul dia dilayan seperti seorang pengemis yang menjijikkan? Sejak bila dia menjadi malang sebegini?