Han Gemuk yang mudah berubah fikiran itu berasa teruja hanya untuk seketika apabila pengumuman pelayan itu muncul. Dia dengan bersemangat mendekati bangkai itu selepas diarahkan Zhang Yang tanpa mengendahkan pengumuman tersebut kerana sibuk memikirkan jika ada hasil rampasan berupa baju perisai yang boleh diperolehi, jadi ada kemungkinan yang Salji Lembut akan memakai skirt mini itu!
[Busur Silang Berat] (Tembaga Hijau, Senjata Jarak Jauh)
Serangan Senjata: 42 – 54
Sela Masa Serangan: 2.4 saat
Kerosakan Sesaat (DPS): 20
Keperluan Tahap: 10
Senjata jarak jauh. Ini senjata Pemburu! Mata Han Gemuk bercahaya, "Aku tak akan lepaskan peluang ni kali ni. Aku akan dapatkan 100 mata dan dapatkan senjata ni!"
Zhang Yang tertawa dan berkata, "Baik, Pemburu, baling dadu untuk dapatkan senjata ni!"
Ketiga-tiga Pemburu mahukan senjata itu memandangkan ia senjata Tembaga Hijau jarak jauh pertama yang boleh diperolehi dalam pelayan pada tahap ini. Ia pasti akan menjadi perhatian ramai bagi sesiapa yang berjaya memperolehinya dan ingin menunjuk-nunjuk di sekeliling bandar.
Ratusan Tembakan, 98 mata.
Sami Ingkar, 99 mata.
"Jahanam!" Han Gemuk berdoa kepada semua yang berkuasa sebelum dia menekan butang untuk balingan dadu. "Abracadabra!"
Si Kurus dan Kacak, 100 mata!
"Ah, haha!" Han Gemuk terkejut seketika sebelum dia tertawa. Alat itu masuk secara automatik ke dalam inventorinya.
"Jahanam, Gemuk, aku akan laporkan yang kau menggodam sistem!" jerit Sami Ingkar.
"Haha, kau patut tahu siapa aku!" Han Gemuk menghayun rambut dengan lagaknya dan terus mengumpul hasil rampasan dari bangkai itu.
[Kot Ringan] (Tembaga Hijau, Baju Perisai)
Pertahanan: +2
Vitality: +8
Kepintaran: +8
Semangat: +4
Keperluan Tahap: 10
"Betul-betul ada!" ujar Kematian Bersalji yang terkejut.
"Pengguna api, kalau kau baling dadu, aku belasah kau!" Han Gemuk mengugut Maharaja Api.
Walaupun Han Gemuk nampak seperti seorang yang miang, dia sebenarnya seperti Zhang Yang. Mereka banyak terlibat dalam pergaduhan sepanjang mereka membesar dan mempunyai aura yang merbahaya. Maharaja Api terus melompat dan menolak untuk membaling dadu. Tiada sesiapa yang tahu jika dia menolak kerana dipaksa atau dia sendiri ingin melihat Salji Lembut memakai skirt mini itu.
Walaupun Salji Lembut hanya berjaya mendapat 15 mata dalam balingan dadu, kot itu terus menjadi miliknya kerana tiada saingan lain.
"Cepat pergi tukar baju!" sorak sekumpulan serigala miang.
Salji Lembut tidak senang duduk dan berat hati untuk memakai kot itu.
Zhang Yang kemudian menambah, "Masih ada Bos Tersembunyi, jadi elok untuk semua menambah kuasa dengan apa cara sekalipun!"
Mendengar kata-kata Zhang Yang itu, Salji Lembut menukar baju labuh yang dipakainya kepada kot ringan itu. Skirt mini seksi yang akhirnya ditunjukkan kepada semua mempamerkan kakinya yang putih kurus serta pakaian dalamnya yang samar-samar kelihatan berwarna merah jambu!
"Ya!" Han Gemuk mengelap air liurnya dan mengambil hasil rampasan terakhir walaupun dia terganggu.
[Pelindung Tulang Kering Bangsawan] (Tembaga Hijau, Perisai Berat)
Pertahanan: +6
Vitality: +10
Kekuatan: +7
Ketangkasan: +3
Keperluan Tahap: 10
Kedua-dua Hari Bayangan dan Kekecewaan Lautan menolak untuk membaling dadu dan alat kelengkapan itu terus memasuki inventori Zhang Yang.
'Ding! Anda telah menerima 9 syiling perak selepas pengagihan alat!'
Bangkai Dadarerda kemudian lenyap dan syiling di atas tanah turut dikumpulkan.
"Abang pakar, mana Bos Tersembunyi ni?" soal Kematian Bersalji sambil dia melihat sekeliling.
Zhang Yang menunjuk ke arah salah satu sudut di kawasan itu dan berkata, "Selepas Dadarerda tewas, ada satu pintu tambahan yang akan muncul di kawasan itu dan ada satu laluan yang akan membawa kita ke Bos Tersembunyi!"
"Zhan Yu, macam mana kau tahu semua ni?" Api Merah tiba-tiba bertanya, "Jangan kata kau dapat tahu semua ni dari Internet, aku tak akan percaya!"
"Ya, aku pun tak percaya!" yang lain-lain turut menyuarakan kesangsian mereka.
Zhang Yang tersenyum dan berkata, "Sebenarnya… akulah Si Pemusnah dan aku telah mengembara 5 tahun ke masa lampau!"
"Sudahlah!" jerit mereka.
"Yalah, yalah. Aku pernah masuk dalam versi beta permainan video ini!" ujar Zhang Yang.
"Hmm!" Mereka menerima penjelasan itu.
"Abang pakar, apa hasil rampasan Bos Tersembunyi tu? Alat kelengkapan Perak Kelabu?" soal Kematian Bersalji.
"Tidak sehebat itu. Alat kelengkapan Perak Kelabu hanya boleh didapati di dungeon tahap 20!" Zhang Yang menggeleng kepalanya dan berkata, "Kau semua tak perasan ke? Ada tak mana-mana bos sebelum ni yang gugurkan apa-apa rantai atau cincin?"
"Tak ada!"
"Betul tu, rantai dan cincin hanya ada sebagai hasil rampasan dari Bos Tersembunyi dalam Mod Sangat Sukar selain menjadi ganjaran dalam sesetengah cabaran!" jelas Zhang Yang.
"Wah, kalau macam tu, kita mesti dapatkannya!" kata Sami Ingkar dengan bersemangat.
Zhang Yang telah membuat banyak keajaiban. Kesangsian mereka terhadap kebolehan sendiri telah lama hilang!
"Teruskan!" Zhang Yang menghayun pedangnya dan berjalan ke satu sudut kawasan itu. Selepas dia meraba-raba dinding di kawasan itu dan menekan satu batu yang terkeluar, satu pintu batu muncul dan terbuka di depan mereka.
"Gunakan nilai kemahiran yang diberi sebagai ganjaran oleh sistem tadi sebab kita perlu kuatkan diri walau sebanyak mana pun!" Zhang Yang kemudian mengagihkan nilai kemahirannya yang baru ke <Hadangan > dan menurunkan tempoh bertenangnya kepada 7 saat.
Mereka mengangguk tanda setuju.
Di belakang pintu batu itu, ada satu laluan yang panjang dan diterangi unggun api di kedua-dua belah dindingnya.
Nasib baik tiada makhluk suruhan di sekeliling kawasan itu. Mereka mengambil masa seminit untuk melalui laluan itu sebelum mereka tiba di jalan masuk ruang batu yang besar.
"Jangan masuk dulu!" Zhang Yang terhenti di pintu masuk itu dan berkata, "Aku perlu terangkan strategi kita dulu!"
Ada satu gnome besar di tengah-tengah ruang batu itu. Berbeza dengan gnome lain yang berwarna hijau, gnome ini berwarna merah pekat dan mempunyai aura yang merbahaya. Kakinya dibelenggu rantai berat yang disambung ke dinding.
[Syaitan Pemukau Momorermo] (Makhluk Elit Tembaga Hijau)
Tahap: 15
HP: 90000
"Jahanam, tahapnya lebih tinggi daripada bos terakhir tadi!" ujar Maharaja Api dengan suara yang perlahan.
"Bos Tersembunyi dalam dungeon memang selalunya lebih sukar ditewaskan!" kata Zhang Yang. Momorermo yang hodoh ini sudah tentu tidak terkecuali.
"Bos ini ada 3 kemahiran. Yang pertama ialah kesan aura Kerosakan Mengikut Masa (DoT)1. Selagi kau berada 30 meter dari kesan itu, HP kau akan menurun secara berterusan. Ini kesan magik! Kalau tak silap aku, ini DoT unsur Bayang yang boleh kurangkan HP sebanyak 30 setiap 3 saat! Paderi, ingat, jampi dan teruskan <Pertumbuhan Semula> untuk semua."
"Kemahiran keduanya ialah pukauan. Bos ini akan memilih mana-mana pemain secara rawak dan memukaunya. Pemain yang dipukau akan dikawal dan menyerang pemain lain. Tidak kira kau pemain jarak dekat atau jauh, kau akan menyerang jarak dekat bila dipukau. Watak yang dipukau ada 3,000 HP dan setiap serangan akan menyebabkan 1,000 kerosakan! Satu kelebihan yang kita ada ialah kelajuan watak yang dipukau itu sangat perlahan!"
"Jampi ini boleh dibuang dengan sangat mudah. Kita hanya perlu kurangkan HP pemain yang dipukau dan kawalan akhirnya akan kembali kepada pemain itu beserta HP asalnya! Tapi, pukauan ini ada satu kesan negatif – pemain akan menerima kerosakan daripada ahli pasukan lain dalam masa 10 saat selepas pukauan itu hilang. Jadi, sebaik saja kesan itu hilang, kita kena serta-merta hentikan serangan atau kita mungkin akan membunuh ahli kita sendiri! Membuang pukauan ini mesti dilakukan dengan cepat kerana kalau ada 2 atau lebih pemain yang dipukau, kita akan tewas."
Zhang Yang berhenti seketika bagi memberi mereka waktu untuk memahami maklumat itu dan kemudian terus menjelaskan, "Kemahiran ketiganya pula ialah setiap kali bos itu kehilangan 25% HPnya, dia akan menjampi satu kemahiran khas. Aku dah lupa nama kemahiran tu, tapi Kawasan Terkesan (AoE) dan jarak kemahiran itu adalah 200 meter serta serangan itu boleh menyebabkan 1,000 kerosakan!"
"1,000 kerosakan AoE, betul ke kita tak nak menyerah kalah ni?" Api Merah terkejut dan bertanya.
"Tak tentu sebenarnya. Semasa pertarungan berjalan, Kristal Tenaga akan muncul secara rawak di sekeliling kawasan ni. Satu perisai akan muncul selepas ia dipecahkan dan memberi imuniti terhadap semua serangan! Kristal itu ada 1,000 HP dan perisainya berterusan selama 10 saat." Zhang Yang ingin menjelaskan lebih lanjut, tetapi melihatkan raut wajah semua yang nampak keliru, dia mengeluh dan berkata, "Buat saja apa yang aku suruh. Serang bila aku suruh dan bergerak ke mana yang aku tunjuk!"
"Baik!"
"Yang Kecil, kalau kau cakap dari awal kan lagi mudah!" ujar Han Gemuk tanpa segan silu.
Zhang Yang terfikirkan sesuatu dan berkata, "Gemuk, kau bertanggungjawab memecahkan Kristal Tenaga. Ia satu tiang kristal dengan separuh ketinggian manusia. Ia sangat senang dikesan, tapi tempat ia muncul tak tentu, jadi jika ia muncul, kau kena ingat lokasinya. Bila aku bagi isyarat untuk serang, lupakan yang lain dan guna semua tenaga kau untuk pecahkan kristal itu, faham?"
"Percaya pada aku!" Han Gemuk dengan bersemangat menepuk dadanya.
"Baik, selepas kita mula, pemain kelas jarak jauh termasuk penyembuh mesti berdiri dengan jarak 5 meter antara satu sama lain. Kalau mana-mana watak penyerang jarak jauh dipukau, semua orang kena menjauhinya dan watak penyerang jarak jauh yang lain mesti menurunkan HPnya dengan cepat! Pemain jarak dekat perlu fokus dan menyerang bos. Kalau kau dipukau, aku akan tarik bos itu dan watak penyerang jarak jauh yang lain akan fokus untuk menurunkan HP watak penyerang jarak dekat yang dipukau itu!"
Zhang Yang mengangkat pedangnya dan berkata, "Mari mulakan!"
Dia bergerak beberapa langkah ke depan dan teks kerosakan berwarna merah serta-merta muncul di atas kepalanya. Notifikasi sistem berbunyi pada masa yang sama.
'Ding! Anda telah terkena <Lingkaran Cahaya Gelap>. Kehilangan 30 HP setiap 3 saat (DoT Bayang) sehingga anda meninggalkan kawasan terkesan!'
Dia mempunyai kemahiran pasif dengan 20% pengurangan kerosakan.
"Ogagaga! Ada serangga yang datang menghilangkan kebosanan Momorermo!" Sebaik sahaja Zhang Yang memasuki jarak aggro bos itu, Momorermo serta-merta melompat serta menarik dan mengangkat rantai sebesar lengan yang membelenggunya dengan hanya menggunakan kekuatan rentapan!
"Momorermo akan minum darah kau semua!" Gnome berwarna merah yang hodoh itu menuju ke depan dan melunjurkan tangannya ke arah Zhang Yang. Tangannya seperti kuku binatang yang tajam dan berkilat.
Zhang Yang menggunakan <Serangan > dan memegunkan bos itu. Dia kemudian mengangkat pedangnya dan menikam kepala bos itu yang menyebabkan darah terpercik di merata tempat.
"Mulakan serangan!"
Dengan isyarat daripada Zhang Yang, pertarungan terakhir itu bermula.