webnovel

Yan Xun tersenyum kecil dan lantas menghirup tehnya lalu berkata, "Betul kata kau." Taman bunga itu sememangnya selesa baginya. Oleh sebab Yan Xun memang sukakan bunga orkid jadi rumah itu sentiasa berbau wangi dengan haruman bunga. Tambahan pula apabila angin memasuki rumah tersebut, semua orang pasti akan berasa tertarik dengan harumannya.

Yan Xun mengangkat keningnya sambil bertanya dengan nada yang lembut, "Jadi apa patut aku buat sekarang, AhChu?"

"Kenapa nak tanya aku lagi? Kau kan dah tahu nak buat apa." Ujar Chu Qiao. "Kalau kau kahwin dengan Zhao Chun'er, kau akan dibunuh tapi kalau kau tak kahwin dengan dia kau akan dituduh mengingkari perintah maharaja. Maharaja akan menganggap kau sebagai seorang pemberontak dan bunuh kau juga. Kau kan bijak jadi takkan kau tak tahu baik buruk situasi ini?" Senyum Chu Qiao sambil menambah lagi. "Dalam masa tujuh tahun, kau dah harungi macam-macam dugaan jadi kenapa sekarang kau biarkan seorang perempuan halang kau pula? Oh ya, maharaja buat ini untuk lindungi dirinya saja, bukannya lengahkan masa. Tapi itulah. Kesian kau sebab Chun'er tu betul-betul tergilakan kau."

Yan Xun nampak bersahaja tetapi kedukaan dan kesunyian masih terpancar dari wajah. Dia kemudiannya berkata, "Macam ini ke yang kau rasa? Nampak macam kau dah rancang segala benda untuk aku."

"Kita dah tempuh banyak rintangan bersama jadi aku faham dan akan tolong kau." Chu Qiao berkata dengan serius. "Kalau aku tak cakap apa-apa pun kau tetap akan buat keputusan yang sama. Kau yang cakap semalam."

Yan Xun terperanjat setelah mendengar kata-katanya lantas dia tersenyum kecil, "AhChu, kau memang faham aku."

Chu Qiao berdiri dan tersenyum sambil menepuk lembut bahu Yan Xun. "Mestilah. Kita kan dah lalui banyak benda bersama dan ia takkan berubah."

Yan Xun hanya melihat wajah Chu Qiao yang masih tersenyum itu. Dia mengangguk dan berkata, "Ya, ia takkan berubah."

"Aku nak pergi ke Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar ni tapi sebelum itu aku nak menyapa Zhao Song dulu."

Yan Xun mengangguk dan berdiri. "Kirim salam pada dia."

Chu Qiao pun menoleh dan beredar. Namun, langkahnya terhenti di pintu dan dengan perlahan-lahan dia menggenggam penumbuknya lalu melepaskannya sebanyak tiga kali tetapi masih tidak beredar. Yan Xun kelihatan seperti ida mengetahui Chu Qiao mempunyai sesuatu yang ingin dikatakan jadi Yan Xun hanya berdiri di situ.

"Yan Xun, jatuh cinta akan menghalang kau. Kau masih ada perkara yang tak diselesaikan lagi jadi kau patut utamakan perkara itu dulu."

Yan Xun hanya merenung ke arah Chu Qiao sehingga dia perlahan-lahan lenyap dari pandangannya.

'Ah Chu, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. Tapi bagaimana mungkin dapat aku balas budi baik kau itu?'

Kehangatan cahaya matahari pada waktu petang begitu menenangkan tetapi Yan Xun tiba-tiba berasa semuanya terlalu terang sehingga mampu membutakannya.

Pada 14 Mac, langit kelihatan begitu cerah tatkala salji turun pada waktu petang seperti biasa. Topik perbualan seluruh empayar masih lagi hangat mengenai Raja yang meminta Yan Xun untuk mengahwini Puteri Zhao Chun'er. Oleh itu, timbulnya pelbagai spekulasi dalam bandar diraja itu. Dalam suasana yang kalut seperti itu, tiada sesiapa yang menyedari sebuah angkatan tentera Lu Ying yang sudah keluar sejam lepas. Pintu Barat juga telah dibuka sejam lebih awal dari biasa.

Sewaktu menerima khabar ini, Yan Xun sedang menikmati teh di laman bunga. Dia memakai jubah nipis yang kelihatan begitu selesa. Pemuzik yang berada di anjung sedang memainkan lagu 'Xi Chuan Hua Ye' dengan alunan melodinya yang merdu bergema di sekitar kawasan tersebut.

Yan Xun tersenyum kecil manakala Ah Jing yang berdiri di sampingnya hanya menunggu arahan Yan Xun yang seterusnya. Yan Xun kemudian melambaikan tangannya sebagai isyarat bagi Ah Jing untuk beredar. Setelah itu, Yan Xun mengambil kertas muzik dari kotak muzik yang berada di sebelahnya lantas mencampakkannya kepada pemuzik itu. Muzik tiba-tiba terhenti dan pemuzik tadi hanya mengutip kertas muzik itu dengan raut wajah terkejut setelah melihatnya. Setelah itu, dia memainkan satu muzik yang kuat dengan Guzheng miliknya itu. Irama muzik tersebut kedengaran memaksa dan terlalu kuat.

Yan Xun pun ketawa terbahak-bahak sambil bertepuk tangan mengikut rentak muzik. "Hunuskan pedang ketika mabuk sambil tewaskan lapan ratus orang musuh. Tatkala bau arak tersebar, gunakan salji untuk tanam bunga yang dah layu."

Chu Qiao berdiri di luar pintu sambil melihat salji yang berterbangan di udara bersama seekor burung helang hitam. Cuaca yang begitu sejuk telah berjaya membuatkan tangannya membeku.

Seteruk mana kekacauan itu? Katakan sahaja ia seperti api yang menyala pada waktu luruh dan merebak sepantas mungkin.

Walaupun cuaca pada waktu petang itu cerah, namun ribut salji telah pun mula melanda. Sebuah mercu peringatan kepada takhta kerajaan daripada Jabatan Hasil Dalam Negeri telah dihantar kepada pihak gereja Presbiterian. Jabatan Hasil Dalam Negeri tidak mempunyai duit dan bekalan makanan yang mencukupi untuk manga-mangsa bencana alam di Zhong Zhou jadi mangsa-mangsa tersebut berasa sangat terdesak lalu mula mencuri daripada golongan bangsawan dan menyebabkan ramai di antara mereka telah mati dibelasah.

Ada seseorang yang telah menukarkan beras dengan nasi yang sudah basi jadi ramai yang telah mati kerana keracunan makanan dan lantas membuatkan angka korban melebihi sepuluh ribu orang. Golongan bangsawan pula hanya sibuk mengisi poket sendiri sahaja jadi dalam mercu peringatan itu juga terkandung segala rekod tentang kes pecah amanah.

Kekacauan yang timbul kali ini berpunca daripada mercu peringatan yang telah dihantar.

Kejadian ini kemudiannya telah disiasat dengan menyeluruh. Dalam sekelip mata sahaja gereja Presbiterian tersebut berada dalam kekalutan kerana pihak tentera pun turut mengemukakan dokumen yang sahih. Setiap yang ditulis begitu telus dan bermakna maka golongan bangsawan pun mula berasa gelisah. Sejam kemudian, sebuah keputusan telah dibuat mengenai bencana yang berlaku di Zhong Zhou iaitu Istana Sheng Jin akan dikawal oleh gabenor wilayah.

Sebelum Zhao Qi tiba di pejabat, ia telah dikelolakan oleh Muhe Xifeng. Jabatan makanan ditugaskan untuk mengendalikan bekalan makanan bagi kedua-dua jabatan makanan dan hal ehwal ketenteraan. Lagipun, semua orang tahu Song Duan sangat menyayangi cucu Muhe iaitu Muhe Yunting. Statusnya dalam keluarga Muhe lebih kurang setaraf dengan anak sulung keluarga itu. Namun, kerajaan mengalami defisit sebanyak 800,000 Yuan dalam bentuk emas serta 20 juta bagi beras.

Keputusan gereja Presbiterian muktamad jadi Muhe Yunye dari keluarga Muhe melutut sepanjang malam di hadapan istana Sheng Jin untuk meminta keampunan daripada Maharaja. Dia mengadu semuanya telah dilakukan oleh keluarga Wei dan bukannya keluarga Muhe dan semua senarai tersebut palsu dan tidak boleh dipercayai.

Tanpa dijangka, Istana Sheng Jin telah menutup kesemua pintu istana dan tidak membenarkan sesiapa pun untuk masuk. Namun, sebelum sempat Muhe Yunye berhenti melutut, perutusan rahsia telah dikeluarkan di pintu Zi Jin. Kes pecah amanah keluarga Muhe sesuatu yang serius. Dia telah diarahkan untuk mengetuai 30 ribu kuda untuk memeriksa pejabat Muhe atas mana-mana jenayah lain dan sesiapa yang mengingkari arahan ini akan dihukum!

Sewaktu Zhao Qi senyap-senyap membawa angkatan tentera berkuda Lu Ying kepada keluarga Muhe, Shang Sifang telah menghantar pakaian diraja untuk majlis pertunangan Yan Xun. Yan Xun berdiri di tengah-tengah dewan dan menyuruh pengawal-pengawal tersebut beredar dengan memberikan sedikit upah kepada mereka.

Pakaian yang dihantar oleh Shang Sifang sangat terkenal dan sudah tentunya mahal. Terdapat corak naga yang dijahit pada baju dan kelihatan begitu megah. Kemudian, Chu Qiao duduk bertinggung untuk membantu Yan Xun mengetatkan tali pinggang berliannya itu. Bau pakaian yang kuat telah menyebabkan Chu Qiao menahan nafasnya sewaktu membantu Yan Xun.

Suasana dalam bilik begitu sunyi setelah semua orang beredar. Tubuh Chu Qiao kelihatan lemah di bawah cahaya lampu. Lehernya nampak pucat dan begitu juga telinganya yang kelihatan comel. Lekukan dadanya juga sudah semakin kelihatan kerana dia tidak perlu menyamar sebagai seorang lelaki lagi untuk menipu orang.

Yan Xun menghela nafasnya dan bertanya, "Ah Chu, bila kau dilahirkan?"

Chu Qiao berdiri di belakang Yan Xun sambil membaiki baju miliknya itu. "Entahlah. Aku pun tak ingat." Ujarnya.

Yan Xun hanya terpaku dan berfikir Chu Qiao tidak mahu berkongsi dengannya lagi. Dia kemudian membalas, "Tak lama lagi kau akan berusia enam belas tahun. Jadi kita perlu meraikannya."

Chu Qiao menggelengkan kepalanya dan berkata, "Kenapa nak kena raikan pula?"

Yan Xun terus berhenti bercakap. Dia membuka mulutnya untuk mengujar sesuatu tetapi tiada kata-kata yang terkeluar daripada mulutnya itu.

Chu Qiao beralih ke bahagian bertentangan dan berkerut setelah melihat peta Qing Hai. Terdapat seurat benang yang terurai di hujung baju itu lantas dia pun terfikir sama ada mereka sengaja melakukan ini atau cuai. "Tanggal baju kau. Aku nak jahit balik bahagian itu."

Yan Xun terperanjat sambil berkata, "Kau tahu macam mana nak jahit?"

Chu Qiao mengangkat keningnya dan membalas, "Waktu kau kecil, kau ingat siapa yang jahit baju kau?" Kemudian dia pun terduduk di bawah cahaya lampu.

Fikiran Yan Xun kemudiannya melayang jauh. Bagaimana mungkin dia boleh terlupa malam-malam sejuk dan bersalji itu di mana rumah tersebut kelihatan suram serta Chu Qiao yang duduk berdekatan pendiang api dengan cahaya lilin yang samar-samar sambil mencuba untuk menyulam pakaian diraja wanita itu? Oleh sebab mereka terlalu malas untuk melakukannya, Chu Qiao telah membantu mereka dengan hanya berbekalkan sedikit makanan dan arang.

Yan Xun masih mengingati gayanya apabila dia membengkokkan tubuhnya yang kecil itu. Kadang-kadang jika dia tidak dapat membuka matanya lagi, dia akan duduk bertinggung sambil meletakkan kepala pada lututnya untuk tidur sebentar. Dia selalunya kelihatan tenang dan tidak pernah walau sekali pun merungut keletihan.

Selama ini dia cuba untuk mengawal diri dari memikirkan tentang masa lampaunya kerana dia takut kebenciannya itu akan mengaburi pertimbangannya. Oleh sebab itu dia juga terus terlupa gadis ini yang berada di hadapannya sudah bermati-matian untuk membantunya. Dia telah memasak, menjaga bahkan merawatnya ketika dia sedang sakit, dan juga telah mengajarnya untuk mengasah kayu kosong untuk dijadikan senjata serta menggunakannya , mengajar putera itu untuk berlawan dan melindungi diri. Dia juga telah membantunya menulis strategi peperangan mereka dan juga telah tinggal bersamanya dalam penjara besar ini. Walaupun dia dibuli dan dipukul, dia tidak pernah mengeluh.

Gadis ini kelihatan kurus dan lemah sahaja. Dia tidak mempunyai kuasa tetapi hatinya merupakan hati terkental di dunia. Di saat Yan Xun berasa dunianya sudah berakhir, Chu Qiao sering berada di sampingnya dan menyokongnya. Mereka meringankan beban sesama sendiri untuk meneruskan kehidupan.

"Okey." Chu Qiao berdiri dan kembali ke hadapan Yan Xun, "Cuba pakai. Tinggal dua jam lagi sebelum majlis. Tak nak ada kesilapan lagi."

Keluhan kecil tiba-tiba keluar daripada mulut Yan Xun. Dia mendepakan tangannya lantas memeluk Chu Qiao. Dia meletakkan dagunya ke atas kepala Chu Qiao sambil berkata. "Ah Chu."

Chu Qiao terperanjat dan seluruh badannya mula kaku. Dia kemudiannya cuba untuk menolak Yan Xun dengan perlahan, "Kau ni kenapa?"

"Janganlah gerak," Balas Yan Xun, "Bagi aku peluk kau sekejap."

Badan Chu Qiao kembali tenang lantas dia pun membalas pelukan Yan Xun itu, menyandarkan kepalanya pada bahu pemuda itu dan terdiam seketika.

"Ah Chu, jangan salahkan aku," Suara Yan Xun kedengaran seperti berbisik di telinga Chu Qiao. "Selama ini aku dah buat perkara yang kau larang. Kau ini nampak dingin betul. Sewaktu kau bunuh seseorang, kau tak beri belas kasihan pun. Tapi aku tahu niat kau baik. Pengusaha teh di Ling Nan, tauke bot Huai Shui, pedagang beras di Sheng Jin dan pegawai-pegawai Yan Bei yang ingkar arahan aku, semua aku hapuskan. Aku cuma tak nak perkara yang sama berulang kembali seperti dulu. Aku dah cuba sebaik mungkin tapi tetap dipengaruhi oleh orang lain. Aku dah gagal… dan yang paling penting aku tak boleh nak lindungi kau."

Chu Qiao terkebil-kebil sejenak sebelum senyuman terukir di bibirnya. Hatinya mula terasa hangat dengan suatu perasaan yang tidak dapat digambarkan. Walaupun dia tidak memahami apa yang Yan Xun katakan tetapi dia hanya menggelengkan kepalanya dan membalas, "Aku faham. Kau tak perlu risaukan aku. Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar takkan cederakan aku."