webnovel

Bab 291

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Hujan semakin lebat dan angin yang bertiup kencang membuka tingkap. Angin sejuk yang bertiup melepasi lengan bajunya menyebabkan aroma wangi bunga wisteria tersebar di sekitar hidungnya sama seperti ketika dia terduduk di atas buaian yang dipenuhi dengan bunga wisteria semasa dia masih muda dahulu. Angin bertiup melepasi telinganya dan mengangkat sedikit hujung skirt serta rambutnya. Dia terbang tinggi di udara apabila pembantu istana menolak buaiannya. Langit kelihatan sangat dekat seolah-olah dia mampu menyentuhnya jika dia mencapai. Awan berwarna putih sama seperti lembu-lembu di luar sempadan yang telah diterangkan oleh ibunya. Jeritan yang dihasilkan oleh saudara-saudaranya di dewan seni mempertahankan diri bergema di telinganya.

Cahaya matahari terasa sangat panas. Suasana berterusan dalam kegembiraan. Dia masih muda dan pandangan matanya kelihatan sangat jelas. Dia meluruskan kakinya sambil mengikut rentak hayunan buaian. Dia menetapkan pandangan matanya melewati tembok kota yang tinggi dan pintu pagar istana sehingga ke dalam pintu hitam yang berada jauh di hadapan. Dia dapat melihat lelaki itu sedang berdiri di tengah-tengah halaman dengan pandangan yang dingin di matanya. Angin yang bertiup melepasi lengan baju lelaki itu hampir membuatkan dia terjatuh. Wajahnya berubah menjadi tidak dapat dibezakan sehingga ia perlahan-lahan hilang.

"Cik Puan Shuixiang, Tuanku memanggil Cik Puan. Cik Puan Shuixiang?" Ketua sida-sida memanggilnya dalam keadaan panik tetapi dia tetap tidak memberi tindak balas. Wajah Yan Xun terlindung di sebalik asap setanggi. Dia memandang ke arah wanita itu apabila dia tiba-tiba memahami segala-galanya.

Yan Xun menatapnya lama sebelum bertanya, "Nama awak Shuixiang?"

Dia tidak menjawab dan tidak berpaling malah dia masih berdiri tegak di tempat asalnya.

Yan Xun bertanya lagi, "Awak tinggal di Biara Taiji?"

Dia masih tidak menjawab. Kesunyian ketika itu menjadi menakutkan. Cahaya lilin yang menyinari tubuhnya membentuk satu bayang-bayang panjang di atas tanah, kelihatan lemah.

Kening Yan Xun perlahan-lahan menjadi santai. Dia memandang wanita itu dengan tenang tanpa ada rasa permusuhan. Dengan mendatar dia berkata, "Pergi."

Shuixiang mula merasakan kotak suaranya mengetat. Tangan yang berada di sisinya menggeletar perlahan. Dia tidak dapat menggenggam tangannya walaupun dia mencuba beberapa kali. Kedegilan, penghinaan dan kebencian telah menggigit-gigit hatinya seperti parasit. Perasaan itu segera menghilang dengan hanya sepotong ayat itu. Hatinya yang penuh dengan kebencian hancur berkecai dalam sekelip mata. Dia berasa sangat teruk, sakit dan sejuk.

"Cik Puan Shuixiang, Tuanku memerintahkan Cik Puan untuk pergi. Pergi cepat!" Ketua sida-sida yang berpengalaman itu mula merasakan sesuatu tidak kena ketika dia memujuknya dari tepi. Shuixiang melepaskan keluhan dan mula berjalan keluar dari bilik itu perlahan-lahan.

Cahaya lilin menyala dengan terang di dalam istana. Yan Xun kelihatan kecewa apabila dia meminta pembantu-pembantunya bersurai lalu dia terduduk di hadapan meja kerjanya yang baru sahaja dikemaskan. Dia merendahkan kepalanya dan membaca beberapa dokumen yang tinggal. Berusnya menyentuh ke atas kertas lantas menghasilkan bunyi yang lembut. Angin yang bertiup menyelak lengan baju Shuixiang dan mendedahkan sepasang kasut di dalamnya. Langkah kakinya senyap, malah gundik-gundik yang telah lama masuk ke dalam istana juga tidak dapat meniru caranya berjalan.

Ketika pelayan membuka pintu, angin dan hujan telah menyambutnya. Dia mengangkat sebelah kaki dan melangkah keluar dari pintu istana manakala separuh bahunya terdedah. Sudah tiba masanya untuk dia pergi dan dia patut pergi. Walau bagaimanapun, tanpa sedar dia berhenti di situ sambil berdiri, tidak dapat bergerak.

Ketua sida-sida mengangkat keningnya dan melangkah ke hadapan untuk menyokong lengan wanita itu. "Saya akan membimbing Cik Puan keluar." Selepas dia berkata demikian, dia membantu wanita tersebut keluar dari pintu.

Sida-sida muda yang berada di dalam istana melangkah ke hadapan untuk menutup pintu. Shuixiang akur lalu membenarkan ketua sida-sida itu untuk memimpinnya keluar sambil menundukkan kepalanya. Ketika angin bertiup sekali lagi, velnya terjatuh. Ketua sida-sida membongkokkan kepalanya untuk mengambil vel tersebut lalu dia melonggarkan genggaman tangannya. Wanita tersebut berpaling ke belakang dan mengintai ke dalam pintu istana yang tidak ditutup rapat. Dalam kegelapan dan cahaya yang malap, lelaki itu duduk di sana bersendirian. Dia tidak memandang tetapi dia telah berhenti menulis.

Ketika pintu istana ditutup dengan perlahan, Shuixiang dapat terkenangkan banyak perkara yang sudah dilupakannya. Suatu masa dahulu ketika mereka masih muda dan naif, masa berlalu dengan cepat apabila mereka tenggelam dalam kegembiraan. Sudah lama sejak dia mula mengingati kembali kenangan ini. Dia menganggap yang dia sudah melupakannya. Walau bagaimanapun, pada saat ini, dia berdiri di sana apabila semua kenangan itu membanjiri fikirannya tanpa henti.

Pada waktu itu, Xia sedang berada di puncak keagungannya. Ayahandanya berada dalam keadaan sihat dan kakanda-kakandanya juga masih muda. Mereka bergaduh antara satu sama lain dengan bertenaga dan cara pemikiran anak-anak muda. Dia terlalu baik dan naif ketika itu sehingga dia tidak dapat melihat kekejaman yang berlaku di belakang tabir. Dia tidak melihat pedang yang mempunyai kesan darah di sebalik selimut yang berwarna-warni itu bahkan bunyi gendang perang juga ditenggelamkan oleh bunyi alat-alat muzik. Dia hidup di dalam dunianya sendiri di mana dia menipu dirinya sendiri. Dia meyakinkan dirinya bahawa suatu hari nanti dia akan berkahwin dengan lelaki itu kemudian mengikuti dan menjaganya sepanjang hidupnya. Dia juga berjanji akan mempercayai dan mendengar kata-kata lelaki itu.

Jika keadaan kekal seperti ini selamanya, adakah ia tidak akan menjadi drama yang akan berlaku pada masa hadapan?

Siapa sebenarnya yang benar-benar bersalah?

"Cik Puan Shuixiang, vel awak." Shuixiang berpaling lantas menyebabkan ketua sida tersebut terkejut. Walaupun dia tidak pernah melihat wajah wanita itu sebelum ini tetapi dia pernah melihat matanya. Walau bagaimanapun, sekarang, dia kelihatan lebih tua dari 20 tahun. Hujung matanya berkedut sementara rambutnya berwarna putih. Pandangan matanya tidak lagi kelihatan tenang, ia kelihatan mati dan tidak bermaya.

"Terima kasih," Shuixiang menyambut velnya dari ketua sida-sida tersebut namun dia tidak memakainya semula. Dia berpaling dan berjalan menuju ke arah pintu keluar istana sambil mengarahkan supaya tiada sesiapa yang memimpinnya keluar kerana dia sudah biasa dengan kawasan itu.

Boom! Pintu pagar istana akhirnya ditutup sepenuhnya. Angin bertiup kencang apabila ramai sida-sida muda tersebut bergegas ke hadapan bersama payung. Ketua sida-sida itu segera mengejarnya namun dia hanya melihat kelibat wanita itu yang sedang merayau-rayau dalam kesunyian di sepanjang jalan panjang yang diselubungi kabus. Titisan hujan jatuh ke atas bahunya lantas menonjolkan penampilannya yang kesunyian.

Hari ini adalah hari keempat dalam bulan kesembilan pada tahun ke-14 zaman Kaiyuan. Pada bulan ke-12 tahun yang sama, Biara Taiji yang terletak di timur ibu negara telah terbakar dengan teruk di mana seluruh kawasan tersebut telah hangus.

Pada malam itu, Ah Jing iaitu komander tentera elit ibu negara memasuki istana. Apabila dia melihat Yan Xun, Yan Xun sedang makan malam. Selepas memberi tabik hormat, dia bercakap dalam suara yang rendah, "Cik Puan Shuixiang dari Biara Taiji sudah berlepas."

Yan Xun mengangkat keningnya dan bertanya, "Mati?"

"Tidak, dia pergi."

"Oh."

Yan Xun menundukkan semula kepalanya lalu terus menghirup buburnya dan bertanya, "Kamu belum makan lagi?"

Ah Jing mahu mengatakan bahawa dia sudah makan namun dia tidak berani untuk menipu maharajanya. Dengan jujur dia menjawab, "Saya baru sampai dari Peidu. Saya belum makan lagi."

Yan Xun berkata dengan santai, "Duduklah dan mari makan bersama-sama."

Ah Jing menjawab, "Saya tidak berani."

Yan Xun tidak memaksanya malah dia berpaling lalu memerintahkan pelayan istana untuk meletakkan meja berasingan untuknya. Ah Jing duduk di atas bangku di sebelah dan makan setengah mangkuk bubur. Selepas dia selesai makan, Yan Xun mengarahkan supaya dia mengambil cuti. Ah Jing yang kebingungan bertanya dengan lembut, "Tuanku, Tuanku tak nak tahu ke dia pergi ke mana?"

Yan Xun membalas dengan tenang, "Tak perlu."

"Perlu ke kita menghantar orang untuk mengawasinya?" Seorang pelayan istana yang berpakaian hijau berjalan ke depan lalu mengambil segenggam rempah-ratus yang berwarna keemasan dan memasukkannya ke dalam periuk setanggi emas lantas menambahkan aroma setanggi yang sudah berlegaran di sekitar istana.

Yan Xun teragak-agak buat seketika sebelum membalas tanpa emosi, "Tak perlu."

Ah Jing dengan serta-merta berasa menyesal kerana bercakap terlalu banyak. Selepas dia berlutut untuk memberi salam kepada Yan Xun, dia berlalu pergi.

Keadaan di luar istana kelihatan putih bersalji tidak seperti di dalam istana yang diselubungi kegelapan. Cahaya bulan yang terang bersinar ke atas tanah lantas membuatkan bumi menjadi putih. Walau bagaimanapun, masih ada kegelapan yang berlegaran di hujung sudut.

Lampu di dalam istana telah dipadamkan. Ketua sida-sida yang membongkok daripada pejabat penyelia dalaman berjalan keluar. Sida-sida dari Kediaman Tongshi yang berada di sebelahnya bertanya, "Wanita yang mana satu Tuanku mahu panggil malam ini?"

"Tidak ada." Ketua sida-sida tersebut menggunakan ibu jarinya dan jari telunjuk untuk mengisyaratkan bahawa maharaja berada dalam keadaan yang tidak baik sambil menyambung, "Maharaja sudah tidur."

Suasana di istana itu sunyi sepi. Yan Xun berbaring di atas katil dan menutup matanya.

Malam itu terasa sangat panjang.