webnovel

Bab 167

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Enam jam kemudian, Zhao Yang yang telah ditangguhka akibat kebakaran di Chidu telah menyerbu kota itu bersama 500 ribu tentera yang terdiri daripada Pasukan Tentera Barat Laut dan juga Pasukan Tentera Barat Daya!

Chu Qiao telah mengambil alih kedudukan Cao Mengtong di dewan mesyuarat dengan berpakaian hitam, terduduk tegak di atas kerusi sambil merenung khalayak ramai di hadapannya. Wajah-wajah yang dikenalinya sebelum ini telah hilang dengann lebih daripada sepuluh orang komander telah melarikan diri dengan tentera peribadi mereka setelah merasakan situasi tersebut tidak memihak kepada mereka. Batang hidung para komander Pasukan Tentera Kedua juga langsung tidak kelihatan, sementara pemimpin Pasukan Tentera Ketiga bersama tenteranya yang seramai 50,000 orang itu telah menyerah diri kepada Xia. Jeneral Xia An dari Beishuo yang menyedari mereka pasti tidak akan memenangi pertempuran tersebut terus melarikan diri ke tanah besar Yan Bei dengan pasukan pertahanan Beishuo, kononnya mengejar tentera-tentera yang sedang melarikan diri.

Mereka-mereka yang telah hadir di dewan perjumpaan ini kini komander berpangkat menengah ke bawahan. Seorang tukang masak gemuk sedang menduduki tempat duduk ketua bahagian ketujuh milik pasukan kelapan Pasukan Tentera Kedua. Jeneral tukang masak itu telah melarikan diri dari medan perang bersama dengan 5,000 orang tenteranya namun dia enggan pergi malah cuba memujuk rakan-rakan seperjuangannya yang lain untuk mempertahankan Beishuo bersama-samaya. Namun begitu, dia hampir mati dipukul sebagai balasan daripada rakan-rakannya itu dan kini, mereka semua telah tewas dalam pertempuran, meninggalkan tukang masak ini bersendirian. Apabila Chu Qiao memaklumkan wakil-wakil jabatan tentera untuk menghadiri mesyuarat ini, tidak ada sesiapa dari bahagian ketujuh pasukan kelapan Pasukan Tentera Kedua selain daripada tukang masak ini seorang sahaja dan dia pun terus menghadiri mesyuarat ini dengan segara, tanpa menanggalkan apronnya.

Dalam sesebuah negara yang melalui tempoh konflik dan di mana kewujudannya terancam, para pegawai yang paling setia dan taat bukanlah pegawai tinggi yang telah hidup dalam kemewahan selama hari ini kerana mereka sedang sibuk cuba melarikan diri atau menyerah diri, cuba untuk mengkhianati rakan seperjuangan mereka untuk mencari jalan untuk melarikan diri. Pada masa ini, para pegawai yang dianggap tidak penting inilah yang memikul tanggungjawab melindungi negara mereka di atas bahu dan menggunakan kecerdasan akal mereka sendiri. Kejadian-kejadian yang berlaku sebegini di dunia ini bagaikan sebuah penghinaan dari para dewa.

"Jeneral, apa yang perlu kita lakukan sekarang?" Yin Liangyu merupakan seorang cendekiawan di Jabatan Bekalan Tentera sebelum ini dan tugasnya ialah merakam pergerakan segala catuan. Apabila ketua pasukannya, Lu Zhi, melarikan diri tidak lama dahulu, pemuda tersebut telah mengamanahkan kerja ini kepadanya bersama janji di mana Yin Liangyu akan dinaikkan pangkat namun sebelum Yin Liangyu sempat membantah, lelaki itu terus lenyap. Maka, Yin Liangyu telah dinaikan lebih dari 20 pangkat dalam masa dua hari sahaja dan lantas menjadi naib komander Pasukan Tentera Kedua dan tokoh kedua tertinggi di Bandar Beishuo ini.

Chu Qiao berpaling dan berkata dengan tenang, "Semua orang boleh menyatakan hasrat mereka sendiri."

Orang ramai tetap berdiam, saling menatap antara satu sama lain dengan penuh waspada. Mereka ini para tentera yang tidak dikenali, hanya bertempur di dalam formasi barisan hadapan sahaja sebelum ini jadi bagaimana pula mereka boleh mempunyai pandangan mahupun idea? Selepas beberapa saat, seorang tentera kerahan yang kelihatan baik budi ​​berdiri, sedang memakai pakaian ringkas yang telah berlumuran dengan darah, tetapi yang lain tidak pasti jika pakaian itu sebenarnya miliknya.

Melihat tatapan orang ramai telah terpaku pada dirinya sendiri, pemuda itu terus menjadi malu, berasa ragu-ragu seketika sebelum mengumpul keberaniannya untuk berbisik, "Saya seorang tentera dari Kampung Xitao. Ketua kampung saya dah tercedera, jadi mereka suruh saya datang ke sini. Mereka nak saya bertanya samada Jeneral akan berundur? Jeneral akan abaikan kita ke? "

"Betul itu!" Seseorang menyahut. "Jeneral, Jeneral akan jadi macam Jeneral Xia An ke? Dia cakap dia nak kejar tentera-tentera yang melarikan diri, tetapi dia juga tak datang kembali."

Chu Qiao menjawab dengan tenang, "Jangan risau. Kalau kita berundur sekalipun, saya akan jadi orang terakhir yang keluar dari pintu gerbang Beishuo ini."

"Baguslah itu!" Orang ramai itu menghela nafas lega.

Seorang lelaki yang penuh berjanggut di mukanya tiba-tiba berkata, "Saya tak tahu apa-apa taktik jadi saya akan lakukan apa jua yang Jeneral nak saya lakukan.."

"Ya!"

"Ya, kita akan ikut jeneral!"

Chu Qiao berfikir panjang sebelum berdiri dan berkata, "Kalau begitu, sila kembali dengan segera selepas mengumpul pasukan tentera kalian. Kita akan bertempur dengan tentera Xia pada subuh esok untuk menghapuskan mereka!"

Setiap orang di dalam dewan tersebut bersetuju seakan-akan mereka lebih bersedia mengikuti perintah Chu Qiao daripada meluahkan pendapat mereka sendiri dan dewan tersebut kembali tenang dalam masa yang singkat. Yin Liangyu terduduk di kerusinya seolah-olah pemuda itu mempunyai sebuah soalan untuk ditanyakan.

"Jeneral Yi, awak boleh meluahkan pendapat awak."

Yin Liangyu berfikir sejenak sebelum berkata, "Jeneral, saya bukanlah arif tentang ilmu peperangan, tetapi tiga hari yang lalu, ketika Jeneral Yu Zeqi dari Pasukan Tentera Ketiga melarikan diri, dia dah membakar banyak bekalan makanan kita. Kini, kita ada kurang daripada 40,000 tentera terlatih di bandar ini. Walaupun dengan 30,000 orang yang Cik Puan dah bawa pulang ke sini, kita kekurangan 70,000 orang tentera kesemuanya lagi. Majoriti daripada mereka juga semuanya tentera kerahan. Tentera Xia itu kuat. Mampu ke kita kalahkan mereka kalau kita berdepan dengan mereka? "

Chu Qiao berkerut namun sebelum sempat dia membuka mulut, Yin Liangyu tergesa-gesa menyampuk, "Saya bukan nak larikan diri, saya... Saya cuma bimbang."

Chu Qiao tersenyum dan menjawab, "Jeneral Yi, saya tahu awak tak berniat nak larikan diri, tetapi awak tak perlu bersikap begitu pesimis. Kalau saya berani untuk tinggal di sini, ia bermakna saya mempunyai keyakinan untuk memenangi pertempuran ini."

Yin Liangyu berdiri dan berkata dengan teruja, "Ketua Jeneral ada kaedah perang pasti menang ke?"

"Saya tidak ada apa-apa kaedah untuk menjamin kemenangan kita, tapi saya ada sebuah berita yang kamu mungkin nak dengar."

"Berita apa?"

"Pasukan Tentera Pertama yang diketuai oleh Tuanku, bersama pasukan Luori yang diketuai oleh Cik Puan Yu sedang berada dalam perjalanan untuk membantu kita. Selagi kita bertahan selama sepuluh hari akan datang di sini, mereka pasti akan tiba."

Yin Liangyu tidak dapat melindungi kegembiraannya apabila pemuda itu bertanya, "Betul ke? Betul ke, Jeneral?"

"Ya," Chu Qiao tersenyum. "Pergi sampaikan berita baik ini kepada semua orang!"

Yin Liangyu lalu bergegas keluar dari pintu dengan teruja. Senyuman di wajah Chu Qiao terus menghilang sesaat wanita ini melihat bayangan pemuda itu memudar di sebalik kejauhan dan lalu ekspresi tabah mengambil alih wajahnya. Tiada siapa tahu Yan Xun telah mengumpulkan Pasukan Tentera Pertama dan Pasukan Tentera Luori untuk menyerang tanah besar Xia. Pertamanya, wanita ini harus berwaspada dengan pembelot di dalam angkatan tenteranya dan sebaik sahaja kata-kata ini sampai ke Zhao Yang, laluan Yan Xun untuk ke sini pasti akan akan disekat walaupun krisis Beishuo dapat dielakkan, sekaligus meletakkan pemuda itu di dalam situasi merbahaya. Itulah kebimbangan utama wanita ini.

Keduanya, apabila berita itu terbongkar, semua orang pasti akan mengetahui yang Yan Xun telah mengkhianati Yan Bei, dan segala semangat juang paratentera pasti akan terjejas yang membuatkan wanita ini hampir berasa seperti ia tidak berbaloi untuk terus berjuang. Chu Qiao telah mempertahankan Chidu sebelum ini untuk melindungi bahagian dalaman tanah besar Yan Bei, jadi mereka masih mempunyai jalan keluar jika para tentera Beishuo dikalahkan. Namun, pada masa ini, tiada sepasukan tentera pun yang dapat dilihat di bahagian dalaman bandar, apatah lagi dengan jalan di sepanjang Pergunungan Luori itu yang tidak berpengawal langsung. Memang mustahil buat para tentera Beishou ingin melarikan diri ke arah belakang kerana ia hanya akan menarik pasukan pihak musuh ke tanah besar lantas membenarkan mereka mengetahui tentang ketiadaan seorang tentera pun di sana. Dalam erti kata lain, keseluruhan tentera Yan Bei telah berkumpul di Bandar Beishuo pada masa ini dan sekiranya Beishuo jatuh, ia bermakna Yan Bei juga akan jatuh. Oleh itu, wanita ini telah mengabaikan Chidu dan telah bergerak ke Beishuo.

Buat Yan Xun pula, adakah pemuda itu akan kembali? Adakah dia akan mengabaikan peluangnya untuk menakluki seluruh empayar ini dan juga dendamnya?

Salji semakin lebat di luar. Chu Qiao terduduk di atas kerusinya yang menghadapi lampu lilin sambil cahayanya jelas tertera pada dahi wanita itu yang berkilat. Sebuah kepercayaan tiba-tiba terdetik dalam hatinya, lantas membakar dengan terang seperti api yang sedang membara.

"Ya, dia akan kembali."

Ketika subuh menjelma, tentera Xia semakin menghampiri dari kaki langit dalam barisan yang tidak berpenghujung bersama mayat dan juga senjata yang dibawa mereka yang bertempiaran di medan perang akibat dari pertempuran sebelum ini. Walaupun malam ini salji turun dengan lebat, tanah di hadapan Kota Beishuo ini masih berwarna merah terang dengan bunga-bunga yang berani dan terus berkembang mekar dalam keadaan cuaca yang teruk sebegini. Cahaya matahari tercermin pada dataran medan perang lalu menonjolkan rupa kemerahannya.

Peperangan telah maju dengan pantas. Zhao Yang, mengalami kekalahan beberapa hari lepas, kehilangan kesabarannya, tidak lagi ingin untuk mengatur tenteranya dengan baik dan merancang strategi pintar. Tenteranya yang berjumlah 500 ribu melonjak ke hadapan dengan semangat.

500,000 tentera mula mengatur diri mereka di medan perang, menjerit laungan perang mereka. Para tentera yang berdiri di atas tembok kota Beishuo menggigil dalam ketakutan, merasakan tanah juga bergegar di bawah telapak kaki mereka.

Tentera Beishuo terus menjadi pucat dek ketakutan. Berbanding dengan Tentera Barat Daya Zhao Qi yang bergantung kepada jumlahnya yang besar, Tentera Barat Laut Zhao Yang lebih berpengalaman dan ganas. Mereka tidak dapat membayangkan bagaimana Chu Qiao, bersama-sama dengan kurang daripada 10,000 tentera dari Garison Utusan Barat Daya dapat berjaya menahan mereka sekian lama ini. Namun begitu, mereka langsung tidak mempunyai masa untuk berfikir tentang perkara ini lagi apabila Pasukan Tentera Xia telah melancarkan serangan pertama mereka ke arah bandar yang kelihatan seperti sebuah gelombang air banjir.

"Bunuh pihak musuh!" Laungan para tentera Xia bergema, kelihatan seperti gunung berapi yang baru saja meletus.

"Tunggu isyarat saya!" He Xiao berdiri di atas dinding kota, pemuda itu berpengalaman dengan banyak pertempuran yang telah dia lalui. Dia lantas memerintahkan dengan suara rendah sambil memegang pedangnya di tangannya, "Bersedia!"

"Seksyen 1, serang!"

"Seksyen 2, serang!"

"Seksyen 3, serang!"

"Seksyen 4, serang!"

...

"Seksyen 17, serang!"

Bunyi laungan perang terdengar lagi dan lagi. Pada masa ini, Garison Utusan Barat Daya hanya mempunyai kurang daripada 3,000 orang manakala 7,000 orang tentera lain merupakan tentera kerahan Chidu yang diambil untuk memperkuat pasukan tersebut. Selepas kematian Cao Mengtong, tentera elit Pasukan Tentera Kedua telah menjadi tentera peribadi Chu Qiao, bermakna wanita ini mempunyai seramai 30,000 orang tentera yang membentuk pasukan utama pertempuran ini. Kini di hadapan mereka terletaknya sebuah busur besar yang berketinggian setengah manusia. Chu Qiao telah merekabentuk busur ini dan menugaskan Jabatan Bekalan Ketenteraan untuk membina senjata ini. Tetapi, selepas pemergiannya, tiada siapa yang tahu bagaimana untuk memasang dan menggunakan senjata itu. Oleh itu, semua 3,000 senjata dipelihara dan dalam keadaan baik.

Busur silang tersebut telah dimasukkan ke dalam kotak mereka tersendiri, senjata ini telah melangkau ruang masa dan direka mengikut konsep teknologi moden. Mereka dapat menembak 28 anak panah sekaligus sebanyak tiga kali, dan telah dibina untuk digunakan dalam 4 arah, busur ini mampu menyemburkan 84 anak panah dalam empat arah yang berlainan dengan kuat dalam sehelaan nafas saja. Busur silang ini boleh dibandingkan dengan submesingan.

Bunyi busur silang yang bising itu terus bergema. Pasukan tentera berkuda telahbergegas ke depan ketika pihak musuh sedang mendekati. Komander mereka berseru, "Bunuh orang-orang gasar utara itu!" Para tentera tersebut meluru ke depan sambil berteriak untuk membunuh para musuh.

He Xiao langsung tidak berasa takut. Selepas beberapa ketika, dia berkata dengan tegas, "Serang!"

Swoosh! Langit telah berubah menjadi hitam bagaikan telah dilitupi sehelai kain hitam. Anak-anak panah dilepaskan daripada 3,000 busur silang dan tiada seorang makhluk pun yang dapat terlepas daripada serangan sedemikian, tiada sesiapa yang mampu melarikan diri mahupun berundur. Adegan di Bandar Chidu tersebut berulang kembali apabila pasukan tentera berkuda yang ramai itu akhirnya tewas disebabkan panahan-panahan tersebut. Selepas serangan anak panah telah reda, tiada siapa yang hidup dalam radius penembakan sebanyak 400 langkah.

Mata semua orang yang menyaksikan adegan yang pantas itu terus membuntang dengan rahang para tentera pasukan Xia yang terngaga. Tiada sesiapa yang berani melangkah ke hadapan, terutamanya Pasukan Tentera Barat Daya yang tidak pernah menyaksikan adegan sebegitu. Zhao Yang yang diselubungi kemarahan itu hampir mahu bergegas ke hadapan dengan pedangnya. Pemuda ini telah bergerak ke sini dalam masa semalaman sambil menyusun strategi tenteranya supaya dapat menyerang wanita ini secepat mungkin kerana dia berasa risau jika Chu Qiao telah dapat membina sebuah senjata berkuasa yang menakutkan sebelum pertempuran itubermula. Zhao Yang tidak menyangka dirinya telah ketinggalan satu langkah, langsung tidak menyedari senjata-senjata ini telah berada di Bandar Beishuo sepanjang masa ini. Sudah tentulah, bukan hanya dia seorang sahaja yang beranggapan sebegitu, malah ramai pegawai lain yang berkongsi pandangannya. Lagipun, jika senjata itu sememangnya telah berada di sana sejak dari awal lagi, bagaimanakah Cao Mengtong boleh mengalami kekalahan yang sebegitu teruk?

"Serang! Sesiapa yang berundur akan mati!" Laungan perang bergema dari kem perkhemahan Pasukan Tentera Xia lagi. Para tentera yang lengkap bersenjata dan berperisai telah mengambil kedudukan mereka di barisan hadapan, meneruskan pengepungan mereka di bandar.