webnovel

Bab 142

Redakteur: EndlessFantasy Translation

Kulitnya yang putih mulus kini sudah memerah dan menggelembung, lalu Zhuge Yue pun merengus, "Macam mana awak boleh cakap yang ini tak sakit?" Walaupun setelah dituangkan dengan air sejuk, bengkaknya itu tetap tidak berkurang juga. Sewaktu Zhuge Yue ingin memanggil orang gajinya untuk membawa ubat-ubatan, dia mendongak dan mendapati sebahagian tubuh badan Chu Qiao sudah lencun dan menampakkan susuk tubuh wanita itu. Ditambah dengan rambutnya yang kusut-masai itu, Chu Qiao kelihatan begitu menggoda.

Tersedar akan renungan Zhuge Yue itu, Chu Qiao terus melindungi dadanya dengan tangan sambil membentak, "Apa awak tengok itu?"

Zhuge Yue yang berasa kekok di dalam hatinya membalas keras, "Tubuh androgini seperti itu tak akan buat saya terangsang kalau saya tengok."

Chu Qiao berkerut dan sudah semestinya berasa sakit hati dengan jawapan hina yang diberikan Zhuge Yue itu. Jadi apabila dia melihat Zhuge Yue mahu berdiri, wanita itu mensabotajnya dengan menarik baju lelaki itu dan menyentaknya dengan kuat tanpa disedarinya! Bilik itu sudah tersedia maklum licin, jadi dengan bunyi hentaman yang kuat, Zhuge Yue pun terjatuh ke atas lantai dengan teruk. Maka hilanglah segala keanggunan lelaki tersebut. 

Setelah melihat keadaannya, Chu Qiao mula tertawa terbahak-bahak namun wanita ini tidak sedar Zhuge Yue juga telah melakukan perkara yang sama kepadanya. Lelaki itu sedang menggenggam betisnya dan mengambil kesempatan di atas keadaannya yang lemah itu. Dia lantas menyentak Chu Qiao dengan seluruh kekuatannya, menyebabkan gadis itu rebah ke atas dada Zhuge Yue tanpa sengaja!

Bilik mandi ini diperbuat daripada buluh. Dengan atap yang terbuka, mereka boleh melihat bintang di langit sambil menikmati mandian hangat yang bersambung dengan kolam air panas semula jadi. Cahaya di kedua-dua arah tidaklah begitu terang dan hanya samar-samar menerangi bilik itu, tetapi bulan pada malam itu terasa begitu terang. Haruman pohon epal pula dapat dihidu tatkala ia ditiup angin malam bersama tirai pintu yang juga turut berkibar lembut. Malam itu kemudiannya terasa sunyi sepi.

Setelah beberapa ketika, bunyi air menitik memecah kesepian tersebut. Tangan Zhuge Yue diletakkan di atas bahu Chu Qiao dan lengan bajunya menyentuh bahagian leher wanita itu. Pokok-pokok epal yang ditiup angin di belakang mereka menjadi saksi ke atas segala perbuatan mereka sebentar tadi. Kini, pandangan Zhuge Yue terpahat pada mata Chu Qiao dan perlahan-lahan lelaki itu merapatkan wajahnya kepada wajah gadis itu.

Chu Qiao yang tersedar akan perbuatan pemuda itu ingin melepaskan diri tetapi tiba-tiba berasa sesuatu yang keras di bahagian bawah tubuh badannya. Perasaan aneh itu membuatkan dia terkaku di situ sepenuhnya dan matanya terbeliak terkejut. Apabila dia sedar kembali, dia terus berkalih. Keadaan tegang itu menyebabkan kesunyian melanda seluruh bilik itu.

Chu Qiao berkata untuk memecahkan sunyi itu walaupun suaranya kedengaran marah, "Bukan ke awak cakap yang saya ini androgini? Kenapa awak bereaksi macam itu?" Sebaik sahaja Chu Qiao berkata begitu, wajah Chu Qiao terus merona merah kerana malu. Kata-katanya itu telah mengeruhkan lagi keadaan yang sudah terasa janggal tadi.

Raut wajah Zhuge Yue juga kelihatan begitu tegang namun masih lagi mengekalkan wajah yang tenang dan membalas dengan sinis seperti selalu, "Saya pun tak tahu sama ada awak lelaki atau perempuan, tapi yang pastinya saya ini memang seorang lelaki."

Tahap kesabaran Chu Qiao akhirnya sudah mencapai tahap kemuncak apabila dia merengus, "Tak tahu malu betul awak ini!"

Zhuge Yue yang hanya memandang wanita itu dengan ekor matanya berkata dengan acuh tidak acuh. "Ini baru sikitlah."

Setelah bertekak seperti selalu, keadaan tegang tadi kembali tenang. Sebaik sahaja keadaan tegang antara mereka berlalu, mereka mula terasa dingin tatkala angin bertiup. Bilik air terbuka ini sememangnya akan terasa sejuk kepada mereka yang tidak berendam dalam air.

Zhuge Yue berdiri dan bertanya, "Awak boleh jalan tak?"

Chu Qiao mampu untuk berjalan namun bajunya yang hampir basah kuyup membuatkan wanita itu terasa agak janggal untuk berjalan dalam keadaan seperti ini.

Zhuge Yue menghamun sendirian apabila berjalan ke arah gadis itu. Dia menanggalkan jubah luarnya lalu berjalan keluar. Setelah beberapa langkah, dia tersedar yang Chu Qiao tidak mengekorinya, jadi dia pun merengus, "Awak nak ikut ke tak nak?"

Chu Qiao masih lagi memakai jubah itu dan disebabkan kecederaan di tangannya, pergerakannya agak sedikit terbatas. Setelah melihat lelaki itu merengus, dia berasa kecil hati lalu dia pun membentak, "Kenapa awak ini bising sangat?"

Setelah melihat wanita ini sedang bergelut untuk memakai bajunya, Zhuge Yue pun melangkah ke arah Chu Qiao sambil berkerut. Dengan beberapa pergerakan tangkas, Zhuge Yue membantu memakaikan jubah tersebut kepadanya sebelum menarik lengan baju wanita itu dan mengheret Chu Qiao ke bilik tidur.

Chu Qiao hampir tersandung dan terjatuh apabila Zhuge Yue menariknya jadi dia merengus lagi, "Jalan perlahan-lahan sikit boleh tak? Awak makan serbuk letupan ke jalan laju-laju macam ini?"

"Berani lagi awak nak bercakap, ya?"

"Apa yang awak boleh buat?"

Setelah orang gaji membawa ubat kepadanya, Zhuge Yue meraih tangan Chu Qiao yang tercedera itu lalu menyapukan ubat krim itu pada tangannya yang masih lagi merah dan bengkak.

"Sapu krim ini dua kali sehari; sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam. Luka awak mesti akan sembuh dalam beberapa hari. Jangan bagi terkena air dan elak makan makanan pedas."

Berus tersebut diperbuat daripada kulit haiwan dan sesiapa sahaja pasti akan berasa geli sekiranya ia terkena pada kulit mereka. Zhuge Yue duduk di atas kerusi yang sedikit tinggi daripada katil dengan pakaiannya memberikan impak yang lembut tatkala cahaya lilin menyinari pemuda itu manakala wajahnya pula kelihatan kacak walaupun tanpa berbuat apa-apa. Perlahan-lahan, dia mencelup krim itu dengan berus lalu menyapunya pada bahagian yang bengkak.

"Zhuge Yue, saya betul-betul perlu pergi."

Zhuge Yue mendongakkan kepalanya dan pandangannya tertumpu pada Chu Qiao. Dengan wajah yang serius, Chu Qiao membalas renungan itu dengan tatapan yang nekad.

"Saya tahu ucapan terima kasih saja mesti tak memadai. Awak dah banyak sangat bantu saya dan sanggup mengambil risiko semata-mata untuk selamatkan saya. Segala pengorbanan awak, saya tak akan lupakan."

Zhuge Yue langsung tidak berkata apa-apa apabila mendengar kata-kata wanita itu. Setelah selesai menyapukan krim tersebut, dia meletakkan berus itu ke tepi lalu menutup penutup krim tersebut.

"Tapi saya memang tak ada cara untuk balas budi baik awak itu. Jadi saya hanya boleh ucap terima kasih saja. Awak faham kan?"

Zhuge Yue masih tidak membalas kata-kata Chu Qiao itu apabila dia berdiri dan ingin beredar dari situ. Lantas, Chu Qiao meraih tangannya dan merayu dengan kuat, "Zhuge Yue, tolonglah. Benarkan saya pergi! Saya syak kejadian ini tak semudah yang kita fikirkan dan Zhao Chun'er tak akan mulakan kekecohan ini sendirian. Pasti ada orang lain yang menjadi dalang di sebalik kejadian ini. Mereka sengaja gunakan kebencian Empayar Xia dengan Yan Bei untuk mencetuskan kekacauan ini dan menggunakan saya sebagai puncanya. Kalau Yan Xun tahu saya di Tang Jing, dia pasti akan memasuki perangkap seseorang. Dalang di sebalik kejadian ini pasti boleh menimbulkan bantahan antara Empayar Xia dan Empayar Tang lantas mencetuskan perang yang besar. Dalang di sebalik kejadian ini pasti seorang yang teliti juga kerana dia dah jadikan Zhao Chun'er sebagai boneka sasaran kepada kecurigaan orang lain. Apabila Empayar Xia dah hilang muka, Maharaja Xia akan naik berang dan sudah tentu dia akan menyerang Yan Bei dengan sepenuh tenaga mereka. Dengan musim sejuk yang akan datang, Yan Bei masih lagi kekurangan makanan dan pakaian jadi hal ini akan mengeruhkan lagi keadaan, ditambah lagi dengan ketidakstabilan Kesatuan Da Tong itu Tanpa saya di sana, Garison Utusan Barat Daya pasti akan memberontak. Masih ada banyak lagi yang perlukan…"

"Awak gila ke?" Zhuge Yue tiba-tiba menoleh dengan matanya yang sudah memerah. Dia memegang dagu Chu Qiao dengan erat dan membentak, "Awak lihatlah situasi awak sekarang ini. Musuh ada di sekeliling awak dan awak hampir mati beberapa kali. Dengan luka awak yang ada di seluruh badan, awak itu masih sakit lagi. Ada ramai lagi orang di luar sana yang ingin tangkap awak. Selain daripada Li Ce, pegawai-pegawai Tang yang lain ada agenda mereka sendiri untuk tangkap awak. Itu tak termasuk lagi dengan pengintip Empayar Xia dan pengawal-pengawal Zhao Chun'er. Ada juga yang nak tangkap awak sebab wang ganjaran! Dalam saat ini pun awak masih nak keluar? Awak masih percaya yang Li Ce akan lindungi awak dalam keadaan istana dia yang huru-hara itu? Awak betul-betul percaya yang Yan Xun akan serahkan segalanya demi awak? Awak tahu tak di saat awak diletakkan di meja perbincangan, Maharaja Tang pun akan mula mengambil kira pendapat Empayar Xia? Apabila awak jatuh di tangan orang lain, awak dah tiada peluang untuk hidup lagi! Awak dah gila ke?"

"Saya tak gilalah!" Chu Qiao membantah dengan kuat. "Saya tahu apa yang saya sedang buat!" Dengan dadanya yang turun naik, wanita itu meluahkan perasaan yang terbuku dalam hatinya itu, kelihatan nekad. "Saya memang selalu begini. Satu dunia ini musuh saya. Dari mula lagi apabila saya masuk ke Istana Sheng Jin bersama Yan Xun, saya dah dapat agak yang perkara ini akan berlaku. Saya peduli ke waktu itu? Memang ada ramai orang yang ingin membunuh saya tapi awak nak saya buat apa? Terus bersembunyi? Bersembunyi hanya akan membuatkan saya lemah dan mereka akan jumpa saya dengan mudah! Setidak-tidaknya kalau saya keluar sekarang, saya ada peluang untuk melindungi diri saya suatu hari nanti. Zhuge Yue, saya dah beritahu awak sebelum ini, saya ada fahaman saya sendiri!"

"Pergi jahanamlah dengan fahaman kau itu!" Rengus Zhuge Yue dengan suara yang penuh kemarahan. Matanya gelap apabila dia memandang Chu Qiao dan dengan nada yang marah, dia membentak, "Fahaman lah sangat! Fahaman kau lebih penting dari nyawa kau ke?"

"Ya!" Jawab Chu Qiao tanpa teragak-agak, "Awak tak faham! Inilah sebabnya saya masih hidup. Ada orang yang masih perlukan saya jadi saya perlu pergi!" Pada saat itu, angin terasa seperti sedang bertiup kencang dalam pemikirannya lantas menghapuskan segala perasaan yang dipendam oleh Zhuge Yue. Dia kemudiannya kelihatan seperti seekor binatang buas yang tiba-tiba mendekati dan menolak Chu Qiao. Dengan perasaan yang bercampur-baur dengan amarah dan keghairahan, Zhuge Yue terus meragut bibir Chu Qiao!

Ciuman hangat itu membuatkan sesuatu tercetus dalam hati Chu Qiao kerana gadis itu betul-betul terperanjat. Bau yang biasa dihidu kini meresap ke dalam lubang hidungnya dan bau itu telah menyelebunginya ke dalam sebuah dakapan yang lembut. Ciuman itu bukanlah ciuman yang biasa lagi. Terdapat pelbagai perasaan yang telah disampaikan melalui ciuman tersebut yang mencurah-curah sehingga menenggelamkan segala kebolehan Chu Qiao untuk memproses sebarang maklumat.

Chu Qiao mengumpul segala tenaganya untuk menolak lelaki itu dan setelah itu, genggaman Zhuge Yue padanya perlahan-lahan dilepaskan. Kini, renungan lelaki itu kelihatan seperti langsung tidak berdaya, terdesak dan berduka. Seperti mencemuh dirinya itu, Zhuge Yue ketawa, "Awak tak sedar lagi ke? Saya pun perlukan awak!"

Chu Qiao sekali lagi terpana, keadaan kembali menjadi tegang di dalam bilik tersebut dengan lilin yang dinyalakan selama hampir separuh malam di situ bersama kesan air lilin yang meleleh lalu mengeras menjadi ukiran. Tekak Chu Qiao terasa perit seperti ada sesuatu di dalamnya dan nafasnya juga tersekat-sekat sewaktu dia bergelut untuk mencari perkataan yang sesuai untuk diujarkan.

Zhuge Yue memandangnya dengan renungan yang penuh kesedihan, masih berdiam tatkala memori silam menghantuinya. Perasaan keanak-anakan yang tidak dapat diluahkan, hari-hari yang tidak akan kembali itu serta anak panah yang dilepaskan dan menyebabkan mereka terpisah selamanya.

Chu Qiao menghela nafasnya dan cuba untuk menahan perasaan terkejut, kelemahan dan perasaan lain yang sudah hadir di dalam mindanya itu. Akhirnya, dia menelan segala perasaan teragak-agakya itu dan merayu sekali lagi, "Tolonglah…"

Cahaya lilin kekal terang seperti biasa namun seluruh bilik itu kelihatan malap sahaja. Wajah lelaki itu kelihatan samar-samar apabila cahaya menyinarinya dari belakang di sebalik beberapa lapisan tirai. Namun, tidak dapat dinafikan wajah lelaki itu sememangnya kacak. Akan tetapi, raut wajahnya lebih suram dari kebiasaannya.

Dengan tangkasnya dia berdiri dan mendengus, "Akhirnya, saya seorang saja yang berfikir mengenai banyak benda. Pintu itu sentiasa terbuka untuk awak pergi bila-bila masa awak mahu. Saya minta diri dulu." Setelah itu, pemuda itu tidak teragak-agak lagi untuk beredar.

Chu Qiao terduduk di atas katil sambil memandang cahaya bulan dan bintang yang bergemerlapan di langit. Tiba-tiba wanita itu terasa penat. Lantas dengan itu, dia mengeluh panjang kerana dia kini berasa perit dan tidak yakin terhadap pilihannya.

"Aku kena kuat!" Gadis itu berbisik perlahan di dalam kesunyian malam itu yang membuatkan suaranya kedengaran pilu dan sepi sebelum dia mengujar lagi, "Masa akan menghapuskan segala perasaan ini. Bertabahlah dan semuanya akan okey." Dia mengangguk seolah-olah cuba untuk meyakinkan dirinya sendiri, lantas dia pun berdiri dan memandang ke arah barat laut. Kemudian, dengan tegasnya dia mengangguk, "Aku akan pergi ke Yan Bei."

Apabila dia menjejakkan kakinya keluar dari pintu, dia ternampak Yue Qi yang sedang berdiri sambil menunggunya. Setelah melihat Chu Qiao keluar, Yue Qi pun memberitahunya, "Tuan dah jumpa jejak Yan Xun dan dia suruh saya bawa Cik kepadanya."

Setelah mendengar hal itu, Chu Qiao berasa terperanjat. Sedar tidak sedar, dia hanya mengelamun dan melihat ke arah bayang-bayang di astaka di sebalik tanaman dan kabus itu yang sedang memegang sekaki payung dan perlahan-lahan berjalan ke arah lapisan gunung hiasan yang menghiasi kawasan itu. Orang itu kelihatan dekat tetapi pada masa yang sama jauh dan tidak tercapai.

"Cik Chu, sila ikut saya."

Angin di padang terbuka itu agak kencang dan terus menghentam muka mereka tanpa henti dan setelah dua jam mengembara, Yue Qi dan beberapa lagi orang pengawal berhenti di padang gersang. Pengawal muda itu kemudiannya turun dari kudanya dan memberitahu Chu Qiao, "Cik Chu, saya dah hantar orang untuk beritahu kepada Putera Yan. Nampaknya Putera Mahkota Li Ce pun ada dalam khemahnya tadi. Sila tunggu di sini sebentar. Sekejap lagi mereka sampai."

Chu Qiao mengangguk seperti menghargainya, "Terima kasih banyak."

Yue Qi kemudian membalas, "Cik tak perlu berterima kasih pada saya kerana saya hanya jalankan arahan yang diminta oleh Tuan."

Chu Qiao menundukkan kepalanya dan teragak-agak seketika sebelum mendongak kembali dan berkata, "Awak pergi balik dan ucapkan terima kasih kepada dia bagi pihak saya."

"Baiklah." Angguk Yue Qi. "Kami hanya boleh hantar Cik di sini. Putera Yan akan tiba nanti, jadi kami minta diri dulu."

"Baiklah, hati-hati."

Dengan menggenggam tangannya bersama, Yue Qi mengucapkan selamat tinggal. "Semoga kita bertemu lagi, Cik." Setelah itu, dia memanjat kudanya dan segera beredar.

Angin padang gersang meniupkan pakaian Chu Qiao. Bunyi ringkikan kuda kini boleh kedengaran dari jauh di sebalik kabus itu yang menandakan ketibaan mereka. Apabila angin hangat itu bertiup terkena mata Chu Qiao, wanita itu hanya merasakan air matanya berlinangan lantas dia menundukkan kepalanya dan berbisik dengan suara yang dia sendiri tidak dapat dengar.

"Tolong jaga diri…" Kemudian, dia terus menghela nafasnya sedalam-dalam yang mungkin dan perlahan-lahan menghembuskannya seperti ingin menyingkirkan segala perasaan itu yang menghurung dirinya itu seperti dia menghembuskan nafasnya. Lantas, dia pun bergerak ke arah sekumpulan orang itu dan meninggalkan ibu negarai Tang yang mempesonakan.

Jauh di atas puncak gunung, seorang lelaki sedang memandang susuk tubuh wanita tersebut tatkala dia meninggalkan Tang. Setelah meneguk secawan wain lagi, dia meneruskan perjalanannya dengan menunggang kudanya itu bersama angin di pergunungan tersebut yang telah menghentam jubah ungunya tatkala cahaya matahari menyinari wajah menawannya yang perlahan-lahan memanjangkan bayangnya.

Apabila sang suria terbenam, kawanan burung pun pulang ke sarang mereka. Segalanya kini bermula semula dari permulaannya.