webnovel

Kampung

Kereta Range Rover milik Shahir yang sebelum ini merupakan milik ayahnya telah masuk ke perkarangan rumah teres elit dua tingkat. Setelah mematikan enjin kereta, Shahir dengan lajunya keluar kereta dan terus menuju ke tingkat atas untuk membersihkan diri. Dia bimbang sekiranya ibunya bertanya yang bukan-bukan apabila melihat keadaannya yang separuh basah dan tidak bersemangat. Fikirnya adalah lebih baik jika dia mandi dan solat asar terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan ibunya yang sedang leka menyediakan juadah berbuka puasa.

'Ani, Shahir dah pulang ke belum? Saya ada dengar enjin kereta di depan sana. Cuba Ani pergi lihat', arah Syarifah kepada orang gajinya, Ani yang merupakan warga Indonesia. Ani atau nama penuhnya Rohani Suharto meletakkan pisau pemotong buah dan berlalu ke ruang hadapan. Tujuannya untuk mengintai kereta apakah yang berada di garaj. 'Range rover, buk. Kayaknya betul tu si Shahir sudah pulang. Mandi kali dia', bagitahu Ani lalu kembali meneruskan kerja yang terbengkalai.

Riuh benar suasana di dapur walaupun yang bekerjanya hanya dua orang. Cekap sekali Syarifah memasak beberapa hidangan yang disukai oleh anak-anaknya. Sesekali kedengaran dia berceloteh dengan Ani yang juga suka melayan percakapan Syarifah. Kelihatan hubungan mereka sangat rapat dan tidak seperti hubungan antara orang gaji dan majikan. Shahir yang segak dan berpakaian baju melayu berwarna merah darah menuruni tangga dengan riang seolah-olah kejadian petang tadi tidak pernah berlaku padanya.

'Assalamualaikum, mak dan kak Ani. Banyaknya hidangan yang mak masak! Kitakan nak balik kampung malam ni, kan membazir kalau tak habis,' membebel Shahir sambil memeluk maknya. 'Shafie cakap dia nak makan banyak hari ni. Mak masak apa yang dia nak makan je. Tak apa, kita boleh bungkus sebagai bekal sahur dalam perjalanan balik nanti. Kamu tak pergi bazar ramadhan ke tadi?', tanya Sharifah pada anak sulungnya. Shahir ketawa dan berkata, 'Tadi Shahir lalu je depan bazar, mak. Tak singgah sebab ramai sangat orang. Dah nak dekat raya, makin ramai orang. Mak kena bawak Shafie pergi jumpa ustaz. Makan macam pelihara hantu, tapi body maintain kurus. Mana Shafie dan Seri, mak? Dari tadi tak nampak. Membuta ke? Hey, budak bertuah, bulan puasa mana boleh membuta!'

Sharifah menampar lengan Shahir dengan lembut dan berkata, 'Adik-adik kamu ada di bilik masing-masing. Sedang berkemas apa yang patut untuk dibawa balik kampung. Mak nak tanya, kenapa kamu bertiga memilih untuk pulang ke kampung mak pada hari raya pertama untuk tahun ni? Mak ingatkan kamu tak suka kampung mak. Kamu sentiasa mengadu keluarga mak besar sangat dan bising sehingga kamu semua tak selesa.' Shahir diam sejenak, lalu berbicara, 'Suasana bising itu yang dirindui. Kita dah lama tak balik, mak. Apabila mak berhasrat ingin beraya di kampung tahun ini, terus fikiran Shahir teringatkan kampung mak. Rindu anak-anak buah mak yang kalut ke masjid kerana bangun lewat, ketawa kegembiraan mereka bila diberi duit raya dan layanan yang diberi pak cik din kepada kita selaku tuan rumah cukup istimewa.'

'Kamu betul Shahir. Mereka sangat berbudi bahasa dan tertib. Dah lima tahun kita tidak pulang. Mak dah hubungi pak cik din untuk memberitakan kepulangan kita. Cik Nin kamu cukup gembira dan sudah beria-ia ingin memasak makanan yang enak-enak untuk kita,' kata Sharifah sambil tersenyum manis.